Syawal Kembali….

Berlalulah sudah Ramadhan Sebulan Berpuasa….

Syawal kembali menjelma. Sebaik sahaja pengumuman tarikh hari raya eid diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu keudara, bunyi dentuman mercun bagai letupan bom tangan menggegarkan kawasan perumahan penulis.

Syawal yang datang pada 1432 Hijrah, sebagaimana syawal sebelumnya, menandakan kejayaan bagi golongan yang menyelesaikan puasa 29 hari pada tahun ini. Pengumuman penyimpan mohor besar kini tidak segah dahulu. Kalau dahulu semasa penulis masih kecil, pengumuman ini sangat ditunggu-tunggu baik pengumuman permulaan Ramadhan ataupun Syawal. Selalunya kami akan berdebar-debar menantikan pengumuman dibuat. Kata-kata yang diluahkan oleh sang penyimpan kami teliti dan hayati satu persatu. Kalau esok raya, tentu sahaja ada suara yang melaung gembira. Tidak kiralah yang melaung dan bersorak itu diperingkat umur mana sekalipun. Maka sepanjang malam, selalunya ahli keluarga tidak akan tidur. Masing-masing dengan tugas masing-masing. Bagi ibu-ibu seperti biasa menyediakan juadah istimewa untuk hidangan di pagi syawal. Sang bapa pula selalunya sibuk merebus ketupat ataupun membakar lemang. Saat-saat ini sangat indah. Beberapa hari sebelum hari raya, maka akan timbul ramalan-ramalan mengenai tarikh hari raya. Bagi yang benar-benar percaya, mereka akan membuat persiapan awal. Siang hari terakhir Ramadhan (29 Ramadhan)telah mula memasak kerana yakin esok 1 syawal. Yang tidak percaya buat selamba sahaja. Maka apabila ramalan menjadi kenyataan, yang telah bersiap boleh tidur lena di malam raya manakala yang belum bersiap tergopoh-gapah membuat persiapan, dan juga sebaliknya.

Kadangkala wujud juga beberapa negeri yang berhari raya manakala ada negeri yang masih berpuasa. Contohnya sekitar tahun 1982 atau 1983, pernah neeri Perak dan Johor mengisytiharkan esok hari raya, walhal penyimpan mohor besar telah mengisytiharkan 1 syawal pada lusa harinya, dan pengumuman raya lebih awal dibuat melalui siar raya oleh pihak polis ketika umat Islam sedang bersahur!!

Itu suasana lebih puluhan tahun lampau. Kini , pengisytiharan oleh penyimpan mohor besar hanya seqadar ‘rubber stamp’ sahaja. Tiada lagi yang berpeluh-peluh di hadapan peti televisyen atau berkumpul beramai-ramai adik beradik, suami isteri atuk nenek untuk mendengar pengumuman 1 syawal. Semua orang sudah tahu tarikh hari raya dan juga tarikh 1 Ramadhan.

Namun ada juga sebenarnya segelintir umat Islam yang masih berpegang kepada ajaran yang tersimpan dalam kitab-kitab kuning. Pandangan ulama klasik yang menyatakan anak bulan perlu dilihat dengan mata kepala tanpa bantuan sebarang peralatan canggih. Maka sebenarnya masih ada di kalangan umat Islam yang lewat berhari raya ataupun awal berpuasa…Terpulang kepada pandangan yang dianuti.

Acara 1 Syawal yang lazim ialah ziarah menziarahi dan bermaafan selepas solat sunat eid. Kemudian makan..kemudian ketawa..kemudian makan.. sama sahaja. Itulah sambutan 1 syawal bagi yang telah meningkat usia. Bukan seperti kanak-kanak yang amat menantikan 1 syawal. Kerana ada duit raya.Ada baju raya. Ada kuih raya.
Hari raya sebenar kita yang semakin menjauh dari dunia dan semakin hampir dengan tarikh keramat gerbang kematian ini ialah apabila kita berjaya masuk ke dalam jannah. Itulah sebesar-besar nikmat hari raya.

Semua manusia khususnya berbangsa melayu yang menerima Islam secara keturunan pasti menyambut syawal tanpa mengira fahaman, sama ada nasionalis, islamis, sosialis, punk, atau apa sahaja, pasti akan meraikan syawal, pasti akan hadir solat sunat eid (walaupun hanya setahun sekali sahaja menjejak tangga masjid). Sanggup menangis mendengar alunan takbir dan juga alunan lagu-lagu hari raya dan sebagainya.

Oleh sebab kesemua anutan ini meraikan syawal atas nama Islam, maka muncullah manusia yang meraikannya dengan mengadakan acara karaoke di rumah. Tetamu yang datang juga dapat berkaraoke secara percuma. Tapi sayangnya, tidak pula dibuat takbir hari raya dengan berkaraoke sepanjang malam memuji dan memuja Allah, bertakbir, bertahmid dan bertasbih kepadanya. Sungguh malang jika begitu..

Semoga Syawal kali ini menjadi Syawal yang benar-benar diraikan sebagai konvokesyen selepas kejayaan kita menjalani kursus jangka pendek di universiti Ramadhan.

Wallahu A'lam
Syawal yang datang ini memerlukan kita muhasabah kembali Ramadhan yang telah kita lalui.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol