Khutbah Jumaat


Ada perkara menarik yang cuba diketengahkan oleh salah seorang ahli panel forum tidak rasmi ketika berehat selepas makan kenduri selepas Maghrib sebentar tadi. Antaranya ialah ia mengatakan alangkah moleknya kalau khutbah Jumaat setiap minggu itu lebih menumpukan kepada isu-isu semasa bersifat tempatan. Sebagaimana lazimnya, teks khutbah Jumaat telah disediakan oleh pihak Jabatan Agama negeri. Ianya disusun hasil daripada tulisan orang perseorangan yang menghantar karya mereka dan terpilih, ataupun hasil tulisan pegawai khas yang dilantik. Isi kandungannya selalunya berbentuk umum. Sebagai contoh, khutbah jumaat pada 5 November 2010 untuk negeri Johor berkisar mengenai balasan selepas mati, akhirat dan sebagainya. Sebelum ini biasa kita mendengar mengenai tajuk khutbah berkaitan hari pahlawan dan ada juga berkaitan sungai kita!!!

Kita juga pernah mendengar khutbah mengenai isu Palestin. Kita juga mungkin pernah mendengar khutbah memperli atau memperlekehkan pemimpin dan kerajaan. Kita juga mungkin pernah terserempak dengan isi khutbah yang menghina pertubuhan politik tertentu..

Kata panel tersebut, pada zaman Rasulullah SAW, Nabi akan berkhutbah menyentuh isu setempat. Oleh yang demikian, katanya, masjid-masjid perlu diberikan kebebasan untuk berhutbah mengenai isu yang berlaku di qaryah masing-masing. Sebagi contoh, di kampung A misalnya sedang heboh dengan kes rempit, remaja meninggalkan solat, berzina , dadah dan sebagainya, maka imam di qaryah berkenaan perlu memasukkan teguran dan khutbah yang menyentuh isu berkenaan agar dapat mengetuk pintu hati si pelaku, ataupun sekurang-kurangnya pintu hati ibu bapa yang terlibat..

Ada benarnya juga kata-kata tersebut. Tapi malangnya, tidak semua imam sanggup melakukan seperti itu. Alasan paling mudah, nanti apabila jabatan agama tahu, maka mereka boleh didakwa dan boleh dikenakan tindakan, bahkan boleh terlucut pula jawatan imam itu...Apakah jawatan imam kampung itu lebih penting dari menegakkan kebenaran?

Ada juga imam yang akan berkata, mana sempat nak buat teks khutbah. Kadang-kadang teks yang disediakan itupun tidak sempat dibaca untuk bacaan kali pertama sekurang-kurangnya sebelum dikhutbahkan untuk mengelakkan kesilapan, juga agar imam benar-benar faham apa yang diperbincangkan. Akibatnya, dek kerana ketiadaan masa untuk membaca teks, ianya menjadi lesu kerana khatib gagal memahami tajuk sebenar yang ingin disampaikan. Boleh jadi jabatan agama berkehendak lain, tetapi imam menyampaikan dengan gaya dan cara bacaan lain yang menyebabkan maksud suci para pentadbir agama itu gagal disampaikan.

Alangkah moleknya kalau imam mampu memahami isi khutbah dan seterusnya mampu menyampaikan maksud atau mesej sebenar yang cuba disampaikan. Lebih molek lagi kalau imam dapat membuat sedikit 'homework' dengan membaca teks lebih awal, dan membuat beberapa perubahan yang sesuai dengan kehendak dan situasi sebenar di muqim masing-masing.

Apabila isi khutbah mampu difahami, isu semasa di qaryah dapat dicanai dan disampaikan melalui mimbar, imam pula mempunyai kredibiliti dan gaya penyampaian yang menarik, Insya Allah mesej dari khutbah dapat diampaikan tanpa perlu membaca teks yang berjela-jela. Tentu bilangan yang tertidur akan dapat dikurangkan...

Zaman Nabi SAW, baginda berkhutbah tanpa perlu menggunakan teks. Zaman mutkahir ini, hendak mencari khatib tanpa teks amat payah sekali. Kalau adapun, mungkin akan berhadapan dengan kesukaran untuk kembali beraksi di masa yan lain dek kerana sekatan pihak berkuasa agama..

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol