HROD dan kenangannya dari kacamata seorang fasi
Organisasi dengan segala kekuatan yang ada telah cuba mewujudkan kursus yang serupa dengan Sungkai. Bezanya, ia menggunakan fasi dari kalangan staf sendiri. Maka sekitar tahun 2004 juga, satu kursus TOT telah dilaksanakan bertempat di Ladang herba Pagoh. Penulis adalah antara yang terlibat dalam kursus tersebut. Ianya agak menyeronokkan kerana berbentuk TOT.
Kursus selama 4 hari 3 malam itu dikendalikan di sebuah banglo besar di puncak bukit (kini telah musnah dalam satu kebakaran) Di banglo tersebut, ditingkat atas kami bermalam, dan ditingkat bawah kami beraktiviti, solat berjamaah, beratur menunggu giliran untuk mandi dan sebagainya, termasuk makan.
Jadual kursus juga ketat seperti mana di Sungkai. Lagu tema juga sama. Cuma Kem komandan tidaklah sekeras Pak Din. Hari pertama bermula dengan taklimat dan pada sebelah malamnya acara ice breaking serta identiti kumpulan. Setiap dari kami diberi pengenalan dan terpaksa mencarinya dalam kegelapan malam disekitar banglo.
Aktiviti pagi bermula dengan Solat Subuh berjamaah. Bagi yang sempat untuk mandi, maka dimulakan dengan mandi. Namun dek kerana bilangan bilik air yang terhad dan terpaksa berkongsi dengan fasilitator, acara mandi terpaksa ditawaqufkan terlebih dahulu.
Selepas kuliah Subuh, kami diserahkan kepada kem komandan untuk acara riadah. Kemudian minum pagi dan seterusnya acara pembentukan kumpulan dan seterusnya pembentangan.Setiap kumpulan akhirnya berjaya mewujudkan nama beserta bendera yang perlu diusung kesana kemari sebagai salah satu barang amanah disamping telur yang diterima sejak semalam.
Sepanjang hari pertama, acara berbentuk kelas adalah lebih banyak. Pada hari kedua juga tidak kurang dengan pelbagai aktiviti yang mencabar. Hari ketiga menyaksikan kembara dimana kami terpaksa bergerak hingga ke suatu kawasan perkhemahan untuk bermalam. Perjalanannya agak mencabar kerana terpaksa merentas sungai dan sebagainya.
Setibanya di tapak perkhemahan, Malangnya, kawasan tersebut kurang sesuai kerana ketiadaan air dan kekurangan bilik air, disamping hujan yang agak lebat pada sebelah petang. akhirnya, kami diarah kembali ke banglo dan pada waktu malamnya kami diarah untuk membuat persembahan.
Selepas persembahan, forum untuk mencungkil pandangan diadakan. Secara keseluruhannya, program TOT ini diadakan bagi mengujilari modul yang telah dibuat oleh pihak pengurusan...
Beberapa minggu kemudian, kursus sebenar telah diadakan. Penulis telah dipanggil selaku fasilitator. Ini termasuk mentor penulis juga. Kem komandan ialah seorang yang agak berantai bersama pembantu setianya.
Aktiviti yang dilaksanakan adalah mengikut modul yang sama dengan sedikit perubahan. Aktiviti kembara siang dapat dilaksanakan dengan jayanya. Khemah-khemah didirikan di tapak perkhemahan dan pada malamnya setiap kumpulan di arah untuk membuat persembahan. Ini juga merupakan pengalaman pertama penulis tidur di khemah yang terbuka. Penulis tidur di samping salah seorang fasi yang kini melanjutkan pengajian di UK. Malam tersebut pada mulanya kami isi dengan bed time story dengan menceritakan kisah-kisah seram. Akhirnya, tukang cerita tidur, penulis yang menjadi pendengar terkebil-kebil tidak mampu melelapkan mata kerana diganggu dek kisah-kisah seram itu. hehehe
Berpagi-pagi terus kembali ke banglo dan di sana pemimpin kembara menjalankan aktiviti untuk mendapatkan pandangan peserta dan membuat ulasan berkaitan kembara. Selepas itu, aktiviti menyusun puzzle diadakan sebagai aktiviti akhir...Dalam acara ini fasi akan memainkan peranan untuk menggagalkan misi peserta bagi menyusun puzzle. Muzik akan dimainkan dengan kuat manakala peserta DILARANG sama sekali daripada berkomunikasi dengan menggunakan suara. Hanya ketua kumpulan dan penghulu sahaja yang boleh bersuara. Jika gagal, maka permainan dianggap gagal sama sekali.
Selalunya permainan ini akan berjaya cuma masa yang diambil oleh satu-satu batch untuk menyelesaikannya agak berbeza.
Penulis terlibat agak lama juga selaku fasi dalam program ini, dan bolehlah dianggap sebagai fasi2 awal bersama saudara mentor, saudara kapitan, saudara misai...sebelum ketiga-tiga kami digugurkan tanpa alasan hingga kini tiada jawapan yang pasti. MISTERI yang tidak terungkai..
Sepanjang menjalankan amanah selaku fasi, pelbagai ragam rakan seorganisasi yang ditemui. Ada yang betul2 keras dengan pendirian, contohnya apabila peserta tersebut menyedari ianya diperdaya oleh fasi untuk menyerahkan barang amanah pada CP yang salah, maka ia begitu tegar untuk mempertahankan barang tersebut hingga sanggup ditahan berjam-jam di CP hingga memaksa fasi lain campur tangan.
Dalam masa persembahan kumpulan di malam selepas kembara pada waktu siangnya, adalah merupakan antara kenangan yang tidak mungkin mampu dilupakan kerana bukan hanya peserta sahaja yang perlu membuat persembahan. Fasi juga terpaksa membuat persembahan. Dan persembahan kami kaum fasi sejak mula ialah beradarkan kepada idea fasi F. Kami menyanyikan beberapa lagu mengikut rentak lagu burung kakak tua. Sebagai contoh, "Saya ada belon...belon saya besar...kalau tidak besar...bukanlah belon saya.." sambil menggayakan bentuk belon, bentuk saiz dan sebagainya. Dan setiap fasi akan menyanyikan rentak yang sama dengan lirik berbeza mengikut kreativiti masing-masing.
Kali terakhir program yang penulis ikuti, penulis ditugaskan menjaga cp I bersama fasi ustazah. Maka semasa itu, penulis telah bertanyakan pelbagai soalan yang pelik, contohnya nama penuh DYMM Sultan Johor (kini almarhum) yang akan dibacakan pada setiap kali khutbah Jumaat untuk menguji kepekaan peserta. Amat malang kerana daripada 5-6 kumpulan yang diuji, tiada satu kumpulan pun yang berjaya menjawab dengan tepat walhal ianya pasti dikumandangkan setiap Jumaat. Betapa kita kurang peka terhadap persekitaran kita dan menjadikan aktiviti mingguan itu hanya sebagai rutin biasa yang menyebabkan kita tanpa sedar hanya mengikut sahaja ...
Penulis berada di CP tersebut hingga menjelang Maghrib dan dikatakan itu merupakan siri kembara yang paling lama diadakan, sejak jam 9 pagi hingga menjelang Maghrib.
Selepas itu, penulis tidak dipanggil lagi untuk menjadi fasi. Dan kemudian seorang demi seorang ahli kami digugurkan dan diganti dengan fasi yang lebih baik dan berkaliber...
Dan kini kursus tersebut telah berakhir..berdasarkan kepada kehendak pengurusan tertinggi. Maka bekas-bekas fasi ini bergentayangan di serata organisasi. Ada juga yang dipanggil menganggotai kursus khusus untuk pelajar yang masih menganggur, dan disitulah segala modul, kepakaran dan pengalaman sepanjang berada di kursus hasil sungkai itu dicurahkan, diperbaiki dan diperkukuhkan. Ada yang dipanggil untuk kursus-kursus anjuran pusat Islam dan sebagainya.
Penulis sememangnya amat gemar kepada bidang fasi ini dan senantiasa bersedia untuk mencurahkan pengalaman dan tenaga sekiranya ada yang mahukannya...Wallahu alam.
Ulasan