Muharram tiba lagi
Esok atau lebih tepatnya Maghrib sebentar tadi umat Islam telah bersama melangkah ke tahun baru 1432 hijriah meninggalkan tahun 1431. Perayaan tahun baru hijriah atau dikenali sebagai sambutan maal hijrah di Malaysia diraikan saban tahun apabila masuk sahaja perkiraan 1 muharram untuk tahun berikutnya.
Kalendar berasaskan perkiraan lunar ini pertama kali dilaksanakan pada zaman pentadbiran Umar Al Khattab selaku khalifah bagi memantapkan lagi pentadbiran beliau. Beliau telah memilih waktu hijrah Nabi SAW ke Madinah sebagai permulaan pengiraan tahun hijrah, meskipun sebenarnya Junjungan tidak berhijrah dalam bulan Muharram, namun Muharram dipilih sebagai bulan pertama pada kalendar hijri itu sebagai mengakui kemuliaan bulan tersebut yang sememangnya dihormati oleh seluruh masyarakat arab ketika itu.
Sambutan di Malaysia boleh dikatakan paling meriah berbanding negara Islam yang lain kerana wujudnya acara-acara secara rasmi sejak malam tahun baru (meskipun tidak dapat menandingi kemeriahan malam tahun baru masehi) dan juga acara rasmi pada pagi harinya (yang tidak terdapat pada sambutan tahun baru masehi).
Mungkin secara mudahnya, tahun baru hijri adalah disambut secara rasmi pada siangnya dengan pelbagai acara berbau keagamaan dihiasi oleh anugerah tokoh hijrah , manakala sambutan tahun baru masehi, sangat meriah pada malamnya dengan pelbagai acara hiburan dan countdown bahkan ada kalanya dihadiri oleh para pemimpin utama, meskipun tidak disambut secara rasmi, tanpa adanya sebarang anugerah, namun sambutan dari para pengunjung adalah amat-amat menggalakkan. Tanpa perlu dikeluarkan surat arahan bertugas. Tanpa perlu dikeluarkan sebarang pekeliling. Tanpa perlu diulang siar tayangan iklan mengenai sambutan tahun baru masehi. Nuscaya paling kurang belasan ribu manusia pasti akan membanjiri tapak-tapak countdown, ditambah dengan pelbagai acara hiburan oleh artis tersohor yang menjadi ikon dan ikutan...Berbeza dengan malam sambutan hijra yang kelihatan agak lesu, membosankan dan sejuk...
Meskipun pelbagai usaha dibuat bagi memeriahkan lagi sambutan tahun baru hijra dengan membariskan ulama tersohor melalui forum dan sebagainya, ia tetap gagal untuk menarik tumpuan khayalak. Kita masih belum dapat mendengar dari peti televisyen kita di ruang tamu yang memaparkan secara langsung sambutan malam tahun baru hijra dari klcc atau dari padang kelab selangor, tetapi kita dah muntah dan terbelahak dengan acara sambutan tahun baru masehi yang WAJIB diadakan setiap malam tahun baru masehi yang begitu hangat sambutannya...
Kenapa begitu ya? Kalau menurut kacamata golongan yang mengaku sebagai pengikut salaf mudah sahaja..amalan sambutan ini adalah bida'ah dan tak perlu kita mengulang atau meniru bida'ah yang dilakukan oleh kaum masehi dalam menyambut tahun baru mereka itu...
Amalan sambutan tahun baru hijra perlu diberikan suntikan yang lebih memberangsangkan agar ianya tidak menjadi terlalu hambar dan tidak menarik minat pemuda pemudi. Program kuliah, forum perdana, liga ilmu itu hanya akan ditonton atau didatangi oleh golongan yang sudah sedia baik sahaja, atau lain perkataan golongan yang sememangnya sudah sebati dengan rumah-rumah Allah. Golongan yang masih segan, enggan, ingkar dan meluat dengan rumah-rumah Allah tentu tidak akan mendatangi tempat-tempat suci ini biarpun kuliah atau forum malam tahun baru hijranya menampilakn tokoh ulama tersohor seperti syekhul al azhar sekalipun!!
Para ulama dan dai perlu lebih arif dan cermat dalam menangani masalah ini. Sudah tiba masanya untuk ulama,ustaz,imam dan sebagainya turun padang menyelami hati budi anak muda pemain gitar jalanan, anak muda yang rempt-rempitan, anak-anak muda yang berpelukan di tengah malam gersang, menarik dan mengajak meraka kepada agama Allah...
Janganlah para ulama dan dai ini ego dengan keilmuan mereka dan terus-terusan memaki dan merendahkan golongan ini. Akibatnya mereka akan menjadi semakin jauh dan tuntutan seruan kepada jalan Allah sebagaimana kehendak al quran akan semakin terhalang. Ulama akan terus berada di pondok-pondok usang, madrasah dan halaqah mereka terasing dari muda mudi yang terperosok di kelab-kelab malam, pesta zina dan sebagainya yang mengundang bala.
Dengan kedatangan 1432 ini, sama-samalah kita mengambil semangat hijrah...transformasi dari keadaan sekarang kepada keadaan yang lebih baik, ulama mendekati ahli maksiat, menasihati umara dengan tulus, membimbing ummah ke jalan selamat dengan seruan yang baik dan berhikmah....Wallahu alam
Ulasan