Eid Fitri itu milik bani jawi?
11 Syawal 1436. Di sana-sini, kemeriahan sambutan syawal masih boleh dirasai oleh sesiapa yang mahu dan masih ghairah untuk menyambutnya. Media massa dan para selebriti yang merupakan tunggak utama keceriaan eid sepanjang syawal memainkan peranan sebagai pengiklan tersohor di setiap rumah. Maka semakin semarak dan bergemuruh jiwa para penduduk tanah semenanjung emas ini khususnya meraikan dan menikmati Syawal. Dengan kosmetik rumah terbuka, kosong-kosong, dan pelbagai lagi, jiwa bani jawi ini diruntun untuk meraikan sebulan syawal dengan penuh keghairahan. Maka tidak hairan apabila berjalan di mana-mana, pabila bertemu dengan sahabat, dengan segera salam dihulurkan dan perkataan "Selamat Hari Raya" pasti akan dikuntumkan di bibir merekah, meskipun takbir hari raya telah lama terpadam sebaik khatib mengumandangkan lafaz takbir tujuh gema di atas mimbar suci. Penulis kerap terkeliru. Di tengah alunan lunak bacaan marhaban, buat mengganti lafaz takbir yang tidak disyari