dari raudhah ke kemAH
AKTIVITI RIADAH
11 Disember 2009 – Penulis berada dalam musafir menuju ke kem sri Raudhah Gombak bagi membantu menjayakan Program Jati Diri pelajar untuk fasa ke dua tahun 2009. Perjalanan yang mengambil masa kira-kira lebih 4 jam bersama dengan sahabat mentor penulis dan juga kem komandan dengan menaiki kereta Toyota kem komandan yang telah dipotong springnya itu…
Pergerakan dari ibu pejabat bermula dari jam 9.30 pagi Jumaat yang mulia. Musafir pada hari Jumaat mengikut pandangan ulama Mazhab Syafie & Hanbali mengklasifikasikan sebagai haram sekiranya dilakukan selepas terbit fajar pada hari Jumaat. Walau bagaimanapun, sekiranya dilakukan sebelum terbit fajar maka hukumnya adalah diharuskan. Walau bagaimanapun terdapat juga pandangan yang menyatakan diharuskan bermusafir pada hari Jumaat sebelum tergelincir matahari dan ianya merupakan pandangan dari mazhab Maliki dan hanafi..
Kami tiba di kem tersebut sekitar jam 1.30 tengahari setelah agar terkeliru kerana jalan yang dilalui tidak pernah diikuti oleh salah seorang dari kami bertiga. Kami tiba berkebetulan bersama-sama dengan mahaguru kami dan pembantunya yang menaiki kenderaan yang berlainan.
Dalam suasana terik gelincir matahari Jumaat, kami diperlihatkan dengan beberapa kelompok manusia yang sewenang-wenangnya meninggalkan fardhu Jumaat. Mungkin mereka juga musafir, bisik hati penulis bagi meneutralkan asid berbisa prasangka. Bukankah prasangka itu fasik?
Salah seorang dari kelompok itu menyapa kami dengan satu bentuk arahan bahawa kenderaan tidak boleh diletakkan di dalam kawasan kem. Ianya perlu diletakkan di luar kawasan dengan upah sebanyak RM6.00 untuk keseluruhan hari program, iaitu 4 hari 3 malam. Tanpa banyak bicara, meskipun menimbulkan tanda tanya, bayaran yang diminta dilunaskan dengan segera. Harapan kami agar kenderaan dapat dijaga dengan sebaiknya.
Kami mengangkut beg-beg pakaian kami dan berjalan menuju ke penginapan yang disediakan. Kawasan kem sebenar milik pengusaha yang menyediakan kemudahan penginapan dan lokasi latihan terletak lebih kurang 500 meter dari tapak meletak kenderaan. Tiba di satu kawasan berbumbung, setelah menanti lebih kurang seminit, kami disambut oleh CEO kem tersebut, seorang lelaki muda yang sasa serta peramah dan amat manis tatkala berkata-kata. Kami digiring ke bilik penginapan kami yang terletak agak tinggi dari aras tanah rata. Bilik penginapan kami bagaikan sebuah hostel yang mempunyai 4 bilik dengan setiap bilik mempunyai 3 buah katil double decker, dengan hanya sebuah kipas dinding kecil yang dilekatkan di dinding yang hanya boleh dinikmati oleh katil pertama sahaja. Tandas pula ada dua buah yang juga menempatkan bilik mandi tanpa mozek….suasana memang sangat kampong. Terdapat lobi yang luas di bahagian luar tanpa ada kipas angin apalagi penghawa dingin. Tetapi agak aneh kerana terdapat hiasan Cornish (jika salah ejaan harap dapat diperbetulkan) dibahagian siling. Kelihatan seperti bermewah-mewahan dalam kedaifan dan kezuhudan penginapan yang disediakan untuk keselesaan pelanggan?
Kami menikmati hidangan tengahari dan kemudian bergegas menuju ke dewan utama yang hanya sebuah pondok beratap zink tanpa sebarang halangan. Dengan lantai kayu beralaskan tikar getah. Cuba tuan/puan bayangkan haba yang terbit dari bumbung itu tatkala tengahari seumpama ini yang bakal memuatkan seramai lebih seratus orang untuk menyempurnakan program sebagaimana aturan dalam tentatif?
Usai menyiapkan peralatan untuk sesi ice breaking, kami solat jama dan qasar bersama mahaguru kami di dewan tersebut.
Para peserta tiba tatkala kami selesai menikmati hidangan tengahari. Terdapat lebih kurang 90 orang peserta yang hadir. Kelihatan seorang pemuda berkaca mata hitam dan berpakaian t shirt tanpa lengan mempamerkan sasa tubuh pemiliknya. Wah…sepanjang penulis menyertai program seumpama ini, ini kali pertama dipertemukan dengan gaya pelajar seumpama ini.
Dalam masa yang sama, terdapat dua lagi program yang sedang berjalan. Oleh itu, suasana agak hangar bingar dengan pelbagai ragam manusia dan suara.
Sesi ice breaking dimulakan oleh kem komandan kami dengan mengalunkan secara bersama lagu negaraku, organisasi dan juga sebuah lagu semangat. Kemudian mahaguru mengambil alih dengan beberapa modul seperti tepuk tangan secara berkumpulan dan sebagainya. Penulis membuat demo konduktor muzik dengan menyanyikan lagu ‘saya ada belon..’ Kemudian para peserta perlu melaksanakan demo konduktor muzik dengan mengikut lagu-lagu yang dimainkan. Modul ini bertujuan untuk menghilangkan perasaan malu yang masih menebal di kalangan peserta agar mereka dapat tampil sebagai seorang yang yakin terhadap diri mereka sendiri. Ianya juga dapat mengajar peserta agar lebih fokus terhadap apa yang dilakukan dan didengar untuk mempengaruhi orang lain agar dapat melaksanakan sama seperti apa yang didengarnya.
Akhirnya, kesemua peserta dapat dibahagi-bahagikan kepada 10 kumpulan yang terdiri daripada 9-10 orang setiap kumpulan. Sesi ini berakhir dengan solat Asar bagi sesiapa yang masih belum mengerjakannya.
Masa selepas solat Asar diisi dengan aktiviti riadah di bawah kelolaan kem komandan. Setakat ini, kem komandan hanya baru seorang yang muncul. Kem komandan utama mempunyai tugas yang perlu diselesaikan terlebih dahulu menyebabkan beliau hadir agak lewat.
Penulis telah ditugaskan untuk memberikan kuliah Maghrib. Tajuk yang dipilih oleh penulis adalah bekisar mengenai hadis dari Abu Hurairah berkaitan 7 golongan yang mendapat perlindungan di hari tiada perlindungan melainkan perlindungan Allah. Solat dilaksanakan secara jama’ dan qasar. Kuliah berakhir sekitar jam 8.45 malam. Aktiviti pada malam ini ialah pembentukan kumpulan. Selepas berkumpul semula di dewan, atau lebih baik dipanggil bangsal, dan selepas mengumandangkan lagu wajib program, kesemua peserta dibahagi-bahagikan mengikut fasilitator yang bertugas. Penulis menerima satu kumpulan yang agak pelik kerana ketua kumpulan selamba sahaja tidak mempedulikan penulis. Tidak sebagaimana peserta lain yang sibuk menjemput serta menemui fasilitator masing-masing. Seingat penulis, inilah pertama kali penulis dilayan seumpama ini. Setelah menunggu beberapa lama, penulis akhirnya mengalah dan terus menuju ke kumpulan tersebut. Adalah didapati bahawa kumpulan ini agak ultra-aktif dimana sang ketua begitu dominant di tengah-tengah kumpulan tersebut. Ketua mereka adalah seorang bekas pelajar di institusi rupanya. Tatkala disuruh membuat pemilihan ketua yang benar-benar sah, kelihatan majority ahli telah memilih beliau meskipun ada juga dua tiga orang peserta wanita yang kelihatan masih ragu-ragu untuk mengangkat beliau, namun dek kerana suara majority maka beliau telah disahkan selaku ketua kumpulan tersebut.
Penulis hanya membuat taaruf ringkas dan menyerahkan tugasan seterusnya kepada sang ketua. Sememangnya tugas seorang fasi itu ialah untuk lebih banyak mendengar daripada memberi. Mereka adalah selaku pendorong untuk peserta agar peserta lebih teruja memberikan pandangan dan idea. Tugas seorang fasi kadangkala kerap disalah tafsir dengan lebih kepada memberikan ceramah kecil dalam LDK. Wal hal tugas di dalam LDK perlu diberikan semaksimum mungkin kepada ahli-ahli kumpulan. Sekiranya terdapat sebarang keraguan atau kemusykilan berkaitan aktiviti, barulah dirujuk kepada fasi.
Dan aktiviti malam di bangsal tengah hutan itu berakhir sekitar jam 11.00 malam. Penulis dan mentor menikmati juadah supper yang disediakan. Hanya beberapa roti berperisa. Mungkin pendapat pemilik kem ini ialah menyengajakan segala kekurangan sebagai satu alat untuk bermujahadah. Berada di dalam kem jati diri sememangnya ‘terpaksa’ banyak bermujahadah agar hasilnya nanti membuahkan manusia yang sanggup berhadapan dengan apa jua rintangan dan tribulasi di dunia luar yang terlalu ganas kitaran persaingannya.
Masuk ke penginapan dan dapat merebahkan diri meskipun di atas katil yang tidak berapa empuk sekitar jam 1 pagi sudah terlalu lumayan untuk seorang fasi. Di sebelah kanan penulis adalah kem komandan II dan disebelah kiri pula adalah mentor. Kem komandan I yang baru muncul sekitar Maghrib tadi tidur di katil tingkat atas.
Seperti biasa, masalah penulis di tempat yang pertama kali ditiduri ialah sukar untuk melelapkan mata.
Subuh pertama menjelang, penulis dapat bangkit lebih awal akibat alarm pada HP dan juga kerana tidak berapa lena untuk tidur. Tak tertanya pula kepada sahabat-sahabat yang lain berkaitan kenikmatan tidur yang mereka alami.
Subuh pagi ini menyaksikan jumlah jamaah yang hampir penuh. Sekali lagi penulis diarah untuk memeberikan kuliah Subuh.
Hari kedua di kem raudah menyaksikan aktiviti yang semakin mencabar. Setiap kumpulan yang telah dibentuk sepanjang malam semalam akan membentangkan hasil tugasan mereka dimana setiap kumpulan akan mempersembahkan nama kumpulan, bendera kumpulan, motto kumpulan, lagu kumpulan serta 'war-cry' atau tag kumpulan. Penulis ditempatkan di bawah bangsal yang belum berapa terik bersama dengan beberapa fasi yang lain, termasuk dua orang maam, manakala yang lain berkumpul dan membuat persembahan di dalam musalla.
Dalam aktiviti ini, pelbagai watak dan bakat dapat dicungkil daripada para peserta. Tugas fasi adalah untuk provoke peserta agar mereka benar-benar merasa tercabar. Markah persembahan akan diberikan oleh setiap kumpulan terhadap kumpulan yang membuat persembahan. Fasi juga boleh menambah markah ataupun menolak markah yang telah diberikan dengan alasan-alasan tertentu.
Hasil daripada aktiviti ini ialah semangat asobiyyah kumpulan yang semakin menebal. Semangat jati diri kumpulan semakin diterapkan dalam jiwa setiap ahli kumpulan.
Menjelang petang,para peserta bersiap untuk LDK seterusnya, iaitu mengendalikan satu majlis makan malam. Peserta diminta menyediakan kad-kad jemputan untuk fasi, membuat persembahan dan sebagainya. Rasanya malam itu, fasi dapat makan yang paling sedap sepanjang 4 hari 3 malam bermuqim ,,,
Selesai program tersebut, slot video pula menyusul dimana peserta diminta menonton video dan kemudianya membuat kajian kes berkaitan.
Subuh hari ketiga menunjukkan kelembapan peserta untuk hadir. Namun kuliah Subuh masih dilaksanakan oleh penulis. Sepanjang siang adalah agenda ceramah manakala pada sebelah petang adalah acara paint ball. Penulis amat teruja kerana ini adalah permainan pertama penulis.
Malam pula ialah acara kembara malam. Penulis ditugaskan mengawal post bersama mentor dan juga kem komandan. Setibanya di lokasi, bentang plastik hitam, pasang ubat nyamuk dan nyalakan lilin, suasana sepi. Hanya bunyi kenderaan lalulalang di sebelah kem sahaja yang kedengaran. Mentor memasang lagu-lagu kenangan silam di zaman persekolahan seperti Seruan Jihad, Doa jihad, Syair taubat Rabiah Al Adawiyyah, doa tolak penyakit dan banyak lagi yang tiba-tiba sahaja muncul dan menerjah memori lama ...
Kumpulan-kumpulan itu hanya tiba selepas jam 12.00 malam, dengan kumpulan terakhir yang kami proses adalah pada jam 2 pagi. Kami terpaksa pulang semula ke base camp dengan berjalan kaki dan oleh itu memebuatkan kami melalui CP-CP lain. Ah..pedulikan mereka. yang penting dapat segera tiba di bilik dan menikmati mimpi di malam yang sudah mula menjejak ke waktu subuh ini. Teringat akan hadis yang masyhur, "setiap malam Allah turun ke langit dunia dan berfirman, sesiapa yang memohon akan ku perkenankan dan barangsiapa yang mohon keampunan akan ku ampunkan". Kata ustazah, waktu tersebut berlaku apabila munculnya cahaya melintang di langit, seperti fajar, yang katanya ia adalah cahaya pertama sebelum muncul fajar kazib dan kemudiannya fajar sadiq, iaitu Subuh.
Keesokkan harinya, jamaah subuh adalah agak berkurangan atas alasan penat mengembara .. bolehkah ianya diterima? Menjelang Dhuha ialah waktu pembentangan berkaitan kembara semalam. Sebagaimana biasa, beberapa wakil kumpulan akan dipinta untuk bangun dan memberikan pandangan atau menceritakan pengalaman sepanjang aktiviti kembara berjalan.Aktiviti penutup ialah kotak ajaib modul oleh mentor. Ianya merupakan satu misi untuk membuka sebuah kotak yang dipenuhi dengan kunci dan mangga. Objektif yang hendak dicapai ialah mendapatkan kunci untuk membuka kotak tersebut. Meskipun satu kumpulan berjaya menemui kunci, namun beberapa lagi kunci perlu dicari, digali dan ditemui oleh kumpulan lain agar kotak tersebut dapat dibuka dengan jayanya.Adakah apabila satu kumpulan yang telah berjaya menemui kunci kumpulan hanya perlu duduk memeluk tubuh menunggu dan melihat sahaja rakan-rakan kumpulan lain berhempas pulas mencari kunci-kunci yang hilang, TIDAK...mereka juga perlu membantu rakan-rakan tersebut meskipun berlainan kumpulan kerana mereka sebenarnya adalah satu kumpulan yang besar kini, bukan terus terbenam dalam ketaksuban assobiyyah kepuakan lagi.. Selesai, barulah kami berangkat pulang .. bagiku, hanya tidur semalam ini, keesokkannya bergerak pula ke KemAH ...
KemAH menyaksikan acara kem ibadah anjuran kelab organisasi penulis. Acara selama 3 hari dua malam ini dikendalikan oleh Pusat Islam di bawah seliaan KF selaku salah seorang ahli JK kelab tersebut. KK sebagaimana biasa di pegang oleh abang. Penulis ditugaskan sebagai fasi biasa merangkap salah pengisi slot kerohanian.
Ulasan