Khidmat Cemerlang dan kita
Dan esok sekali lagi organisasi penulis akan meraikan staf yang telah diiktiraf cemerlang dalam kerjaya mereka sepanjang perkhidmatan dalam tahun 2009 yang lepas. Ini merupakan tarikh terlewat sejak penulis menyertai organisasi ini untuk meraikan pengiktirafan ini. Meskipun terdapat beberapa anugerah lain yang turut disampaikan, namun anugerah khidmat cemerlang dilihat lebih menarik dan mampu menarik khayalak. Anugerah kedua yang juga boleh dianggap menarik ialah anugerah jasa bakti yang diberikan kepada staf yang setia berkhidmat mencapai usia 10 tahun perkhidmatan.
Mungkin penerimaan anugerah jasa bakti, anugerah penerbit, juga anugerah-anugerah lain yang diterima oleh staf tidak menjadi pertikaian atau bualan ataupun gosip di kalangan staf yang lain. Namun penganugerahan khidmat cemerlang selalunya akan menjadi bualan, menimbulkan sedikit sebanyak perasaan tidak berpuas hati, gosip liar dan sebagainya di kalangan staf yang kurang cemerlang.
Sebenarnya semua staf berpeluang untuk menikmati ganjaran yang disediakan, sejumlah wang, sijil dan juga seutas jam tangan. Cumanya bila tarikh keramat itu akan muncul dalam kehidupan seorang staf tidak mampu sesiapapun untuk membuat ramalan. Bagi yang kecewa, boleh jadi kerana dia terlalu mengharapkan untuk menjadi penerima pada tahun tersebut. Ada juga yang terperanjat besar apabila menerima berita kerana merasa dirinya bukanlah orang yang layak. Ada juga yang memang telah mengharap dan harapannya terkabul dengan izinNya jua...
Manusia itu sememangnya mempunyai kecenderungan suka dipuji dan benci untuk dicela. Sudah menjadi suatu yang menarik apabila penat lelah serta tenaga yang dicurahkan sepanjang tahun dihargai oleh majikan.
Teori ekspektasi Vroom telah diperkenalkan oleh Victor Vroom pada tahun 1968. Menurut Ainon (2003), teori ini mengatakan sejauhmana seseorang itu sanggup berusaha melakukan sesuatu adalah didorong oleh sejauhmana dia mempunyai harapan dia akan menerima apa yang diharapkannya. Manusia itu bersifat waras, dengan berfikir secara rasional, mereka akan membuat pilihan-pilihan yang paling menguntungkan.
Ganjaran yang diberikan bakal memberikan motivasi kepada pekerja. Sekurang-kurangnya penghargaan ialah ucapan terima kasih dari seorang bos kepada anak buahnya atas kerja yang berjaya dilaksanakan. Contohnya, seorang kerani yang berjaya menyelesaikan surat panggilan mesyuarat dalam masa yang singkat, merasa amat terharu dan termotivasi apabila penyelia atau ketuanya memuji-muji akan tugasnya. Namun, jika sekiranya ia dikeji, dikatakan bahawa tidak pandai membuat surat, banyak kesilapan dan sebagainya, maka kerani tersebut akan mula merasakan dirinya tidak dihargai lantas lama-kelamaan ianya akan membunuh jiwanya yang hangat untuk bekerja.
Berbalik kepada anugerah khidmat cemerlang, suatu ketika sebelum PTK diperkenalkan, acara anugerah ini menjadi sesuatu yang amat ditunggu-tunggu. Apa tidaknya, staf yang bertuah akan mendapat kenaikan gaji secara menegak atau melintang. Ianya akan memberikan kesan jangka panjang terhadap gred gaji. Namun apabila PTK diperkenalkan, penerimanya hanya akan menerima sijil dan beberapa saguhati mengikut organisasi.
Akhir kalam, kepada sahabat yang terpilih tahniah diucapkan dan moga kecemerlangan ini boleh diteruskan di masa-masa hadapan. Kepada yang masih belum menerimanya, ingatlah penilaian Allah itu lebih utama dari penilaian manusia. Meskipun kita berkhidmat dengan penuh ikhlas dan cemerlang, biarkanlah Allah sahaja yang menilai pekerjaan kita. Kerana penilaian Allah itu lebih utama dan hari anugerah cemerlang dariNya pasti tiba dengan janji anugerah yang lebih berprestij dari segala anugerah di dunia yang fana ini..Wallahu alam.
Ulasan