town and gown

'Town and Gown' UTHM produk pelancongan negeri

BATU PAHAT 3 Okt. - Perarakan 'Town and Gown' Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) boleh dijadikan produk pelancongan di daerah ini sekali gus disenaraikan dalam kalendar pelancongan negeri.

Pegawai Daerah Batu Pahat, Norizan Kulob berkata, keunikan perarakan bagi menghebahkan konvokesyen universiti itu diyakini dapat menarik perhatian masyarakat setempat dan pelancong untuk menyertainya.

"Kami mahukan program ini disenaraikan dalam kalendar pelancongan negeri dan seterusnya diuar-uarkan untuk menjadi aktiviti yang menarik di Batu Pahat.

"Tidak dinafikan daerah ini masih tercari-cari produk yang berkesan untuk aktiviti pelancongan dan tidak mustahil acara ini akan menjadi perarakan besar seperti di Pasadena, California yang berjaya menarik ramai pelancong," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Perarakan 'Town and Gown' UTHM di Stadium Batu Pahat di sini malam tadi.

Seramai 1,835 peserta daripada 35 kontinjen terlibat dalam perarakan sejauh 2.58 kilometer melalui beberapa jalan utama di pusat bandar iaitu Jalan Ampuan, Jalan Mohd. Saleh, Jalan Rahmat dan berakhir di Stadium Batu Pahat.

Turut memeriahkan perarakan adalah persembahan daripada Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM), pertunjukan bunga api, genderang Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan konvoi 40 motosikal berkuasa tinggi.

Kemuncak perarakan adalah upacara pembacaan pengisytiharan dan penyerahan skrol konvokesyen kepada Norizan.

Pejabat Bendahari UTHM dipilih menjuarai perarakan perbarisan terbaik sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan sijil.

Norizan berkata, perarakan itu juga dapat menimbulkan perasaan 'kekitaan' antara dua komuniti iaitu penduduk Batu Pahat dan warga UTHM.

"Kerjasama antara universiti dan komuniti di daerah ini terus terjalin. Ini seiring dengan tema perarakan iaitu 'Communiversity Celebration' yang melambangkan kemeriahan dan kemesraan warga universiti dan penduduk setempat bersatu memajukan daerah ini," katanya.

Menurutnya, kewujudan UTHM memberi kesan positif terhadap pembangunan ekonomi di Parit Raja dan seluruh daerah ini dengan memberi ruang kepada golongan usahawan meningkatkan taraf ekonomi hasil peluang yang diwujudkan daripada projek-projek pembangunan universiti itu.

sumber http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp y=2010&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_03.htm



UTHM anjur perarakan ala “Town and Gown”

SENAI - Satu perarakan mengelilingi bandar ala “Town and Gown” di jalan-jalan utama sekitar bandar Batu Pahat akan diadakan pada 2 Oktober ini.

Perarakan kali kedua anjuran Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu adalah sempena majlis konvokesyen kesepuluh UTHM yang akan berlangsung 10 hingga 12 Oktober ini.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam UTHM, Shafry Salim, perarakan konvokesyen itu juga dikenali sebagai ‘Communiversity Celebration’ iaitu satu amalan turun temurun beberapa universiti ternama di luar negara seperti Universiti Princeton, Universiti Charles Stuart, Universiti St Andrews dan Universiti Michigan Ann Arbor.

“Di semenanjung Malaysia, UTHM merupakan institusi pengajian tinggi (IPT) yang pertama mengadakan perarakan seperti ini. Seramai 1,835 peserta akan terlibat yang mana 1,275 daripadanya adalah pelajar UTHM dan bakinya adalah pegawai dan ahli akademik UTHM serta wakil beberapa agensi jemputan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Antara agensi jemputan yang akan turut serta dalam perarakan ini adalah Institut Perguruan Tun Hussein Onn (IPTHO), Kolej Kemahiran Tinggi Mara Sri Gading dan Kolej Polytech Mara.

Perarakan yang akan bermula jam 8.30 malam itu melibatkan perjalanan sejauh 2.58 Kilometer melalui beberapa jalan utama bandar Batu Pahat iaitu Jalan Ampuan, Jalan Mohd Saleh dan Jalan Rahmat.

Perarakan akan diketuai Pasukan Berkuda Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dimeriahkan dengan beberapa persembahan lain. Peserta perarakan dipecahkan kepada 35 kontinjen yang mana di antara mereka adalah pelajar-pelajar antarabangsa yang menuntut di UTHM seperti Somalia, Yamen, Libya dan Indonesia.

Sekumpulan 40 motosikal berkuasa tinggi turut menyertai perbarisan di samping kereta berhias dan kemuncak perarakan akan diadakan di Astaka Stadium Batu Pahat bersebelahan Dataran Penggaram.

Program ini mendapat kerjasama penuh dari beberapa agensi kerajaan dan berdasarkan sambutan serta keunikan yang ada, perarakan seumpama ini akan dijadikan acara tahunan dan dimasukkan dalam aktiviti tarikan pelancongan bagi daerah Batu Pahat.

sumber : http://www.sinarharian.com.my/johor/content/story8229029.asp


UTHM ADAKAN PERARAKAN ”TOWN & GOWN” DI BANDAR BATU PAHAT SEMPENA KONVOKESYEN KESEPULUH
Tuesday 28/09/2010

BATU PAHAT, 28 September 2010 -

Bersempena Majlis Konvokesyen Kesepuluh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), satu perarakan mengelilingi bandar ala ”Town and Gown” di jalan-jalan utama di bandar Batu Pahat akan dianjurkan oleh UTHM pada 2 Oktober 2010 ini.

Perarakan ini merupakan kali yang kedua dianjurkan setelah kejayaan penganjuran kali pertama pada tahun lalu. Ianya dianjurkan bertujuan untuk memberitahu seluruh penduduk di daerah Batu Pahat akan penganjuran Majlis Konvokosyen Kesepuluh UTHM yang akan berlangsung dari 10 hingga 12 Oktober yang akan datang.

Berdasarkan sejarah, Perarakan konvokesyen yang juga dikenali sebagai Communiversity Celebration seperti ini merupakan satu amalan turun temurun beberapa universiti ternama di luar negara seperti Universiti Princeton, Universiti Charles Stuart, Universiti St. Andrews dan Universiti Michigan Ann Arbor. Di semenanjung Malaysia, UTHM merupakan IPT yang pertama yang mengadakan perarakan seperti ini.

Pada kali ini, seramai 1835 peserta akan terlibat dalam perarakan ini. Daripada jumlah itu, 1275 adalah terdiri daripada pelajar UTHM manakala selebihnya adalah para pegawai dan ahli akademik UTHM serta wakil dari beberapa agensi jemputan.

Antara agensi jemputan yang akan turut serta dalam perarakan ini adalah Institut Perguruan Tun Hussein Onn (IPTHO), Kolej Kemahiran Tinggi MARA Sri Gading dan Kolej Polytech MARA.

Perarakan yang akan bermula pada jam 8.30 malam ini akan melibatkan perjalanan sejauh 2.58 Kilometer melalui beberapa jalan utama di bandar Batu Pahat iaitu Jalan Ampuan, Jalan Mohd Saleh dan Jalan Rahmat. Perarakan ini akan diketuai oleh Pasukan Berkuda PDRM dan dimeriahkan dengan kumpulan Brass Band, kompang dan peraga pakaian tradisional. Sebahagian daripada Alumni UTHM akan turut mengenakan pakaian jubah konvokesyen UTHM.

Peserta perarakan dipecahkan kepada 35 kontinjen. Turut serta dalam perarakan ini adalah pelajar-pelajar antarabangsa yang menuntut di UTHM antaranya dari Somalia, Yamen, Libya dan Indonesia. Di samping itu lebih 40 orang pelajar dari beberapa buah sekolah sekitar Batu Pahat turut bersama-sama memeriahkan perarakan ini.

Bagi menambah kemeriahan perarakan ini, sekumpulan 40 motosikal berkuasa tinggi turut menyertai perbarisan di samping kereta berhias.

Kemuncak perarakan ini adalah upacara pembacaan pengisytiharan Konvokesyen UTHM serta penyerahan skrol Konvokesyen UTHM oleh Pendaftar UTHM kepada Pegawai Daerah Batu Pahat, Tuan Haji Norizan Kulob.

Acara kemuncak tersebut akan diadakan di Astaka Stadium Batu Pahat yang terletak bersebelahan Dataran Penggaram. Para pengunjung akan dihiburkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dan pendeklamasian puisi.

Seluruh warga Batu Pahat khasnya dan warga Johor amnya dijemput untuk sama-sama menyaksikan perarakan yang unik ini.

Program ini mendapat kerjasama penuh dari pelbagai agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah Batu Pahat, Majlis Daerah Batu Pahat, Polis, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Penerangan Batu Pahat dan lain-lain. Berdasarkan sambutan dan keunikan yang ada pada perarakan ini, ianya akan dijadikan acara tahunan dan dimasukkan dalam aktiviti tarikan pelancongan bagi daerah Batu Pahat.

SUMBER: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol