Majlis dan kita

Sabtu lepas, 24 Zulkaedah 1432, penulis meredah hujan lebat di beberapa kawasan beserta dentuman guntur dan petir memanah bumi menjelang senja yang mandom menuju ke kawasan pesta yang dijangka berlangsung sekitar jam 9.00 malam. Penulis bersama dengan keluarga ingin bersama meraikan pesta tahunan yang dianggap antara yang berprestij di negeri ini dan sangat-sangat julungkali diadakan..

Tatkala tiba, jalan-jalan kebanyakannya telah ditutup oleh pihak polis. Hujan masih lagi turun dengan kadar renyai-renyai yang mampu membasahkan pakaian. Berbekalkan hanya dua kaki payung, penulis terpaksa mengorbankan payung kepada keluarga manakala penulis meredah hujan menuju ke masjid memandang waktu Isya' baru sahaja menjengah. Kelihatan para peserta perbarisan telah mula bergerak ke kawasan permulaan, tanpa mengendahkan hujan yang semakin kasar rintiknya, tanpa memikirkan lagi mengenai kelebihan solat berjamaah fardhu isya' dalam suasana gawat dan dingin ini. Terdengar juga suara rakan-rakan yang mengenali yang bersorak mengatakan penulis lewat hadir.

Usai solat, bergegas ke tapak bertugas. Rakan setugas telah sedia menanti. Rakan setugas yang sama seperti tahun sebelumnya, juga tahun sebelum sebelumnya. Sekitar jam 9.30 malam, barulah tugas bermula. Mengumumkan ketibaan kontinjen dari pelbagai jabatan. Kesemua kontinjen kelihatan bersemangat, segak dan kemas serta bersungguh-sungguh menjayakan program ini. Meskipun baju yang dipakai sudah lencun dibasahi sang hujan. Meskipun seluar yang dipakai sudah terasa kurang selesa lagi. Namun semangat dan kekuatan disebabkan oleh cinta terhadap organisasi yang mendalam, menjadikan mereka tidak ambil pusing lagi terhadap keadaan semasa.

Pelbagai program yang disusun pada malam tersebut, seperti pertunjukan silat, pertunjukan brass band dan juga acara nyanyian..itu menjadi acara wajib. Tanpa hiburan dan nyanyian maka menjadi PINCANGLAH sesebuah acara itu. Akan menjadi malaplah lampu-lampu yang dipasang meskipun sangat bergermelapan. Akan menjadi sunyilah suasana majlis yang gilang gemilang itu.

Sekitar jam 11.30 malam barulah acara rasmi berakhir. Namun ianya bukan tamat setakat itu sahaja. Ada acara lain yang bakal menyusul. Acara hiburan dan nyanyian oleh sang penyanyi yang diundang khas. Maka ramailah anak muda kita yang tertarik. Lebih-lebih lagi penyanyi yang dijemput kali ini masih muda belia lagi. Masih cantik rupawan dan molek mungil lagi. Maka semua akan tertarik dan terdorong. Tidak perlu sang pengacara untuk mengumumkan akan masa nyanyiannya. Mereka semua sudah menunggu. Tidak kira dimana mereka berada sama ada masih di bangku sekolah ataupun sudah berada di puncak menara gading, kesemuanya bersatu kerana muzik dan artis...

Betapa kita boleh membiarkan sahaja anak-anak muda ini tenggelam dalam keghairan menikmati artis dan muzik? Adakah artis dan muzik seumpama ini boleh menunjukkan kita jalan-jalan ke jannah? ataupun artis dan muzik ini mampu menolak kita terhumban ke dalam jahannam?

Kalaulah muzik dan artis yang diundang, yang dijemput dan dibawa ini boleh menunjukkan kita salah satu jalan menuju jannah, maka biarkanlah sahaja anak-anak muda ini melewati batas usia keremajaannya untuk menikmati hidangan jannah ini. Iklankanlah serta doronglah mereka kesana semahu-mahunya dan sedaya upaya yang ada.

Tetapi sekiranya kita juga ragu-ragu, adakah artis atau persembahan yang ditaja dibawa dan disajikan ini, meskipun selazat mana sekalipun, tetapi masih samar-samar adakah akan membawa kita ke jannah atau jahannam, maka bertaqwalah kepada Allah. Kita khuatir nanti di sana kita akan disalahkan kerana memberikan sedikit unsur negatif yang menarik ke jahannam, kepada belia dan pemuda yang bagaikan permata ini, kerana mereka semua merupakan pemuda dan pemudi pilihan yang disimpan di menara gading...

Wallahu alam

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol