Ada aku kisah??
Memandu selepas Maghrib penulis terdengar kuliah tafsir Al Quran oleh As Sheikh Dr Zahazan Mohamed. Beliau ada memetik kisah seseorang yang beriman dalam istana Firaun selain daripada asiah, isteri firaun. Lelaki yang beriman itu dianggap mempunyai jawatan dalam kerajaan firaun. Apabila firaun berpendapat untuk membunuh sahaja Musa memandangkan kekuatan pengikutnya semakin bertambah, maka lelaki yang beriman ini telah berkata, adakah engkau hendak membunuh seseorang yang hanya mengatakan tuhannya ialah Allah?
Al Fadhil ustaz juga menyatakan bahawa ayat yang dibahaskan ini menjadi satu petunjuk tentang keharusan seorang muslim berkhidmat dalam kerajaan yang zalim sebagai pendakwah dan sebagai benteng kepada kekuatan Islam. Muslim ini perlu menegakkan kebenaran apabila islam mula terancam. Bukankah Nabi SAW menyatakan bahawa jihad yang paling besar ialah menyatakan kebenaran terhadap pemimpim yang zalim..
Kisah ini juga menunjukkan kepentingan untuk mengambil tahu urusan kaum muslimin yang lain. Sikap itu bukan urusan saya atau bahasa modennya, ada aku kisah? bukanlah sikap seorang muslim yang baik.
Beliau memetik sebuah kisah yang berlaku dalam zaman khilafah ottomon. seorang syekhul islam yang terkenal pada zaman itu, yang dikatakan mempunyai daya ingatan yang sangat kuat, hingga mampu menjawab beratus-ratus soalan yang dikemukakan dalam satu-satu masa tanpa merujuk kepada kitab, maka layaklah beliau ditauliah selaku syekhul islam, atau mufti negara, yang merupakan manusia yang ke 22 paling berkuasa dalam ranking khilafah ottomon.
Satu ketika khalifah mendapati tentera ottomon semakin lemah dan semakin kerap mengalami kekalahan. Lantas beliau segera mengutus surat kepada syekhul islam bertanyakan apakah sebabnya. Kini tidak mungkin pemimpin akan bertanya kepada ulama islam mengenai masalah negara. Mereka lebih suka merujuk kepada pakar-pakar ekonomi, pakar ketenteraan dan sebagainya berdasarkan masalah yang timbul. Khalifah islam akan merujuk ulama terlebih dahulu.
Syekhul Islam telah menjawab, ini bukan urusan saya. Apabila surat jawapan diterima, maka menjadi marahlah khalifah. Segera diutus utusan agar memanggil syekh ke istana dengan kadar segera. Sebaik sahaj terpandang wajah syekh, khalifah terus marah kepadanya dan bertanya, mengapa tuan menjawab itu bukan urusan saya??
Tuanku, jawab syekh. Sebenarnya ia bermaksud, kelemahan umat islam di negara khilafah ottomon kini adalah disebabkan sikap umat islam yang lebih mementingkan diri sendiri dan bersikap, itu bukan urusan saya, atau bahasa moden, ada aku kisah...Maka mengertilah khalifah..
Al Fadhil Ustaz juga membawakan kisah kemarau teruk yang melanda madinah semasa pemerintahan Umar Al Khattab yang menyebabkan rakyat begitu melarat dan menyebabkan Umar menagguhkan pelaksanaan hudud terhadap pencuri dek kerana keadaan yang terlalu mendesak. Satu ketika datang kafilah yang membawa barang makanan. Maka Umar segera mengagih-agihkan makanan kepada rakyat yang kelaparan. Umar akhirnya mempelawa rombongan kafilah untuk makan malam di rumahnya. Maka ketua kafilah berangan-angan untuk mendapat sajian yang istimewa di rumah khalifah.
Apabila tiba di kediaman khalifah yang sederhana, tetamu dihidangkan dengan beberapa keping roti keras dan minyak zaitun. Maka terperanjatlah ketua kafilah. Mana perginya daging yang kami bawa tadi tuan? Umar menjawab, rakyatku lebih memerlukan.
Sanggupkah kita sebagai pemimpin mendahulukan rakyat daripada diri dan keluarga sendiri di tengah-tengah masalah kemelesetan ekonomi yang teruk? Tatkala diuji dengan beras bantuan banjir, sudah ramai pimpinan kampung yang terpedaya dan cuba menyembunyikan bantuan ...nah bagaimana jika memerintah negara..?
Adakah kita mahu dan sudi membantu rakan-rakan sekerja kita yang dahagakan bantuan kita dalam menguruskan kerja-kerja di pejabat? Ikhlaskah kita membantu rakan unit yang lain menyelesaikan tugas? Atau adakah kita selalu akan menjawab, itu bukan urusan aku..atau ada aku kisah..bila ditegur tidak membantu menjayakan sesuatu program di pejabat? Jika kita berterusan bersikap begini, jabatan atau organisasi akan menuju kepada kehancuran ...
Wallahu a'lam..
Ulasan