Bengkel oh bengkel...
Hujung minggu kali ini, penulis diarahkan untuk menyertai
bengkel di Hotel yang terletak menghadap
ke Selat Tebrau, dan boleh nampak daratan dari negara di seberang. Perjalanan penulis hanya bermula selesai
solat Jumaat di masjid menara nan sebatang. Penulis menumpang kenderaan sahabat
penulis yang merupakan salah seorang penguasa di jabatan lain.
Kami transit di Simpang Renggam untuk bertukar kenderaan
dengan bonda beliau. Kemudian, kami bergerak menuju ke Kukup untuk mengambil barang
yang tertinggal dan kemudian menuju ke Johor Bahru dengan melalui jalan
Pontian. Cuaca agak baik dan kami
selamat tiba di hotel sekitar jam 6.30 petang.
Kami terus menikmati hidangan di dewan makan dengan beberapa
jenis lauk melayu dan juga kuih serta puding pencuci mulut.
Naik ke bilik dan kemudian menyempurnakan solat jama’ .
Sekitar jam 9.00 malam, kami bergerak turun untuk memulakan program. Dewan telah dipenuhi dengan ahli yang
merupakan pakar-pakar akademik yang terdiri daripada professor, ketua-ketua
jabatan, pensyarah pemegang Ph.D dan juga sarjana. Penulis sahaja merupakan
ahli bengkel yang paling rendah pangkat dan kedudukannya.
Acara malam itu hanyalah ceramah dan penerangan.
Perbincangan dikatakan akan bermula esok. Jabatan penulis hanya diwakili oleh
dua orang, iaitu penulis dan juga timbalan.
Sekitar jam 10.00, bengkel ditutup dan penulis serta
penguasa jabatan naik ke bilik penginapan. Berbaring sambil menonton televisyen
dan kemudian penguasa keluar untuk menikmati udara bandaraya Johor Bahru
meninggalkan penulis keseorangan di bilik. Penulis menghabiskan masa dengan
melayari laman web. Hotel yang tersergam indah di tepian selat tebrau ini tidak
mampu membekalkan kemudahan wifi secara percuma. Kemudahan itu hanya boleh
didapati di lobi hotel sahaja. Penggunakan di tempat lain memerlukan bayaran
sebanyak RM10.00 untuk penggunaan selama 24 jam..Sebelum ini penulis telah
banyak juga berbengkel di merata negari dan menginap di hotel yang mampu
menyediakan kemudahan wifi percuma…
Sekitar jam 6.45 pagi, penulis tersedar dan bergegas untuk
menunaikan solat bersama sang penguasa. Sekitar jam 8.15, kami bergerak untuk
menikmati hidangan pagi. Juadah yang disediakan sepertimana juadah di
hotel-hotel biasa, nasi lemak, mee, sosej, roti, telur.
Peerbincangan bermula sekitar jam 8.30 pagi. Menjelang jam
10.00, minum pagi dan kemudian sekitar jam 12.30, makan tengahari. Kemudian
naik ke bilik penginapan untuk rehat. Sekitar jam 1.50, bergerak semula ke
dewan. Acara petang ialah bengkel yang lain. Mungkin ia adalah bengkel utama.
Ianya berlaku sehingga jam 5.30 petang.
Naik semula ke bilik penginapan dan terpaku dengan rancangan
TV dari negara jiran.
Acara malam juga perbincangan dan pada asalnya ialah
pembetangan tetapi dek kerana kesilapan info, ia semula menjadi medan
perbincangan. Selesai sekitar jam 11.00 malam, kami bergerak menuju ke stulang
untuk menikmati suasana malam minggu di Johor Bahru. Di situ kami menemui
beberapa orang remaja yang berpakaian seksi, salah seorangnya dipercayai ah
pon, duduk minum, ketawa, berborak dan akhirnya didatangi oleh dua
orang perjaka berseluar pendek. Di
sebelah meja, kelihatan empat orang dan salah seorangnya begitu sibuk membuat
penggilan telefon dan bercakap dengan nada yang kuat seolah-olah mahu agar
butir perbincangannya didengari oleh
semua pelanggan kedai tersebut. Butirannya seolah-olah seorang tonto. Antara perbualannya ialah memaklumkan
mengenai perlawanan bolasepak Inggeris beserta keputusan…aneh sekali..?
Di sepanjang jalan menuju ke Stulang kelihatan deretan
kereta yang diletakkan di tepi jalan. PAda mulanya kami menyangka mereka hendak
mengadakan perlumbaan haram. Namun jangkaan kami meleset kerana mereka boleh
dikatakan terlalu ramai dan kebanyakkannya duduk di tepi jalan …Nak kata nak
buat demo tidak juga…
Dan di tepian pantai stulang membawa ke kawasan bebas cukai
yang menghadap ke negara jiran yang merah langitnya itu, kelihatan beberapa
pasangan memadu kasih sambil menikmati angin pantai. Sungguh seronok dan
mahsyuk berpelukan dalam kehangatan syahwat pasangan masing-masing. Malang
sekali kerana mereka itu sebangsa dan seagama dengan kami. Dimana agaknya para
penguasa agama?
Kami meninggalkan segala kepelikan dan kebobrokan kehidupan
malam segelintir masyarakat muda Johor Bahru era pra kekhalifahan al Mahdi dan
menutupnya dengan satu pemandangan beberapa pemuda yang keluar dari sebuah kereta
di tepi pantai sambil menunggang arak dengan bangga dan gembira…
Malam itu ditutup dengan tirai kesedihan , ratapan dan
kegelisahan…kerisauan dan juga secebis rasa benci terhadap tata kelakuan umat
akhir zaman di tengah-tengah arus pemodenan yang sedang rancak melanda. Kawasan
ini seolah-olah berada di luar kuasa penguatkuasa, sama ada sivil atau agama.
Seorang penguasa pun tidak kelihatan di sepanjang satu jam tiga puluh minit
kami tercangak di kedai tersebut sambil menikmati air dan juga jemput-jemput
ikan bilis..
Pagi masih tersedar sekitar jam 6.45 dan tergesa-gesa
menunaikan kewajipan. Bengkel pagi masih lagi perbincangan walaupun pada tentatif
asal ialah pembentangan hasil perbincangan yang dibuat sejak pagi sabtu.
Penulis sememangnya tawar hati untuk meneruskan bengkel memandangkan ahli-ahli
perbincangan untuk kumpulan penulis telah pulang lebih awal. Sebenarnya hanya
seorang ahli sahaja yang hadir. Adalah menjadi sesuatu yang tidak boleh
dimaafkan sekiranya penulis terpaksa membentang sesuatu yang salah sebenarnya
sedangkan penulis hanya dilantik selaku setiausaha sahaja.
Sekitar jam 10.00 pagi penulis menghilangkan diri naik ke
bilik penginapan setelah berjaya mendapatkan format daripada kumpulan senior
yang telah membentang contoh dan diperakui oleh pengarah program. Tatkala baru
hendak berehat, sang penguasa juga tiba-tiba muncul..
Sekitar jam 11.00 pagi, kami bergerak turun dengan
perancangan untuk kembali ke dewan bagi menghadiri majlis penutup. Kami turun
bersama beg pakaian. Apabila tiba, dikhabarkan majlis telah selesai…Maka kami
pun check out dan seterusnya bergerak pulang. Singgah kembali di Simpang
Renggam untuk transit dan kemudian sekali lagi menikmati cendol yang dikatakan
terlazat di pekan tersebut. Tiba di ibu pejabat sekitar jam satu tengahari…
Ulasan