AJK Masjid dan surau : Tahukah tanggungjawab mereka?

9:18

Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

Setiap masjid dan surau di negara ini adalah memiliki AJK tersendiri yang bertanggungjawab mentadbir dan memakmurkan rumah Allah dengan sebaik-baiknya. Dengan menggunakan ayat di atas, maka dibentuk di setiap anak qaryah akan AJK yang terdiri daripada beberapa orang yang dipercayai boleh dan mempu menjalankan tugas tersebut dengan sokongan ketua kampung ataupun penghulu mukim. Biasanya jawatan pengerusi akan cuba dipegang oleh mereka yang mempunyai kalaupun tidak banyak, sedikit pengaruh politik pemerintah, dan itu adalah kenyataannya!!

Bagi yang agak gerhana dengan parti yang masih memerintah, peluang untuk menjadi khadam masjid qaryah akan gelap dan jauh, kalaupun ada peluang pun, mungkin dilantik selaku AJK kecil yang nantinya akan bertugas selaku pengangkat kerusi meja tatkala majlis maulid, ataupun seqadar tugasan picisan. Mereka yang kurang ghairah dengan parti yang masih memerintah acapkali akan dijauhkan terus dari jawatan utama seperti pengerusi, bendahari, setiausaha, apalagi timbalan setiausaha, bahkan untuk menjawat jawatan imam dan bilal sekalipun akan cuba untuk dijauhkan sejauh-jauhnya. Namun realiti yang berlaku adalah, kebanyakan jamaah yang rajin memakmurkan sesebuah rumah Allah terdiri daripada mereka yang dipinggirkan ini. Maka masjid dan surau akan dipandu oleh golongan beku dan amat kurang kreativiti untuk melaksanakan program yang mampu memberi manfaat besar kepada anak² qaryah. 

Ini adalah yang biasa berlaku. Tidak dinafikan wujud juga masjid dan surau yang aktif, namun bilangannya amat kecil dan semakin menyusut.


AJK masjid seharusnya menjadi satu badan yang amat berpengaruh di dalam qaryah yang mampu menyelesaikan masalah anak qaryah sama ada dari bentuk kewangan, sosial, kekeluargaan dan sebagainya. Apabila mereka ini mampu bergabung dengan surau di dalam qaryah sudah barangpasti mereka ini mampu mewujudkan sebuah badan ekonomi yang ampuh, seperti penubuhan koperasi dan sebagainya.

Selaku pejabat yang mentadbir hal ehwal agama diperingkat daerah, perlu disarankan dengan bersungguh agar AJK masjid dan surau diberikan sesi tarbiah dan latihan pengurusan yang secukupnya dari urusan pentadbiran, kewangan hinggalah kepada pemakmuran. Di setiap DUN ada dilengkapi dengan penggerak surau dan masjid tetapi nampaknya keadaan masih tidak banyak berubah.

Apalah salahnya jika pejabat yang menjaga hal ehwal agama di daerah melihat perkara ini dengan lebih serius dengan mengadakan kursus yang lebih bersistematik. Seeloknya sebaik sahaja AJK telah terbentuk di sesebuah surau atau masjid, mereka ini patut diwajibkan untuk menghadiri beberapa siri kursus mandatori, seperti kursus induksi AJK masjid dan surau, kursus bacaan al fatihah, kursus pengurusan masjid dan surau, kursus kewangan masjid dan surau serta kursus pengimarahan masjid dan surau. 

Kursus induksi mungki akan dilengkapi dengan modul pengenalan atau taaruf berkaitan fungsi surau dan masjid, fungsi AJK, public speaking, penampilan dan sebagainya selama beberapa hari. Apalah salahnya jika pihak pentadbir agama ini menggunakan wang baitulmal untuk membiayai kursus seumpama ini. 


Kursus bacaan al fatihah pula perlu diwajibkan kepada semua AJK termasuk bendahari hinggalah kepada AJK kecil keceriaan sekalipun. ini kerana apabila ketiadaan imam, atau bilal atau sesiapa yang lain, AJK yang ada perlu menjadi pengganti imam. Janganlah apabila imam dan bilal tiada, kita sanggup menolak jamaah musafir yang berkopiah putih untuk menjadi imam tanpa kita ketahui baik atau buruk bacaannya.

Kursus pengurusan masjid dan surau pula adalah untuk memperdalamkan kefahaman mereka selaku AJK masjid bukan hanya tahu memakai nama sahaja di dalam qaryah, tetapi tahu dan faham akan tanggungjawab besar mereka selaku manusia yang bertanggungjawab terhadap anak qaryah dan Allah..

Kursus kewangan masjid dan surau pula perlu diikuti oleh AJK masjid agar mereka benar memahami apa sebenarnya fungsi wang tabungan yang dikutip saban minggu dari anak qaryah manakala kursus pengimarahan masjid pula adalah untuk memberikan idea serta mendapatkan input untuk menjayakan pelbagai program yang mempunyai impak besar terhadap anak qaryah.

Kursus berkala seperti setiap bulan atau minggu pula perlu diadakan untuk memberikan motivasi kepada AJK masjid dan surau agar mereka senantiasa ingat akan tanggungjawab yang dipikulkan atas pundak mereka. Jika pejabat pentadbir agama mampu mengadakan kursus kahwin setiap minggu, apalah salahnya mengadakan kursus pembangunan kendiri dan motivasi kepada AJK masjid. Tentu manfaatnya lebih besar kepada anak qaryah..

Apabila ini berlaku, penulis yakin, setiap dua tahun akan wujud pemilihan yang lebih telus di mana tidak akan yang sanggup menawarkan diri untuk terus menjadi AJK sehingga tiba di tepi liang kubur meskipun tidak berfungsi apa² melainkan hanya untuk mengawal wang masjid daripada jatuh ke tangan yang betul memerlukan sahaja. Pasti AJK akan lebih insaf dan benar bertaqwa sahaja ..maka firman Allah ini akan benar terlaksana...bukan hanya dipilih atas mereka yang hanya tahu akan rukun iman sahaja tetapi tidak mempedulikan tanggungjawab sosial besar yang dipikul...

Wallahu a'lam

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol