Akhirnya nenda pergi jua





17 Ramadhan 1430

Badar Al Kubra
Nuzul Al Quran
Syahid Imam Ali b Abu Talib

Sekitar jam 5.00 petang ketika penulis menghubungi isteri melalui telefon bimbit, terdengar suara riuh ibu penulis. Rupanya nenda yang kukasihi telah pergi buat selama-lamanya ... Innalillahi Wainna Ilahi Rajiun ...

Nendaku, Hajjah Saleha bt Hj Abd Jabbar, telah menderita sakit buah pinggang sejak Februari 2009. Beliau terlantar uzur tidak boleh bangun dan sering keluar masuk hospital. Penulis sempat menjenguk nenda sekitar 2 hingga 3 kali sejak beliau terlantar. Makan, pakai dan urusan buang air semuanya sudah tidak terdaya untuk dilakukan sendiri. Hanya mak cik sahaja yang menguruskan kehidupan beliau.

Tatkala lawatan kami sekeluarga ketika beliau mula-mula dimasukkan ke wad, beliau masih boleh bercakap, tersenyum dan ketawa. Dalam hati, doa-doa dipanjatkan agar beliau semakin cepat sembuh.

Lawatan kedua menyaksikan nenda terlantar di rumah. Makcik telah membelikan katil khas untuk beliau. Lengan beliau sudah lebam-lebam kerana tusukan jarum dengan alasan untuk mencari tempat mencuci buah pinggang. Namun tidak ditemui urat yang boleh menyampaikan ke daerah yang dituju. Tatkala itu, nenda masih boleh bercakap dan berkomunikasi dengan baik, meskipun masih tidak mampu untuk menguruskan diri sendiri. Masih penulis ingat tatkala sepupu membelikan kek khas buat nenda yang menyambut ulangtahun yang ke 73 .. Beliau masih boleh meniup lilin dengan bantuan cicit beliau, yang merupakan anak sulung penulis..

Dan pemantauan secara jauh terus penulis buat melalui bonda yang kerap menelefon makcik yang merupakan adik bungsunya berkaitan hal kesihatan nenda. Satu malam, malam Jumaat, bonda menghantar mesej mengatakan nenda masuk hospital dan berkeadaan tenat. Berderau juga darah dibuatnya. Doa terus-terusan dipanjatkan sepanjang malam...


Beberapa hari kemudian, bonda dan adik-adik beserta isteri melawat nenda di hospital. Penulis masih belum berkesempatan kerana terlibat dengan acara besar di pejabat. Akhirnya, penulis pergi berseorangan. Tiba tatkala Asar sudah berada di penghujungnya di Hospital Serdang. memang nenda kelihatan agak tenat dengan wayar yang berselirat di sekitar tubuh. Tatkala penulis tiba, beliau sedang menerima makanan yang dimasukkan ke dalam tiub melalui hidung oleh misi yang bertanggungjawab. Selesai urusan tersebut, barulah penulis menjenguk nenda. Beliau kelihatan seperti tidak mengenali penulis lagi, selaku cucunda sulung beliau. Dan sebenarnya itulah hari terakhir penulis menemui nenda...

Atas kesibukan tugas, penulis tidak sempat lagi menjenguk beliau. Akhirnya, pada Asar hari 17 Ramadhan ini, nenda menghembuskan nafas nya yang terakhir di atas katil di kediaman beliau ..

Bergegas kami sekeluarga berangkat ke Cheras Perdana pada sebelah malamnya. Kami bergerak dengan dua kereta. Penulis, isteri dan anak-anak tiba di kediaman beliau pada sekitar jam 3 pagi selepas tidur di R&R Seremban kerana mengantuk...

Urusan tajhiz dibuat menjelang waktu Dhuha dan sebelah halaman rumah beliau dengan dibantu oleh adik-adik beliau dan juga isteri penulis beserta cucunda beliau. Menjelang jam 11.00, selesai disolatkan, jenazah dihantar ke tanah perkuburan yang berhampiran. Maka bersemadilah dengan tenang jenazah nenda ...

Penulis masih ingat tatkala Ramadhan 1429 lepas, nenda berada di rumah bonda yang hanya bersempadan dinding dengan rumah penulis. Memang asalnya rumah yang penulis diami merupakan rumah nenda dan arwah atuk. Kemudian diturunkan kepada bonda. Dan sekarang kami berkongsi bumbung. Semasa berada di rumah bonda, nenda kelihatan sihat sahaja. Cuma beliau kurang bercakap. Sebelum tiba Ramadhan 1429 lagi sebenarnya nenda sudah berada di rumah bonda. Pernah dalam satu ketika, beliau pengsan tidak sedarkan diri hingga doktor dari klinik swasta terpaksa dipanggil kerumah. Setelah menerima satu jarum suntikan, barulah beliau tersedar. Menurut doktor, beliau mengalami kekurangan gula dalam darah. Sememangnya beliau ada menghidap penyakit kencing manis.

Nenda ku..
Pemergianmu tatkala Ramadhan ini sungguh memilukan
Moga Allah merahmati roh mu
dan menempatkannya dikalangan orang-orang yang diredhaiNya
Al fatihah ..

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol