kluang-putrajaya-masjid india-the mines

Malam Jumaat lepas penulis, anak-anak, bonda dan adik perempuan bertolak ke pusat pentadbiran negara yang telah diasaskan oleh Tun Mahathir untuk mengambil isteri yang berkursus di KPM sejak Selasa. Selasa lepas juga penulis bercuti untuk menghantar isteri ke sana. Bergerak dari rumah seawal jam 5 pagi. Singgah di Ayer Keroh untuk solat dan sarapan. Tiba di destinasi tepat jam 7.45 pagi. Isteri dilojing di rumah datuk saudara disebabkan tiada kemudahan penginapan yang disediakan.

Berbalik kepada perjalanan di malam Jumaat, kami singgah juga di R&R yang sama, Ayer Keroh untuk solat. Kami berjaya tiba di hadapan Masjid Agung Putra sekitar jam 10.00 malam. Datuk saudara menjemput di hadapan masjid memandangkan penulis tidak dapat membuat pengecaman dengan baik lokasi sebenar rumah beliau, meskipun mempunyai kemudahan GPS.

Rumah datuk saudara tidaklah sebesar mana. Al maklumlah bangunan kuaters kerajaan. Mempunyai 2 bilik tidur. Kami ditempatkan di sebuah bilik. Serangan nyamuk sangat kuat pada malam tersebut. Ini disebabkan kami terpaksa tidur membuka pintu cermin bergril dan juga ingkap kerana keadaan yang panas jika tidak berbuat demikian.

Subuh Jumaat tiba dengan sambutan hujan yang agak lebat dari langit yang berwarna kemerahan. Kami hanya solat berjamaah di rumah sahaja.

Sarapan pagi telah disiapkan sebelum datuk saudara dan nenek saudara pergi bekerja. Hidangan ialah roti canai. Agak menyelerakan. Sarapan pagi kami dihiasi dengan bacaan ayat-ayat Al Quran dari sekolah berhampiran.


Usai bersarapan, berbaring sebentar hingga tertidur kembali. Pabila tersedar, datuk saudara telah pulang kembali ke rumah. Bersiap untuk bergerak, menjelang jam 11.00 pagi kami bergerak ke pejabat nenek saudara untuk mengutip permaidani.

Kemudian kami bergerak menuju ke Sogo dengan bantuan GPS dari telefon bimbit. Pada awalnya perjalanan agak luas dengan mudah. Menjelang tiba di ibukota, keadaan sesak mula menjerat kesabaran diri. Akhirnya terus terperangkap di tengah-tengah kesesakan sehingga menjelang waktu Jumaat.

Akhirnya selepas jam 2 petang, dapat bertemu dengan parking kereta di kawasan perniagaan paling sibuk di ibu kota, iaitu berhampiran masjid india di TAR. Aktiviti pertama di sini ialah makan tengahari di kawasan lorong sempit yang menempatkan segugus peniaga muslim, sama ada dari negara kita mahupun negara jiran. Suasana sempit, sendat, panas serta hingar bingar menguasai kawasan tersebut sambil cuba mengambil mood menikmati juadah yang dibeli. Untuk mendapatkan tempat duduk juga bukanlah semudah di lokasi makanan biasa. Harga dua ekor ikan bakar, 4 pinggan nasi putih dan sayur air ialah RM19.00. Air minuman pula ialah RM7.00.

Bergerak ke lokasi seterusnya di gedung jualan kain dan pakaian. Pekerja di dalamnya sangat ramai. Kain yang dijual juga begitu banyak dan tinggi harganya. Bayangka, baju melayu cekak musang siap berharga RM650!!. Kainnya biasa-biasa sahaja pada pengamatan penulis.

Sekitar jam 6 petang, kami bergerak pulang menuju ke rumah abang ipar. Juga dengan izin Allah atas bantuan GPS yang baru sahaja dicharge baterinya setelah terpadam semasa mencari lokasi Sogo.

Tiba di rumah beliau sekitar jam 7.45 malam. Kami dihidangkan dengan makan malam sate dan juga ikan yang dibakar di dalam daun. Kami tidur di hadapan televisyen.

Sarapan pagi menyusul di pagi hari dengan roti canai dan juga nasi lemak. Menjelang tengahari, kami bergerak ke Bangi untuk membeli beberapa barangan. Makan tengahari di restoran sup UK. Tiga ekor ikan bakar, sayur goreng mangkuk kecil, kerabu pelam mangkuk kecil juga kerabu jantung pisang mangkuk kecil dan air berharga RM50.00!!

Menjelang Zuhur, kami bergerak pula ke The Mines. Di sana kami berada sehingga menjelang jam 6 petang.

Makan malam di kawasan sekitar Bandar Tun Abd Razak, dan kemudian kami bergerak pulang. Singgah solat di R&R Seremban dan juga R&R Pagoh kerana mengantuk. Tiba di rumah sekitar jam 12.30 pagi...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol