Kehijauan kampus



Kampus universiti adalah merupakan kawasan yang subur menempatkan manusia-manusia pilihan yang sepatutnya juga subur dan menghijau serta mampu pula memberikan manfaat kepada manusia lain yang berada di sekelilingnya.

Mungkin mengikut pandangan masayarakt umum yang kununnya menyintai kedamaian dan ketenangan, masyarakat kampus seharusnya hanya duduk sahaja di dalam kampus, mendalamai segala ilmu dan kemahiran yang ada, serta menolak segala perkara lain yang bersangkutan dengan kemasyarakatan dan sebagainya yang boleh menjadi barah yang bakal merosakkan masa depan seorang mahasiswa/i. Maka atas dasar longgar tersebutlah maka terbina beberapa akta yang dilihat oleh sekelompok mahasiswa/i selaku pagar-pagar duri yang cuba menyekat gerakan massa mereka.

Penulis terkenang tatkala berada di salah sebuah kampus ITM (kini dikenali sebagai UiTM) cawangan di mana para ulama yang ada di situ cuba mengenengahkan gagasan menghijaukan kampus. Gagasan ini bukanlah suatu gagasan berbau politik sebagaimana yang cuba dihidu oleh pihak pentadbiran universiti kini. Kalimah hijau itu kini menjadi satu bentuk ketakutan atau phobia bagi kebanyakan pentadbir universiti. Walhal, Al Quran telah mengisahkan mengenai pakaian ahli syurga yang berwarna hijau serta kehijauan kotaraya syurga .. Mengapa kita takut akan kehijauan? Apakah kehijauan boleh merenggut keamanan, kestabilan dan kemakmuran yang dikecapi kini?

Berbalik kepada gagasan yang dicetuskan itu. Pada waktu tersebut pertembungan politik secara terus kurang diminati oleh mahasiswa/i. Pertembungan yang berlaku pada situasi semasa itu ialah pertembungan di antara golongan pro Islam yang berada di pihak pembangkang dan juga pro islam tetapi berada di pihak pemerintah. Maka mimbar Jumaat acapkali dijadikan medan pertarungan dan pertembungan sengit diantara kedua-dua puak yang bertelagah ini.

Usaha menghijaukan kampus yang digagaskan oleh pro Islam di pihak pemerintah kelihatan kurang disenangi oleh pihak yang satu lagi, meskipun matlamat yang hendak dicapai ialah sama- iaitu mendaulatkan Islam di dalam kampus .. memperbanyakkan aktiviti yang berteraskan keagamaan di dalam kampus, mengurangkan sedaya mungkin aktiviti yang bercanggah dengan syara' dan sebagainya, namun uslub yang berbeza serta pola aliran pemikiran yang membentuk objektif yang agak berjurang, menyebabkan usaha murni ini cuba dinafikan oleh golongan yang boleh dianggap sebagai golongan kiri ini.

Pertembungan seumpama ini sebenarnya hanya menguntungkan golongan yang benci dan cuba menyekat kemajuan dan kebangkitan Islam yang suci ini. Oleh yang demikian, penulis enggan untuk mengulas dengan lebih panjang.

Berkaitan gagasan menghijaukan kampus ini, pada pengamatan penulis ianya adalah baik dan wajar agar disemai ke dalam jiwa dan raga mahasiswa/i muslim di segenap lapisan universiti sama ada swasta ataupun awam. Gagasan hijau ini secara tidak langsung cuma menyemai dan menghijaukan atau menghidupkan suasana kampus yang bukan sahaja kondusif, tetapi mampu membangunkan jiwa dan akhlak warganya.

Apalah gunanya memiliki kampus yang canggih prasarananya tetapi tidak dijaga, cepat dirosakkan, tandas kotor serta berconteng, puntung rokok boleh ditemui di mana-mana, kebejatan akhlak menjadi agenda perbualan utama, serta seribu satu permasalahan remaja di luar turut menjangkiti mahasiswa/i.

Juga apa gunanya memiliki mahasiswa/i yang score four flate setiap semester, namun lemah jiwa dan tiada jati diri serta kerap melibatkan diri dengan aktiviti tidak bermoral?

Graf tidak rasmi meunjukkan peningkatan permasalahan sosial di kalangan mahasiswa/i yang semakin membimbangkan. Maka adalah menjadi satu tanggungjawab bagi pihak pentadbir kampus untuk memberikan galakan dan sokongan moral terhadap gerakan menghijaukan kampus ini, bukan hanya seqadar menghijaukan alam sekitar atau ruang udara di kampus sahaja, tetapi juga menghijaukan minda para warganya agar ruang lingkup pemikiran dan wadah perjuangan mereka dapat disalurkan kepada aktiviti aktiviti yang menguntungkan Islam, yang dapat membangunkan ummah, serta mempunyai impak berskala besar ditengah-tengah masyarakat.

Masyarakat luar sememangnya amat merindui para graduan yang sempurna sahsiah dan akademiknya, yang mampu menjadi pemangkin serta peneraju kepada perubahan minda dan penunjuk kepada jalan yang benar, jalan yang boleh memacu mereka ke arah jannah yang dirindui...

Maka bagaimana mereka ini mampu menjadi peneraju jika diri sendiri juga masih tergapai-gapai mencari identiti diri? Masih berada dalam alam fantasi juga blur...masih terlibat dengan perlumbaan motor haram..masih terjebak dengan perzinaan dan babak-babak cinta keji...masih memakai akhlak para pembenci Rasul dan meninggalkan atau malu-malu alah untuk menghidupkan sunnah...

Para pengacau yang bersifat nifaq memang senantiasa memerhatikan dirimu wahai mahasiswa/i agar kamu turut sama menjejaki kekeliruan mereka dalam memahami apa itu agama. Kadang-kadang mereka menyelinap di tengah-tengah mahasiswa/i yang ikhlas untuk cuba merobek-robek jaringan keimanan yang sedang cuba diperkasakan. Maka disini, benteng iman dan hidup dalam jamaah (berkumpulan) perlu dititik beratkan dan tidak boleh sama sekali diambil mudah.

Apabila kita telah menancapkan tauhid sebagai asas dan tunjang dalam jalan perjuangan kehidupan di kampus, maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahankan, menyuburkan serta menyebar luaskan kefahaman tauhid ini dalam masyarakat kampus agar keindahan ad deen itu jelas terpancar dan dihayati oleh semua pihak.

Sememangnya bukanlah sesuatu yang amat mudah untuk memperkasakan konsep tauhid di tengah-tengah masyarakat kampus yang bercampur baur kefahaman mereka mengenai ad deen itu sendiri. Masih wujud masyarakat kampus yang melihat Islam hanya agama ritual, dan tidak mustahil ianya menyerap kefahaman ini daripada susur galur keturunannya.

Ada juga yang memahami Islam hanya agama rasmi negara dan oleh itu ianya wujud dalam acara-acara kerasmian dan pertunjukan dalam bentuk bacaan doa oleh ulama-ulama yang didatangkan khas, tidak lebih dari itu. Oleh yang demikian, meskipun dalam acara atau majlis keramaian itu wujud acara tari menari, pergaulan bebas sesama bukan mahram, nyanyian lagha dan sebagainya, ianya bukanlah satu kesalahan bahkan sebahagian daripada kehidupan sebenar di luar kampus yang perlu untuk diwujudkan dan dikekalkan dalam aura kampus sebagai satu bentuk seni budaya yang perlu dipertahankan dan diperpanjangkan hingga selesai menggeggam segulung ijazah kelak, dan diteruskan apabila mereka ini berjaya menjadi penguasa di sektor awam dan swasta kelak, agar tidak mati budaya dan seni nyanyian itu walaupun kebanyakkannya boleh mengundang kepada kerosakan akhlak.

Penulis tidak menyatakan bahawa kesemua seni dan budaya yang diwarisi oleh sesuatu kaum itu songsang dan rosak. Banyak juga seni budaya dari negeri selatan contohnya seperti zapin yang dikatakan dibawa oleh pedagang timur tengah yang pernah dinyatakan oleh YAB MB Johor, bahawa ianya dilaksanakan selepas isya' dalam daerah Muar suatu ketika dahulu oleh imam-imam dengan dendangan lagu memuji Allah dan Rasul. Jadinya bagaimana kita boleh mengurus seni dan budaya mengikut acuan tauhid, tanpa melanggar ketentuan syara'. Tentu dengan mendapat suntikan dari dalam kampus dan seterusnya dibawa di tengah-tengah masyarakat kemudian harinya bahawa alangkah moleknya jika seni budaya bahkan irama keras sekalipun, jika berjaya disadur dengan kefahaman ad deen yang mendalam, akan membuah hiburan mendidik jiwa.

Ada juga yang kununnya mempertahankan ad deen didalam kampus dengan mengikut acuan politik sempit. Akibatnya, golongan ini akan senantiasa ditindas dan mendapat tekanan yang maha hebat daripada pihak yang berkuasa, atau golongan yang kurang senang. Dalam keadaan atau suasana mengharmonikan kampus dan konsep menghijaukan kampus itu, elemen yang dianggap terlalu ekstrem atau radikal bukanlah satu irama yang boleh menjinakkan hati manusia kepada agama, bahkan kadang-kadang meliarkan mereka dari gama itu sendiri. Mungkin niat golongan ini untuk memeprtahankan dan memperkasakan islam dengan garisan yang agak keras dan bersemangat, namun akhirnya apabila disekat dan dihalang, usaha untuk menyebarkan agama menjadi terbantut dan ruang akan menjadi semakin terbatas dan boleh jadi pula diharamkan dan sebagainya. Apakah salah jika kita mengikut kehendak sunnah dengan menemui pihak yang berautoriti untuk berbincang, menyuarakan pandangan, memberikan komen, dalam keadaan ruang lingkup yang disediakan.

Wujud juga golongan yang melihat islam dalam dimensi yang agak sempit. Menolak segala kefahaman yang dianggap berbeza. Terbawa-bawa dengan elemen taasub kepada guru hinggakan perselisihan tuan guru pada masa dan tempat yang jauh berbeza diteruskan dan terbawa-bawa ke dalam kampus, menghasilkan suasana kurang sihat, menjauhkan golongan yang berlainan fahaman daripada rumah Allah bahkan boleh mengeruhkan hubungan sesama muslim. Sayangnya golongan seumpama ini wujud dalam elemen pentadbiran kampus itu sendiri yang mengakibatkan golongan yang lain aliran dilabel sesat, tidak layak untuk membantu menegakkan agama di dalam kampus, patut dihalang bahkan jika boleh dilontar keluar dengan alasan untuk menjaga perpaduan dan sebagainya...

Alangkah ruginya jika golongan yang sudah mampu memahami konsep tauhid yang mampu menghijaukan kampus dengan asas kefahaman yang baik, tetapi mencacatkan keadaan, menyempitkan ruang, membiarkan syaitan, golongan nifaq dan kuffar ketawa...


Marilah kita sama-sama menghijaukan kampus kita dan menyirami serta menyuburkannya dengan terus mempertahankan serta membantu sahabat-sahabat lain memahami kehendak konsep tauhid yang cuba disematkan di dalam setiap tindak tanduk dan gerak kerja warga kampus.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol