Di mana cintamu?
Cinta adalah lafal yang semakin murah dan mudah terpancur keluar dari bibir muda mudi akhir zaman ini. Dengan kalimah keramat ini, ramai rebah menjadi mangsa. Kekeliruan terhadap kalimah ini semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Remaja yang baru hendak mengenal dunia memberikan pengertian yang terlalu umum mengenai lafal ini. Mereka sebenarnya terkeliru diantara kalimah ini dengan nafsu. Dek kerana kegagalan dalam memberi terjemahan dan tafsiran yang lengkap serta kegelojohan untuk memiliki cinta serta malas untuk membuat sebarang penyelidikan, ramai di kalangan kita, tidak kira usia, sama ada remaja atau remaja purba, terjerumus dalam penyelewangan dan penyalahgunaan kalimah ini.
Sayangnya, ada dikalangan mereka yang tersungkur di pintu syurga cinta ini mendakwa telah diperdaya oleh makhluk yang hadir dalam taman hatinya bagaikan pahlawan atau serikandi yang menjadi impiannya. Malangnya setelah segala bukti-bukti cinta itu diserahkan ... maka diri yang malang ditolak begitu sahaja. Tinggallah diri yang menjadi 'syuhada cinta' (pen: mangsa permainan cinta)keseorangan. Lebih malang lagi jika diri ditinggalkan bersama benih-benih subur yang terbit dari cinta suci itu. Maka benih itu semakin membesar menjadi pucuk, berakar dan akhirnya lahirlah seorang bayi tanpa bapa sah dan menjunjung malu keluarga dan keturunan. Agak lucu juga kerana dikalangan mereka ada yang berani mengaku sesuci Maryam, ibu Isa Al Masih AS. Mengandung tanpa melalui proses biasa...Kelucuan yang boleh menempah lokasi di neraka..
Ya...media massa juga memainkan peranan yang besar dalam menyuburkan lagi kesalahfahaman terhadap cinta. Cinta sering divisualkan sebagai hubungan antara seorang lelaki dan wanita tanpa ikatan yang sah. Jarang dipertontonkan drama yang membawa jalan cerita, cinta dipupuk sebaik sahaja selesai akad nikah. Jika adapun, mungkin popular di negara jiran kita tetapi sukar ditemui di negara hujan batu ini. Hampir setiap drama atau filem pasti diselitkan mengenai penyelewangan pengertian kalimah ini. Tidak pula diketahui agenda sebenar para pengarah dan penerbit filem dalam hal ini. tetapi apabila setiap saat dan jam TV kita (yang paling mudah ditonton) akan menyiarkan kisah percintaan, maka penyelewengan pengertian ini akan mudah tertusuk jauh ke dalam lubuk hati sang penonton, khususnya para remaja yang sedang mabuk mencari cinta hakiki. Kecintaan remaja kita bukan lagi terhadap agamanya. Kecintaan remaja kita bukan lagi kepada kedua orang tuanya. Kecintaan remaja kita kini bukan lagi kepada Allah dan RasulNya. Kecintaan remaja kita kini lebih tertumpu kepada kebendaan yang pemuasan syahwat semata-mata!!Kenapa kita tidak mahu menghayati cinta sebenar?Mengapa kita menghabiskan sebahagian besar umur remaja kita dalam menempa nama di kedai-kedai cinta murahan. Lepas satu kedai, kita kecewa dan terus mencari cinta di kedai murahan lain? Mengapa kita tidak terus memadu cinta dengan pemilik dan pencipta cinta itu sendiri?Adakah sukar mencari cinta hakiki?
Cinta tanpa dipalit nafsu... Cinta kepada yang Maha Pencipta. Tentu seronok dan lebih menarik. Bukankah dalam sebuah hadis dinyatakan apabila Dia telah mencintai seseorang, maka diperintah kepada Jibrail AS untuk membuat pengumuman penting, bahawa Allah telah mencintai si polan bin si polan. Maka hendaklah kamu semua mencintainya....nah...alangkah beruntungnya apabila kita dapat memiliki cintanya. Segala makhluk akan turut menjadi cinta kepada kita ... Bukankah Rasul SAW juga menagih cinta dari kita? Ini jelas diterangkan dalam sebuah hadis, "Tidak dianggap sempurna Iman seseorang daripada kamu sehinggalah aku lebih dicintainya daripada anaknya, bapanya dan sekalian manusia." (riwayat al-Bukhari dan Muslim)Juga keterangan daripada riwayat merakamkan dialog penuh makna antara Rasulullah SAW dan Saidina Umar al-Khattab r.a. Saidina Umar diriwayatkan berkata, “Wahai Rasulullah! Engkau lebih aku cintai daripada mana-mana manusia yang ada di dunia ini melainkan jiwaku yang berada di dalam jasadku”.Kata-kata Umar RA ini disambut oleh Rasulullah SAW dengan tegas: “Tiada sesiapapun yang benar-benar menjadi Mukmin sejati sehinggalah aku lebih dicintainya walaupun daripada dirinya sendiri”.Mendengarkan sabda yang mulia ini, Umar r.a lantas berkata: “Demi Tuhan yang menurunkan Kitab kepadamu, sekarang ini engkau lebih aku cintai daripada diriku yang berada di dalam jasadku”. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Sekarang (barulah kamu mempunyai iman yang sempurna) wahai Umar!” (riwayat al-Bukhari dan Muslim) Hadis yang lain juga ada menyebut sebagaimana berikutRasulullah SAW diriwayatkan bersabda,Sesiapa yang terdapat di dalam dirinya tiga perkara ini, akan merasai kemanisan iman; Allah dan RasulNya lebih dikasihi daripada selain keduanya, dia mengasihi seseorang yang tidak dikasihinya melainkan kerana Allah dan dia berasa benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana dia berasa benci sekiranya dicampakkan ke dalam neraka. (riwayat Ahmad, al-Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Nasa’i di dalam Bab Iman) Diketika yang lain seorang sahabat telah menanyakan baginda SAW, “Bilakah akan berlaku hari kiamat, wahai Rasulullah?” (Dia bertanya sedemikian seolah-olah berasa rindu kepadanya). Jawab baginda SAW, “Apakah yang telah kamu sediakan untuk menghadapi hari kiamat?” Jawabnya, “Aku tidak bersedia menghadapinya dengan banyak melakukan solat, puasa (sunat) atau pun bersedekah tetapi aku amat kasih kepada Allah dan Rasul-Nya”. Sabda Baginda SAW, “Kamu akan bersama dengan orang yang kamu kasihi”. (riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Tirmizi)
Surah al-Taubah, ayat 9 yang bermaksud:Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (derhaka).
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Allah dan Rasul sememangnya menagih cinta dari kita. Jadi mengapa kita masih lagi sibuk mencari cinta yang lain? Mengapa kita masih ghairah menyaluti cinta dengan nafsu ? Tetapi janganlah kita menyatakan cinta pada Allah dan Rasul namun perbuatan dan amalan masih jauh dari redhaNya. Janganlah kita menjadi makhluk yang berpura-pura sahaja. Wallahu a'lam
Ulasan