walimatul urus



Hujung minggu lepas penulis berkesempatan untuk menghadiri tiga majlis walimah berbeza hari dan lokasi. Lokasi pertama berhampiran sahaja dengan rumah penulis. Usai zuhur, penulis dan isteri serta anak sulung bergerak ke rumah pengantin tersebut.

Majlis agak sederhana dengan khemah tetamu yang agak panjang. Khemah yang memuatkan pelamin diletakkan di halaman rumah yang berpagar manakala majlis diserikan dengan bunyi-bunyian gamelan. Ianya dianggap agak unik kerana amat jarang majlis walimah diserikan dengan bunyi-bunyian gamelan. Biasanya majlis walimah akan diserikan dengan muzik serta nyanyian karaoke dikendalikan oleh DJ.



Majlis walimah terkini biasanya akan menjadi medan nyanyi karaoke suka-suka tanpa batas, tanpa bayaran dan tiada uji bakat. Siapa sahaja yang terangsang untuk menyanyi dipersilakan. Lazimnya yang dapat memegang mic ialah tukang masak, juru rewang yang dah kepenatan, saudara mara terhampir, rakan-rakan pengantin yang ada hubungan kroni dengan DJ dan kadang-kadang tetamu juga dapat diberi peluang.

Majlis walimah kali ini tiada karaoke. Ini keunikan pertama...

Bergerak pulang dan seterusnya menuju ke lokasi seterusnya di Senggarang. Penulis bergerak agak lewat dan tiba di lokasi sekitar jam 3.45 petang. Syukurlah tetamu masih ramai dan penulis meneruskan langkah kaki menuju ke khemah tuan rumah. Di sini, khemah dipasang dan disediakan berasingan mengikut jantina. Walau bagaimanapun, pasangan berkahwin dan berkeluarga disediakan khemah lain juga, namun dek kerana tiada sebarang papan tanda atau kain rentang, penulis bersama keluarga duduk sahaja di bawah satu khemah yang turut dihadiri oleh beberapa pasang keluarga.

Keunikan lokasi ini ialah hadirin diperdengarkan dengan lagu-lagu arab klasik, ataupun nasyid-nasyid arab klasik yang seolah-olah berirama ghazal. Irama ini tidak pernah sama sekali diperdengarkan di majlis walimah lain sepanjang penulis pernah hadiri. Tidak kelihatan pula binaan pelamin dan sebagainya di kawasan luar rumah.




Walimatul urus ketiga penulis hadiri pada keesokkan harinya di buat di bandar dan di dewan. Majlisnya agak sederhana tetapi dihiasi oleh keletah DJ yang banyak bercakap, dan mengkhususkan mauduk perbincangannya berkaitan poligami. DJ juga akhirnya menyanyi dan menjemput orang lain menyanyi. Ini adalah konsep perkahwinan biasa di akhir zaman ini tanpa ada sebarang keunikan yang boleh diceritakan. Hidangan ialah cendol dan air-air yang lazat serta menyelerakan.

Begitulah kebiasaan walimah terkini. Tanpa modal muzik maka dianggap tiadalah kemeriahan. Jika tiada yang menyanyi karaoke maka dianggap sumbang. Dua majlis sebelumnya tidak pula kelihatan sumbang tanpa iringan nyanyian lagha...

Wallahu a'lam...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol