Panggilan Kaabah




Entah mengapa tatkala memandu pulang petang tadi hati tiba-tiba menjadi sayu. Sayu dan terlalu rindu. Kerinduan yang membuak-buak. Tatkala terdengar perbualan mengenai rakan-rakan yang telah atau akan berangkat ke tanah suci untuk menyempurnakan fardhu haji, hati ini bagai digaru-garu...Bilakah pula masanya aku akan menjadi tetamuNya?

Firman Allah dalam surah al-imran ayat 97 yang bermaksud, Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya..

Bilakah masanya penulis akan mampu ke sana? Simpanan di Tabung Haji kini senantiasa menyusut dek kerna kekurangan ongkos untuk menampung kehidupan yang semakin banyak memerlukan duit. Bijak pandai mengatakan wang bukanlah segalanya, benar..tapi sekarang segala-galanya memerlukan wang. Dari masuk ke tandas awam hinggalah pembiayaan perjalanan kenderaan, tanpa wang, ada kemungkinan terpaksa berjalan kaki ke pejabat.

Kasihan juga kepada ibu penulis yang juga tiada kemampuan untuk ke sana. Umurnya semakin bertambah, namun masih lagi belum berkemampuan untuk menyahut lambaian kaabah. Adalah menjadi idaman dan cita-cita setiap anak untuk mengkabulkan keinginan ibu dan bapa mereka mengerjakan haji...tetapi bagaimana dengan penulis?

Penulis pernah menjejakkan kaki ke haramain as syarifain untuk mengerjakan umrah tatkala cuti sekolah tahun 1991 dengan pembiayaan dari arwah nenda. Tatkala itu penulis dibawa bersama adik penulis. Sungguh ianya merupakan satu pengalaman spritual yang sangat mengasyikkan. Tatkala itu, masjidil haram masih dalam proses penambahbaikan. Begitu juga dengan masjid an Nabawi juga masih dalam proses pembesaran. Melawat ke maqam Rasul SAW adalah antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan. Begitu juga peluang untuk berada di raudhah dan menyaksikan juru azan mengumandangkan azan di atas pelantar azan di raudhah. Peluang untuk berada di kawasan yang dikenali sebagai kawasan ahli suffah yang terletak di bahagian belakang kompleks maqam Rasulullah SAW juga tidak dilepaskan oleh penulis. Peluang ke baqi al gharqad, bukit Uhud, masjid tujuh dan banyak lagi kawasan bersejarah di sekitar Madinah adalah sangat berharga bagi penulis. Apalagi kegilaan dan kegembiraan yang tidak dapat dilukiskan dengan kata-kata ialah apabila dapat melihat kaabah, bertawaf disekelilingnya serta solat di Hijr Ismail.

Sememangnya hati amat rindu untuk melihat kaabah lagi. Hati ini bagai digaru-garu untuk menyahut seruan talbiah. Hati ini begitu sayu apabila terkenangkan haruman di Raudhah...hati ini bagai dipanggil-panggil untuk menziarahi Rasulullah SAW lagi..

Ya Allah! Terimalah doaku....jadikanlah kami sekeluarga selaku tetamuMu...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol