Kenapa kita enggan berjamaah?



Penulis mengamat-amati bahawa kebanyakan muslimin mutakhir ini amat kurang keazaman dan kemahuan mereka untuk mendirikan solat secara berjamaah. Jika dilihat dan dikaji serta diselami dikebanyakan surau dan masjid yang ditadbir oleh JK yang dilantik oleh Majlis Agama Negeri masing-masing di seluruh Malaysia, boleh dikatakan hampir keseluruhan berdepan dengan masalah yang sama - Kekurangan manusia yang mahu memakmurkan rumah-rumah Allah sekurang-kurangnya 5 waktu sehari semalam.

Apakah sebenarnya masalah yang membelenggu umat Islam kini sehinggakan mereka menjadi kurang bersemangat untuk memakmurkan rumah-rumah Allah? Adakah dengan memberikan indikasi hampirnya zaman kepada kiamat membuatkan kita umat Islam membiarkan sahaja masjid dan surau dibelenggu kekosongan?

Apakah motivasi yang diberikan oleh baginda Rasulullah SAW lebih 1,400 tahun lampau tidak mampu membangkitkan semangat kita untuk menghidupkan rumah-rumah Allah ini? Terlalu banyak motivasi yang telah diberikan oleh Junjungan antaranya hadis yang bermaksud, Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda). (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dan lagi diriwayatkan daripada Anas r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: ”Sesiapa sembahyang selama empat puluh hari dalam jemaah yang tidak luput dari takbiratul ihram, maka Allah menuliskan (mewajibkan) baginya dua kelepasan: kelepasan dari munafiq dan kelepasan dari neraka”.

(Riwayat Tirmizi)

Apakah ada ganjaran atau tawaran yang lebih baik daripada tawaran Allah dan RasulNya SAW? Sungguh merugilah orang-orang yang mengganggap enteng terhadap tawaran besar seumpama ini. Bayangkanlah ganjaran ke atas seorang manusia yang sanggup berpanas dan berdingin untuk menghadiri solat berjamaah diganjarkan dengan bayaran sebanyak RM27.00 berbanding solat sendirian di rumah atau pejabat yang berhawa dingin, tanpa perlu membuat banyak pergerakan dan sebagainya hanya mendapat RM1.00 itupun jika solat tersebut benar2 menepati syarat khusyu' nya ..

Hazrat Abu Hurairah r.a telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Seorang yang bersolat secara berjemaah akan digandakan sebanyak dua puluh lima kali pahala lebih daripada orang yang bersolat bersendirian di rumah atau di kedai. Ini adalah kerana apabila seseorang itu mengambil wuduk dengan sempurna lalu berjalan menuju ke masjid semata-mata untuk bersolat maka setiap langkah yang dilangkahinya akan ditingkatkan satu darjat dan digugurkan satu dosa.

Setelah bersolat, jika dia terus duduk di dalam masjid (dengan keadaan berwuduk) maka para malaikat akan memohon rahmat dan keampunan untuknya. Selama mana dia terus duduk menunggu untuk menunaikan solat yang seterusnya maka dia akan terus menerus mendapat pahala solat selama masa dia menunggu solat tersebut.” ( H.R Abu Daud, Tirmizi & Ibnu Majah ).

Daripada Uthman ibn Affan r.a, sabda Rasulullah s.a.w, “Sesiapa yang berwuduk, kemudian menuju ke masjid dengan tiada tujuan lain melainkan semata-mata untuk bersolat, nescaya diampunkan segala dosanya yang terdahulu”. ( H.R Muslim )

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Kalaulah manusia mengetahui tentang pahala yang terdapat pada azan dan saf yang pertama, kemudian pekara itu tidak akan diperolehi kecuali dengan cara mengundi, nescaya mereka akan mengundi untuk mendapatkannya. ( H.R Bukhari & Muslim )

Daripada Al-Barra’ bin Azib r.a, berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya Allah dan malaikatnya berdoa untuk yang berdiri di saf pertama. Para muazzin pula akan diampunkan sebanyak mana suaranya dan siapa yang mendengarnya menjadi saksi. Dia akan mendapat pahala orang yang mengerjakan solat bersamanya”. ( H.R Al-Nasai )

Daripada Uthman bin Affan r.a, bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang solat Isyak secara berjemaah, seolah-olah ia telah beribadah separuh malam. Sesiapa yang ikuti pula dengan solat Suboh secara berjemaah, seolah-olah ia telah beribadah sepanjang malam”. ( H.R Imam Malik & Muslim )

Ibnu Umar r.a berkata, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sebaik-baik solat di sisi Allah adalah melakukan solat subuh pada hari Jumaat secara berjamaah”. (H.R al-Baihaqi)

Dari Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w telah bersabda, “Sesungguhnya para malaikat berselawat ke atas salah seorang daripada kamu selama mana dia tetap berada dalam masjid yang dia solat di dalamnya selagi dia tidak berhadas. Para malaikat berdoa, Ya Allah, ampunilah untuknya. Ya Allah, limpahkanlah rahmat kepadanya”. ( H.R Imam Malik, An-Nasai & Ibnu Hibban )

Dari Ubai bin Kaab r.a, sabda Rasulullah s.a.w, “Sesungguhnya kedua-dua solat ( Subuh & Isyak ) ini amat berat ke atas orang munafik berbanding dengan solat lain. Kalaulah mereka mengetahui apa yang terdapat pada kedua-duanya, nescaya mereka akan mendatanginya walaupun terpaksa merangkak dengan lutut.

Sesungguhnya saf yang pertama adalah seperti saf para malaikat. Kalaulah mereka mengetahuinya, nescaya mereka akan merebutnya. Sesunggunya solat seorang lelaki bersama seorang yang lain ( berjemaah ) lebih utama daripada solat yang dilakukan seorang diri. Solatnya bersama dua orang lelaki lebih mulia daripada solatnya bersama seorang lelaki. Setiap bertambah jumlah bilangan ( anggota jemaah ), yang bertambah itulah yang lebih disukai oleh Allah azza wa jalla. ( H.R Ahmad, Abu Daud

Alangkah pemurahnya sang pencipta yang menjanjikan anugerah yang terlalu banyak dan hebat untuk sang hamba yang mahu menjual dirinya ke jalan Allah, bahkan dalam kes ini hanya seqadar menghadiri jamaah .. bukannya pergi memerangi musuh lima kali sehari...atau mengeluarkan sedaqah lima kali sehari..tetapi hanya hadir ke masjid untuk solat berjamaah ...

Menurut teori sains pula

Seorang professor fizik di Amerika Syarikat telah membuat satu kajian tentang kelebihan solat berjemaah yang disyariatkan dalam Islam.Katanya tubuh badan kita mengandungi dua cas elektrik iatu cas positif dan cas negatif.
Dalam aktiviti harian kita sama ada bekerja, beriadah atau berehat, sudah tentu banyak tenaga digunakan.Dalam proses pembakaran tenaga, banyak berlaku pertukaran cas positif dan cas negatif, yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam tubuh kita. Ketidakseimbangan cas dalam badan menyebabkan kita rasa letih dan lesu setelah menjalankan aktiviti seharian.Oleh itu cas-cas ini perlu diseimbangkan semula untuk mengembalikan kesegaran tubuh ke tahap normal.Berkaitan dengan solat berjemaah, timbul persoalan di minda professor ini mengapa Islam mensyariatkan solat berjemah dan mengapa solat lima waktu yang didirikan orang Islam mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama.Hasil kajiannya mendapati bilangan rakaat yang berbeza dalam solat kita bertindak menyeimbangkan cas-cas dalam badan kita.
Semasa kita solat berjemaah, kita disuruh meluruskan saf, bahu bertemu bahu dan bersentuhan tapak kaki.Tindakan-tindakan yang dianjurkan semasa solat berjemaah itu mempunyai berbagai kelebihan.Kajian sains mendapati sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah lain yang berada di kiri dan kanan kita akan menstabilkan kembali cas-cas yang diperlukan oleh tubuh.Ia berlaku apabila cas yang berlebihan-sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam kita.
Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita.Menurut beliau lagi, setiap kali kita bangun dari tidur, badan kita akan merasa segar dan sihat setelah berehat berapa jam. Ketika ini tubuh kita mengandungi cas-cas positif dan negatif yang hampir seimbang.Oleh itu, kita hanya memerlukan sedikit lagi proses pertukaran cas agar keseimbangan penuh dapat dicapai.Sebab itu, solat Subuh didirikan 2 rakaat.
Seterusnya, setelah sehari kita bekerja kuat dan memerah otak semua cas ini kembali tidak stabil akibat kehilangan cas lebih banyak daripada tubuh.Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak pertukaran cas.Solat jemaah yang disyariatkan Islam berperanan untuk memulihkan keseimbangan cas-cas berkenaan.Sebab itu, solat Zohor didirikan 4 rakaat untuk memberi ruang yang lebih kepada proses pertukaran cas dakam tubuh.Situasi yang sama turut berlaku di sebelah petang.Banyak tenaga dikeluarkan ketika menyambung kembali tugas.Ini menyebabkan sekali lagi kita kehilangan cas yang banyak.Seperti mana solat Zohor, 4 rakaat solat Asar yang dikerjakan
akan memberikan ruang kepada proses pertukaran cas dengan lebih lama.
Lazimnya, selepas waktu Asar dan pulang dari kerja kita tidak lagi
melakukan aktiviti-aktiviti yang banyak menggunakan tenaga.Masa yang diperuntukkan pula tidak begitu lama.Maka, solat Maghrib hanya dikerjakan sebanyak 3 rakaat adalah lebih sesuai dengan penggunaan tenaga yang kurang berbanding 2 waktu sebelumnya.Timbul persoalan di fikiran professor itu tentang solat Isyak yang mengandungi 4 rakaat.Logiknya, pada waktu malam kita tidak banyak melakukan aktiviti dan sudah tentu tidak memerlukan proses pertukaran cas yang banyak.Setelah kajian lanjut, didapati terdapat keistimewaan mengapa Allah mensyariatkan 4 rakat dalam solat Isyak.Kita sedia maklum, umat Islam amat digalakkan untuk tidur awal agar mampu bangun menunaikan tahajjud di sepertiga malam.Ringkasnya, solat Isyak sebanyak 4 rakaat itu akan menstabilkan cas dalam badan serta memberikan tenaga untuk kita bangun malam (qiamullail).
Dalam kajiannya, professor ini mendapati bahawa Islam adalah satu agama yang lengkap dan istimewa.Segala amalan dan suruhan Allah Taala itu mempunyai hikmah ynag tersirat untuk kebaikan umat Islam itu sendiri.Beliau merasakan betapa kerdilnya diri dan betapa hebatnya Pencipta alam ini.
Akhirnya, dengan hidayah Allah beliau memeluk agama Islam.

Kita mungkin boleh makan secara berjamaah. Bila di pejabat, untuk keluar minum, sibuk mencari rakan dan taulan untuk menemani serta memenuhkan meja makan beserta kerusinya di warung-warung ataupun paling malas tetapi tersangat lapar, di cafe atau kantin pejabat. Jarang untuk penulis menemui rakan-rakan sepejabat atau pejabat lain yang sanggup keluar minum secara solo. Kalau adapun mungkin dipandang serong dalam masyarakat pejabat yang membudayakan gossip dan tohmahan liar seumpama ini.

Kita juga mungkin tidak sanggup untuk bersukan secara bersendirian. Kita juga mungkin tidak berupaya untuk bekerja berseorangan. Kita juga segan dan malu alah apabila disuruh melepak bersendirian di taman dan sebagainya (kecuali bagi sesetengah golongan yang lebih suka bersendirian). Ini adalah kerana fitrah manusia yang suka kepada bersosial. Kehidupan manusia yang amat kompleks memerlukan mereka kepada melakukan sesuatu secara jamaah.

Oleh yang demikian, Islam dengan segala kesempurnaan ajarannya telah mempromosikan tawaran hebat dari Pencipta untuk keharmonian manusia.

Penulis kerap melihat dalam sesuatu perjalanan atau musafir, selepas singgah minum bersama, diajak untuk solat berjamaah, mereka enggan dan memberikan pelbagai alasan. "Solat la dulu ..." Mereka lebih enak solat bersendirian dalam musafir meskipun melaksanakan jama' dan qasar. Tatkala di penginapan juga penulis telah menemui rakan sebilik yang enggan berjamaah. Mereka lebih selesa solat sendirian dengan alasan ingin mandi terlebih dahulu, atau ingin bersantai dahulu kerana waktu masih terluang lagi...

Adalah menjadi tugas setiap Muslim yang memahami peri pentingnya kewajipan berjamaah untuk mengajak dan mendakwah golongan ini agar mereka menjadi manusia yang mencintai solat berjamaah dan akhirnya menjadi rakan masjid seumur hidup.

Para khatib Jumaat seharusnya mengambil kesempatan untuk memasukkan ke dalam teks khutbah mereka mengenai kepentingan solat berjamaah setiap minggu. Janganlah hendaknya khatib hanya terlalu menumpukan untuk membaca teks semata-mata, atau terlalu ghairah untuk menyampaikan mesej2 berbau politik dalam khutbah mereka yang panjang berjela, tetapi terlupa untuk memberikan sedikit peringatan bernilai sekurang-kurangnya 27 darjat untuk para jamaah.

Penulis amat berbangga dan terharu dengan kerja-kerja dakwah saudara2 kita dari jamaah yang digelar dan dikenali sebagai jamaah tabligh. Mereka sanggup mengetuk setiap pintu rumah meskipun terdapat pelbagai bentuk penerimaan dari tuan punya rumah sama ada negatif mahupun positif .. hanya semata-mata untuk mengajak mereka menyertai program berjamaah di masjid (meskipun mereka mempunyai agenda lain - untuk mengajak keluar dakwah bersama-sama dengan mereka sebaik sahaja kita hadir memenuhi undangan mereka ke masjid/surau).



Wallahui alam ..

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol