Kelantan ..



>

11 Jun 2009

Hari ini adalah hari yang bakal mencatat sejarah yang paling besar dalam diari kehidupanku kerana buat pertama kalinya aku akan bermusafir jauh dengan berkenderaan sendiri hingga Kelantan Darul Naim.

Perjalanan bermula jam 10.00 pagi dengan singgah makan pagi di Kelab Melayu. 10 keping capati dengan lauk kari daging dan seketul ayam cukup membuka selera. Sah yang tiba untuk mengambil kunci rumah bagi menguruskan mesin pemotong rumput beberapa minit kemudian kelihatan tidak berselera pula dengan menu yang dihidangkan. Baru pulang dari Terengganu malam semalam selepas mewakili Universiti untuk kejohanan Intervasity. Tahun ini Terengganu terpilih selaku tuan rumah. Mujurlah stadium Sultan Mizan yanag bakal menjadi saksi acara pembukaan, mengalami bencana keruntuhan bumbung lebih awal dengan kehendak Allah ..

Mersing merupakan destinasi pertama yang dilalui selepas perjalanan selama kira-kira satu jam. Singgah untuk mendapatkan bekalan petrol sebanyak RM80.00 sudah memenuhi keseluruhan tangki Citra ku…

Bandar kedua ialah Endau yang kami tiba beberapa minit sebelum masuk waktu Zuhur. Kemudiannya melalui Pekan, Pahang. Merentas halaman hadapan SHAH Pekan, sekolah seribu kenangan. Perjalanan ke Kuantan agak kurang lancar kerana keadaan permukaan jalan yang tidak baik oleh sebab sedang dinaik taraf. Al maklumlah, Parlimen YAB PM…

Ketibaan di Kuantan sekitar jam 3 petang menyaksikan cuaca yang agak terik. Cuba menjejaki Pak Ali, namun gagal menemui rumahnya. Kami berhenti untuk makan tengahari di sebuah restoran. Makanan amat sedap dan murah. Menariknya restoran ini ialah di setiap sudut tiangnya terpampang artikel yang berkaitan dengan Islam.

Perjalanan ke Kemaman mengambil masa kira-kira satu jam. Singgah di Masjid yang berhampiran. Masjid di kawasan ini amat lengkap dengan kemudahan perpustakaan, klinik dan rumah tumpangan musafir. Keadaan di dalam masjid juga amat selesa. Meskipun tandas yang terletak di luar bangunan masjid ketiadaan air, namun aku merasa amat kagum dan seharusnya memuji Kerajaan Negeri Terengganu yang amat prihatin terhadap masjid dan penggunanya. Di sepanjang jalan menuju ke Kuala Terengganu, bangunan masjid amat indah dan besar serta kelihatan setaraf dengan masjid di Bandar Kemaman.

Kami Solat Maghrib di Masjid Kg. Rhu Baru selepas jamaah selesai solat Maghrib. Pada mulanya aku menyangka ini masjid Kg Rusila, tempat kegiatan YB Tn Guru Dato’ Seri Hj Abdul Hadi b. Awang, tetapi tersilap. Memang niat di hati nak singgah di masjid beliau. Kedua yang menarik di masjid yang tersilap singgah ini ialah malam ini merupakan malam Jumaat tetapi tiada pula aktiviti rutin sebagaimana di negeriku, iaitu bacaan Surah Yassin dan Tahlil. Ini adalah perkara yang baik, menolak kebatilan Bid’ah .

Kuala Terengganu menyambut ketibaan kami sekitar jam 8.30 malam. Singgah makan di suatu kawasan, pelayannya agak tidak menghormati pelanggan. Makanan yang dipesan tidak menepati pesanan, kecuali hidangan ku. Namun, harga yang ditawarkan masih murah. Sayang sekali kedai tersebut gagal menepati kehendak pelanggan yang mahukan layanan mesra, atau sekurang-kurangnya senyuman. Tanpa menu, kami terpaksa memesan makanan sekadar ingat-ingat. Apabila ditanya apa yang ada, jawapan antara dengar tak dengar dan mengecewakan.

Kami tinggalkan kedai makan tersebut dengan harapan agar mereka berubah dengan kadar segera atau nanti kedai makan tersebut akan cepat menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah…

Perjalanan ke Kota Baharu dari Kuala Terengganu agak lebih mencabar dengan jalan yang kurang elok, di waktu malam. Singgah di stesen minyak Petronas untuk tambahan minyak sebanyak RM30.00.

Tiba di Kota Baharu, malan Jumaat jam 12.30 malam. Kelihatan ramai anak-anak muda melepak di gerai-gerai makan yang masih beroperasi. Terdapat juga perlumbaan kereta di hadapan Balai Islam. Sementara menunggu kawan isteri ku menjemput ke rumahnya, aku cuba memerhatikan Bandaraya Islam Kota Baharu pada waktu malam. Suasananya lebih kurang di tempt lain. Tetap ada belia yang melepak. Cuba gadis-gadis liar sahaja yang seperti tidak kelihatan.

Tiba di rumah kawan isteriku sekitar jam 1.00 pagi. Oh…..sungguh penat…Namun ada sesuatu yang menggembirakanku. Rumah beliau adalah dekat dengan rumah YAB Menteri Besar Kelantan. Dan esok, Insya Allah aku akan cuba untuk Solat Subuh di sana….


12 Jun 2009

Sedar pada jam 5.40 pagi. Bergegas-gegas untuk ke Kg. Pulau Melaka bagi menghadiri Solat Subuh bersama MB Kelantan. Dalam kotak fikiranku, sekurang-kurangnya kami akan masbuq di rakaat kedua. Aku dan isteri bergerak ke sana dalam keadaan tak tau jalan sebenarnya. Hanya berdasarkan kepada keterangan kawan isteriku bahawa jaraknya dekat dan selepas traffic light. Namun rupanya selepas traffic light ke tiga baru bertemu jalan masuk ke destinasi. Aku beranikan diri untuk kesini kerana sebelum ini semasa lawatan pertamaku ke Kelantan bersama rombongan sekolah isteriku sekitar tiga tahun lepas, aku pernah di bawa ke kediaman MB ini, namun gagal menemui beliau. Kali ini, aku berazam untuk menyalami tokoh ikon ku ini.

Ketika tiba, ruang tempat letak kereta penuh sesak. Solat Subuh juga telah selesai didirikan. Cuba menyelitkan kereta di tengah-tengah kesesakan. Di dalam masjid, jamaah yang hadir amat ramai, seolah-olah Solat Jumaat. YAB MB Kelantan sedang berzikir dengan diikuti oleh jamaah. Selesai Solat, aku masih sempat mengikuti zikir beliau. Masih sayup-sayup susuk tubuh beliau di hadapan kerana aku berada dalam saf yang terkebelakang. Apa yang menghairankan ialah beliau tidak beralih ke kanan atau menghadap kepada jamaah selepas solat. Tatkala tazkirah juga, beliau tidak menghadap kearah jamaah. Selesai tazkirah, beliau berdoa dan kemudian puluhan manusia mengerumuni beliau bersama sebotol air dan juga anak-anak kecil. Sebagaimana yang kufahami daripada rakaman you-tube, beliau akan membacakan doa di atas botol berisi air dan juga tahnik kepada bayi. Namun kelihatan beliau agak uzur pagi ini kerana pembantunya memicit-micit belakangnya.

Aku segera keluar dari masjid dan kelihatan isteriku sudah setia menantiku di kereta. Aku mengajaknya pergi ke rumah YB MB yang terletak di hadapan masjid untuk menunggu beliau keluar bagi menyalami beliau. Rumah beliau amat sederhana, sepeti rumah Penghulu mukim lagaknya, bukan seperti rumah seorang Menteri Besar. Setelah menunggu beberapa ketika, dan selepas bertemu dengan sekeluarga yang juga dari Johor, barulah beliau keluar dari masjid. Aku mengambil kesempatan untuk bersalaman dengan beliau. Isteriku sempat mengambil gambar namun yang kelihatan hanya tubuhku tanpa guru MB Kelantan kerana dihalang oleh seseorang …

Dan pagi itu, aku bersarapan bersama ahli keluarga rakan isteriku. Alhamdulillah, hidangannya amat hebat. Sebagaimana kata abang ipar rakan isteriku, Kelantan Darul Ta’am, ertinya negeri makan .. Tuan rumah, yang merupakan bapa kepada rakan isteriku, merupakan seorang yang tinggi ilmunya. Katanya dia pernah memondok (bersekolah pondok) dan sempat berguru dengan anak murid Tok Kenali. Beliau juga merupakan salah seorang murid Tuan Guru MB Kelantan. Semasa pertemuan pertamaku dengan beliau sebelum sarapan, beliau telah memberikan sedikit tazkirah kepadaku dan isteri.

Menjelang jam 11.00 pagi, aku dan keluarga keluar ke KB untuk bersiar-siar dan membeli-belah. Kami bergerak ke Pasar Siti Khadijah. Aku sebenarnya agak malas untuk bergerak. Menjelang waktu Jumaat, kami makan di sana dan kemudian aku serta abang ipar rakan isteri bergerak menuju ke Masjid Muhammadi, Masjid Negeri Kelantan. Masjid bersejarah ini agak nyaman di ruang utama solat kerana dipasang penghawa dingin. Ini kunjungan kali keduaku ke masjid ini. Kunjungan kali pertama agak tergesa-gesa dan aku hanya sempat solat sunat tahiyyatul masjid dahaja ketika tiba di sana. Namun hari ini, aku dapat menyempurnakan solat Jumaat dan jama’ Qasar Asar di sana.

Selesai Jumaat, aku bergegas ke tempat menunggu di Mc Donald. Kemudian, aku dan anak keduaku di ‘arah’ untuk pulang ke penginapan. Untuk itu, khidmat, abang ipar rakan isteriku diperlukan. Sehingga menjelang asar, barulah isteri, anak sulungku dan ibuku kembali ke penginapan. Dan aku sempat mengisi ruang waktu tersebut untuk tidur.

Menjelang senja, aku bercadang untuk menyempurnakan Maghrib dan jama’ Isya’ di masjid YAB MB Kelantan. Namun, tatkala petang semakin menguning, tuan rumah keluar dari biliknya dan duduk disamping sambil memulakan tazkirah. Kemudian, ada jamuan petang yang dihidangkan. Beberapa kuih dan juga buah-buahan termasuk raja buah. Aku tak berani hendak menyentuh raja buah meskipun nafsu meronta untuk menikmatinya. Aku agak takut kerana beberapa hari lepas, aku menikmati beberapa ulas tetapi di pagi harinya terasa seperti hendak demam.

Aku kemudian bergegas menuju ke masjid MB Kelantan dengan harapan dapat sekali lagi menemui beliau. Sayangnya tatkala tiba, solat telah selesai. Maka aku solat jama Maghrib dan Isya’ di sana dan kemudian pulang.

Selepas solat, makan malam pula disediakan. Usai makan, aku tidur lebih awal. Penat … Sekitar jam 12.00 malam, anak sulungku mengamuk sakan. Mungkin kerana keletihan. Hampir 30 minit juga hendak menyelesaikannya. Alhamdulillah, semuanya berakhir dengan baik …


13 Jun 2009

Aku sedar sebelum azan Subuh. Alhamdulillah, dengan seberapa pantas yang boleh, aku bergegas menyucikan diri, mencapai kunci dan seterusnya menaiki Citra menuju ke masjid MB. Isteriku tidak mahu pula mengekoriku. Tatkala tiba di perkarangan masjid, aku amat bersyukur kerana solat masih belum didirikan . Tatkala aku melangkah masuk, iqamah dilaungkan oleh bilal dan kemudian kelihatan susuk tubuh MB melangkah masuk ke ruang imam bagi mengetuai jamaah Subuh itu. Solat diselesaikan dalam masa kurang dari 15 minit. Tidak dapat digambarkan bagaimana gembira dan seronok sekali solat di belakang beliau. Seolah-olah aku solat di zaman Nabi SAW. Itu pandangan peribadiku sahaja. Usai solat, beliau menyampaikan tazkirah berkaitan dosa dan pahala. Meskipun bahasa yang digunakan adalah dalam bahasa Kelantan yang mudah, namun bagi ku, agak sukar juga untuk memahami beberapa perkataan beliau.

Selesai sesi tazkirah, seperti semalam, beberapa bayi dibawa ke hadapannya untuk majlis tahnik. Meskipun kuantiti kehadiran tidak seperti semalam, namun ianya masih ramai. Walau bagaimanapun, hari ini, aku dapat melihatnya dengan lebih dekat. Sayangnya, aku tidak membawa kamera bersama untuk merakamkan saat-saat itu.

Sesi tahnik hanya selesai sekitar jam 7 pagi. Aku semakin mendekatinya untuk tujuan bersalaman. Namun, beliau akhirnya bangun dan menuju ke salah satu tiang masjid dan solat Duha di situ. Aku merasa agak malas untuk menunggu lebih lama maka aku bergerak balik ke rumah kawan isteriku, rumah tumpangan sementara.

Aturcara pada hari ini agak ketat. Sekitar jam 9.00 pagi isteri penulis telah bergerak ke salah sebuah hotel di tengah-tengah bandaraya Islam tersebut untuk menghadiri satu majlis anjuran keanggotaan mereka. Program mereka hanya berakhir sekitar jam 12.00 tengahari. Kemudian, kami terus bergerak balik dan singgah sebentar untuk menjamu selera di salah sebuah gerai di tepi jalan. Kemudiannya, kami bergerak untuk menziarahi ibu saudara isteri penulis. Terpusing-pusing juga mencari kediaman beliau yang terletak agak tersorok. Kami menghabiskan masa di siti kira-kira sejam. Kami dihidangkan denan jamuan tengahari.

Kemudian perjalanan pulang kami bermula kira-kira jam 4 petang. Singgah solat Jama Asar & Zuhur di Terengganu begitu juga solat maghrib dan isya' di masjid Sultan Zainal Abidin di tengah-tengah bandar Kuala Terengganu. Ini Kerana isteri singgah di pasar payang untuk membeli batik Terengganu. Perjalanan pada waktu malam agak perlahan dan kurang selesa. Ketika masuk ke bandar Kuantan, mataku sudah seolah-olah tidak dapat bertahan lagi. Ini memaksaku singgah di salah sebuah stesen minyak untuk mendapatkan bekalan power root tongkat ali. Alhamdulillah, selepas meneguk dua tin, mataku kembali segar dan sepanjang pperjalanan tidak menimbulkan masalah. Perjalanan yang paling mencabar ialah dari Bandar Diraja Pekan menuju ke lebuhraya Muazam. Jalannya agak sunyi dengan lampu amaran minyak kerap bernyala. Dalam hati berdoa sebanyak-banyaknya agar aku sempat tiba di stesen minyak yang berhampiran. Dalam kereta, tiada siapa pun yang terjaga melainkan diriku sahaja. Aku berjaya juga tiba di stesen minyak bandar Muazzam.

Namun, perasaan mengantuk menyerang kembali dengan begitu hebat sebaik sahaja aku meninggalkan bandar segamat. Hal ini memaksaku untuk meneguk baki power root tapi nampaknya sudah kurang berkesan. Aku akhirnya akur terhadap desakan nafsu tidur dan cuba melelapkan mata sebentar di salah sebuah stesen minyak yang masih ditutup. Alhamdulillah selepas tidur lebih kurang 15 minit. Kami singgah solat Subuh di masjid bandar Kluang dan akhirnya tiba sekitar jam 6.30 pagi

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol