Datang tapi tak masuk

Seolah-olah terngiang-ngiang patah-patah lagu.."Mengapa datang tetapi tidak masuk..." cumanya penulis terlupa siapakah yang menyanyikan lagu tersebut. Yang pastinya, lagu itu merupakan sebuah lagu cinta..

Zuhur 29 Zulkaedah 1431, singgah di sebuah surau yang berhampiran dengan kota Bat City. Jamaah tidak mencapai dua saf. Ketika sedang berwudhuk, solat sedang didirikan. Ketika memanjat surau dan hendak masuk ke perut rumah Allah yang mulia itu, terpandang dua pemuda yang sedang duduk di tepi surau, berbual. Ketika penulis menjeling, mereka buat-buat selamba sambil meneruskan perbualan. Hati penulis terasa panas...

Usai solat, ketika menginjak tangga keluar bangunan, dua pemuda itu masih di tempat yang sama, terus berbual kosong, seolah-olah sedang duduk di bangunan dewan orang ramai, ataupun sedang duduk di taman bunga. Adakah dia lupa bahawa dia sedang berada di rumah Allah? Adakah dia tidak mendengar suara seruan azan, suara seruan iqamah, suara takbiratul ihram dan sebagainya..? Alangkah membatunya hati umat ini...

Penulis teringat satu riwayat yang penulis terbaca, terlupa perawinya, yang menyatakan bahawa satu ketika tatkala Abu Hurairah sedang duduk di dalam sebuah masjid, tiba-tiba azan dialunkan. Selesai azan, seorang lelaki tiba-tiba keluar dari masjid. Abu Hurairah memandang tajam terhadap lelaki tersebut seraya berkata, "lelaki ini jika mati keluar daripada agama Muhammad" Amaran ini sungguh menakutkan. Bagaimanakah jika Abu Hurairah, sahabat besar, perawi hadis paling banyak menurut kefahaman sunni itu masih hidup dan berada di surau yang disinggahi penulis? Sudah tentu beliau akan lebih marah lagi..

Dewasa ini terlalu banyak perkara aneh yang berlaku. Ada juga golongan yang singgah di masjid atau surau hanya semata-mata untuk menumpang tandas..sedangkan semasa itu sudah masuk waktu solat dan azan sudahpun dikumandangkan. Manusia aneh tersebut masuk tandas, selesai hajat, keluar semula menuju ke kereta dan terus memecut... Ya Allah..anehnya..

Ada manusia yang tidak hadir solat kerana beralasan tiada kenderaan untuk ke masjid dan rumah mereka jauh. Ada yang sudah berada di bangunan masjid tetapi tidak menyertai jamaah..dan lebih malang yang singgah hanya untuk menunaikan hajat kecil atau besar...

Terdapat juga dalam penyediaan sesuatu acara besar, seperti penyediaan masakan untuk majlis maulid, tatkala masuk waktu, petugas yang sedang memasak meneruskan sahaja kerjanya, tanpa menghiraukan seruan sang pemilik bangunan...ada juga yang bekerja sebagai kontrak yang membetulkan bangunan surau atau masjid, masuk waktu, mereka sanggup duduk di luar bangunan surau berehat dan bersembang, tanpa masuk untuk mengerjakan solat...alangkah kerasnya hati mereka..

Ya Allah....Kasihanilah mereka...berilah hidayah kepada mereka...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol