Yasinan dan bahaya darinya



Di setiap komuniti melayu khususnya, akan wujud satu jamaah yang dipanggil jamaah Yasinan. Jamaah yasinan ini terbahagi kepada dua kelompok yang besar iaitu pembahagian melalui jantina. Yasinan lelaki selalunya lebih hamper dengan jamaah di surau ataupun masjid dan di qaryah penulis, ianya tidak terorganisasi dengan begitu baik kerana selalunya ia dimasukkan terus ke dalam aktiviti-aktiviti masjid atau surau qaryah.

Jamaah yasinan wanita selalunya akan bertindak lebih dominan. Mereka mempunyai struktur organisasi yang agak tersusun, dan mempunyai aktiviti yang agak berjadual. Pada musim perayaan khususnya aidil fitri, ianya akan bertukar menjadi jamaah marhaban atau baraan.

Aktiviti kumpulan yasinan wanita ini selalunya akan diketuai oleh seorang yang lebih berwibawa dan diterima ramai. Aktiviti mereka ialah membaca yasin dan tahlil secara beramai-ramai. Anggota pertubuhan ini akan muncul pada saat-saat kematian, ataupun apabila ada ahli qaryah yang berhajat untuk mengelolakan aktiviti membaca yasin diikuti dengan bacaan doa selamat.

Sayangnya, aktiviti seumpama ini kadangkala mengundang kerosakan dan menompok dosa pula secara kolektif jika gagal dikendalikan dengan baik. Sebagai contoh, berlakunya perebutan kuasa untuk menjadi pimpinan jamaah yasinan yang akhirnya mengakibatkan munculnya kumpulan serpihan yang diketuai oleh wanita yang tidak berpuas hati. Walaupun tidak pernah kedengaran berlakunya pemilihan ketua yasinan secara formal sama ada di balai raya, surau apalagi internet, namun sebenarnya perebutan kuasa secara diam-diam boleh mengundang perpecahan yang mengakibatkan kehilangan beberapa orang ahli yang setia.

Adalah amat malang lagi pula jika kumpulan yasinan ini hadir dalam keadaan ada ahli kumpulan yang gagal membaca yasin dengan tajwid yang betul, namun tidak pula dihiraukan oleh ketua jamaah sama ada untuk memberikan teguran, apalagi membuka kelas khusus untuk membaca al quran. Malang semakin menompok apabila wujud kumpulan gossip yang kerap menyusup dan menusukkan jarum halusnya tatkala selesai acara sementara menunggu hidangan, atau tatkala sedang menikmati hidangan atau tatkala berjalan pulang ke rumah.

Adalah lebih baik jika seorang wanita duduk sahaja dirumahnya bersama anak dan suami, tanpa mengumpat dan bergosip tetapi tidak menyertai jamaah yasinan atau rewang atau marhaban, daripada seorang wanita aktif yang tidak pernah ketinggalan menyertai perkumpulan yasinan, marhaban dan rewangan , terkenal di kalangan ahli qaryah sebagai seorang yang senantiasa hadir apabila diperlukan, namun gossip dan umpatan tidak pernah lekang dari bibirnya. Mengumpat, mengata dan menista serta membawa kisah keburukan orang lain sudah menjadi berita yang senantiasa hangat disampaikannya. Apakah faedahnya jika seseorang yang memang rajin merewang, juga rajin bercerita hal keburukan orang lain? Bukankah dosa-dosa lidah itu boleh menarik pelakunya terus ke neraka tanpa mengira ringan tulang yang dipamerkan, apalagi keringanan tulang itu hanya diniatkan untuk pameran agar manusia menganggap dia senantiasa berada di pihak yang benar dalam taburan kisah keburukan orang lain yang diriwayatkannya?

Tiada kebaikan yang timbul dari manusia seumpama ini . Bukankah Imam Hassan Al Banna pernah menyuruh ditutup sahaja musalla pada malam Ramadhan daripada manusia yang hadir bertarawih namun berbalah mengenai hal rakaat, samada 11 atau 21? Ini jelas menunjukkan bahawa menjaga mulut dan lidah dari dosa agen perpecahan itu wajib sedangkan ibadah sunat itu bukanlah sesuatu yang fardhu. Oleh itu bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan apabila di sesuatu qaryah itu kumpulan yasinan, kumpulan marhaban atau kumpulan rewang sangat aktif dan bertenaga serta kelihatan sangat membantu dan bekerjasama, namun banyak hati ahli qaryah yang disakiti, banyak keluarga yang berpecah kerana fitnah yang disebarkan, perpecahan dan api permusuhan semakin berkobar dek kerana gara-gara ahli kumpulan yang gagal mengawal akhlak mereka..

Wallahu A’lam

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol