Kembara Suci
31 Mei 2012 Jam 11.00 malam…
Persiapan terakhir untuk
memulakan kembara suci. Solat sunat musafir diiringi doa musafir. Barang-barang
keperluan seperti pakaian dan juga kegunaan harian seperti ubat gigi dan
kosmetik lain telah disiapkan isteri. Hanya menunggu saat kenderaan adik
disiapkan bagi memulakan program ..
Sekitar jam 11.30, kami bergerak
menuju ke rumah ibu mertua penulis. Sudah ramai sanak saudara yang hadir untuk
memberikan doa dan ucapan-ucapan yang baik. Akhirnya, azan di laungkan oleh
Hussaini dan doa dibaca lantas kami pun bergerak menuju ke masjid dimana
kawasan atau lokasi yang dijanjikan untuk membawa kami ke KLIA.
Sekitar jam 12.15, tatkala tiba
di perkarangan masjid, sudah ramai jamaah yang telah tiba untuk bersama memulakan
kembara ini. Bas yang dijanjikan masih belum tiba. Jumlah sanak saudara yang
menghantar lebih ramai daripada yang jamaah yang bakal menyertai misi ini.
Suasana awal pagi khamis ini agak meriao dengan suara sanak-saudara yang hadir.
Sekitar jam 12.30, bas pun tiba. Namun kami masih lagi menunggu ketibaan
beberapa orang jamaah yang masih belum muncul, beserta mudir jamaah.
Apabila mudir tiba, bersama
dengatnnya ialah barangan hadiah yang masih gagal didapati hingga ke saat akhir
iaitu beg pa5ckaian, beg gantung dan juga buku panduan berkulit merah.
Jam 1 pagi, taklimat oleh pihak
dari Johor Bahru. Kemudian, bacaan doa oleh Al Fadhil Ustaz Haji Shaari Sapawi
dan diikuti oleh beyberapa nasihat berguna. Pengembaraan suci ini pun bermula
dengan kalimah Allah .
Perjalanan ke KLIA terasa agak
perlahan dan tidur penulis agak lancar dan menyejukkan tidak seperti perjalanan
biasa dengan menaiki bas yang kerap menyebabkan penulis tidak dapat tidur
dengan begitu lena.
Kami tiba di KLIA sekitar jam
5.00 pagi. Setelah mendapatkan troli, beg sebanyak tiga buah itu dibawa masuk
naik ke atas untuk proses mendapatkan tiket dan juga penyerahan passport dan
boarding pass atau
mudahnya tiket pesawa tterbang.
Ketika jam menjejak ke pukul 5.30
pagi, urusan yang dimaksudkan masih belum menunjukkan tanda akan bermula. Kami segera menuju ke surau berhampiran untuk
melaksanakan solat fardhu subuh. Ketika melintasi pintu surau, penulis
terserempak dengan salah seorang rakan seorganisasi yang bakal memulakan
lawatan ke Bandung Indonesia.
Usai solat, penulis terjumpa
dengan seorang lagi anggota misi Bandung. Tidak pula penulis ketahui bahawa
tarikh penerbangan ke Bandung adalah sama dengan tarikh penerbangan menunaikan
misi suci penulis.
Beberapa minit kemudian, abang
ipar penulis tiba untuk memberikan lambaian selamat jalan. Kemudian mereka pergi minum pagi bersama
isteri dan ibu mertua. Penulis menunggu sahaja di lokasi kerana khuatir proses
seterusnya dijangka bakal berjalan.
Memang, benar, sebaik sahaja
mereka pergi, urusan penyerahan passport, boarding pass, kad peserta beserta
taklimat dimulakan. Ianya tidak berjalan terlalu lama. Kemudian, bagasi dibawa
untuk check in di kaunter.
Setelah selesai urusan bagasi,
kami diberi tempoh untuk minum pagi sehingga jam 8.30 pagi. Kemudian, kami
bergerak menuyygju ke pintu imigresen dan menaiki keretapi laju menuju ke terminal
penerbangan antarabangsa.
Tiba di terminal antarabangsa, kami berjalan menuju ke kawasan menunggu yang ditetapkan. Di situ ialah pemeriksaan akhir boarding pass beserta pasport dan akhirnya duduk menantikan saat untuk masuk ke perut pesawat terbang.
Kami kemudiannya selamat menaiki
pesawat Oman Air sekitar jam 8.45 am dan pesawat berlepas sekitar jam 9.15 pagi.
Sebagaimana biasa, penulis
sememangnya sangat terkesan dengan kata-kata bahawa saat take off dan landing
adalah saat yang paling kritikal untuk sesebuah pesawat terbang. Dengan kalimah
Allah, kami akhirnya berangkat.
Penulis pada awalnya menyangka
bahawa penerbangan ini hanya mengambil masa sekitar tiga jam sahaja. Tetapi
sebenarnya tidak. Setelah terbaca kenyataan penerbangan dari skrin, rupanya jam
12.30 yang dijangka sampai adalah waktu tempatan muscat oman. Sebenarnya penerbangan ke Muscat mengambil
masa selama 6 jam 15 minit.
Mengisi masa di dalam perut pesawat Oman
selama penerbangan tidaklah menjemukan kerana terdapat bahan –bahan interaktif
yang disajikan iaitu pilihan video dan juga permainan serta pelayaran sesawang.
Skrin juga mampu memaparkan perjalanan pesawat beserta peta dan ini membolehkan
penumpang tahu di mana mereka berada.
Sekitar jam 12.30 waktu Muscat / 3.30 petang waktu Malaysia, kami mendarat di ibu Negara Oman, Muscat untuk transit. Sebaik selepas mendarat, kami memerhatikan dari tingkap kokpit buat pertama kalinya secara langsung, tanah tandus di sisi landasan yang hanya dihiasi pasir dan juga sedikit tumbuhan renek yang kelihatan kering. Kami menuruni anak-anak tangga sambil menghirup udara kering padang pasir. Kami disambut dengan bas yang langsung membawa kami ke balai ketibaan.
Kami terdampar di lapangan
terbang antarabangsa Muscat sehingga jam 4 petang. Kami solat jama dan qasar. Suraunya agak luas. Peristiwa ganjil yang
berlaku disini ialah muncul jamaah yang juga dari Malaysia solat dengan jamaah
sendiri sedangkan penulis masih mengimami jamaah solat Zuhur. Insiden ini jelas
menunjukkan mentality masyarakat kita yang agak kurang memahami selok belok
amalan agama sendiri serta suka memakai pandangan sendiri tanpa perlu merujuk
kepada mereka yang memahami masalah selok-belok fiqh yang luas itu.
Menjelang jam 4 petang, kami
check in untuk meneruskan perjalanan ke Jeddah Saudi. Pesawat terbang sekitar
jam 4.30 petang dan penerbangan ke destinasi mengambil masa lebih kurang 2 jam.
Seperti biasa, makanan dan
minuman dihidangkan sekitar setengah jam selepas berangkat, dan makanannya tidaklah seberat sewaktu kami terbangh dari Kuala Lumpur. Berjaya mendarat di bumi Saudi sekitar jam 6.30
petang waktu Saudi. Ketibaan kami juga disambut dengan anak-anak tangga dan seterusnya dibawa menaiki bas
yang lebar serta panjang. Jarak di antara pesawat ke terminal agak jauh juga..
Kami diturunkan di terminal haji. Sebaik tiba, kami disambut oleh penjual kad telefon saudi berharga SAR50.00. Sebagaimana pesanan sahabat Mohd Azam, wang saudi yang dititipkan oleh beliau digunakan untuk pembelian kad tersebut bagi kegunaan perhubungan dengan keluarga di tanah air. Menunggu di kawasan tersebut tidak memakan masa yang terlalu panjang. Kira-kira 30 minit selepas mendarat, kami telah diarahkan untuk masuk ke kawasan pemeriksaan dan proses dengan pihak imigresen berjalan agak lancar. Pihak berkuasa Saudi
yang segak berpakaian seragam, rata-ratanya berpakaian sempit dan sendat dan
kelihatan seksi, menyajikan perkhidmatan yang boleh dipuji. Meskipun kelihatan mereka kurang serius dalam tugasan mereka, dengan melaksanakannya sambil bersembang dan kadangkala membalas SMS..
Kemudian, kami solat Maghrib dan
Isya seterusnya menaiki bas untuk memulakan perjalanan ke bumi suci Madinah
Munawwarah. Kami berhenti seketika untuk mengambil mutawwif, seorang lelaki berbangsa Indonesia. Sebaik sahaja beliau menyertai kami, beberapa perkara berkaitan perjalanan dan kelebihan Madinatul Munawwarah diterangkan.
Kami singgah sebentar di stesen
minyak untuk makan. Di Saudi, kebanyakan bas persiaran melarang keras penumpang
untuk makan di atas bas. Singgah di stesen minyak tetapi makan di bangunan yang
berhampiran. Kami hanya menumpang makan di kaki lima bangunan yang telah
ditutup. Hanya mendapatkan sedikit cahaya daripada stesen minyak. Kenderaan di
saudi kebanyakkan lebih besar dan mengkagumkan berbanding kenderaan di bumi sendiri. Usai menikmati nasi arab, kami pun meneruskan perjalanan dengan bas menuju ke kota Rasulullah SAW.
Bas bergerak dengan kelajuan yang amat sederhana. Pemandangan di kiri kanan jalan agak terhad dek kehitaman suasana malam Jumaat. Hanya kenderaan yang berada di jalanan sahaja yang dapat dilihat serta bangunan-bangunan yang juga terhad di kiri kanan jalan. Lebuhraya yang dilalui mempunyai empat lorong dan tiada sebarang tol yang dikenakan. Lantai lebuhraya kerap menemui benjolan yang diletakkan besi-besi sebesar batu jalan yang timbul mungkin bertujuan untuk mengurangkan kelajuan kenderaan.
Antara masalah terbesar di sini ialah untuk mendapatkan tandas. Di lobi, mereka mengatakan di tingkat atas. Tiba di tingkat atas, dikatakan lagi di tingkat lebih atas. Setelah tiba di lokasi berpusing mencari dalam keadaan yang sanagt terdesak. Akhirnya, bertemu dengan staf hotel yang menunjuk arah. Apabila bertemu, pintu tandas berkunci dan perlu dibuka dengan menggunakan kad. Begitu ketat kawalan keselamatan dan mungkin juga kebersihan di hotel tersebut. mujurlah pekerja tersebut baik hati menggunakan kad beliau....
Wah di sini bukan semudah di negara kita untuk berhenti di mana-mana R&R. Memang ada kelihatan stesen minyak di kawasan berhampiran tapi nampaknya pemandu bas hanya membiarkan sahaja ianya berlalu. Ya Allah...
Setelah selesai, kembali ke lobi, manakala isteri dan ibu mertua telah sedia menanti dengan beg dan juga kad masuk ke bilik penginapan. Kami ditempatkan di tingkat 14 bilik 111...bernombor 14111.
Jam menunjukkan pukul 2.00 pagi waktu Saudi bersamaan hari Jumaat. Waktu solat Fajr di Madinah ialah sekitar jam 4.00 pagi. Berehat sebentar dan mandi bagi yang memerlukan. Sementara menunggu ibu mertua dan isteri bersiap, penulis sempat membuat panggilan telefon ke tanah air. Ternyata mereka sudah menemui watu dhuha sedangkan kami masih belum menemui waktu Fajr.
Sekitar jam 3.45, kami bertiga bergerak turun melalui lif dan menuju ke masjid nabawi. Tatkala tiba di dataran masjid, azan yang berlagu indah menerpa dinding telinga...Kami masih lagi berjalan menuju ke pintu utama untuk masuk ke dalam masjid. Akhirnya setelah tiba di hadapan pintu King Fahd, saluran masuk ke lokasi muslimat pula gagal ditemui. Setelah bertanya dengan salah seorang pekerja yang berbangsa Indonesia, barulah diketahui kawasannya.
Kami kemudian berpecah. Penulis masuk dengan tawaduk melalui pintu tersebut, meletakkan selipar pada rak yang disediakan dan berjalan masuk. Raudah agak jauh untuk berjalan sedangkan saf sudah semakin dipenuhi jamaah. Akhirnya berhenti di satu kawasan dan solat sunat di situ. Sementara menantikan suara bilal yang merdu itu mengumandangkan iqamah, duduk merenung diri yang lemah dan hina. Bersyukur kerana diberikan peluang kali kedua untuk menjadi tetamu Rasul SAW.
20 tahun yangh lampau tatkala berumur 16 tahun, penulis pernah menjejak kaki ke masjid suci ini bersama arwah datuk, nenek dan juga adik. Pada masa itu projek pembesaran masjid sedang giat dilaksanakan oleh Al Malik Fahd, pemerintah Saudi semasa itu.
Apabila iqamah dilaungkan dan imam memulakan solat subuh dengan bacaan yang sangat syahdu. Bacaan beliau membuatkan penulis menangis dan tangisan itu berlanjutan sehinggalah saat salam diberi. Begitu menggamit perasaan dan mencengkam jiwa. Jiwa kotor seorang hamba yang banyak melakukan dosa. Jiwa seorang hamba yang sangat jauh dari TuhanNya..
Selesai solat, tiada sebarang suara daripada sang imam untuk berzikir, berwirid apalagi membaca doa beramai ramai. Mungkin imam membaca wirid dalam keadaan sir yang mana ditentang hebat oleh kebanyakan imam dan ulama di sekitar jazirah melayu lebih-lebih lagi sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Membaca wirid selepas solat dalam keadaan sir akan mengundang padah untuk dicop mohor selaku pendukung pandangan wahabi!! Tetapi kenapa penduduk madinah tidak membaca wirid selepas solat secara jahar? Kerna mereka adalah wahabi? Ataukah mereka mewarisi perkara itu dari datuk nenek mereka yang bersambung atau pernah menemui serta solat bersama Rasul SAW? Jikalah amalan membaca wirid dengan suara jahar itu sudah menjadi amalan Rasul SAW, maka pada pandangan penulis yang amat cetek ini, sudah barang pasti amalan tersebut akan diteruskan oleh penduduk Madinah...Mana mungkin mereka ini berani melakukan amalan yang berlainan daripada apa yang diwarisi daripada penduduk asal madinah sejak zaman berzaman mulai tarikh tibanya Rasul SAW ke bumi Yathrib ini..
Beberapa minit kemudian terdengar seruan untuk solat jenazah. Ya...di bumi suci ini hampir setiap waktu selepas solat fardhu akan ada jenazah yang sedia untuk disolatkan .. Beruntunglah penduduk bumi madinah atau sesiapa sahaja yang dipilih untuk meninggal di sini kerana mereka pastinya akan dikebumikan di Baqi'. Kelebihan dikebumikan di baqi..
Berkenaan perkuburan al-Baqi’ (perkuburan sahabat di Madinah), terdapat hadis-hadis soheh menerangkan bahawa Nabi s.a.w. selalu menziarahinya dan mendoakan keampunan Allah untuk penghuninya. Di antaranya, hadis dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. setiap kali bermalam di rumahnya, baginda akan keluar menuju ke perkuburan al-Baqi’ pada saat hujung malam dan baginda mengucapkan;
السَّلامُ عَلَيْكُمْ دَارَ قَوْمٍ مُؤْمِنينَ، وَأتاكُمْ ما تُوعَدُونَ، غَداً مُؤَجَّلُونَ، وَإنَّا إنْ شاءَ اللَّهُ بِكُمْ لاحقُونَ؛ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لأهْلِ بَقِيعِ الغَرْقَدِ
“Selamat sejahtera ke atas kami para penghuni kediaman kaum yang beriman. Telah datang kepada kamu apa yang dijanjikan untuk kamu. Kami –Insya Allah- akan mengekori kamu. Ya Allah! Kurniakanlah keampunan untuk para penghuni perkuburan Baqi ini” (HR Imam Muslim).
Terdapat hadis soheh menyebutkan kelebihan mati di Madinah secara amnya, iaitu sabda Nabi s.a.w.;
-أن نبي الله صلى الله عليه وسلم قال من استطاع أن يموت بالمدينة فليفعل فإني أشفع لمن مات بها
“Sesiapa mampu untuk mati di Madinah, maka lakukanlah. Sesungguhnya aku akan memberi syafaat untuk orang yang mati di situ” (HR Imam Ahmad dari Abullah bin Umar r.a.).
Di perkuburan al-Baqi’ dikebumikan lebih 10 ribu sahabat, antaranya; Saidina Usman, isteri-isteri Nabi selain Khadijah dan Maimunah, anak-anak Nabi (Fatimah, Ruqayyah, Ummi Kaltsum dan sebagainya), cucu Nabi (al-Hasan bin Husain) dan ramai sahabat lagi. Menziarahinya merupakan suatu sunnah Nabi s.a.w. sebagaimana hadis tadi.
Usai solat berjalan menuju ke raudhah tetapi jalan masuk ke kawasan penuh berkah itu telah ditutup untuk laluan ziarah muslimat. Sedikit hampa, namun kemudiannya sedikit terubat apabila terpandang tong-tong berwarna coklat cair yang tersusun di sisi laluan bertulis zam-zam. Ya...air suci penuh keberkatan itu ada disajikan di masjid Nabi SAW. Meneguk air penuh keberkatan itu seperti dapat menghilangkan kedahagaan yang terlalu lama. Penulis kemudian bergerak keluar menuju ke lokasi yang dijanjikan dengan isteri dan bonda. Setelah bertemu, keputusan diambil untuk masuk semula ke masjid rasul. Penulis cuba mengintai-intai jalan masuk ke makam kekasih, Rasulullah SAW. Setelah ditemui pintunya, penulis cuba masuk tetapi dihalang oleh pasukan keselamatan yang bertugas. Oh..rupanya kena melalui babus salam. Maka penulis tanpa membuang masa segera bergerak ke sana. Masuk melalui babus salaam dan akhirnya dapat juga melintasi makam rasul SAW buat kali pertama. Alangkah sayu sekali melangkah kaki di hadapan makam Rasul SAW buat pertama kali sejak 20 tahun lampau. Betapa hati ini sering meronta-ronta merinduimu Ya Rasulullah SAW. Betapa mimpi-mimpi penulis menziarahi makam junjungan kerap kali berkunjung dalam tidur. Akhirnya, segala kerinduan 20 tahun itu terubat kini. Terasa begitu hening dan syahdu tatkala melafazkan salam kepada Junjungan mulia meskipun di tengah-tengah asakan dan keriuahan suara jutaan manusia yang hadir dengan niat yang sama. Melepaskan kerinduan terhadapmu Ya Rasulullah. Apalah layaknya penulis ini untuk melafazkan salam kepada junjungan...seorang umat yang sering meninggalkan sunnah dan kerap kali pula menjadi manusia yang terlalu mementingkan diri sendiri...moga ziarah penulis kali ini bukan ziarah yang akhir...
Selesai ziarah, kembali di tempat yang dijanjikan dengan isteri dan mertua, seterusnya bergerak untuk sarapan pagi. Jam 6 pagi di Saudi seolah-olah sekitar jam 7.30 pagi di tanah air dari segi terang hari disekitarnya.
Sarapan pertama di bumi Madinah dihidangkan dengan makanan enak di restoran taibah. Tidak disangka pula begitu ramai manusia yang hadir dan kesemuanya adalah serumpun dan senegara. Bertemu dengan beberapa orang yang dikenali seperti Ustaz dari simpang renggam dan juga mantan penghulu.
Usai menikmati sarapan, kembali sebentar di penginapan. Ziarah dalam masjid bermula sekitar jam 7.00 pagi dengan berbeza acara di antara muslimin dan muslimat. Pada kesempatan ini dengan pimpinan mudir, kami berjaya masuk ke raudhah, salah satu lokasi istijabah, salah satu dari taman-taman syurga. Meskipun tiada hadis mengenai kawasan ini adalah kawasan istijabah, namun berada di dalamnya seolah-olah anda berada di lokasi 1400 tahun lampau bersama dengan Nabi SAW dengan rumah baginda yang mulia di sisi kiri.
Sememangnya untuk iktikaf di raudah anda terpaksa hadir lebih awal dari biasa. Jika pada waktu Dhuha ini manusia sudah berebut-rebut untuk solat padanya, apalagi pada waktu solat fardhu. Pasukan Keselamatan Saudi (PKS) senantiasa mengawal lokasi ini dan cekap serta pantas menghalau individu yang tidak bergerak dari kawasan ini selepas menunaikan solat. Sayangnya ada juga individu yang mementingkan diri sendiri, duduk lama selepas solat dan tidak kurang juga yang membaca al quran tanpa menghiraukan saudara-saudara lain yang sudah lama berbaris menunggu giliran untuk solat di raudhah. Maka tindakan PKS pada pandangan penulis sememangnya perlu kerana jika dibiarkan sudah barangpasti yang duduk iktikaf terus tenggelam dalam keasyikan iktikafnya tanpa menghiraukan saudaranya dari seluruh pelusuk negara yang hadir ziarah ke madinah juga ingin menikmati solat di masjid asal Nabi SAW.
Selesai ziarah, kembali ke bilik penginapan. Mengambil peluang untuk menikmati tidur. Namun sebenarnya keletihan dek kerana musafir yang panjang seawal pagi Khamis sirna oleh dengungan indah suara muazzin Subuh tadi. Ditambah lagi dengan suara tuan imam yang begitu gemersik dan mengusik jiwa. Terasa melayang terhimbau zaman keagungan Islam. Seolah-olah solat bersama Junjungan Besar Muhammad Rasulullah SAW.
Tersedar tatkala jam menunjukkan ke angka 11 pagi waktu Saudi. Bergegas untuk mandi sunat hari Jumaat. Kemudian bergerak menuju ke masjid. Keadaan terasa agak dingin di dalam bilik menyebabkan perasaan hendak membuang air kecil berlaku beberapa kali. Kemudian bergerak menuju ke masjid habibullah. Keadaan dataran masjid sudah dipenuhi dengan jamaah dari pelbagai bangsa dan keturunan serta warna kulit, juga mazhab anutan. Tatkala penulis masuk melalui pintu al malik Fahd, keadaan saf kebanyakkan sudah penuh. Dapat menempel di salah satu saf yang hampir dengan masjid asal. Usai solat tahiyyah perasaan hendak membuang air menyerang lagi. Pada awalnya seperti boleh di tahan. Tetapi akhirnya, seperti gagal. Sebelum berlaku lebih teruk, maka penulis ambil keputusan ke tandas masjid. Berjalan agak jauh sambil menahan perasaan yang semakin mendesak. Ahhh!! Keadaan terlalu sesak di tandas!! Mahu tidak mahu, untuk lebih selamat, terpaksa kembali ke hotel. Berjalan agak laju. Serangan perasaan itu semakin kritikal. Akhirnya, dalam keadaan yang sangat terdesak, dapat kembali ke hotel semula.
Dan apabila penulis keluar semula untuk ke masjid, jam di tangan menunjukkan ke pukul 12 tengahari. Waktu Jumaat dijangka pada 12.10 tengahari. Dalam kesuntukan itu, penulis bergerak masuk ke dataran. Suasana sudah semakin sesak. Akhirnya, mengambil keputusan untuk solat di atas bumbung masjid. Suasana agak sedikit panas, namun tidak terlalu sesak.
Khutbah tengahari itu menceritakan mengenai kebaikan dan keberkahan bumi madinah. Meskipun penulis tidak pernah mempelajari bahasa Arab, tapi secara keseluruhannya dapat memahami maksud yang hendak disampaikan. Bacaan imam pendek sahaja. Pada rakaat pertama selepas fatehah dibaca sural al falaq dan pada rakaat kedua selepas al fatihah dibacakan surah an nas.. Oh ya...subuh tadi juga imam tidak membacakan surah as sajadah sebagaimana kelaziman imam di tanah air pada rakaat pertama solat subuh selepas membaca fatihah yang membawa kepada sujud sajadah dan bacaan surah al insaan selepas fatihah pada rakaat ke dua. Imam subuh hening pertama di bumi madinah membawa surah panjang yang lain pada solat subuh itu..
Usai Jumaat, jamaah berpuu-pusu keluar ...Ada juga yang duduk sebentar mungkin berzikir. Kemudian, seruan untuk solat jenazah sekali lagi berkumandang. Usai solat jenazah, yang dipanjangkan selepas takbir ketiga dan sangat singkat saat di antara takbir terakhir dengan salam, penulis bergerak turun dan rupanya keluar di Bab Al Malik Abdul Aziz. Maka kelihatan babus salaam dan pintu tiga abu bakr yang dipenuhi manusia yang luar biasa ramainya untuk menziarahi Rasulullah SAW. Niat di hati untuk menziarahi baginda terpaksa ditawqufkan buat sementara waktu memandang jamaah yang terlaluy ramai dan berpusu-pusu menuju babus salaam.
Penulis kemudian bergerak pulang sambil mata tercari-cari kelibat ibu mertua dan isteri. Oh ya...sejak ziarah dalam secara berasingan tadi, mereka berdua tidak pulang ke hotel. Hati sedikit risau lantas menghubungi ketua rombongan melalui SMS sebelum turun ke masjid tadi. Ternyata isteri beliau juga belum pulang.
Sebaik sahaja penulis tiba di bilik hotel, ternyata mereka telah berada di dalam bilik. Maka kami kemudian bergerak untuk menikmati makan tengahari di restoran Taibah yang terletak di tingkat 1 hotel berkenaan. Suasana ruang jamuan agak kondusif dan makanan masih banyak berbanding sarapan pagi tadi yang agak ramai jamaah.
Usai makan tengahari, kami kembali ke bilik untuk berehat. Asr dijangka sekitar jam 3.20 petang. Sekitar jam 3.00 petang, kami telah bersiap untuk ke masjid. Kemudian, kami bergerak menuju ke masjid. Kali ini melalui lorong yang agak sejuk yang telah berjaya ditemui, melalui hotel dan keluar di kawasan berhampiran pintu masuk ke dataran masjid. Kehangatan waktu Asr di Madinah terasa menjulang dari tar jalan yang terletak diapit oleh bangunan-bangunan pencakar langit Madinah. Kali ini walaupun manusia sudah memenuhi ruang, penulis berazam untuk solat di raudhah atau kawasan berhampiran. Tatkala kaki mencecah kawasan berhampiran babus salam, azan Asr mula berkumandang. Penulis kini masuk melalui bab abu bakr dan terus menuju ke kawasan raudhah. Raudhah sudah dipenuhi manusia. Tatkala azan selesai, beberapa orang jamaah masih berdiri dan menyelit mencari ruang, termasuk penulis. Akhirnya dapat berdiri di belakang rumah Aisyah (dahulunya) berhampiran dengan pangkin sahabat ahlul suffah. Berdiri agak lama dengan harapan. Dapat juga mengamati kompleks makam junjungan dari arah belakang yang dahulunya ialah kediaman atau bilik Asiyah...Keadaan saf masih penuh. tiba-tiba, tatkala tertinjau-tinjau mencari ruang, seorang tua arab memanggil dari arah Babul Jibrail...Ya...itu adalah anugerah dariNya...ada ruang di sana. Maka bersegera penulis bergerak dan sempat pula menunaikan solat sunat.
Usai solat Asr, penulis sekali lagi berkesempatan menziarahi makam Rasul SAW. Apabila kita berada di raudhah dan hendak berjalan menziarahi Rasul SAW, maka kita akan berpeluang untuk berada dalam jarak yang paling hampir dengan makam baginda. Berkebetulan pada waktu Asr Jumaat yang mulia, penulis dapat menghampiri kawasan makam dan dalam hati memberi salam kepada Junjungan Besar Muhammad Rasulullah SAW. Terhidu wangian dari arah makam baginda yang jauh lebih harum daripada segala bau-bauan yang pernah terhidu di muka bumi.
Setelah keluar dan menemui isteri dan ibu mertua di lokasi yang dijanjikan kami kemudiannya berjalan di kedai-kedai sekitar Madinah selepas berjaya menukarkan wang Malaysia kepada Riyal Saudi. Suasana petang yang tidak terlalu terik namun haba hangat nya tetap terasa. Di hadapan pintu pagar ke dataran masjid terdapat jualan dagangan murah yang menawarkan pelbagai barangan yang berupa pakaian, seperti kopiah, jubah dan sebagainya. Kain-kain tudung berwarna-warna dilambung-lambung ke udara dengan jeritan tawaran harga terendah.
Lawatan pada Asr ini adalah seqadar lawatan pertama sebelum membuat lawatan kedua pada waktu selepas Isya yang belum ditentukan. Singgah sebentar di sebuah kedai minuman untuk mendapatkan cecair. Membeli air juz yang berharga sekitar SAR5.00. Nikmat rasanya dapat meneguk air berperisa di tengah-tengah bahang kepanasan dalam waktu Asr. Tapi air tersebut terlalu banyak pewarna hingga dapat pula ia singgah mewarnai pakaian yang putih...
Sekitar jam 5 petang waktu Saudi, kami kembali ke bilik. Setelah berbaring dan berbual, akhirnya tertidur. Tatkala tersedar, jam sudah menunjukkan ke pukul 8 malam!! Alamak, sudah rugi tidak dapat berjamaah solat. Namun, mata masih terasa berat dan akhirnya tertidur lagi.
Kemudiannya tersedar dan kelam kabut, dalam fikiran sudah menghampiri waktu subuh sedangkan penulis dan keluarga masih belum menunaikan solat Isya dan maghrib!!
Menjengah ke luar cermin tingkap hotel, jalan di bawah sudah mula sibuk. Ye ke sekarang di dah hampir subuh? Setelah melihat jam tangan, oh rupanya baru jam 10.00 malam!!
Kami kemudiannya menunaikan solat maghrib dan isya secara jama qasar dan kemudian kembali menyulam mimpi.
HARI KE DUA (SABTU 2 JUN 2012)
Sedar dari tidur lebih awal manakal isteri dan ibu mertua lebih awal dari penulis, sekitar jam 3.00 pagi. Bersiap dan seterusnya solat bersama Nabi SAW.
Acara selepas sarapan pagi ialah ziarah luar. Bermula dengan sarapan sekitar jam 6.00 pagi. Laman juadah menyajikan pelbagai hidangan mengusik nafsu. Dari butiran nasi arab hinggalah kepada mee hoon tanpa isi, roti, buah-buahan dan pelbagai jus minuman. Kemudian kami diarah untuk menunggu di lobi sekitar jam 7.00 pagi. Penantian di lobi sememangnya agak menguji kesabaran kerana perlu menanti yang terlewat..
Kami kemudian naik ke dalam perut bas yang dipandu oleh Arab pertengahan umur, tetapi bukan pemandu malam Jumaat lepas. Destinasi pertama ialah Masjid Quba. Sebelum itu, kami melalui beberapa masjid lain seperti masjid Bilal.
Mutawwif menyatakan bahawa Nabi SAW biasa berjalan kaki ke Quba hampir setiap hari Isnin. Quba ialah kampung pertama yang disinggahi oleh junjungan dalam misi hijrah baginda ke yathrib. Dalam hadis dirawikan oleh mutawwif , "barangsiapa yang mengambil wudhuk dari rumahnya dan kemudian masuk ke masjid quba lantas solat dua rakaat, seolah-olah dia telah menuinaikan umrah.."
Di dataran Quba, kami diperingatkan untuk turun solat dalam jangkamasa 30 minit sahaja. Penziarah kelihatan agak ramai dari segenap penjuru dunia. Di dataran juga, terletak deretan kedai yang menjual pelbagai barangan . Dari kurma, kekacang hinggalah kepada pakaian dan juga cenderahati. Turun untuk solat tetapi mengambil wudhuk di kawasan wudhuk yang dipenuhi umat manusia. Usai solat, kami akan bergerak pula kemedan Uhud. Sementara menunggu jamaah, naik seseorang yang kelihatan seperti seorang yang kurang sempurna fizikalnya berkata sesuatu dengan kepetahan bahasa arab yang kami fahami objektifnya iaitu untuk mendapatkan sedikit sadaqah. Maka kelihatan hampir kesemua jamaah memberikan wang, paling kurang SAR1.00. Ada yang bergurau, mengatakan bahawa sebaik sahaja peminta sedekah itu turun, keadaannya akan pulih seperti sediakala. Maksudnya, dia hanya berpura-pura cacat fizikal...
Setelah pemandu berbangsa Arab itu kelihatan mula marah dan membunyikan hon bas berkali-kali, maka jamaah menjadi agak tergesa-gesa untuk masuk ke perut bas. Kemudian, kami bergerak pula ke tapak medan peperangan uhud yang juga menjadi tempat persemadian syuhada serta penghulu mereka.
Tatkala bas membuat pusingan, kelihatan bukit yang menjadi lokasi pemanah yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW agar bertahan terus walau apa pun yang berlaku itu, dipenuhi oleh manusia. Menurut mutawwif, mereka itu ialah bermazhab syiah yang mahu mencari keberkatan dari bukit tersebut. Menurut mutawwif, penduduk madinah ada menyatakan bahawa bukit tersebut saban tahun semakin menurun ketinggiannya, betul atau tidak wallahu a'lam
Tatkala bas masuk ke dalam kawasan parkir yang agak jauh, cuaca di luar mula terik kepanasan mentarinya. Kami hanya turun sebentar untuk bergambar. Anak-anak mudir dan sebahagian jamaah yang datang bersendririan, ada yang cuba-cuba bergerak ke kawasan pemanah, meskipun pada awalnya mutawwif seolah-olah enggan membenarkan kami ke sana.
Beberapa minit kemudian, kami dibawa pula bergerak ke pasar kurma, yang dianggap sebagai syurga kurma madinah.

Tiba di sana, terdapat beberapa buah bas telahpun mendarat di datarannya. Ianya hanya sebuah kedai berhawa dingin yang agak sempit. Di dalam bangunan tersebut, bersesak-sesak jemaah sedang bermuamalah dengan tuan punya kedai. Benarlah sebagaimana yang dikhabarkan. Jamaah dibenarkan untuk menikmati tamar yang dijual secara percuma, meskipun mereka tidak berminat atau berniat untuk membuat pembelian. Makanlah seberapa banyak yang termampu.
Di pasar kurma juga penulis menemui dua orang dari Malaysia. Sepasang suami isteri yang menjalankan perniagaan dan perusahaan makanan di organisasi penulis, dan seorang lagi ialah kiyai suhaili..
Aktiviti di pasar kurma berlangsung sekitar satu jam. Kami kemudiannya dbawa pula melawat ke masjid qiblatain. Masjid yang bersejarah dimana pada ketika Nabi SAW mendirikan solat menghadap ke Baitul Muqaddis, turun wahyu memerintahkan Nabi SAW mengadap ke Baitullhil haram di Makkah. Maka segera Nabi menghadap ke arah Kaabah tanpa membatalkan solat atau tanpa menangguhkan ke waktu selepasnya...yang mana arahan mengahadap ke Kaabah dalam solat sememangnya sesuatu yang sangat dinanti-nantikan oleh junjungan disebabkan oleh ejekan-ejekan kaum Yahudi yang mengatakan bahawa muhammad itu menentang agama kita (Yahudi) tetapi solat menghadap ke kiblat kita (Baitul muqaddis)..
Selesai solat sunat disitu, hari sudah agak tinggi. Pemandu bas juga sudah agak panas dengan keadaan jamaah yang gagal mematuhi waktu yang ditetapkan. Maka kami kemudiannya bergerak ke masjid tujuh yang menjadi kawasan perkhemahan asalnya semasa peperangan ahzab meletus. Tetapi kami tiada pula singgah. Hanya seqadar melalui sahaja.
Seterusnya kami pun bergerak pulang semula ke hotel penginapan. Sempatlah berehat sementara menantikan waktu zuhur. Waktu zuhur kami keluar agak lewat, iaitu tatkala azan berkumandang. Namun masih sempat untuk solat sunat qabliyah zuhur. Usai solat, masih lagi mengambil kesempatan untuk menziarahi Rasul SAW. Kemudian kami bergerak pula untuk menziarahi kedai. acara pembelian barang-barang hadiah sudah pun bermula di bumi Madinah yang mulia. Usai ziarah kedai, kembali semula ke hotel, berehat seketika dan terus bersiap untuk menghadiri solat Asr sekali lagi.
Selepas Asr, sekali lagi mengambil peluang menziarahi Nabi SAW, kemudian ziarah kedai kembali dan kemudian kembali bersiap untuk solat Maghrib. Selepas Maghrib, berkesempatan berkenalan dengan pelajar dari Jordan yang turut mengambil peluang menunaikan umrah. Mereka ini datang dengan tambang sekitar 600 Dinar Jordan, jika tidak silap ingatan penulis. Pelajar tersebut, Kamal namanya mengambil jurusan pergigian, berasal dari pantai timur. Hadir semasa cuti semester berlangsung, tetapi hotel mereka agak jauh dari masjid. Oleh yang demikian, mereka akan berulang ke masjid dan iktikaf. Tiada sebarang kemudahan makanan disediakan oleh pihak hotel. Hanya sekadar tempat tidur.
Sejurus sebelum masuk waktu Isya. kamal meninggalkan saya bersama rakannya. Usai Isya, meneruskan acara ziarah kedai buat mengumpul hadiah dan pembelian buat rakan taulan saudara mara di tanah air...
Selesai program lawatan, penulis naik ke hotel, bersiap dan terus kembali ke masjid Nabi SAW sekitar jam 12.00 malam untuk mengambil peluang solat di raudhah. Masjid sememangnya telah ditutup kecuali pada pintu as salam sahaja. Keadaan jamaah masih juga ada tetapi tidaklah terlalu ramai. Namun di raudhah, terpaksa juga menunggu giliran untuk mengerjakan solat sunat. Cuba menghimbau kisah-kisah sahabat dan juga Rasulullah SAW sendiri tatkala berada di kawasan raudhah yang juga merupakan kawasan masjid asal dalam era kepimpinan Nabi SAW. Ini merupakan malam terakhir di bumi Madinah...
Penulis tidak mengambil masa yang terlalu panjang tatkala berada di raudhah. Teringat dengan saudara-saudara yang lain yang juga ingin berada di raudhah biarpun cukup buat seketika, beriktikaf sambil menghimbau kisah-kisah kepimpinan dan keseronokan tatkala era junjungan SAW. Penulis kemudian bergerak menziarahi Nabi SAW sebelum beransur pulang semula ke penginapan...Esok adalah hari berangkat ke bumi Makkah...
Ahad 3 Jun 2012 (HARI KETIGA)
Kami solat subuh sebagaimana biasa, bersiap seawal jam 3.00 pagi dan melangkah keluar dari bilik hotel sekitar jam 3.45 pagi. Iktikaf sehingga jam 6.00 pagi di kawasan bersebelahan raudhah. Iktikaf ini diakhiri dengan ziarah Rasul SAW.
Selepas menikmati sarapan pagi, ibu mertua dan isteri menyertai muslimat lain untuk ziarah wida'. Sekitar jam 10 pagi pula ialah acara menurunkan beg. Beg kami telah bertambah daripada tiga kepada empat. Hmm..ni belum lagi sampai ke Makkah...
Sebelum zuhur, masih sempat kembali ke kedai kerana menukar jubah isteri yang salah saiz. Menjelang zuhur, kami bergegas ke penginapan dan bersegera ke masjid untuk menghadiri solat zuhur terakhir di bumi madinah. Dengungan azan dari pembesar suara di zuhur terakhir di masjid Nabawi sungguh menyentuh rasa. Usai solat jama qasar, penulis ziarah wida. Saat itu tidak tergambar kesedihan yang tiba-tiba menyelebungi hati. Tanpa disedari air mata tumpah ketika melintasi makam mulia. Ia terus tumpah dan tumpah lagi. Kemudian, membawa diri terus menuju ke lokasi perjanjian isteri dan ibu mertua dalam keadaan air mata terus berguguran. Sedih kerana terpaksa berpisah dengan Nabi SAW. Entah bila lagi penulis dapat berpeluang lagi menziarahi mu ya Rasullullah. Sesunguhnya perpisahan ini teramat berat rasanya...
Kami kemudian bergegas ke restoran taiba untuk menikmati jamuan tengahari . Kemudian bergegas pula naik ke hotel untuk mandi sunat ihram dan seterusnya memakai ihram yang berlambang Tabung Haji Travel...Kemudian bergegas turun. Wah! Rupanya bagasi yang diturunkan tepat jam 10 pagi tadi masih tersusun indah dan setia di lobi...Kami fikir kamilah yang paling lewat tiba di lobi. Rupanya masih ada lagi yang belum sampai.
Kami menunggu agak lama di kawasan lobi sebelum bersama-sama mengangkat bagasi untuk disumbatkan ke dalam perut bas. Kemudian, sekitar jam tiga, bas kami pun bergerak menuju ke miqat penduduk madinah iaitu Bir Ali. Di situ, dilengkapi dengan sebuah masjid yang agak indah, dan kami turun untukmemasang niat dan kemudiannya solat sunat ihram. Maka terpasanglah niat umrah serta berihram dengannya dan terpakailah segala larangan semasa berihram sehinggalah kami dapat menyelesaikan ibadah umrah kami yang dijangka sekitar jam 10 malam nanti..
Perjalanan sebenar ke Makkah bermula sekitar jam 4 petang. Pemandu kali ini agak muda belia bersama pembantunya. Pergerakan bas tidak terlalu laju tetapi kurang selesa untuk lena disebabkan keadaan bas yang agak terhoyong-hayang, kerap menekan brek, kerap melanggar pemisah jalan yang berada di tengah-tengah lorong lebuhraya. Cerita-cerita tentang kemalangan yang berlaku ke atas jamaah umrah mula bermain di fikiran..
Perjalanan ke Makkah menyaksikan kiri kanan jalan yang hanya berbatu pasir. R&R yang ada di sepajang jalan tidaklah seindah R&R di lebuhraya negara kita. Namun yang membanggakan ialah masjid menjadi mercu tanda pada setiap R&R itu. Meskipun kebanyakan R&R di pesisiran lebuh raya utama itu kelihatan lebih baik sedikit daripada pekan-pekan koboi dalam filem-filem koboi Hollywood, namun binaan masjid yang ada telah menjadi satu perkara yang WAJIB ada di setiap R&R.
Memang jika dibandingkan dengan negara kita, kita jauh lebih selesa dan gembira berada di RnR, tetapi surau yang disediakan walaupun begitu kondusif, namun jauh sekali kedengaran suara azan dialunkan setiap kali masuk waktu solat. Oleh itu, sudah barang pasti untuk mendirikan jamaah, bukanlah sesuatu yang mesti. Memang ramai yang akan singgah untuk solat apabila telah masuk waktu. Tetapi syiar sebenar agama ini tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya. Pada wajah negara Islam contoh yang tersohor dan terbilang ini. Alangkah cantik dan moleknya jika RnR kita dihiasi dengan corong-corong pembesar suara pada surau-surau indahnya itu yang membolehkan azan dikumandangkan pada setiap waktu dan solat jamaah dapat dilaksanakan...
Perjalanan kami dihisai dengan laungan talbiah yang diketuai secara bergilir-gilir oleh mudir, Pak Cik dari Negeri Sembilan, comentator dan juga pemuda hebat. Namun yang agak lain ialah laungan dari pemuda hebat kerana ia membawa irama talbiah yang dipopularkan oleh kumpulan raihan. Walaupun pada awalnya ia agak janggal, melemaskan dan bermacam lagi, namun akhirnya ia dapat diterima dengan baik oleh semua, khususnya muslimat...
Kira-kira jam 5 petang, kami menerima hujan yang turun agak lebat membasahi kaca bas dan juga jalan-jalan kering tandus di muka bumi Saudi itu. Pemandu dan konduktor kelihatan agak seronok dengan fenomena alam yang julung kali berlaku di negara mereka.
Menjelang Maghrib, kami akhirnya singgah di salah sebuah kawasan RnR dalam suasana yang agak berangin, debu berterbangan dan kawasan hampir menyamai sebuah pekan kecil singgahan para koboi dalam filem. Surau yang disediakan kelihatan agak besar. Bergegas mencari bilik air untuk menyelesaikan hajat, namun terpaksa pula beratur. Bilik air yang disediakan memang jauh lebih baik di masjid dan surau negara sendiri. Air untuk berwuduk pula terasa agak kelat...
Maka azan dilaungkan dan solat didirikan. Penulis masbuq kerana masalah tandas yang terlewat. Usai solat maghrib, masing-masing jamaah mendirikan solat isya secara qasar sendirian. Mujurlah penulis masbuq kerana ada sebenarnya jamaah solat isya secara qasr yang didirikan secara jamaah. Ini merupakan satu anugerah besar bagi golongan yang menyintai solat jamaah.
Usai solat, kembali ke perut bas untuk meneruskan perjalanan. Kali ini lebih banyak diisi dengan tidur. Tatkala tiba di hotel, iaitu Firdous az zahabi yang terletak di jalan Ibrahim al khalel, sekitar jam 9 malam. Jamaah diminta check in dan makan malam dalam keadaan masih berihram. Maka kami segera mengangkut beng dengan menggunakan troli hotel yang terletak menganggur tanpa sentuhan sesiapa di sudut lobi. Kami ditempatkan di bilik 4111...nombor yang hampir serupa dengan penginapan di hotel kota Rasulullah, 41111...
Bilik kali ini tidak semewah hotel di kota Rasul SAW. Ianya agak sempit dengan tiga buah katil yang tersusun agak terhimpit. Tandas adalah lebih sempit. Ada juga peti sejuk. Namun secara keseluruhannya ia lebih menggambarkan kepada sebuah rumah tumpangan yang agak eksklusif, bukannya hotel..
Dewan makan hotel juga memang agak memeranjatkan kerana ianya betul berbentuk dewan makan. Makanan dimasak oleh orang melayu indonesia dan juga Pattani, menyajikan menu yang secocok dengan selera melayu...
Usai makan malam berehat sebentar dan kemudian berkumpul di lobi yang agak sempit. Menunggu hingga menjejak ke pukul 10 malam...
Akhirnya, bersama bimbingan mutawwif, kami berjalan menuju ke Masjidil haram bagi menyelesaikan ibadah umrah...Berjalan di lorong-lorong yang senantiasa sibuk. Kota Makkah seolah-olah kota yang tidak tidur. Semakin malam semakin ramai yang berjalan di lorong-lorong kota tersebut. Jalan Ibrahim Al khalil ialah sebuah jalan utama dua lorong yang dihiasi di kiri kanannya dengan hotel dan juga kedai-kedai.
Kami dibawa melalui sebuah lorong diantara bangunan hotel yang tidak digunakan lagi, dalam proses untuk dirobohkan kerana terlibat dengan projek mega pembesaran kota suci Makkah dan juga masjidil haram. Berjalan di bawah jejantas yang masih dibina dan kemudian melalui lorong yang agak luas yang diapit oleh bangunan yang menempatkan kedai-kedai perniagaan milik saudagar berbangsa Arab dan juga bangunan hotel yang juga menempatkan jam besar yang menjadi kebanggaan dunia islam kononnya sebagai menara jam yang terbesar di dunia, lebih hebat dan lebih menarik dari Big Ben di London.
Dataran masjidil haram kelihatan bercahaya dari kejauhan. Kami dibawa masuk ke pintu I, pintu al malik abd aziz...menyimpan alas kaki di suatu tempat, maka kelihatan bangunan kaabah, bangunan ibadah paling tua yang dibina di muka bumi. Jumlah jamaah yang melakukan tawaf, sama ada tawaf sunat mahupun tawaf umrah kelihatan sangat ramai memenuhi dataran tawaf biasa. Kami kemudiannya berjalan perlahan-lahan menuju ke garisan permulaan yang bertentangan yang hajar aswd. Dua puluh tahun lampau, terdapat satu garisan memanjang yang dibuat dari hajarul aswad untuk memudahkan jamaah memasang niat umrah sebagai permulaan pusingan. Namun kini, garisan itu sudah tidak kelihatan lagi. Yang ada hanya sebuah lampu berwarna hijau yang dipasang bersetentangan dengan hajar aswad. Sama ada lampu itu sudah wujud dua puluh tahun lampau tetapi penulis tidak perasan ataupun ianya masih baru...
Memulakan langkah pertama tawaf di tengah-tengah gelombang manusia yang turut sama melaksanakan tawaf. Sungguh berkesan dan memberikan bekas yang terus hangat di kotak pemikiran. Kedudukan penulis, isteri dan ibu mertua berada agak jauh dari kaabah menyebabkan pergerakan kami menjadi lebih panjang dan lebih lambat berbanding mereka yang tawaf berhampiran bangunan suci kaabah.
Usai solat, berdoa dan kemudiannya menuju ke lokasi sa'i. Dalam perjalanan, sempat singgah menghirup keenakan zam-zam. Tong-tong berisi zam-zam senantiasa berada di jalanan jamaah di dalam masjid dan sangat mudah untuk dicapai. Jamaah boleh memilih sama ada untuk meneguk air yang sejuk ataupun tidak sejuk...
Selepas minum zam-zam sepuasnya, kami memulakan sa'i dengan bimbingan mutawwif..Beliau ini berjalan agak laju pada pandangan penulis. Jam di tangan menunjukkan ke angka 12 tengah malam. Tatkala melaksanakan sa'i ini, sahabat PH sempat menghantar SMS.
Kami berjaya akhirnya menyelesaikan ibadah sa'i sekitar jam 1 pagi. Selepas bertahallul, duduk sebentar di permukaan bukit marwah sambil memanjatkan doa. Kemudian, kami bergerak pulang ke penginapan. Sebelum itu, berpusing mencari tandas. Pada bahagian dataran dilabelkan bahawa tandas lelaki terletak di bahagian bawah. Maka selepas sampai ke bawah, tiada sebarang tanda akan wujudnya tandas. Ini menyebabkan penulis terpaksa bertanya dengan seseorang yang dikenali sebagai pengawal keselamatan jika di negara kita. Berdasarkan kepada pemahaman penulis, dia menujuk arah bahawa tandas berada pada satu lorong yang agak panjang. Setelah penulis bergerak ke lokasi tersebut, masih gagal menemui ruang tandas yang dimaksudkan. Setelah hampir-hampir berputus asa, penulis berniat untuk pulang sahaja ke penginapan. Namun tatkala melintasi pengawal tadi, beliau bertanyakan adakah penulis telah menemui lokasi yang dihajatkan. Penulis memberi isyarat tidak bertemu. Maka pengawal tadi telah membawa penulis ke lokasi yang dimaksudkan. Oh...rupanya lokasi tersebut terletak dalam kawasan yang agak tersorok. Terpaksa masuk ke dalam satu bilik yang mempunyai ruang besar yang kosong, barulah bertemu dengan tandas awam yang dimaksudkan. Minta maaf...kawasannnya tidak sekondusif di negara kita...
Mungkin di negara kita, kita sering merasakan bahawa tandas-tandas awam secara keseluruhannya adalah berada di bawah kualiti yang memuaskan. Namun sebenarnya tandas di negara kita jauh lebih baik...
Usai menunaikan hajat, kami sekeluarga berjalan pulang. Tatkala melintasi kawasan yang sesak di jalan ibrahim al khalel, kedai-kedai masih belum menamatkan perniagaannya dan masih wujud pelanggan yang sibuk tawar menawar dengan pemilik premis perniagaan...wajah kota makkah, kota perdagangan yang sibuk sejak beribu tahun lampau sudah mula memperlihatkan perihalnya...
Kami berjaya tiba di bilik penginapan tatkala jam menunjukkan ke angka dua pagi waktu Saudi. Meskipun keletihan, tetapi terdapat keseronokan dan kepuasan setelah berjaya menyelesaikan umrah pertama...
ISNIN 4 JUN 2012 (HARI KEEMPAT)
Kami sekeluarga dapat bangun sekitar jam 3.15 pagi. Meskipun kurang tidur, namun motivasi keseronokan untuk berjamaah di masjidil haram telah membakar semangat kami. Sekitar jam 3.45, kami telah memulakan perjalanan ke sana. Sememangnya berjalan ke masjid haram mengambil masa kira-kira 15 minit untuk tiba.
Dengungan merdu muazzin di masjidil haram menyambut ketibaan kami di pintu king abdul aziz, pintu no 1. Keadaan di dalam masjid sebenarnya sudah mula sesak dengan jamaah pelbagai negara. Dan majoriti jamaah ialah dari Iran iaitu bermazhab syiah. Penulis hanya dapat tempat di lorong jalan kaki sahaja. Usai solat subuh yang menyegarkan, kami beriktikaf di dalam masjid sehingga jam 5.30 pagi. Kemudian, kami merancang untuk tawaf sunat. Keadaan jamaah yang melaksanakan tawaf di dataran kaabah cukup ramai. Kami bertiga terus masuk ke dalam lautan manusia yang ramai itu. Pelbagai ragam manusia yang kami temui. Ada yang begitu khusyuk dengan tawaf. Ada juga yang terburu-buru. Juga wujud jamaah muslimat yang kurang memelihara aurat mereka, khususnya pada bahagian rambut. Juga ada jamaah dari negara luar yang berjalan dalam satu jamaah seramai sekitar 30 ke 40 orang bertawaf dengan mengumandangkan suara yang kuat pada bacaan-bacaan mereka. Keadaan ini sedikit sebanyak sebenarnya mengganggu jamaah yang lain untuk berzikir dan berdoa...
Ada jamaah yang sangat berebut untuk mencium hajarul aswad. Masing-masing sanggup berempuh dan berasak-asak untuk menikmati haruman batu yang diturunkan dari syurga itu, seolah-olah ianya merupakan satu kewajipan dan kemestian yang mesti dilaksanakan...
Ada juga jamaah yang terus meluru menuju ke hajar al aswad ataupun ke multazam tanpa mengira manusia lain, tanpa menghiraukan jamaah lain yang sedang melaksanakan tawaf hingga kadang-kadang hampir sahaja teralih arah bahu daripada kaabah...
Ada juga jamaah yang buat selamba menunaikan solat di belakang maqam ibrahim dalam keadaan orang ramai masih lagi menggunakan laluan untuk tawaf.
Dalam seribu satu keadaan jamaah, kami bertiga selesai menyempurnakan tawaf sunat. Selepas solat sunat di belakang maqam ibrahim, sebenarnya jauh ke belakang, kami bergerak untuk pulang ke penginapan bagi menikmati sarapan pagi.
Aktiviti pada hari ini adalah aktiviti bebas, meskipun pada awalnya kami akan berangkat ke ladang unta, namun dek kerana kepenatan semalam, jamaah menangguhkan lawatan hingga keesokkan harinya.
Oleh yang demikian, aktiviti pada hari ini ialah rehat dan ke masjidil haram setiap waktu solat fardhu. Boleh sahaja jika jamaah mahu iktikaf sepanjang hari.
Menjelang waktu zuhur, keadaan di luar agak panas. Sebenarnya jauh lebih panas daripada suhu di tanahair. Penulis keluar bersama isteri dan ibu mertua melalui jalan berdebu merentasi deretan bangunan yang menpatkan pelbagai kenis hotel dan juga kedai yang menawarkan pelbagai hadiah dan cenderamata untuk jamaah yang menziarahi kota suci ini. Terdapat juga kedai menjual makanan dan minuman termasuk aiskrim. Di sini juga terdapat burung-burung merpati dan ada jualan makanan burung tersebut di kaki lima. Kepada jamaah yang ingin memberi makanan kepada kumpulan burung ini maka silakan.
Selepas melalui deretan kedai dan hotel, kami akan merentasi lorong yang dikiri kanannya merupakan hotel-hotel lama yang sedang dalam proses untuk dirobohkan. Malam sebelumnya kami merentasi laluan yang sama untuk ke masjidil haram begitu juga subuh tadi. Tetapi mungkin kerana suasana agak kelam dan gelap, kami tidak terperasan dengan keadaan sekeliling.
Selepas merentasi hotel roboh, kami melalui bawah jejantas yang juga dalam pembinaan, kemudian baru melalui jalan yang agak lebar dan sesuai diapit oleh dua bangunan besar yang menempatkan gedung-gedung perniagaan yang besar. Maka dihujung lorong tersebut baharulah kami menemui dataran masjidil haram. Pada waktu zawaal ini, lantai marmar putih dataran menyilaukan pandangan. Teringat pula ura-ura untuk mendapatkan kaca mata hitam yang masih belum kesampaian.
Kami masuk juga di pintu king abdul aziz, juga ditanda dengan nombor 1. Tatkala melangkah masuk, jamaah sudah memenuhi ruang solat. Azan tatkala itu masih belum dikumandangkan. Penulis hanya berkesempatan menyelit-nyelit di celahan saf.
Selesai laungan azan, jalan dan laluan semakin terbatas. Akhirnya solat di laluan sahaja.
Usai solat diiringi solat jenazah. Kemudian duduk seketika, menikmati beberapa tegukan zam-zam dan kemudian bergerak pulang ke hotel untuk makan tengahari. Suhu pada ketika itu tidak dapat dibaca di dinding luar masjid kerana silau. Tapi rasanya sekitar 40○C!
Lorong antara dua bangunan menyajikan jualan oleh penjaja jalanan. Bermacam-macam jualan terdapat di kaki lima, daripada kain tudung hinggalah jubah lelaki, semuanya boleh didspsti dengan harga jualan yang mempesonakan. Di sini kita boleh membeli jubah lelaki dengan harga serendah SAR 20.00!!
Meskipun terik mentari agak menggetarkan, namun haba bahang kepanasan tidak seperti di bumi madinah. Ibu mertua sempat juga menjenguk dan membelek beberapa helai kain kerudung yang agak menarik hatinya. Melalui deretan kedai makan yang menawarkan ais krim, roti, nasi hingga kepada kurma. Semuanya agak menarik minat. Namun belum ada kesempatan untuk singgah membeli belah. Masanya akan tiba jua.
Berhampiran dan hotel juga ada yang mnewarakan jualan jubah dengan harga SAR10.00...WOW...lagi murah. Namun ianya kelihatan agak lusuh dan usang. Sesuai dengan harga yang ditawarkan.
Tiba di hotel terus menuju ke dewan makan. Hidangan yang disajikan agak menyelerakan. Kemudian naik semula kepenginapan untuk berehat sambil menonton televisyen siaran negara timur tengah termasuk stesen TV Turki...
Sekitar jam 3.00 petang keadaan diri mula gelisah untuk persiapan ke masjid bagi menunaikan solat Asr. Menjelang jam 3.15, kami telah mula bergerak. Penulis mengenakan penutup muka bagi mengawal suasana kepanasan di luar. Tatkala masuk di pintu 1, azan mula dikumandangkan. Sebagaimana waktu zuhur, hanya solat di kawasan laluan jalan kaki di dalam masjid. Keadaan sudah sesak dan penuh. Diletakkan alas kaki di sebelah sisi tempat berdiri.
Dan oh ya...Asr ini penulis berkesempatan solat di sebelah jamaah yang dipercayai seorang pengikut syiah. Meskipun lelaki ini tidak meletakkan batu di tempat sujudnya (mungkin kerana di bumi Makkah), namun dari cara dia qiyam tanpa bersedakap, dan mengakhiri solat dengan menepuk peha sebanyak tiga kali, maka ternyata dia sorang syiah. Paling menarik, sebelum imam memberi salam, dia telah terlebih dahulu memberi salam...
Asr pada hari ini juga mencipta sejarah apabila hujan turun mencurah-curah di bumi suci Makkah. Kelihatan jamaah arab begitu gembira dan bersyukur dengan turunnya hujan .. Jika menurut jamaah Malaysia, tidak semua yang hadir untuk ziarah dan umrah berpeluang untuk menyaksikan etik-detik seumpama ini.
Kembali ke penginapan sebaik hujan reda, berehat dan kemudian bersiap untuk hadir semula waktu maghrib yang indah. Selepas solat maghrib yang diimamkan oleh sheikh as sudais, kami melaksanakan tawaf sunat meskipun jamaah begitu ramai berpusu-pusu. Usai solat Isya kami kembali berehat semula ke penginapan. Sepanjang jalan, kelihatan kesibukan kota Makkah.
Kota tua ini senantiasa sibuk sejak zaman-berzaman. Ianya merupakan pusat perdagangan dan pusat ibadah yang telah diasaskan oleh Nabi Allah Ibrahim. Deretan kedai-kedai moden kelihatan senantiasa diziarahi oleh jamaah umrah meskipun sudah lewat malam. Malam di kota makkah saat itu adalah agak pendek berbanding di tanah air. Fajar dijangka menyinsing sekitar jam 4.15 pagi.
SELASA 5 JUN 2012 (HARI KELIMA)
Kami bergerak ke masjid untuk menghadiri jamaah subuh agak lewat, kira-kira jam 4.00 pagi barulah melangkah keluar dan masuk ke perut lif. Di jalanan, manusia sudah ramai yang keluar berduyun-duyun menuju ke masjidil haram. Disini tiada bacaan tarhim dikumandangkan. Tiada pula bacaan ayat-ayat suci al quran diperdengarkan sebelum fajar dengan niat untuk mengejutkan ahli qaryah. Yang ada hanya azan pertama. namun jamaah yang hadir berduyun-duyun. Sama juga hal keadaannya di bumi Rasul. Berbeza dengan suasana hingar bingar di bumi malaysia beberapa minit sebelum masuk waktu Subuh dengan bacaan al quran dan surau A, bacaan tarhim di masjid B di atas bukit, bacaan solawat di surau C, saling tingkah meningkah dan bersahut-sahutan namun jamaah yang hadir kurang daripada satu saf!!
Usai solat subuh, kami bergerak pulang agak awal sekitar jam 5.30 pagi yang mana suasananya sudah terang seolah jam 6.45 pagi di Malaysia. Kami perlu bergerak awal kerana tentatif ziarah pagi ini bermula seawal jam 6.30 pagi.
Usai sarapan, bergegas ke penginapan untuk mengambil sedikit barang keperluan termasuk kain ihram. Antara jam 6.30 hingga 7.00 pagi, kami berkumpul di lobi hotel menunggu sebuah bas untuk membawa kami ziarah pertama di bumi Makkah.
Destinasi pertama kami ialah ladang unta. Disini, kami berada sekitar 30 ke 45 minit. Kami berpeluang bergambar dengan unta dan juga membeli susu unta fresh. Walaupun keadaan agak panas, namun ianya tidak terlalu terik. Kemudian, kami dibawa pula ke masjid hudaibiyah. Binaan bangunan asal telah dibakar atas sebab untuk mengelakkan berlakunya jamaah yang membuat bidaah. Kami berniat umrah di situ dan kemudiannya kami kembali ke masjidil haraam untuk menyelesaikan ibadah umrah kali ke 2.
Kami berjaya menyelesaikan ibadah umrah sejurus sebelum azan zuhur dan selepas solat, kami bergerak dibawah terik mentari menuju ke hotel penginapan. Selepas menikmati jamuan tengahari, kami kembali semula ke penginapan.
Menjelang Asr ibu mertua tidak menyertai penulis dan isteri ke masjidil haraam. Mungkin kerana kepenatan mengerjakan ibadah umrah sebelum zuhur tadi. Kami agak lewat hadir asr itu hinggakan tiba di dataran takala azan asr telah selesai. Tidak sempat untuk masuk kerana jamaah telah melimpah. Akhirnya solat di kaki lima sahaja di belakang jamaah muslimat.
Sememangnya susunan saf di masjidil haraam kadang-kadang agak bercelaru. Biasa berlaku dimana saf jamaah muslimat berada di hadapan saf jamaah muslimin. Namun tidak pula kelihatan pengawal keselamatan Saudi meronda di kawasan tersebut untuk membetulkan keadaan.
Kami kemudian pulang ke penginapan. Berehat sebentar dan kemudian menjelang maghrib kami bergerak semula bagi menunaikan maghrib. Selepas maghrib tawaf sunat meskipun kaki sebelah kiri mula sakit-sakit. Selepas Isya kami bergerak pulang untuk menikmati makan malam.
RABU 6 JUN 2012 (HARI KEENAM)
Subuh pagi ini kami agak lewat tersedar. Namun kami tetap melangkah ke masjidil haraam. Mana mungkin kami boleh melepaskan ganjaran besar berjamaah di masjid tertua itu..bukan mudah untuk dapat kami menghadiri jamaah yang bernilai 100,000 ganda daripada solat di masjid lain...
Usai solat subuh, kami berkira-kira menunaikan sekali lagi tawaf sunat. Keadaan pada pagi ini memang agak ramai dan jamaah yang dihidangkan agak kasar dan boleh menaikkan darah penulis. Ini semua adalah merupakan ujian dariNya jua...
Usai tawaf, kami tergesa-gesa pulang untuk menyertai lawatan ke dua. Pada pagi ini kami dijangka akan dibawa melawat ke beberapa lokasi yang lebih menarik. Selepas menikmati sarapan pagi, kami segera berkumpul di lobi dengan membawa pakaian ihram.
Lokasi pertama kami ialah gua hira'. Kami hanya berhenti sebentar di tepi jalan dan kemudian bergerak pula ke lokasi gua tsur, dimana Nabi SAW dan sahabat setianya Abu Bakr berhenti bagi mengelakkan kedatangan quraisy Makkah. Kami berhenti lebih kurang 30 minit dan ada juga di antara kami yang turun ke bawah. Ada beberapa penjaja yang menjual pelbagai barangan cenderahati termasuk gambar, kalendar dan sebagainya.
Kami kemudiannya meneruskan perjalanan ke Mina, dan kawasan pertama yang kami singgah di sana ialah jabal rahmah. Kami agak lama di kawasan ini. Kebanyakan jamaah naik ke atas puncak jabal rahmah tetapi tidak bagi penulis, isteri dan ibu mertua. Kami hanya duduk di kawasan penjaja sambil menikmati aiskrim dan juga air. Walaupun jam baru menjejak ke pukul 8.00 pagi namun sang mentari sudah mula bersinar garang dan panas seolah-olah sudah menjejak ke pukul 10 pagi.
Selepas satu jam, kami menaiki bas dan dibawa melawat ke kawasan haji. Kami kemudiannya berhenti di masjid Jaaranah untuk miqat dan kemudian kembali ke Masjidil haram untuk melaksanakan umrah. Dalam perjalanan kami melalui masjid jin dan perkuburan maa'la.
Tatkala tiba di dataran kaabah, sekitar jam 10 pagi, mentari semakin terik. Kami meneruskan sahaja ibadah tawaf dan kemudian solat tawaf berhampiran kaabah kerana jamaah agak kurang ..
Kami berjaya menyelesaikan tawaf sekitar jam 11.00 pagi dan terus pula bergerak untuk menyelesaikan ibadah sai. Selesai bertahallul, berehat sebentar dan kemudian masuk waktu solat zuhur.
Usai solat, kami beransur pulang ke penginapan untuk menikmati juadah tengahari..
Selepas berehat seketika melepaskan lelah, kembali bersiap untuk menunaikan solat Asr. Selepas Asr, kami membuat lawatan ke Ben Dawood, kedai serbaneka atau di negara kita boleh dianggap sebagai pasaraya. Kami membeli sedikit keperluan, minuman dan buah-buahan.
Kemudian kami pulang semula ke hotel penginapan. Seterusnya menghadiri solat maghrib tawaf sunat dan diikuti solat isya berjamaah...
Pulang selepas isya keadaan agak lebih ramai berada di jalanan dan agak sesak. oleh itu, kami keluar dari masjid agak sedikit lewat namun masih juga menemui kesesakan. Lorong disepanjang jalan dipenuhi manusia pelbagai bangsa dengan urusan masing-masing, berkaitan ibadah dan juga shopping...
KHAMIS 7 JUN 2012 (HARI KETUJUH)
Keadaan rutin adalah sebagaimana biasa. Selepas tawaf sunat usai solat subuh, kami terpesona dan tertawan dengan penggerai minyak wangi yang menawarkan harga yang sangat murah, sekitar SAR10.00!!. Setelah dicuba, baunya boleh bertahan agak lama. Segera penulis memborong beberapa kotak...
Selepas maghrib juga kami bertawaf dan diikuti solat isya berjamaah.
JUMAAT 8 JUN 2012 (HARI KELAPAN)
Solat subuh pagi ini imam membawakan surah al mulk. Penulis masih tertanya-tanya mengapa imam di dua tanah haraam tidak lagi mengumandangkan surah as sajadah dan al insaan sebagaimana rutin dan kelaziman? Kita di negara Islam malaysia masih lagi terus mengamalkannya..
Hari ini jamaah ada mengadakan rombongan umrah. Kami berkumpul di lobi sekitar jam 6.00 pagi. Kami menyewa sebuah bas kecil. Hampir kesemua jamaah ikut serta. bayaran ialah SAR3.00 untuk setiap kepala..
Kami miqat di Masjid Tana'im dan kemudian terus menuju ke masjidil haraam untuk menyelesaikan umrah. Kaki kiri penulis sudah mula sakit-sakit. Kesakitan itu bermula dari belakang lutut membawa kepada tapak kaki. Namun masih digagahi untuk menyelesaikan umrah secara normal...
Untuk menyeleaikan ibadah tawaf masih boleh bertahan, namun apabila hendak solat sunat tawaf, untuk sujud, sungguh menyakitkan apalagi untuk duduk antara dua sujud. Namun pada rakaat kedua, ianya agak berkurangan..
Tatkala ibadah sai ianya agak mencabar\. Sebelum sai, kami ke tandas yang berhampiran setelah keadaan tidak dapat dikawal lagi. Kedudukan agak jauh juga itupun setelah bertanya kepada beberapa orang petugas pembersihan yang berbangsa melayu indonesia. Syukurlah akhirnya dapat ditemui lokasinya..
Ketika sai keadaan kaki menjadi semakin kronik namun diteruskan juga secara perlahan-lahan. Alhamdulilla dapat juga diselesaikan secara normal. Setelah selesai, kami bercadang untuk iktikaf sahaja di masjid sementara menanti waktu solat Jumaat. Kami masuk ke bangunan perniagaan untuk menikmati burger king saudi. Di sini, kaunter lelaki dan perempuan diasingkan. namun hanya seorang sahaja pekerja yang wujud yang mana dia memainkan peranan sebagai pengurus, tukang masak, pelayan dan juga juru wang...
Usai menikmati hidangan, kami berjalan sebentar dan kemudian masuk semula ke bangunan masjid untuk iktikaf
Imam Jumaat membacakan surah yang agak pendek. Ianya ada membaca basmalah sebelum fatehah secara sirr...
Kami pulang ke penginapan usai solat Jumaat untuk menikmati hidangan. Waktu Asr, hanya penulis pergi seorang kerana dua lagi rakan perjalanan telah terlalu lepak...
Menjelang maghrib, kami bergerak bersama semula dan selepas maghrib hanya beriktikaf di dalam masjid sementara menunggu isya kerana keadaan kaki semakin kronik....
Pada sebelah malam, dalam perjalanan pulang singgah membeli balutan di farmasi dan kemudian makan malam.
SABTU 10 JUN 2012 (HARI KESEMBILAN)
Bangun dari tidur, agak terperanjat kerana kaki kelihatan bengkak...Apakah aku sudah hampir mati?, bisik hati penulis...?
Usai solat subuh, kami bergerak balik namun singgah pula membeli minyak wangi murah lagi. Selepas sarapan menyertai kuliah Dhuha yang amat menarik dan mampu menitiskan air mata para pendengarnya.
Selepas Asr, kami bergerak ke kedai-kedai arab berhampiran untuk mencari cenderamata sepeti makanan dan sebagainya termasuk permainan dan juga pakaian. Kami juga masuk kekawasan eksklusif bagi membeli songkok...Namun tiada pula tarbus yang ditemui..
Waktu Maghrib dan Isya hanya diisi dengan iktikaf sahaja kerana kaki masih sakit. Untuk qiam sahaja sudah berdenyut-denyut...
AHAD 11 JUN 2012 (HARI KESEPULUH)
Hari ini umrah sekali lagi dan bermiqat juga di masjid Tana'im...kaki masih lagi sakit tetapi tidak bengkak. Selepas tawaf kami dapat masuk dan solat di hijr Ismail. Manusia terlalu ramai berada di sana, khususnya saudara kami dari Iran....
Suasana di dalam hijr memang agak sesak, namun masih boleh untuk masuk. Solat juga bersesak-sesak. Kebanyakannya adalah jamaah muslimat. Sangat bersyukur kerana dapat solat sunat di dalamnya.
Masih juga iktikaf di antara maghrib dan isyak...
ISNIN 12 JUN 2012 (HARI KESEBELAS)
Rutin hari ini adalah sepeti biasa sahaja...Kaki masih lagi sakit sedikit. Sukar untuk qiyam agak lama kerana bisa dan brdenyut-denyut ...
SELASA 13 JUN 2012 (HARI KEDUA BELAS)
Kami sedar lewat dan hanya solat subuh di bilik sahaja. Satu kerugian dan kemalangan yang amat besar. Hari ini merupakan hari terakhir di bumi suci ini. Esok kami akan berangkat pulang ke tanah air. Umrah kami laksanakan juga pada hari ini. Keadaan kaki agak baik namun masih sukar untuk menghabiskan ibadah sai.
Hari ini dipenuhi dengan acara membeli belah. Selepas zuhur kami membeli dan belah sedikit. Terjumpa seorang makcik yang kehilangan kasut dan keseorangan. isteri membantu beliau menemani membelikan alas \kaki baru hinggalah menunjuk jalan pulang..
Selepas Asr, kami shopping lagi dan kemudian usai solat isya membuat persiapan terakhir untuk berangkat keesokan harinya..
RABU 13 JUN 2012 (HARI KETIGA BELAS)
Hari yang sungguh syahdu. Subuh terakhir di bumi Makkah. Sekitar jam 7.00 pagi, kembali ke masjidil haram untuk tawaf wida. Sebelum itu tergesa-gesa mencari tambahan air zam-zam yang dikatakan berlaku kekurangan. Dapat membeli dua tong yang berbotol kecil dengan harga SAR24.00.
Kami bertolak ke Jeddah sekitar jam 9.30 pagi. Dengan langkah yang berat, bas yang membawa kami bergerak meluncur keluar dari tanah haram. Maka selamat tinggal wahai kaabah..selamat tinggal wahai bumi barakah...selamat tinggal wahai tanah haram...entah bila kita akan bertemu lagi. Ya Allah...Janganlah Engkau jadikan ziarah kami ini ziarah yang terakhir Ya Allah...Berilah kami kekuatan dan rezeki untuk kembali bertamu lagi Ya Allah...
Dalam perjalanan, kami disajikan dengan bebelan dari mutawwif yang berkisar dengan pelbagai kisah...hinggakan kisah mengenai syiah juga diceritakan.
Kami dibawa singgah di kawasan pusat mmebeli belah di Jeddah selama satu jam sahaja. Di kesempatan itu, isteri sempat membeli minyak wangi. Kemudian kami dibawa makan tengahari di salah sebuah hotel. Menu ialah nasi mandi, iaitu nasi baryani yang menimbus ketulan daging kambing. Sungguh enak dan menyelerakan sekali hidangan tersebut. Kemudian kami solat jama dan qasar tidak secara berjamaah...
Kemudian kami diarah menaiki bas dan terus menuju ke masjid terapung. Kemudian kami terus menuju ke terminal haji di lapangan terbang. Tatkala itu, perasaan hendak membuang air mula menjadi-jadi. Perjalanan yang sebenarnya tidak terlalu jauh terasa amat jauh dan menyiksakan. Tiba di pos kawalan, bas terhenti agak lama. Desakan untuk membuang yang keruh mengambil yang jernih semakin tidak terkawal. Sebaik bas berhenti di terminal haji, tandas awam yang pertama di cari. Kemudian, penulis membantu memunggah segala barang. Kemudian, kami mengambil troli yang berharga SAR10.00.Pinjam troli pun kena bayar sampai amaun itu..
Kami kemudian terdampar di terminal tanpa air cond dengan menikmati kehangatan suasana padang pasir saudi. Sekitar jam 6 petang, barulah kami bergerak untuk masuk dengan pemeriksaan kastam. Barang kami ditentukan seorang sebanyak 20 kg sahaja. Jika lebih akan dikenakan denda. Setiap seorang sudah ada 10 kg iaitu air zam-zam...
Hasil perundingan, kami disuruh membayar seorang SAR10.00 sebagai menampung keseluruhan barang secara pakej. Selesai urusan barang, kami melalui kaunter kastam mereka. Menjelang maghrib kami masih berada di balai berlepas. Beberapa orang di antara jamaah kami sempat solat maghrib secara jama qasr. Solat hanya di lantai terminal beralaskan apa yang senang ditemui seperti kertas surat khabar, ataupun kain serban. Tiada bilik atau musalla yang disediakan. Usai solat, pengumuman untuk masuk ke pesawat kedengaran dan kemudian kami masuk ke perut pesawat oman air untuk terbang ke muscat selama dua jam. Di dalam pesawat kami dihidangkan dengan makanan ringan. Kami duduk terpisah kali ini.
Tatkala tiba di muscat, kami berlari-lari untuk ke terminal satu lagi bagi menyelesaikan urusan solat untuk yang masih belum menyempurnakannya. Kali ini masa transit terlalu pendek. Sekitar 45 minit sahaja... Pendaratan di bumi muscat juga terasa agak kurang selesa..
Sekitar jam 11 malam, kami dibawa sekali lagi menaiki bas menuju ke pesawat yang ternayata lebih besar. Jika mengikut perkiraan kami akan menemui waktu subuh di dalam pesawat ini.
Kami hanya dihidangkan dengan sedikit snek. Selebihnya kami gunakan untuk tidur. Penulis kurang selesa untuk tidur khuatir terlepas solat subuh. Paparan skrin pada tempat duduk juga tidak berfungsi. Ini menyebabkan penulis duduk memejam mata tanpa lena. Meskipun telah beberapa kali diadukan, namun skrin masih gagal untuk berfungsi...
Sekitar jam 3 pagi, penumpang arab yang duduk bersebelahan sudah memualakn solat sambil duduk. Apakah ini bermakna sudah masuk waktu subuh?
Pesawat kami sedang merentasi benua India. Ketika meninjau-ninjau GPS yang dipaparkan, keadaan masih lagi gelap...Diri terasa agak kurang enak untuk meneruskan rehat.
Beberapa minit kemudian penulis bangun dan bergerak ke kokpit di bahagian belakang pesawat. Bertanyakan kepada salah seorang pramugara, ye..waktu subuh telah masuk. Bergegas mengambil wudhuk dan kemudian mencapai selimut dari isteri yang tidak digunakan. Di lantai kokpit pesawat bersama seorang arab kami solat berjamaah berdua.
Usai solat, kembali ke tempat duduk dan kemudiannya tertidur....
Tatkala tersedar sarapan sedang dihidangkan oleh petugas. Jika mengikut paparan pada skrin GPS pesawat yang membawa kami sedang terbang merentasi laut andaman.
Sekitar jam 12 tengahari waktu Malaysia pesawat kami akhirnya berjaya mendarat di landasan kapalterbang KLIA. Segala puji bagi Allah...
Ternyata urusan kastam dan bagasi jauh lebih mudah dan lemah lembut berbanding di Saudi yang agak kasar, perlahan dan melemaskan.
Ya Allah!Moga Engkau kurniakan kepada kami ibadah yang mabrur....
Hari ini umrah sekali lagi dan bermiqat juga di masjid Tana'im...kaki masih lagi sakit tetapi tidak bengkak. Selepas tawaf kami dapat masuk dan solat di hijr Ismail. Manusia terlalu ramai berada di sana, khususnya saudara kami dari Iran....
Suasana di dalam hijr memang agak sesak, namun masih boleh untuk masuk. Solat juga bersesak-sesak. Kebanyakannya adalah jamaah muslimat. Sangat bersyukur kerana dapat solat sunat di dalamnya.
Masih juga iktikaf di antara maghrib dan isyak...
ISNIN 12 JUN 2012 (HARI KESEBELAS)
Rutin hari ini adalah sepeti biasa sahaja...Kaki masih lagi sakit sedikit. Sukar untuk qiyam agak lama kerana bisa dan brdenyut-denyut ...
SELASA 13 JUN 2012 (HARI KEDUA BELAS)
Kami sedar lewat dan hanya solat subuh di bilik sahaja. Satu kerugian dan kemalangan yang amat besar. Hari ini merupakan hari terakhir di bumi suci ini. Esok kami akan berangkat pulang ke tanah air. Umrah kami laksanakan juga pada hari ini. Keadaan kaki agak baik namun masih sukar untuk menghabiskan ibadah sai.
Hari ini dipenuhi dengan acara membeli belah. Selepas zuhur kami membeli dan belah sedikit. Terjumpa seorang makcik yang kehilangan kasut dan keseorangan. isteri membantu beliau menemani membelikan alas \kaki baru hinggalah menunjuk jalan pulang..
Selepas Asr, kami shopping lagi dan kemudian usai solat isya membuat persiapan terakhir untuk berangkat keesokan harinya..
RABU 13 JUN 2012 (HARI KETIGA BELAS)
Hari yang sungguh syahdu. Subuh terakhir di bumi Makkah. Sekitar jam 7.00 pagi, kembali ke masjidil haram untuk tawaf wida. Sebelum itu tergesa-gesa mencari tambahan air zam-zam yang dikatakan berlaku kekurangan. Dapat membeli dua tong yang berbotol kecil dengan harga SAR24.00.
Kami bertolak ke Jeddah sekitar jam 9.30 pagi. Dengan langkah yang berat, bas yang membawa kami bergerak meluncur keluar dari tanah haram. Maka selamat tinggal wahai kaabah..selamat tinggal wahai bumi barakah...selamat tinggal wahai tanah haram...entah bila kita akan bertemu lagi. Ya Allah...Janganlah Engkau jadikan ziarah kami ini ziarah yang terakhir Ya Allah...Berilah kami kekuatan dan rezeki untuk kembali bertamu lagi Ya Allah...
Dalam perjalanan, kami disajikan dengan bebelan dari mutawwif yang berkisar dengan pelbagai kisah...hinggakan kisah mengenai syiah juga diceritakan.
Kami dibawa singgah di kawasan pusat mmebeli belah di Jeddah selama satu jam sahaja. Di kesempatan itu, isteri sempat membeli minyak wangi. Kemudian kami dibawa makan tengahari di salah sebuah hotel. Menu ialah nasi mandi, iaitu nasi baryani yang menimbus ketulan daging kambing. Sungguh enak dan menyelerakan sekali hidangan tersebut. Kemudian kami solat jama dan qasar tidak secara berjamaah...
Kemudian kami diarah menaiki bas dan terus menuju ke masjid terapung. Kemudian kami terus menuju ke terminal haji di lapangan terbang. Tatkala itu, perasaan hendak membuang air mula menjadi-jadi. Perjalanan yang sebenarnya tidak terlalu jauh terasa amat jauh dan menyiksakan. Tiba di pos kawalan, bas terhenti agak lama. Desakan untuk membuang yang keruh mengambil yang jernih semakin tidak terkawal. Sebaik bas berhenti di terminal haji, tandas awam yang pertama di cari. Kemudian, penulis membantu memunggah segala barang. Kemudian, kami mengambil troli yang berharga SAR10.00.Pinjam troli pun kena bayar sampai amaun itu..
Kami kemudian terdampar di terminal tanpa air cond dengan menikmati kehangatan suasana padang pasir saudi. Sekitar jam 6 petang, barulah kami bergerak untuk masuk dengan pemeriksaan kastam. Barang kami ditentukan seorang sebanyak 20 kg sahaja. Jika lebih akan dikenakan denda. Setiap seorang sudah ada 10 kg iaitu air zam-zam...
Hasil perundingan, kami disuruh membayar seorang SAR10.00 sebagai menampung keseluruhan barang secara pakej. Selesai urusan barang, kami melalui kaunter kastam mereka. Menjelang maghrib kami masih berada di balai berlepas. Beberapa orang di antara jamaah kami sempat solat maghrib secara jama qasr. Solat hanya di lantai terminal beralaskan apa yang senang ditemui seperti kertas surat khabar, ataupun kain serban. Tiada bilik atau musalla yang disediakan. Usai solat, pengumuman untuk masuk ke pesawat kedengaran dan kemudian kami masuk ke perut pesawat oman air untuk terbang ke muscat selama dua jam. Di dalam pesawat kami dihidangkan dengan makanan ringan. Kami duduk terpisah kali ini.
Tatkala tiba di muscat, kami berlari-lari untuk ke terminal satu lagi bagi menyelesaikan urusan solat untuk yang masih belum menyempurnakannya. Kali ini masa transit terlalu pendek. Sekitar 45 minit sahaja... Pendaratan di bumi muscat juga terasa agak kurang selesa..
Sekitar jam 11 malam, kami dibawa sekali lagi menaiki bas menuju ke pesawat yang ternayata lebih besar. Jika mengikut perkiraan kami akan menemui waktu subuh di dalam pesawat ini.
Kami hanya dihidangkan dengan sedikit snek. Selebihnya kami gunakan untuk tidur. Penulis kurang selesa untuk tidur khuatir terlepas solat subuh. Paparan skrin pada tempat duduk juga tidak berfungsi. Ini menyebabkan penulis duduk memejam mata tanpa lena. Meskipun telah beberapa kali diadukan, namun skrin masih gagal untuk berfungsi...
Sekitar jam 3 pagi, penumpang arab yang duduk bersebelahan sudah memualakn solat sambil duduk. Apakah ini bermakna sudah masuk waktu subuh?
Pesawat kami sedang merentasi benua India. Ketika meninjau-ninjau GPS yang dipaparkan, keadaan masih lagi gelap...Diri terasa agak kurang enak untuk meneruskan rehat.
Beberapa minit kemudian penulis bangun dan bergerak ke kokpit di bahagian belakang pesawat. Bertanyakan kepada salah seorang pramugara, ye..waktu subuh telah masuk. Bergegas mengambil wudhuk dan kemudian mencapai selimut dari isteri yang tidak digunakan. Di lantai kokpit pesawat bersama seorang arab kami solat berjamaah berdua.
Usai solat, kembali ke tempat duduk dan kemudiannya tertidur....
Tatkala tersedar sarapan sedang dihidangkan oleh petugas. Jika mengikut paparan pada skrin GPS pesawat yang membawa kami sedang terbang merentasi laut andaman.
Sekitar jam 12 tengahari waktu Malaysia pesawat kami akhirnya berjaya mendarat di landasan kapalterbang KLIA. Segala puji bagi Allah...
Ternyata urusan kastam dan bagasi jauh lebih mudah dan lemah lembut berbanding di Saudi yang agak kasar, perlahan dan melemaskan.
Ya Allah!Moga Engkau kurniakan kepada kami ibadah yang mabrur....
Ulasan