Musim Peperiksaan Tiba Lagi..
Dan mulai 2 Januari ini, demam peperiksaan kembali menjelang dan menyerang warga organisasi. Mereka ini mulai tenggelam dalam lipatan buku-buku nota, buku-buku rujukan, pelan-pelan kontengensi untuk meraih keputusan cemerlang, soalan-soalan spot, halaqah-halaqah perbincangan yang menyeronokkan juga membosankan, pertapaan di malam hari dan pelbagai aksi sepanjang musim peperiksaan ini. Ada yang kehulu kehilir bersama nota dan buku. Cinta dan epilog kasih mereka berubah tajuk daripada pakwe atau makwe kepada buku dan nota serta yang lebih advance, mula 'menyintai' sang pensyarah. Seawal jam 8 pagi, sudah ada yang sanggup naik bas dan kemudian terpacak di hadapan bilik pensyarah hanya untuk mendapatkan sedikit tips, atau untuk mengintai carry mark, ataupun hanya ingin mencari syafat akhir sebelum masuk ke dewan peperiksaan.
Dan segala aksi itu kemudiannya akan dibawa dan diterjemahkan di dewan peperiksaan. Pelbagai aksi pula dipertontonkan atau cuba dilukiskan dalam dewan dingin tersebut. Dari khabar para pengawas yang cuba dicatatkan, bab pemakaian sudah tidak lagi mengikut terma dan norma yang telah digariskan. Apa sahaja pakaian akan diterima masuk, kecuali jika berbogel atau separa bogel. Istilah penutupan aurat dengan mudah dan bergaya diterjemahkan mengikut kitab amarrah dengan melilit atau membalut aurat. Maka muncullah wajah-wajah manis ini dengan membalut tubuh mereka yang menghasilkan benjolan-benjolan yang tidak berapa enak dipandang mata iman, tetapi begitu ghairah ditatap oleh mata nafsu serakah.
Tapi keadaan itu tidaklah menghalang mereka untuk masuk ke dewan peperiksaan. Sang perjaka memakai round neck hanya dipandang sebelah mata sahaja dan dihalalkan masuk. Meskipun itu bukan kategori 'dosa besar' tetapi jika dilihat dari sudut natijah kemahiran insaniah, ianya akan memberikan impak berskala besar dalam kehidupan atau perjuangan jangka panjang mereka.
Namun apa sahaja yang mampu dilakukan oleh sang pengawas peperiksaan? Apa mahu diherdik mereka itu keluar? Ah..pensyarah saya pun tak pernah tegur..inikan encik pula?
Satu kenyataan yang mungkin benar, atau mungkin sengaja direka untuk melepaskan diri, menyebabkan sang pengawas kategori kecil ini terkulat-kulat menelan liur yang tiba-tiba terasa payau dan kelat, tergugup untuk terus mempersoalkan seorang pemuda memakai round neck yang hendak melangkah masuk ke dewan peperiksaan dengan berselipar jepun...Atau menahan seorang gadis yang berketrampilan seperti hendak ke pesta muda mudi dari meneruskan tugas untuk memberikan sentuhan akhir semester..
Itu adalah dilema mereka yang berpengalaman menjaga peperiksaan. Dek kerana kegagalan teguran dibuat terhadap cara penampilan dan ketrampilan sejak awal-awal kemunculan mereka, maka pemuda pemudi yang dianggap bijak bestari ini sering tersasar dalam menentukan hala tuju mereka tatkala telah selesa berada di puncak menara gading ini. Apabila ditegur mengenai sesuatu perlakuan yang nyata bertentangan dengan akta yang telah direka dan diluluskan, mereka akan sering memberikan alasan ampuh, "pensyarah kami pun tak tegur encik..."
Maka amalan amal ma'ruf nahi munkar akan menjadi semakin menjauh. Yang diberikan secebis kuasa menjadi muak untuk menjalankan kuasa kerana tindakan kurang bijak golongan pemuda pemudi bijak ini. Maka dibiarkan sahaja segala kebejatan kecil yang berlaku. Apabila perkara kecil ini dibiarkan terus-terusan tanpa sebarang tindakan pencegahan, lama kelamaan kudis itu mula membesar, bernanah dan akhirnya menjadi barah yang tidak mungkin boleh diubat lagi.
Untuk pemuda pemudi bijak harapan bangsa agama dan negara serta ayahanda dan bonda, jagalah sahsiah diri dan hiasilah diri kemulaiaanmu dengan akhlak Islami. Terimalah teguran dari semua golongan tanpa sebarang prejudis. Teguran dibuat bukan kerana benci. Teguran dibuat bukan kerana hasad atau iri hati, jauh sekali untuk menyusahkan diri. Teguran ikhlas dibuat untuk mendidik diri saudara saudari..
Untuk semua yang lain, teruskan memeberi teguran ikhlas tanpa jemu dan ragu. Yakin kanlah diri tuan puan bahawa proses tegur menegur ke arah kebaikan ini bukan untuk membinasakan. Apalagi untuk membuli..Ianya adalah satu proses tarbiyyah untuk membantu anak bangsa ..
Ulasan