Kuliah Maghrib di Jame' Kg Melayu
Kuliah maghrib malam 25 Mac 2012 berkisar mengenai tajuk keimanan kepada para malaikat. Sebelum itu, muallim memberikan secebis maklumat berkaitan kekhusyukan solat. Solat itu boleh dicapai khusyuknya apabila mematuhi beebrapa perkara sebagaimana kata syekh abdul samad al palimbani di dalam kitab siarus salikin yang mana ianya diceduk daripada kitab ihya' ulumuddin karangan hujjatul islam, al ghazali, iaitu:
1. Memahami bacaan dalam solat;
2. Menghina diri di hadapan Allah;
3. Membesarkan Allah Taala lebih dari segala-galanya;
4. Raja' mengharap agar diterima oleh Allah akan solat itu;
5. Khauf - takut kalau-kalau solat itu ditolak olehNya - maka bagaimana dan apa lagi
amal yang boleh digantikan dengannya?
Menurut syekh al palimbani lagi, rukun solat itu terbahagi kepada tiga iaitu
1. Rukun qauli - bacaan-bacaan di dalam solat;
2. Rukun Fe'li - perbuatan-perbuatan semasa solat;
3. Rukun qalbi - perbuatan hati, iaitu khusyu'
Diantara perkara-perkara makruh di dalam solat ialah
1. Berpaling-paling ketika solat - sedangkan kiblat mata ialah tempat dujud dan
kiblat dada ialah kaabah as syarif. Menurut Al Ghazali, apabila seseorang itu
kenal akan manusia yang solat di sebelahnya, maka ia sudah dianggap tidak khusyu';
2. Meratakan tempat sujud;
3. Membersihkan dahi daripada pasir dan debu tatkala solat;
4. Membentangkan sejadah kecil, serban dan sebagainya di tempat solat, kecuali jika
berlaku keuzuran;
5. Membetulkan rambut yang menutup dahi;
Tuan guru juga menyatakan mengenai ikhlas dan diriwayatkan sebagai satu perkara yang menjadi anugerah Allah taala semata-mata. Tiada siapa pun yang mampu mencapai keikhlasan melainkan dengan kehendak dan izinNya jua. Al Ghazali menyatakan bahawa tanda-tanda ikhlas ialah apabila dipuji atau dihina manusia akan pandangan atau pendapatnya, tiadalah ia merasa apa-apa. Ertinya di sini, jikapun kita bekerja dengan sepenuh hati dan jiwa raga, kemudian di akhir tahun tiada mendapat sebarang anugerah khidmat cemerlang atau apa sahaja, maka si empunya diri tiada merasa sedih, atau serik atau terkilan dan sebagainya. Tiada pula empunya diri rasa tidak puas hati kerana tidak dinaikkan pangkat atau sebagainya...inilah yang dimaksudkan dan didaftarkan sebagai manusia yang ikhlas.
Dinyatakan oleh tuan guru bahawa iman malaikat itu adalah statik..tidak ianya menurun sebagaimana keimanan manusia awam. Adapun iman para rasul juga adalah maqbul, diterima Allah. Adapun iman manusia biasa adalah kadang-kadang maqbul, kadang-kadang tertolak.
Malaikat mempunyai tugasan mereka sendiri. Ada malaikat yang bertugas di dalam rahim. Apabila jatuh sahaja air benih ke dalam rahim, maka malaikat bertugas akan bertanya, "apakah perlu dibentuk kepada darah Ya Allah?" jika jawapannya Ya, maka dibentuklah kepada darah, kemudian ditanya lagi apakah perlu dibentuk kepada daging Ya Allah? jika begitu kehendakNya maka dibentuklah daging dan begitulah seterusnya pertanyaan demi pertanyaan hinggalah kepada adakah ianya perlu disempurnakan Ya Allah? Adakah ia ini orang yang berbahagia atau celaka? bagaimana pula dengan ajal, rezeki dan jodohnya..? Begitulah tugas malaikat di dalam rahim...
Tuan guru juga ada menyatakan bahawa apabila Allah taala menyukai seseorang hambaNya, maka ia akan memanggil para malaikat dan menyatakan bahawa dia menyukai hamba tersebut. malaikat pula akan menebarkan berita gembira itu ke seluruh alam hingga semua makhluk mengetahuinya kecuali jin dan manusia. Begitu juga keadaannya apabila Allah membenci akan seseorang...
Wallahu a'lam
Ulasan