Penghulu mukim .. cabaran seorang muda

Penulis masih ingat tatkala menghadiri temuduga. Terdapat tiga orang panel yang ada. Penulis telah menyerahkan sekali surat sokongan yang diterima daripada setiausaha sulit MB johor yang diusahakan oleh seorang kenalan di pejabat penguasa agama.
Soalan pertama yang dikemukan ialah ujian terhadap bacaan al fatehah. Kemudian ditanya mengenai diri kita secara umum beserta pengalaman kerja. Kemudian ditanyakan pula mengenai apakah yang ada di kompleks penghulu yang terpegun di dalam mukim-mukim di daerah. Memandangkan penulis masih belum berumahtangga pada ketika itu, ditanyakan masalah, bagaimanakah jika ditempatkan di kompleks penghulu yang terpencil di dalam mukim (sememangnya wujud kompleks penghulu yang agak terpencil) datang di tengah malam seorang wanita yang mengadu bahawa suaminya memukulnya, sedangkan balai polis dan hospital terletak agak jauh. Penulis hanya menjawap, tumpangkan terlebih dahulu di rumah ketua kampung. Penulis juga ditanyakan mengenai penyertaan dalam parti politik juga penglibatan dalam sukan. Syarat-syarat wajib khutbah juga turut ditanyakan. Penulis juga diminta memberikan ucapan selaku wakil kepada DO untuk majlis perasmian minggu anti denggi.

Selepas beberapa bulan, penulis akhirnya menerima surat tawaran daripada SUK. Kesukaan dan kegirangan hati tidak terkira. Al maklumlah, kontrak di pejabat penguasa agama juga sudah hampir sampai ke penghujungnya. Segala perintah dan permintaan yang terkandung dalam surat tawaran dengan segera dipenuhi. Dan kemudian terpaksa menunggu lagi untuk penempatan...

Hari pertama melapor diri di pejabat daerah batu pahat, bertemu dengan Pegawai Daerah atau DO pada masa itu, penulis telah diarahkan untuk bertugas di mukim 8 batu pahat. Di mukim itu, sudah ada seorang penghulu. Mukim 8 atau mukim seri gading menganjur panjang dari seri gading hinggalah ke seri lalang. Penulis difahamkan untuk menjaga kawasan dari pt raja hingga ke sri lalang, manakala penghulu senior akan menguasai pt raja hinggalah ke sri gading.

Hari-hari awal di mukim, hadir ke rumah penghulu senior. Mengikut dan mendengar arahan dan pandangan. Di pejabat daerah, tatkala bertemu dengan penghulu-penghulu lain, juga mendapatkan maklumat dan info. Pejabat daerah sememangnya berhajat agar penulis berada di pejabat penghulu di Ayer Hitam, tetapi tidak pula dengan penghulu senior. Beliau lebih suka agar penulis berada di pejabat penghulu Seri Gading dan seterusnya tinggal di kediaman penghulu yang merupakan kuarters kerajaan, manakala beliau sendiri menetap di kediamannya yang terletak kira-kira 2 - 3 km dari kompleks penghulu.

Pada awalnya penulis akan berada di pejabat tersebut di Pt Raja. Tetapi selepas beberapa minggu timbul kebosanan. Al maklumlah, pejabat yang hanya dibekalkan dengan meja dan kerusi semata-mata, tanpa mesin taip, apalagi kemudahan PC, dan jangan diimpikan pula ICT. Kebanyakan penduduk Pt Raja akan bertemu dengan penghulu senior. Jarang sekali yang akan menemui penghulu II.

Penghulu antara lain kerap menghadiri mesyuarat, khususnya di pejabat daerah. Diantara mesyuarat yang penting ialah mesyuarat JPMM yang dipengerusikan sendiri oleh ADUN kawasan. Penulis juga pernah dijemput untuk memberikan ucapan dalam majlis sambutan kemerdekaan yang turut dihadiri oleh ADUN Parit Raja pada masa itu.

Penulis akhirnya mengambil keputusan, atas nasihat pejabat daerah dan rakan-rakan penghulu yang lain, untuk berada di pejabat penghulu di Ayer Hitam, meskipun penghulu senior kurang bersetuju. Penulis berkesempatan meninjau sendiri kampung-kampung yang berdekatan dengan menaiki motosikal untuk melihat keadaan dan kawasan.

Menjelang bulan September, baru sahaja sebulan melapor diri, penulis telah memberanikan diri untuk menemui DO bagi memohon berpindah ke mukim 7 dimana mukim tersebut mempunyai kekosongan jawatan penghulu. Setelah beberapa kali menghadap, maka akhirnya penulis ditukarkan ke mukim tersebut.

Kompleks penghulu mukim 7 terletak di tepi jalan di dalam kawasan kampung Hj Ghafar. Ianya sudah lama terbiar dan dalam keadaan semak yang tinggi, menyebabkan ianya tidak dapat dilihat lagi dari tepi jalan. Hari pertama tiba di mukim tersebut, penulis segera mencari rumah ketua kampung atau pak naib Kg Hj Abd Ghafar. Agak jauh juga rumahnya. Dan rumahnya sederhana sahaja. Tatkala tiba, setelah puas bertanya, maka muncul seorang lelaki yang berusia awal 40an, kelihatan kurus dan masih kelihatan muda.

Pertama kali masuk ke dalam bangunan kompleks yang masih elok walaupun sudah berhabuk dan usang, sesuatu perlu dilakukan. Maka penulis mengajak ibu dan tunang serta bakal adik ipar ke sana untuk membantu mengemaskan serta membersihkan keadaan rumah. Alhamdulillah, keadaan sudah dapat dikawal. Beberapa hari kemudian, orang kuat di kampung tersebut menawarkan pekerja untuk membersihkan seterusnya meracun seluruh kawasan.

Kompleks penghulu yang mempunyai beberapa perabot asas, tanpa PC, hanya sekeping mesin taip buruk sahaja. Terdapat locker yang memuatkan beberapa fail berkaitan mukim yang kurang lengkap. Terdapat juga kemudahan telefon.

Permohonan penambahbaikan bangunan segera dipohon dari pejabat daerah. Alhamdulilla, ianya telah diluluskan. Bahagian hadapan rumah ditambah dengan bangunan batu dan mozek yang boleh digunakan untuk ruang pejabat.

Setelah siap, ianya kelihatan agak selesa dan penulis lebih kerap berada di bahagian tersebut kerana bahagian dalam tetap berhabuk meskipun telah disapu beberapa kali.

Melalui ketua kampung Hj Ghafar, penulis diperkenalkan dengan ketua kampung yang lain, seperti Pak Naib Sarupin (kini arwah) yang menguasai kawasan tasik biru dan sekitarnya, pak naib Musa, pemangku pak naib Kg Seri Mendapat. Apabila kita sudah berada di mukim sendiri, maka kita boleh merancang sendiri segala aktiviti berkaitan tanpa perlu merujuk kepada penghulu I atau sebagainya. Dengan bantuan Pak Naib Sarupin yang sememangnya aktif, dan merupakan setiausaha mukim 7, penulis cuba merancang beberapa kativiti bersama. Mesyuarat pertama mukim 7 bersama ketua-ketua kampung telah diadakan di rumah Pak Naib Sarupin memandangkan kompleks penghulu tidak mempunyai sebarang bangunan untuk melakukan aktiviti. Penulis masih ingat dimana ianya didadakan pada pagi Jumaat dan berakhir beberapa minit sebelum waktu Jumaat. Alhamdulilla mesyuarat berjalan lancar dan beberapa aktiviti telah dirancang diantaranya ialah program sambutan hari raya peringkat mukim dan juga program membudayakan al quran.

Diantara perkara yang perlu diutamakan ialah lawatan ke kampung-kampung dalam mukim 7. Penulis telah merancang untuk melawat setiap masjid di dalam mukim 7 dan membaca khutbah seterusnya memberikan sedikit ucapan kepada penduduk di kampung tersebut. Alhamdulilla, program itu dapat dijalankan meskipun belum dapat kesemua masjid dek kerana kesibukan tugas yang berkaitan dengan Pejabat Daerah.

Penulis juga pernah dijemput merasmikan hari terbuka Sek rendah di dalam mukim dan juga pernah dijemput menghadiri hari sukan di sek keb seri bulan.

Sambutan Hari Raya di peringkat mukim dihadiri oleh Ahli Parlimen. Penulis juga diminta memberikan ucapan. Lawatan YAB MB Johor di kawasan tasik biru yang dilihat berpotensi untuk dimajukan, juga dihadiri oleh penulis namun tidaklah diminta memberikan ucapan.

Penulis juga merancang untuk melaksanakan program membudayakan al quran peringkat mukim setiap bulan dimana setiap masjid dalam mukim tersebut akan mengadakan bacaan al quran secara beramai-ramai dengan mengumpulkan kesemua ketua kampung di dalam mukim dan seramai mungkin anak buah di dalam kampung yang terpilih. Selesai bacaan al quran, program tazkirah pula akan diadakan. Penulis hanya berkesempatan untuk hadir sekali sahaja program tersebut kerana selepas itu, penulis telah berpindah ke organisasi yang lain pula.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
aSSALAMUALAIKUM...boleh tanye berapa bulan baru dpt keputusan temuduga penghulu ni?

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol