Eid Adha


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini



Salam eid adha 1431....Meskipun Malaysia lewat sehari menyambutnya dari Indonesia dan Filipina serta Saudi...ianya bukanlah perkara yang selayaknya dicatatkan disini mengenai perbahasannya. Biarkanlah ianya dibahaskan dengan lebih terperinci oleh ulama dan pakar astronomi...selaku rakyat marhain, terimalah sahaja perisytiharan dari Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu. Siapalah kita untuk menolak perisytiharan tersebut. KECUALI jika kita telah melihat hilal pada petang 30 Zulkaedah yang lalu secara ru'yah dengan mata kepala dan mengiranya bahawa 10 zulhijjah jatuh pada Selasa .. Maka disaat itu segeralah membuat sumpah di hadapan mufti negeri bahawa kita telah melihat hilal ...

Sesuatu yang menarik, eid adha atau di kalangan masyarakat melayu dikenali sebagai hari raya korban, merupakan hari memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Allah Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anaknya Ismail a.s (sesetengah riwayat menyebut Ishaq a.s) apabila mendapat perintah Allah melalui mimpi. Atas keihklasan dan ketaqwaannya kepada Allah, beliau melaksanakan perintah tersebut dan mendapat persetujuan sepenuh hati dari anaknya. Tidaklah anaknya itu meronta-ronta untuk lari, ataupun cuba melarikan diri dari rumah, apabila diberitahu oleh Ibrahim bahawa beliau bakal menyembelih anaknya sebagai korban sebagai menurut perintah Allah. Tidak jua anaknya cuba mengadu kepada hakim pada zamannya bahawa ayahnya telah hilang akal kerana ingin mengorbankan anaknya sendiri, atau cuba bertindak ganas untuk memukul terlebih dahulu bapanya, atau bapanya juga tidak bertindak agresif dengan mengikat anaknya di tiang rumahnya kerna ditakuti anaknya cuba melarikan diri. Berbeza dengan anak-anak akhir zaman yang cepat sahaja memberontak terhadap permintaan ayah dan ibu, bahkan ada yang sanggup memukul ibu sendiri, menikam bapa sendiri dan ada yang berani mengambil tindakan mahkamah terhadap ayah sendiri gara-gara si bapa atau ibu gagal memenuhi kehendaknya.

Dalam keghairahan kita untuk membuat ibadah korban serta bergotong royong melapah daging korban, maka janganlah sekali-kali kita melalaikan ibadah solat, mengotor serta membusukkan rumah-rumah ibadah dengan darah dan najis binatang ternakan serta lain-lain perkara yang boleh mencacatkan kemeriahan ibadah tersebut. Perisitiwa kelalaian solat oleh petugas ibadah korban boleh kita saksikan di mana-mana sahaja kawasan masjid dan surau yang mengadakan ibadah tersebut. Masuk waktu zohor, sang muazzin dengan istiqamah melaungkan azan. Kemudian dilaungkan iqamah maka berdirilah imam mengemudikan solat berjamaah. Tapi malang sekali, masih RAMAI petugas korban yang masih memotong daging, masih terdapat petugas korban yang sedang memotong tulang, masih terdapat juga petugas korban yang sedang bergurau dan ketawa mengisi kelesuan dan keletihan bekerja. Membiarkan sahaja imam, muazzin dan beberapa kerat jamaah meneruskan agenda solat berjamaah mereka. Bagi petugas, memotong daging korban setahun sekali itu bisa menyamai ganjaran solat berjamaah. Mungkin pada pandangan mereka, memotong tulang untuk diagih-agihkan itu lebih besar pahalanya dari menyertai solat berjamaah. Mungkin di benak fikiran mereka, kerja dan perbuatan mereka untuk menyelesaikan kerja-kerja berkaitan korban itu LEBIH UTAMA dari mengerjakan solat berjamaah. Sungguh silaplah tanggapan mereka itu. Bagaimana kita boleh beranggapan menyelesaikan kerja-kerja itu lebih utama sedangkan Nabi SAW telah menyatakan,

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Masud r.a katanya: Aku pernah bertanya Rasulullah s.a.w:

"Apakah amalan yang paling utama? Baginda s.a.w. bersabda: Sembahyang pada waktunya. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda s.a.w. bersabda: Berbakti kepada kedua orang tua. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda s.a.w. bersabda: Berjuang pada jalan Allah. Kemudian aku bertanya lagi kepada Baginda s.a.w., semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan Baginda s.a.w."

Bagaimana pula dengan hadis
Diriwayatkan daripada Hazrat ‘Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda,
“Sesungguhnya solah berjemaah dua puluh tujuh kali ganda lebih afdhal daripada solah bersendirian.”
(Hadith riwayat Imam Malik, Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, mengapa kita tidak boleh meninggalkan sebentar kerja-kerja memeotong, melapah dan sebagainya sebentar lalu menyahut seruan utama dalam kehidupan Islami kita iaitu Solat? Adakah dengan berbuat demikian akan menyebabkan peluang untuk mendapat sebahagian daging hancur berantakan? Adakah dengan berbuat demikian, daging yang sedang dilapah itu dengan serta merta bertukar menjadi berulat dan busuk? Adakah dengan solat berjamaah yang tidak sampai 5 minit itu akan menyebabkan seluruh masa kehidupan kita menjadi terencat dan terlewat?


Alasan pakaian kotor, pakaian berbau, leceh, kemudian boleh solat bukanlah sesuatu yang boleh diterima akal. Janganlah kita berpura-pura sahaja dengan perbuatan-perbuatan seolah-olah kitalah juara dalam hal gotong royong, kitalah juara dalam hal lapah melapah, kitalah juara dalam hal pembahagian korban, namun perkara pokok dan asas kita lengah-lengahkan dan kita ketepikan.

Ia umpama kita menghadap satu hidangan. Kita hanya makan lauk sahaja dan meninggalkan nasi yang menjadi hidangan utama adakah kita puas? atau kita hadir ke majlis walimah, lantas kita mencapai mic dan menyanyikan lagu karaoke tanpa menjamah nasi minyak atau beryani, kemudian kita pulang, adakah ianya mencukupi bagi kita?

Alangkah ruginya kita....

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol