Penilaian 360 darjah

Akhbar Berita Harian memaparkan tajuk ini semalam, 9 Mei 2011. Menurut kefahaman penulis, penjawat awam akan dinilai berdasarkan kepada penilaian atas bawah, kiri kanan depan dan belakang, yang bermaksud, setiap individu penjawat awam akan dinilai oleh pegawai atasan, rakan sekerja dan juga orang bawahan. Tujuan penilaian adalah untuk kelayakan kenaikan pangkat. Meskipun ianya diwar-warkan selaku pengganti PTK, namun ianya tidak pula digunapakai untuk pergerakan gaji melintang mahupun menegak. Jika sebelum ini penilaian prestasi tahunan (semasa SSL) boleh menentukan pergerakan gaji hingga melintang, selepas SSB, pergerakan menegak atau melintang hanya ditentukan oleh aras IV dari keputusan PTK.

Walau bagaimanapun, masih tiada penjelasan dan pencerahan daripada pihak yang berwajib. Jika ianya tetap akan dilaksanakan pada Julai nanti, ianya berkemungkinan akan menjadi satu isu yang agak kontroversi di kalangan penjawat awam. Kalau sekiranya sang penilai itu terdiri daripada rakan-rakan sepejabat yang tiada masalah dengan diri yang dinilai, maka ianya mungkin kurang memberikan impak negatif. Namun harus diingat, kebanyakan jabatan awam mengandungi staf yang mempunyai klik-klik tertentu. Selalunya atau acapkali klik-klik ini jarang mempunyai kesamaan dari segi pandangan mahupun cara bekerja, dan oleh kerana itulah munculnya pelbagai klik. Perbezaan yang muncul di antara klik kadangkala cuma berpunca dari sikap 'meluat' sesuatu klik terhadap klik yang lain dari kliknya, ataupun kadang-kadang hanya kerana kemeluatan itu timbul terhadap salah seorang ahli klik lain menyebabkan para pencinta, para simpati terhadap individu yang kurang digemari itu cuba dijauhi dan cuba dibentuk satu gagasan yang ke arah membenci individu tersebut dan sekiranya muncul para penyokong gagasan itu, maka terbentuklah klik baru.

Apabila penilaian 360 ini muncul, ada kemungkinan pertempuran dan pertembungan antara klik yang tidak sebulu ini akan berlaku. Memang kita akan katakan, selaku penjawat awam, haruslah profesional dalam menjalankan tugas. Namun penulis percaya itu hanyalah satu retorik semata-mata. Hakikatnya ialah apabila muncul ketidakpuasan hati, akan timbul pula dendam kesumat, dan dengan kemunculan 360 ini, peluang untuk melancarkan serangan hendap terhadap 'musuh' terbuka luas.

Sememangnya sikap seumpama ini amat dibenci oleh Allah. Namun ianya menjadi kegilaan Iblis dan disokong untuk dilaksanakan secara meluas di semua peringkat manusia, termasuk di institusi-institusi kerajaan yang majoritinya dihuni oleh manusia melayu-Islam.

Jika pelaksanaannya tetap akan dilaksanakan, penulis ingin mendoakan agar ianya berjaya dan agar semua pihak khususnya yang tidak sebulu membuka mata hati. Janganlah kerana perasaan dendam yang tidak pernah mungkin padam, mendorong kita untuk menilai dan mencelakan musuh kita semahu-mahunya. Ambillah contoh Rasulullah SAW yang tetap menunjukkan kebaikan dan ketinggian akhlak terhadap musuh meskipun musuh tidak pernah henti menjatuhkannya. Ambillah juga sikap muhasabah diri bagi yang menjadi mangsa kebencian dan kejahatan kununnya, agar melihat kembali diri sendiri, apakah aku yang benar atau merekakah yang benar? Ubahlah sikap kerja dan sikap terhadap rakan sekerja dengan kadar segera. Meskipun penilaian ini tidak dilaksanakan di atas muka bumi ini, namun penilaian Allah taala lebih utama dan Dia sememangnya menilai kita dari semua aspek. Janganlah pula kita menjadi hipokrit sebelum dinilai, kemudian apabila telah berjaya menuju pncak, terdedah segala kepekungan dan kebusukan moral sendiri.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol