Maulid Rasul SAW


Saban tahun komuniti Muslim khususnya di negara kita akan meraikan perayaan maulid rasul, menjelang 12 Rabiul Awwal. Meskipun para ulama berselisih pandangan berkaitan tarikh sebenar kelahiran Junjungan mulia itu, namun di negara ini, pemerintah telah bersetuju dengan pandangan jumhur ulama di alam melayu untuk menetapkan bahawa 12 Rabiul awwal adalah tarikh sebenar kelahiran junjungan. Dan tarikh tersebut telah dijadikan sebagai cuti umum untuk negara yang mengamalkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan sebagaimana yang telah termaktub di dalam perkara (3) perlembagaan persekutuan.

Berbalik kepada sambutan tersebut, negara telah saban tahun mengadakan acara sambutan resmi maulid rasul dengan menganjurkan pelbagai acara seperti perhimpunan peringkat kebangsaan, nasyid, perarakan (tidak di sesetengah negeri, anugerah maulidurrasul dan pelbagai lagi dalam jangkamasa lebih kurang 2-3 jam, dan ianya akan disiarkan secara langsung ke seluruh negara melalui peti-peti televisyen.

Di peringkat negeri, turut diadakan acara sambutan yang mana aturcara adalah menyerupai acara di peringkat kebangsaan, cuma ianya tidak dipancarkan secara langsung sahaja di televisyen. Sambutan akan terus pula dibuat di peringkat daerah, mukim, kampung dan akhirnya qaryah. Tidak ketinggalan pula acara sambutan yang dibuat di peringkat jabatan dan juga agensi kerajaan mahupun swasta.

Secara umumnya, tentatif sambutan maulid akan dimulakan dengan bacaan marhaban atau berzanji dan kemudian ceramah sebagai acara kemuncak disamping sajian yang pelbagai untuk meraikan tetamu.

Realiti yang berlaku ialah muslim akan berpusu-pusu untuk menghadiri sambutan maulid ini sama ada di peringkat kebangsaan, negeri, daerah, kampung mahupun qaryah. Mungkin salah untuk kita cuba menafsirkan apakah niat sebenar penganjur dan juga hadirin dalam setiap sambutan, adakah kerana benar2 hendak menghayati kehidupan rasul atau seqadar meneruskan adat-ibadat yang sudah berakar dalam kehidupan silibus muslim melayu malaysia. Memang kita tidak diperintah untuk menilai batin seseorang. Zahir yang ditunjukkan sudah cukup bagi penilaian kita. Begitulah yang diajarkan oleh junjungan mulia. Biarlah urusan niat yang batin itu menjadi rahsia diantara Allah dan hambanya.

Saban tahun jika dikira sebenarnya terlalu banyak majlis maulid yang diadakan dan muslim yang berpusu-pusu ke sana boleh dikategorikan kepada 3 kelompok berdasarkan kepada penilaian zahir :

1. Golongan yang sememangnya mencintai kehidupan Rasul dan ingin mendapatkan ilmu dan ingin menghayati sirah Rasul SAW;
2. Golongan yang hanya ingin menikmati juadah dan hidangan yang disediakan - selalunya terdiri dari golongan kanak-kanak;
3. Golongan yang terpaksa hadir kerana dilantik sebagai ahli jawatankuasa organisasi tempatnya

Namun secara umumnya kita bersetuju bahawa khalayak teramai adalah golongan berusia dan juga kanak-kanak di bawah 12 tahun !!

Sesuatu yang agak malang di sesetengah organisasi, JK terlalu 'cermat' dalam memilih penceramah atas sebab-sebab kewangan dan keselamatan, hingga akhirnya membuahkan penceramah yang kurang berkualiti. Apalah gunanya mengumpul ribuan atau belasan RM hasil kutipan setiap Jumaat, atau kutipan khas untuk majlis maulid, kalau hanya seqadar menjemput penceramah tempatan yang kurang digemari atas dasar politik dan ingin membayar kurang, tetapi sangat berlebih-lebihan dalam hal jamuan...

Pada pandangan penulis, adalah lebih molek jika sekiranya kita benar-benar ingin menghidupkan suasana membesarkan serta memuliakan Rasul, kita tidak lokek untuk mengundang penceramah yang benar-benar hebat dan benar-benar dapat menghidupkan sirah serta penghayatan terhadap sunnah dalam penceritaan mereka. Lupakah fahaman politik sempit dan kutur serta selimut dan selaput nifaq yang sebenarnya sangat jauh dari kehendak sunnah itu sendiri. Cubalah kita selaku pengerusi AJK misalnya, mendapatkan pencalonan dari AJK lain berkaitan penceramah serta menilai calon berdasarkan iman dan kekuatan ilmu calon penceramah. Janganlah kita hanya syok sendiri memilih penceramah yang kununnya hebat tetapi sebenarnya lebih ramai lagi yang lebih hebat dan berpengaruh serta mampu memberikan impak yang lebih hebat..

Sebenarnya sambutan maulid tidak semestinya hanya dihiasi dengan ceramah dan forum semata-mata. Boleh juga dipelbagaikan dengan tayangan filem islami, karnival sunnah (cadangan) yang mengambil masa beberapa hari, konsert yang berpaksikan syariah serta pelbagai aktiviti yang lebih menarik dan boleh mengundang lebih ramai khalayak muda mudi Islam.

Apalah diharapkan dengan rancangan serta drama yang dipaparkan di kaca televisyen yang sangat memualkan serta jelak jalan ceritanya meskipun kununnya hendak memaparkan nilai-nilai murni tetapi banyak terpalit dengan anasir zina dan kebejatan akhlak pelakonnya. Sayang sekali, sebagaimana yang dilantunkan oleh penulis buku dari Indonesia yang menjadikan jodol bukunya sebagai filem, filem-filem di Malaysia masih gagal untuk menerapkan unsur islami yang sebenar...Pernahkah kita mendengar pengarah tersohor di negara ini hendak menulis skrip dan menerbitkan kisah mengenai sahabat nabi atau ulama sekurang-kurangnya? Agaknya mungkin pengarah dan penulis skrip filem kita masih ghairah dikhayalkan dengan filem tahyul yang mampu menarik khalayak dan keuntungan tinggi serta berjinak pula dengan anasir kelucahan seperti filem JALANG daripada membabitkan diri dan mengambil risiko RUGI untuk membikin filem pendek mengenai kehidupan seorang ulama nusantara misalnya...

Sedangkan pada hari maulid, TV masih sanggup menayangkan kisah sarkas, maka usah diimpikan filem berkaitan kehidupan rasul dan sahabat akan ditayangkan (kecuali mungkin di oasis)..

Berbalik kepada keghairahan kita menyambut maulid, hingga setiap surau dan masjid menjadikan agenda sambutan maulid sebagai salah satu aktiviti wajib dalam taqwim tahunan mereka, maka molek jika sambutan maulid kali ini diperelokkan dan dikemaskini serta lebih terbuka, dan mampu pula menggoyahkan para pengkritik sambutan maulid itu sendiri yang jelas mengisytiharkan akan BIDAAH yang ditimbulkan.

Sekiranya sambutan maulid di qaryah kita masih hambar, sama seperti dahulu , dengan menjemput penceramah yang memualkan, namun hidangan jamuan tetap baryani ayam dan kambing, eloklah kita mengambil keputusan untuk memulaukan sahaja sambutan seumpama itu kerana bukan kita tidak cintakan rasul,biadab terhadap rasul, atau seumpamanya sebagaimaan yang didakwa oleh para pendokong sambutan maulid, tetapi sebagai satu tindakan protes dan menghormati pandangan Umar sebagaimana petikan berikut :

Bahkan Ibn Kathir menceritakan bagaimana Saidina ‘Umar apabila dicadangkan permulaan tahun Islam dikira pada tahun kelahiran Nabi s.a.w, beliau menolaknya. Sebaliknya khalifah agung itu memilih tahun hijrah baginda sebagai permulaan kiraan. Bukan kelahiran tidak penting, tetapi hijrah adalah permulaan kejayaan dan sejarah perjuangan. Perkara yang paling utama buat seorang rasul ialah baginda diikuti, bukan sekadar dirayakan. Saban tahun orang Kristian Barat merayakan kelahiran Jesus, namun apakah kehidupan mereka sama seperti yang diajar oleh Jesus?

Saban tahun kita mengadakan sambutan maulid, namun apakah peubahan atau impak yang berlaku dalam masyarakat? Qadar jenayah semakin tinggi dan kes-kes yang melibatkan perzinaan semakin menjadi-jadi...Adakah kita "sebenarnya cinta.." dengan tajuk yang sebenarnya dendangan Yuna itu atau kita hanya ingin makan percuma, ketawa mendengar ceramah, dan kemudian kembali ke rumah langsung meneruskan kehidupan tanpa sedikitpun menghayati sunnah?

Fikir fikirkanlah ...Kesimpulannya jika mahu meneruskan amalan sambutan ini, lakukanlah dengan sesempurna mungkin, bukan hanya seqadar melepaskan batuk ditangga sahaja kerana meneruskan adat istiadat ATAU lebih molek tidak diadakan langsung secara tahunan, tetapi senantiasa diadakan acara atau amalan atau kuliah yang boleh menyemarakkan Rasul di dalam hati dan dada serta rumah2 anak qaryah...Wallahualam

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol