Catatan ke Sarawak






30 Nov 2008 sekitar jam 12.50 penulis telah berada di perut pesawat sebaris dengan ketua bahagian dan isteri beliau menuju ke Bandaraya Kuching bagi mewakili jabatan untuk MBJ peringkat kebangsaan. Tiba di Lapangan terbang antarabangsa Kuching jam 1.45. Telinga macam nak pecah dek terkena tekanan udara. Ketua Bahagian syorkan makan chewing-gum tapi bagi penulis meskipun ianya ilmu yg baru macam tak berkesan. Tapi penulis lihat beliau rileks sahaja ... Dari lapangan terbang Kuching bergerak ke hotel dengan dua teksi yang berasingan, penulis dapat melihat suasana sebahagian Bandaraya Kuching sepanjang perjalanan yang melukiskan pemandangan rumah golongan astrokrat yang menghiasi kiri kanan jalan. Terfikir dalam kepala penulis, apakah di sekitar ibu negeri Sarawak ini tiada wujud golongan marhain? Boleh dikatakan tiada langsung wajah rumah murah mahupun kos sederhana yang kelihatan. Sekitar 20 ke 25 minit terperuk di dalam perut teksi akhirnya tiba ke destinasi. Hotel yang terletak agak jauh dari tengah-tengah bandaraya sebenar Kuching, jauh dari jangkaan asal.








Kira-kira 2 tahun lepas penulis pernah ke sini kerana mengikuti kursus. Ditempatkan di Hotel yang berhampiran sungai Sarawak yang menjadi nadi kehidupan masyarakat di negeri bumi kenyalang ini menjadikan langkah kaki semakin jauh dan berani bersama beberapa rakan untuk meninjau ole-ole yang boleh dibawa kembali ke semenanjung. Namun kali ini, dengan jarak yang agak tidak ekonomik, terasa peluang untuk 'shopping'agak kelam dan kabur.

Walau bagaimanapun, satu panggilan masuk yang hinggap di HP penulis telah memberikan sedikit cahaya bagi penulis. Ketua bahagian telah mempelawa penulis untuk bersama menuju ke gerbang transaksi jual-beli di tebing sungai Sarawak.

"Beri tempoh sampai 3.30 .."

Usai solat jama' & Qasar, bergegas penulis bersiap dan menuju ke lobi. Ketua bahagian dan isteri serta rakan sejawat telahpun bersedia. Kami bergerak ke parking lot untuk mendapatkan teksi.

Perjalanan ke lokasi mengambil masa kira-kira 15 minit. Setibanya di sana, kedai pertama yag dicari ialah yang membekalkan tikar S'wak. Ini kerana isteri dan ibu penulis telahpun memberikan pesanan awal. Penulis terpaksa mengambil gambar beberapa jenis tikar untuk di MMS kepada mereka di Johor agar pembelian sesuai dengan citarasa mereka.






Sesi penambahan beban kad kredit akhirnya tamat dan penulis telah melipat kedua-dua tikar tersebut, sebagaimana mengikut nasihat penjual, bahawa ianya boleh dilipat empat dan kemudian, sebaik sahaja tiba di rumah, lipatan perlu dibuka dan kemudian digulung semula dan dibiarkan selama beberapa hari, Insya Allah akan elok semula. Sebenar boleh sahaja kalau tikar-tikar tersebut diposkan oleh penjual sendiri, namun ada kos yang perlu ditambah. Boleh juga sekiranya tikar tersebut digulung dan dipikul tetapi penulis sepertinya tidak mampu untuk berbuat sedemikian.

Acara pulang ke hotel masih juga menggunakan perkhidmatan teksi bersama ketua bahagian dan juga isteri beliau. Setibanya di hotel, suasana yang agak terik tadinya telah berubah mendung. Menjelang jam 5 petang, hujan turun dengan lebat membasahi bumi bandaraya Kuching. Penulis yang berada di tingkat yang agak tinggi dapat melihat dengan begitu jelas sebahagian daripada bandaraya yang dimajukan oleh Datu Patinggi Hj Taib Mahmud ini dihujani dengan kadar yang agak lebat. Semamangnya terdapat beberapa kawasan di sekitar S'wak yang sudah mula ditenggelami air bah. Namun sehingga penulis tiba, masih tiada berita yang menyatakan bandaraya S'wak itu sudah mula mengalami nasib yang sama.

Merenung di cermin tingkap hotel, dalam kedinginan penghawa dingin, ditengah-tengah hujan yang lebat, dengan sekali-sekala disulami dentuman petir, mula menghanyutkan emosi dan menghasilkan sedikit kerinduan terhadap keluarga di tanah air ...

Menjelang Maghrib, hujan menjadi teduh. Berikutan dengan itu, sayup terdengar keroncong dari celah-celah usus perut .. ya ..dia mahu diisi. Sejak pagi, hanya nasi goreng dalam pesawat sahaja yang berjaya mengisi kekosongannya. Masakan ianya cukup? Hanya air dua tiga gelas sahaja yang mampu meruntun sedikit rasa kepuasan menikmati juadah yang disediakan oleh pramugari.

Usai solat jama',penulis segera menukar pakaian dan berkira-kira untuk mencari kedai makanan halal, sedap dan murah....tiga syarat yang penting. Kalau hotel ini berada betul-betul di pusat bandaraya, tidak sukar untuk menjamu selera dan mendapat 3 syarat tersebut kerana restoran makanan segera sudah tersedia. Dua tahun lepas, penulis pernah makan di tebing Sg. S'wak. Pesanan ialah nasi goreng. Harga RM5!! Namun kuantitinya boleh mengeyangkan dua orang lelaki normal seperti penulis yang mempunyai 'tangki' yang agak besar. Pada waktu itu, nasi goreng di kampung halaman sekitar RM3.00 sepinggan. Jadi mana yang lebih murah?

Tiba di lobi, penulis bertanya kepada petugas hotel akan lokasi untuk menyampaikan hajat penulis. Setelah mendapat 'instruction' yang sepatutnya, seperti seorang survivor, penulis cuba mengesan lokasi emas seperti yang dimaksudkan. Dan akhirya penulis dapat menemuinya, alhamdulilla...sebuah restoran Muslim yang dapat menyediakan pelbagai masakan ringkas melayu, seperti nasi goreng, mee goreng dan sebagainya dengan harga yang boleh bayar - berpatutan ...

Mesyuarat berlangsung pagi Jumaat di UNIMAS yang letaknya agak jauh dari hotel penginapan, perjalanan dengan bas di waktu pagi memakan masa selama lebih kurang 45 minit barulah tiba di lokasi mesyuarat. Penulis amat-amat tertarik dengan rekabentuk dan susun atur bangunan di kampus tersebut. Mesyuarat dipengerusikan oleh pihak KPTM. Ianya hanya berlangsung lebih kurang 2 jam sahaja. Pelbagai cenderahati dari pihak tuan rumah diberikan seperti pembuka surat yang berbentuk keris serta kertas nota dengan bekas berlambangkan universiti. Kami kemudiannya dijamu makan tengahari di kantin dengan hidangan yang amat menyelerakan. Maklumlah, dari pagi, hanya menjamah mee dan nasi lemak selaku sarapan. Apabila dapat ditemukan dengan juadah lauk kampung, percuma pula, maka selera makan terasa begitu membuak...

Kami kemudiannya dihantar untuk menunaikan solat jumaat di masjid kampus dengan menaiki bas. Perjalanan memakan masa lebih kurang 10 minit. Masjid kampus tersebut tidaklah seindah senibina masjid-masjid IPTA senior di sekitar semenanjung dan tidaklah seluas masjid yang sepatutnya ada pada sesebuah IPTA. Ianya hanya sebuah bangunan kayu yang boleh memuatkan sekitar 500-800 jamaah pada anggaran mata kasar penulis. Bentuk fizikal tidak perlu dibincangkan dengan lebih lanjut kerana mungkin ianya dibina atas faktor bilangan pelajar Muslim yang wujud adalah kecil berbanding non-Muslim.

Apa yang menarik untuk diperkatakan disini ialah khatib ang menyampaikan khutbah tanpa membaca teks. Beliau mampu menyampaikan khutbah yang menarik dengan isi yang mengkagumkan. Pada pengamatan penulis, tiada seorang jamaah pun yang tertidur semasa khutbah disampaikan. Kita kerap mendengar sama ada melalui ceramah ataupun tazkirah berkaitan kemandulan khutbah jumaat masa kini. Jamaah lebih enak melayan mimpi dan ada yang hingga berdengkur tatkala khatib membaca khutbah. Adakah isi khutbah yang tidak menarik ataupun khatib yang gagal membawa pendengaran khayalak dengan lebih menarik?

Oleh sebab yang demikian terdapat beberapa masjid yang proaktif menayangkan visual khutbah berbentuk persembahan powerpoint lengkap dengan gambar2 yang berkaitan bagi menarik para jamaah. Namun majoriti masjid di seluruh negara masih mengamalkan kaedah konversetif. Kadang-kadang isi khutbah langsung tidak dapat menarik pendengaran jamaah. Terlalu beku dan statik!!

Selesai solat, kami digiring kembali ke kampus utama. Kemudian, kami dijadualkan untuk membuat lawatan di sekitar bandaraya kuching. Namun, ketua bahagian kurang bersetuju dan ingin kembali semula ke penginapan.



Oleh yang demikian, kami dihantar pulang semula ke hotel dengan kenderaan khas. Walau bagaimanapun, pada petangnya kami masih bersiar-siar di sekitar tepian sungai Sarawak itu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol