Salam Jumaat

Jumaat pertama Rabiul Awwal penulis berkesempatan solat Jumaat di masjid sementara yang berhampiran dengan muqim penulis. Berkebetulan penulis bercuti pada hari tersebut. Terasa begitu besar nikmat apabila cuti pada hari Jumaat. Banyak perkara bersangkutan dunia dan akhirat yang dapat diselesaikan pada hari ini. Berkebetulan pula hari ini merupakan hari ulangtahun kelahiran puteri sulung penulis, untuk tahun yang keempat.

Solat Jumaat di masjid sementara duduk di saf yang kebelakang, khutbah yang dibacakan oleh al hafiz hanya sayup-sayup sahaja kedengaran. Berkemungkinan alat pembesar suara masjid tersebut gagal berfungsi dengan baik. Bahkan suara kanak-kanak yang hingar bingar di sekitar bangunan lebih menghiasi susana solat Jumaat di situ. Penulis gagal untuk menangkap peri butir yang hendak disampaikan oleh khatib. Hanya termanggu-manggu cuba mendengar. Begitulah kesilapan yang sering berlaku pada hari Jumaat di masjid atau qaryah yang terpencil. Hendak dikatakan tiada peruntukan kewangan untuk membeli sistem PA yang lebih canggih atau sekurang-kurangnya mendapatkan pembesar suara yang lebih berkuasa tinggi, atau menambah bilangan pembesar suara, baki yang diberikan dalam penyata kewangan semasa mesyuarat JK lepas adalah melebihi 10 ribu. Tapi agak memilukan kerana masalah pembesar suara tidak diambil perhatian dan tindakan yang segera dan serius.

Fungsi pembesar suara dan sistem PA sebenarnya sangat besar dalam mempengaruhi khalayak. Kalaupun DSAI atau DSHAHA ataupun Tok Guru NAZNM (Mustahil akan berlaku dalam qaryah penulis, kecuali...) dijemput untuk membecakan khutbah sekalipun, jika sistem PA adalah amat mengecewakan seperti sekarang, sudah barang tentu ianya tetap akan membuatkan jamaah menjadi hampa dan akhirnya tertidur sementara menantikan laungan iqamah oleh bilal.





sebenarnya apabila hari Jumaat dijadikan sebagai hari cuti umum, jumlah jamaah di masjid qaryah akan bertambah, khususnya dari kalangan anak-anak yang masih dibangku sekolah, jika dibandingkan apabila hari Jumaat dijadikan sebagai hari bekerja. Ini kerana terdapat ramai dikalangan anak-anak yang gagal untuk hadir ke masjid kerana masalah ketiadaan kenderaan untuk mereka bergerak dari sekolah ke masjid ataupun dari rumah ke masjid dan seterusnya ke sekolah. Mungkin ada yang berpendapat bahawa jika keinginan untuk solat itu kuat, maka apa jua halangan yang datang, dia tetap akan mendahulukan solat itu daripada yang lain-lain. Benarlah pendapat ini tetapi bagi golongan yang sudah mantap keimanannya. Bagi golongan yang masih tenggelam timbul, maka apabila ia melihat akan kesukaran yang timbul pada hari Jumaat yang menyebabkan ia terpaksa memilih antara ke sekolah sebelum waktu bermula atau hadir Jumaat, maka berkemungkinan besar ia akan terdorong untuk meninggalkan Jumaat.Apatah lagi sikap ibu bapa yang tidak mementingkan solat di kalangan anak-anak, ataupun hanya pandai menyuruh tanpa membuat pemantauan. Sudah wujud pada pemerhatian penulis, pelajar sekolah yang lengkap beruniform, hadir ke masjid, tetapi tidak menunaikan solat Jumaat bahkan hanya membuat bising mengganggu jamaah yang hadir, dan lebih malang mereka itu adalah pelajar di sekolah menengah...

Maka disini dimanakah peranan guru dan ibu bapa? Sudahlah pemerintah tidak memberikan sokongan dengan menjadikan Jumaat sebagai hari bekerja, ditambah lagi dengan sikap endah tak endah, ibu bapa, guru bahkan pihak JK masjid sendiri yang tidak peduli dengan keadaan sekeliling mereka. Mungkin mereka melihat tugas mereka adalah untuk menganjurkan acara solat berjamaah, maka apabila sudah didirikan solat berjamaah, anak qaryah yang lain sama ada mahu meneruskan agenda islam atau mahu membawa silibus islam mengikut kaca mata mereka sendiri atau silibus islam yang dibawa oleh Dajjal, peduli apa mereka..

Sekiranya keadaan ini terus dibiarkan, tanpa sebarang teguran, atau tindakan oleh pihak yang lebih berkuasa (seperti Jabatan Agama dan sebagainya) maka adalah tidak munstahil dalam masa kurang dari 100 tahun, tiada lagi manusia yang akan menghadiri solat berjamaah, apalagi solat jumaat. Masjid dan surau hanya akan dijadikan lokasi untuk melaksanakan amalan ritual berbentuk tahunan seperti solat sunat hari raya sahaja. Nah, apakah kita yang sekarang masih duduk tersenyum dan gumbira di atas kerusi JK masjid @ surau dalam qaryah kita masih lagi mampu ketawa dengan perut yang dipenuhi dengan makanan apabila mendengar 'lawak king' penceramah jemputan saban tahun di majlis maulid, tanpa memikirkan masalah seumpama ini? Apakah jawatan selaku ahli JK masjid@surau ini hanyalah untuk menambahkan markah dalam penilaian prestasi tahunan (bagi penjawat awam) dan menambahkan rasa berbesar hati dan bangga apabila bergelar ahli JK masjid @ surau di dalam qaryah semata-mata..

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol