Ulama universiti perlu bangkit

Di setiap institusi pengajian tinggi awam dalam negara ini telah pasti wujud ramai manusia bertaraf ulama. Kita tolak pengertian ulama yang dipopularkan bahawa semua yang berilmu, tidak kira ilmu berkaitan Islam ataupun ilmu berkaitan kejuruteraan, atau ilmu berkaitan Matematik, hingga mencapai maqam Ph.D dianggap sebagai ulama dalam bidangnya. Sememangnya ilmu sama ada berkaitan dengan akhirat mahupun dunia adalah diangap ilmu berkaitan islam kerana sejarah telah membuktikan bahawa ilmu-ilmu ini datang dari kajian ulama-ualam silam seperti Khawarizmi, Al Kindi dan sebagainya.
Konsep ulama’ boleh ditakrif dengan berbagai difinasi yang berlandaskan latar belakang kesarjanaan atau disiplin ilmu masing-masing. Perkataan ulama’ itu adalah kata jamak dari perkataan “’Arab iaitu ‘Alim. Kemudian lahir pula perkataan ‘Alamah iaitu orang yang benar-benar mengerti atau mengetahui dengan mendalam hakikat sesuatu. (Muhamad Ismail, 1961:26.)
Menurut Dato’ Dr. Harun Din, dalam al-Quran karim terdapat dua kali sahaja perkataan ulama’ itu digunakan. Kedua-duanya merujuk kepada yang mendalami pengetahuan agama. Yang mendalami agama Islam diistilahkan dengan al-ulama’. Ada alif dan lam. Ini bererti bahawa ulama’ adalah istilah khusus yang dimaklumi bahwa hanya diguna pakai untuk yang mengetahui dan mendalami tentang agama Islam sahaja. Di dalam bahasa arab ada banyak istilah selain ulama’ yang diguna bagi merujuk kepada bidang masing-masing. Contohnya (khabir atau khubara’ untuk pakar yang lain dari bidang agama), Muhtarif atau muhtarifun, Fanni atau fanniyyun yang merujuk kepada technician, Mahandis arkitek, Tabib akhsai pakar perubatan.
Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. Al Fathir:28
Memandangkan di setiap universiti telah tersedia para ulama, sama ada yang ditempatkan di pusat-pusat islam, mahupun di fakulti-fakulti syariah, atau unit-unit yang lebih kecil, maka mereka sebenarnya mempunyai kekuatan tersendiri untuk memberikan pandangan dalam setiap isu yang timbul di dalam kampus. Mereka sepatutnya berada di barisan paling hadapan dalam menghadapi sebarang permasalahan yang timbul di dalam kampus sama ada yang melibatkan staf mahupun pelajar.
Dalam menangani isu berkaitan acara-acara hendonisme yang berlaku di dalam kampus, sudah sepatutnya ulama bergandingan dengan kelab-kelab pelajar serta MPP yang cintakan kesempurnaan Islam berdiri menyatakan pendirian kepada pihak pentadbiran. Ulama-ulama ini sudah seharusnya memiliki semangat jihad yang tinggi, dengan melalui saluran yang betul, menyediakan satu garis panduan khusus yang perlu dibawa ke meja pentadbir tertinggi sesebuah universiti untuk diluluskan dan seterusnya diaplikasi dan dijadikan panduan dalam melaksanakan sesuatu proram di sesebuah universiti, bersesuaian dengan imej elit sebuah pendukung kesucian keilmuan lestari.
Sudah barang pasti pelbagai mehnah dan tribulasi bakal menanti perjuangan seumpama ini. Kertas cadangan a.k.a kertas kerja dibuang mentah-mentah ke dalam tong sampah, atau diperap di bawah longgokan fail, atau di'frezee' kan tanpa tindakan, bahkan ada juga yang ditolak serta tidak diluluskan... mungkin ada ulama yang bakal dicop sebagai pelampau, mungkin ada ulama yang kempunan pula untuk mendapat pangkat kanan, mungkin ada ulama yang akan diberi amaran keras, itu merupakan perkara kecil , bagaikan gigitan semut api sahaja bagi pejuang kebenaran akhir zaman di kampus, berbanding nilai titisan peluh para sahabat di tengah medan peperangan bersama Rasul SAW.
Banyak lagi isu-isu lain yang boleh diambil perhatian seperti isu yang berkaitan dengan zina serta lain-lain isu yang membabitkan masalah sahsiah dan ketrampilan pelajar. Wujudnya para ulama di institusi pengajian tinggi bukan sekadar menjadi pembaca doa, atau seqadar mengimami solat lima waktu dan solat hajat, atau mengetuai majlis bacaan tahlil, atau melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan yang menyebabkan aktiviti atau tujuan utama tergendala semata-mata, tetapi banyak lagi nahi munkar yang perlu dibasmi serta diperangi dengan sesungguh-sungguhnya.
Kita tidak hendak berkata bahawa semua ini tugas ulama. Bukan bukan kempunan pula untuk mengambil alih tugas-tugas para ulama ini. Tugas ulama ini adalah untuk MEMIMPIN kami yang cintakan Islam, dahagakan kesejukan dan kesegaran kesucian islam, agar dapat bersama melaksanakan kebaikan dan mencegah segala kemungkaran.
Apabila timbul penyakit berjangkit, kita dengan segera mewar-warkan kata-kata "mencegah itu lebih baik dari mengubat"...namun apabila tiba penyakit sosial yang juga boleh berjangkit bahkan lebih merbahaya, kita mengambil pendekatan "mengubat lebih utama dari mencegah" ..
Kerap kali ulama di universiti terlibat dengan polemik perbezaan mazhab, disibukkan dengan menjawab pelbagai tuduhan beberapa puak yang bertelagah, bahkan ada juga yang cuba dijadikan alat politik sempit sesetengah pihak. Amatlah malang sekali kerana banyak lagi tugas dan fikiran mereka yang perlu disalurkan untuk memajukan bakal pimpinan negara yang merupakan aset paling berharga bagi negara ini...
Ulama di universiti adalah merupakan penasihat utama kepada para pelajarnya, para stafnya, para pensyarahnya bahkan para pentadbirnya. Andaikata ulama-ulama ini mengaktifkan diri mereka dalam kerja-kerja dakwah yang tiada titik noktah ini, Insya Allah, pentadbir tidak perlu lagi pening kepala dalam menangani karenah pelanggannya.
Sekiranya ulama-ulama ini dapat bersatu, maka Insya-Allah akan mudah lagi sebenarnya pihak pentadir untuk meningkatkan kualiti pelajar dan staf kerana masalah sosial adalah berpunca dari masalah dalaman dan jiwa serta kekotoran hati dan sekiranya kampus dapat menyediakan satu alternatif berbau kesucian dan kesegaran Islami, maka penulis yakin dan percaya, generasi yang bakal dilahirkan oleh sesebuah universiti akan lebih berkualiti dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan lebih diberkati dan diredhai, Insya Allah...
Ulasan