Selamatkah kita di bumi ini?
"..dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." Al Hujurat : 13
Beberapa hari lepas, negara kita dikejutkan dengan kehilangan seorang lagi kanak-kanak yang keluar rumah bukan untuk pergi bermain di padang, bukan untuk bermain polis sentri bersama rakan-rakan di rumah pangsa, bukan untuk berkeliaran di sekeliling bangunan sambil memanjat pokok dan berlari-lari turun naik tangga bangunan, tetapi untuk pergi ke kedai membeli sedikit keperluan. Kanak-kanak malang itu didapati tidak pulang semula ke rumah. Beberapa hari kemudian, polis menemui mayat beliau berdasarkan kepada kesepadanan DNA beliau dengan ibunya.
Kes seumpama ini boleh dikatakan terlalu kerap berlaku di negara yang dikatakan aman makmur dan selamat ini. Sebelum ini kita kerapkali dikejutkan dengan kes seperti nurin jazleen, sharlinie dan ramai lagi. Menurut satu perangkaan yang dikeluarkan
Statistik daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan bahawa kes penderaan fizikal, cabul kehormatan dan rogol ke atas kanak-kanak meningkat setiap tahun iaitu daripada 2,236 kes pada tahun 2005 kepada 5,744 pada tahun 2008. Dalam tempoh 7 bulan pertama tahun ini sahaja sebanyak 2,193 kes telah dilaporkan kepada PDRM. Sementara kes kehilangan kanak-kanak juga membimbangkan di mana jumlah kes yang dilaporkan pada tahun 2008 ialah 982 kes dan daripada jumlah itu, 500 kes masih hilang. Perangkaan ini amat membimbangkan kita, justeru kelulusan kedua-dua dasar berkaitan kanak-kanak oleh Jemaah Menteri adalah bertepatan pada masanya.
Tidakkah kita melihat bahawa peningkatan kadar kehilangan kanak-kanak di seluruh negara semakin meningkat setiap tahun dan perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak?
Persoalannya, apakah tindakan yang telah dilakukan di peringkat nasional? Mungkin dari segi keselamatan di peringkat keluarga, ibu bapa akan menjadi semakin gusar dan mereka mungkin akan meningkatkan kawalan terhadap anak-anak mereka khususnya apabila berada di tempat-tempat awam. Namun kegelisahan dan kegusaran mereka terhadap keselamatan anak-anak mereka mungkin akan menjadi-jadi tatkala anak-anak itu dilepaskan ke sekolah. Adakah pihak sekolah akan mengambil tanggungjawab penuh tatkala berada di bawah pengawasan mereka? Penulis pasti hal itu tidak perlu diragukan lagi. Soal keselamatan anak-anak akan menjadi lebih gawat diantara waktu mereka pulang dari sekolah, hinggalah mereka tiba di halaman rumah, sama ada dengan menumpang kenderaan, menunggang kenderaan sendiri, kecuali bagi yang diambil dan dijemput sendiri oleh ibu bapa di sekolah.
Kegelisahan ibu bapa sebenarnya mempunyai sandaran tersendiri dengan wujudnya statistik dan pelbagai laporan yang muncul di dada akhbar, internet dan juga kes-kes yang tidak mendapat liputan. Setiap hari dianggarkan terdapat 3.5 kes kehilangan yang berlaku di negara yang dikatakan aman, makmur dan berdaulat ini.
STATISTIK ORANG HILANG / JUMPA SELURUH MALAYSIA
Tahun Jumlah
Keseluruhan Hilang Jumpa Semula Masih Hilang
2007 2,418 1,453 965
2008 2,241 1,147 1,094
2009 1,701 735 966
2010
(Jan-Mei) 772 318 454
Jumlah 7,132 3,653 3,479
sumber : Laman web rasmi PDRM
Ini belum diambil kira pula hal keadaan pembunuhan ngeri. Baru-baru ini kita juga dikejutkan dengan kematian dua beranak di rumah dalam keadaan tiada kesan pergelutan ..
Berapa ramai mayat-mayat yang ditemui hampir setiap hari di serata pelusok tanah air dan semakin bertambah sejak akhir-akhir tanpa diketahui apakah kesalahan dan dosa mereka dibunuh dan ditinggalkan..?
Persoalannya adakah keselamatan negara ini hanya dipikulkan ke pundak keluarga, orang tua dan guru sahaja? Apakah peranan pihak pemerintah dalam mengekalkan keselamatan negara dari ancaman penjenayah? Apa fungsi parlimen selaku kuasa paling berdaulat yang diakui di muka bumi negara ini untuk menggubal peraturan keselamatan yang lebih kukuh untuk rakyatnya? Tak mungkin parlimen akan bertukar status menjadi sarkas, pasar borong dan sebagainya sepertimana yang biasa kita lihat di mana-mana paparan laman sesawang.
Semua pihak khususnya yang mempunyai kuasa dan diberi mandat harus bertanggungjawab dan bersegera mengawal keadaan yang kian meruncing ini. Penguatkuasaan undang-undang yang lebih genuine perlu disegerakan yang mampu meragut rasa zalim manusia, undang-undang yang mampu menghalang dan membantutkan kerasukan nafsu kebinatangan manusia, undang-undang yang menurunkan keberkatan serta menerbitkan kegerunan pada hati manusia... tidak lain dan tidak bukan undang-undang Tuhan.
Masyarakt juga seharusnya digerakkan agar lebih memahami dan mendalami keimanan dan ketaqwaan kepada Tuhan. Kegagalan majoriti masyarakat dalam memahami konsep ketuhanan dan konsep ketakwaan menyebabkan mereka hilang panduan dan pendoman lantas menobatkan serta mendaulatkan syaitan dan nafsu selaku sembahan mereka. Akibatnya, segala apa yang dibisikkan oleh nafsu dan syaitan terus sahaja diikut tanpa perlu lagi dipertimbangkan oleh kewarasan aqal. Tanpa perlu lagi disuluh oleh kitab-kitab tuhan.
Hanya pemerintah yang mempunyai kuasa mutlak untuk memberikan sentakan kesedaran masyarakat terhadap wajibnya hidup rasa berTuhan. Penulis dan rakan-rakan sealiran percaya dan yaqin, itulah ubat yang paling ampuh untuk menyelamatkan negara ini. Tumbuhkanlah dalam dada dan jiwa seluroh masyarakat tentang kesedaran ini. Dasar Pendidikan Negara sudah barangpasti mempunyai peranan yang besar untuk mewujudkan rasa yang hebat ini dalam minda anak-anak yang masih dibaluti kesucian agar nanti pabila mereka dewasa dan mewarisi negara, ketaqwaan ini pasti menjadi agenda utama mereka.
Masyarakat sedia ada juga perlu terus diberi kesedaran dan dalam masa yang sama pengutkuasaan undang-undang langit juga perlu dilakukan serentak. Apaguna kita hanya bercakap..berforum..berdiskusi..berblog...berceramah..bertazkirah..bermesyuarat ..berseminar...namun hanya tinggal kekal tulisan di atas kertas A4 pelbagai warna dan terendam di dalam hard disk semata-mata tanpa ada sebarang tindakan susulan. Tentu kita tidak mahu dipersoalkan di akhirat kelak kerana kegagalan kita bersama mewujudkan masyarakat yang rasa berTuhan...
Kesimpulannya, semua pihak perlu kembali kepada rasa bertuhan dan pemerintah lebih-lebih lagi perlu menjadikan taqwa dan iman selaku agenda utama negara...Wallahu a'lam
Ulasan