Catatan musafir ke serambi Madinah
Penulis memulakan musafir ke bumi serambi Madinah pada jam 9.30 malam dengan menaiki sebuah bas pesiaran. Penulis mengikuti rombongan isteri yang merupakan guru sekolah. Rombongan tersebut membawa pelajar-pelajar tahun enam yang telah selesai peperiksaan UPSR mereka. Guru-guru sekolah mengambil kesempatan dan peluang yang ada untuk bersama menuju ke destinasi lawatan.
Berhenti sebentar di sekolah untuk mengambil penumpang. Dua buah bas yang agak selesa telah sedia menanti sekitar jam 10.30 malam. Setelah doa dibacakan, kami meneruskan perjalanan membelah kegelapan malam selasa menuju ke destinasi. Filem 1,2,3 cinta ditayangkan dalam suasana kegelapan di dalam perut bas untuk hidangan penumpang yang mungkin gagal untuk tidur.
Ketika melepasi pecan Rompin, kami terserempak dengan sebuah kemalangan dimana sebuah kereta telah terbalik di jalan raya. Penulis tidur dalam keadaan tidak berapa lena. Sebaik sahaja terasa bas membrek, maka mata pasti akan terjaga. Apabila terasa kelajuan bas bertambah, mata juga pasti mahu dibuka. Ini berlaku sejak acapkali berlakunya kemalangan bas ekspres sejak mutakhir ini. Sejak itulah apabila menaiki bas, maka tidur penulis tidak mampu untuk lena. Khuatir jika berlaku sebarang kemungkinan. Khuatir jika mati dalam keadaan tidak sempat menyebut kalimah toyyibah.. Namun mujurlah bas tidak terlalu laju dipandu sekitar 80km/j sahaja.
Ketika bas melalui Pekan, Pahang, sekitar jam 2.30 pagi, penulis sekali lagi terjaga dan tatkala melalui sekolah yang penuh nostalgia, SHAH Pekan, penulis tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat bangunannya, kalaupun tidak dapat melihat pintu pagarnya sudah cukup untuk menggamit semula nostalgia tatkala berada di sana lebih 20 tahun lampau…
Sejam kemudian, kami tiba di bandaraya Kuantan Pahang dan kemudiannya, mata penulis dikalahkan dek perasaan mengantuk namun tetap akan terjaga setiap jam. Akhirnya, kami tiba di Rantau Abang tatkala azan Subuh berkumandang. Kami menunaikan Solat Subuh berjamaah dan mandi di masjid tersebut. Menjelang, syuruk kami bergerak untuk menikmati hidangan sarapan pagi di warung yang berdekatan. Menu kami ialah nasi lemak, mee goreng dan juga nasi minyak. Hidangan di sini sudah barang pasti berbeza dengan di negeri kami. Sambal nasi lemak langsung tidak pedas. Andaikata kata ada pertandingan makan makan sambal semata-mata tanpa nasi, nescaya orang Johor pasti akan menjadi juara di negeri serambi Madinah ini.
Kami kemudiannya bergerak ke pusat pembiakan penyu dengan hanya berjalan kaki. Disini ialah pameran gambar-gambar dan tayangan. Kemudian, kami bergerak pula ke bangunan lain untuk lebih informasi mengenai penyu. Kemudian kami melihat pula penyu dan anak-anak penyu yang dipelihara sebelum dihantar ke laut lepas. Penyu memang sinonim dengan negeri ini. Ianya menjadi faktor utama kedatangan pelancong ke sini. Oleh sebab itulah pusat pembiakan penyu ini sangat penting sebagai nadi penggerak sektor pelancongan negeri ini.
Kami kemudian bergerak dengan bas menuju ke Arfa Batik. Kawasan pembuatan batik yang tersohor dan termahal di muka bumi mungkin. Bangunannya yang tersergam indah sangat mengujakan. Di bawah bangunan ini dikelilingi oleh kolam ikan dengan ikan kap yang begitu banyak. Pelawat boleh member makan ikan-ikan ini dengan membeli makanan ikan di kaunter berharga RM1.00. Oleh kerana yang dating dalam rombongan ini ialah pelajar tahun enam, maka sangat laris jualan makanan ikan tersebut pada tengahari yang agak hangat ini.
Sekitar jam 1 tengahari, kami tiba di sebuah kawasan untuk menjamu selera. Makanan yang tidak seberapa melambung harganya. Rupanya air yang disediakan bergelas besar. Beginilah negeri pelancongan. Pasti harga makanan akan naik tanpa boleh disekat-sekat lagi.
Hujan rintik-rintik menyambut ketibaan kami di kawasan letak kenderaan pasar payang dihadapan istana tuanku sultan. Hujan itu bertambah lebat kemudiannya menyebabkan penulis terperangkap di stesen bas.
Kami kemudian bergerak menuju ke chalet sekitar jam 5 petang. Chalet yang disediakan di sekitar Rusila agak selesa juga. Sekitar jam 8 malam, kami bergerak untuk makan malam. Selepas berpusing beberapa kali, akhirnya kami menemui juga sebuah kedai yang tidak kurang mahalnya. Segala nasi goreng menjejak RM6.00 dan rupanya selepas dibuat pesanan hampir 15 minit, dimaklumkan bahawa segala nasi telah habis…
Hal ini merupakan salah satu kelemahan peniaga melayu yang kerap penulis hadapi. Mengambil pesanan dengan penuh bergaya dan menyakinkan dan kemudiannya selepas 10 ke 15 minit menunggu, dimaklumkan bahawa menu yang dipesan telah habis, dalam keadaan air yang dipesan telah sampai lebih awal. Ini sebenarnya taktik yang menyebabkan pelanggan yang agak ‘baik’ menjadi serba salah kerana air telah hampir separuh dihabiskan. Mahu tidak mahu, pesanan baru dibuat. Kalau terjumpa pelanggan yang gedebe agaknya terus ditinggalkan tanpa membuat sebarang bayaran. Barulah agaknya terkelip-kelip mata tuan punya kedai makan…
Usai menikmati juadah hampir 2 jam, bergerak pulang ke chalet. Bunyi deruan ombak agak kuat kedengaran di pantai dari dalam chalet dan ianya agak menakutkan bagi penyewa yang jarang duduk berumah di tepi pantai seperti penulis. Teringat kisah-kisah tsunami yang pernah didengari atau ditonton membuatkan hati agak gerun juga. Televisyen yang disediakan tidak berapa terang siarannya kecuali TV Al Hijra..
Hari kedua, sekitar jam lapan, bergerak keluar dari chalet dan dijamu dengan sarapan nasi lemak berlauk ikan tongkol…Tak boleh nak gi…
Kami kemudian bergerak ke Taman Tamadun Islam. Di sini, segala replika binaan di negara-negara Islam , seperti masjid termasuk masjidil haram, masjid nabawi dan masjid di Palestin ada. Pelawat dibawa melawat dengan train mengelilingi taman dan berhenti beberapa kali di beberapa replika untuk menonton filem pendek berkaitan bangunan, seperti Taj mahal dan masjid Negara. Kemudiannya, kami dibawa menaiki cruise mengelilingi sungai . Ini pengalaman yang mengerikan penulis sebenarnya. Namun di sini keselamatan diutamakan. Semua penumpang dibekalkan dengan jaket keselamatan. Mulut penulis terkumat-kamit sepanjang jalan yang memakan masa 45 minit dengan doa bahtera Nuh a.s.
Kami mengakhiri lawatan ini dengan makan dan solat di masjid Kristal yang agak panas dan kecil. Taman ini pada pandangan penulis tidak memberikan impak yang besar kepada pembangunan Islam sebenarnya, bahkan lebih kepada pembaziran. Kalau yang ada menarik hanya lawatan bersama cruise. Adalah lebih molek rasanya kalau diwujudkan taman tema air Islam daripada taman tamadun islam. Tunjukkan Islam mampu mengusahakan sebuah taman tema air dimana diwujudkan segmen yang tidak bercampur di anatar lelaki dan perempuan serta keluarga.
Kami kemudiannya bertolak menuju ke lokasi pembelian keropok dan kami tiba di sana sekitar jam 5 petang. Kembali semula ke chalet sekitar jam 5.45 dengan bas sebuah lagi mengalami kerosakan.
Pada malamnya, penulis tidak menyertai rombongan ke Mydin kerana keletihan dan tertidur.
Hari terakhir, bergerak sekitar jam 7.30 pagi dengan sarapan nasi minyak ikan tongkol lagi. Perjalanan ini menuju ke Gambang water city. Taman tema air. Kami tiba sekitar jam 12 tengahari. Pada asalnya penulis enggan untuk mandi namun akhirnya menjadi teruja pula. Maka penulis, isteri dan anak lelaki mandi manda dan menikmati beberapa acara di sana. Selepas makan, kami bersiap, mandi dan solat. Surau yang disediakan agak menarik. Bertemu dan berjamaah solat dengan seseorang yang menyatakan dia tidak pernah melakukan solat jama dan qasr. Tetapi pada zuhur itu kami solat qasr dan jama’ bersama.
Sekitar jam 5 petang kami bergerak pulang. Kenderaan kami tetap melalui Pekan dan sudah barang pasti melalaui SHAH Pekan. Kelihatan masih ada beberapa pelajar yang sedang beriadah ketika itu. Jam menunjukkan sekitar pukul 6 petang. Terkenang tatkala berada di sekolah ini dahulu. Waktu diantara jam 5 hingga 6.30 semua pelajar dimestikan turun ke padang untuk riadah. Kalaupun malas nak beriadah, hostel mesti dikosongkan. Kami pernah bermain roundus (permainan yang menyerupai softball) sehingga kayu hinggap ke muka salah seorang di antara kami. Juga penulis pernah didenda kerana berada di dalam kelas pada waktu larangan berada di dalam bangunan ini.
Singgah di Endau solat jama dan kemudiannya makan di air papan mersing. Tiba di rumah sekitar jam 12 tengah malam dengan dihantar oleh salah seorang rakan isteri…
Alhamdulillah..selamat tiba dan kembali. Cumanya perjalanan ini tidak berapa tersusun acara solat berjamaahnya. Pelajar dibiarkan solat sendirian dan Cuma diberikan masa-masa tertentu. Di chalet, hanya terpulang kepada mereka untuk solat. Wallahu a’lam.
Ulasan