Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Taaruf Kem Komandan

Istilah kem komandan biasanya akan digunapakai dalam aktiviti kem bagi program-program kursus mahupun program latihan seperti jatidiri, kem kepimpinan dan sebagainya. Kem komandan biasanya dikaitkan sebagai individu yang paling berkuasa dalam melaksanakan dan mengatur disiplin peserta, peraturan program, keselamatan perjalanan aktiviti secara keseluruhannya.

Watak-watak

1. Watak kem komandan Sungkai

Tatkala penulis menyertai kursus di Sungkai Perak. Kem komandan muncul buat pertama kalinya semasa menyambut kedatangan kami. Memberikan arahan untuk ke penempatan. Kemudian taklimat ringkas di dewan. Sangat menjaga disiplin dan masa. Kami pernah didenda dan dihamun tatkala perhimpunan selepas makan tengahari hanya semata-mata kerana meja makan yang tidak bersih. Akibatnya kami didenda berlari mengelilingi padang.

Setiap kali sebelum masuk ke dewan untuk aktiviti, kami akan berkumpul di padang 'huru-hara' untuk memeriksa kehadiran mengikut masa, barang amanah dan pakaian.

Sebaik masuk ke dalam dewan, lagu tema terus dikumandangkan. Kami diarahkan untuk menghafal lagu dalam tempoh satu malam sahaja.

Rata-rata kami senantiasa berwaspada mengenai masa dan disiplin gara-gara takut ditangkap kem komandan. Pernah ada dikalangan kami yang ditangkap merokok padahal ianya telah diwartakan haram pada hari pertama program lagi. Oleh kerana KK terjumpa beberapa puntung, maka penghulu telah diarah untuk mengerahkan peserta mendapatkan 10 puntung setiap seorang sebagai denda....

Namun pada hari terakhur, KK menjadi lembut dan membuat lawak pula....


2. Kem Komandan TOT HROD

Kem Komandan berwajah dan berperawakan lembut. Kami tidak terlalu tertekan bahkan merasa agak gembira. KK lebih memberi penekanan berkaitan kawad kaki. Penjagaan barang amanah dan sebagainya tidak menjadi perkara yang penting...

3. Kem Komandan HROD

Kem komandan sepanjang program HROD di bawah seliaan organisasi yang turut dihadiri penulis adalah lebih berantai berbanding kem di Sungkai. Mungkin disebabkan beliau merupakan tentera berpangkat mejar dalam pasukan askar wataniah menyebabkan lantikan selaku kem komandan menjadikan ianya sesuai dengan watak beliau.

Meskipun HROD melibatkan peserta dari kalangan staf, namun mereka dilayan sama rata sahaja. Ketegasan KK ini memang tidak boleh disangkal lagi. Setiap kesilapan dan kesalahan yang berlaku pasti akan dihukum setimpal. KK ini dibantu olek KKII yang kurang seinci sahaja berantai daripada KKI...

Walau bagaimanapun riwayat KK ini tidak lama di HROD. Mungkin ramai yang mengkritik akhirnya KK diberikan kepada pihak yang lebih lembut..

4. Kem Komandan Program INSEP

Sebaik sahaja program HROD dikebumikan tanpa nisan, maka fasilitator termasuk KK bergentayangan di seluruh organisasi. Sebaik sahaja program INSEP dilancarkan maka ramai di kalangan veteran perang HROD diambil untuk berkhidmat bersama INSEP. Maka muncullak KK II HROD sebelun ini selaku KK I dalam program INSEP. Beliau dibantu oleh salah seorang veteran HROD juga selaku KK II..

KK ini kurang menghukum tetapi lebih kepada konsep membebel apabila berlaku sebarang ketidakpatuhan. Alasannya ialah tidak mahu bermusuhan dengan peserta yang juga merupakan pelajar beliau di dalam kelas.

Maka peserta kelihatan agak longgar dalam pelaksanaan disiplin program. Perkara ini lebih jelas kelihatan dalam bab pengimarahan solat berjamaah.

Walau bagaimanapun, ianya masih boleh dianggap baik dan terkawal khususnya untuk keseluruhan program.

5. Kem Komandan Ayahanda

Ianya sebuah pendekatan yang sangat berbeza. Kem Komandan mempamerkan kata-kata yang agak keras namun dari segi penguatkuasaan dianggap masih longgar. Meskipun ada sedikit dendaan yang dibuat namun ianya kelihatan gagal untuk difahami oleh peserta. KKA lebih gembira mempamerkan watak seorang ayah daripada watak seorang penguatkuasa undang-undang. Lebih gemar bercakap kuat dengan nada marah dan cenderung untuk memperbanyakkan berkata-kata daripada melaksanakan sebarang tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas.

KK ini lebih berbeza dari segi kekerapan untuk memperbanyakkan bercakap berbanding KK lain. Mungkin kesesuaian pemegang watak ini ialah selaku pelakon fasi dan bukan KK. Tetapi mungkin juga beliau mahu membuat inovasi dalam watak tersebut...

Lima watak KK yang sangat berbeza dari segi perawakan dan penguatkuasaan. Mungkin berbeza pelaksanaan dan hasil. Namun bagi penulis, KK 1 dan 3 adalah yang terbaik untuk diamalkan dalam pelaksanaan program. Kem Komandan memainkan peranan yang amat penting dalam menjayakan sesuatu program. Kegagalan untuk melakonkan watak ini dengan baik boleh mencacatkan kejayaan perjalanan sesebuah program yang telah dirancang dengan baik.




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol