hari terakir Ramadhan 1433

Fajar 29 Ramadhan 1433 akhirnya tiba jua tanpa dapat ditangguhkan oleh sebarang makhluk meskipun dia berani mendakwa bahawa dia paling berkuasa dalam sesebuah wilayah. Siang 28 Ramadhan yang merupakan penghulu segala hari memaparkan wajah sedih dengan derapan hujan berulang disulami mendung yang panjang seolah menangisi pemergian Ramadhan yang mendatangkan jutaan rahmat ke atas umat.

Namun wajah-wajah umat akhir zaman kelihatan lebih ceria berbanding hari-hari awal kehadiran bulan mulia ini.

Seawal subuh lagi umat ini telah berbondong-bondong menuju ke pasar bagi menyambut lebaran yang diyakini akan bertamu pada fajr keesokkan harinya.



Penulis juga ke pasar yang mempamerkan kesesakan lalu lintas yang agak kronik. Terpaksa berpusing beberapa pusingan untuk mendapatkan tempat parkir. Kemudian setelah berjaya, baru beberapa tapak melangkah, kelibat penguatkuasa kelihatan berlegar. Pasti kena saman punya kerana penulis memang tiada bekalan kupon dan juga tiada premis berdekatan yang membekalkannya.

Bercakap mengenai kupon untuk meletak kenderaan, sebenarnya lebih molek dan mudah jika dikembalikan sistem lama, iaitu memasang alat seperti tabung di setiap petak parkir dan pengguna hanya perlu memasukkan wang syiling ke dalam mesin tersebut untuk bayaran parkir mengikut jam. Tidak mungkin wujud istilah sukar mendapatkan kupon. Tidak muncul lagi dongengan saya datang ke bandar ini setahun dua hari sahaja rugilah kalau beli satu set...

Kita patut merafa' kan setinggi-tinggi kesyukuran di atas kurniaan nikmat keamanan negara sepanjang menjalani ramadhan dan meraikan syawal berbanding kebanyakan negara saudara seislam yang lain yang tidak berada dalam keamanan.



Saudara kita yang dibunuh sesuka hati di Mynmar, di Syria, Palestin, Iraq, Pakistan, dan banyak lokasi lain. Kita di sini masih mampu ketawa dan gumbire di samping keluarga sambil makan, minum dan menonton televisyen. Anak- anak muda kita asyik meletupkan mercun dengan gembira di halaman rumah sedangkan remaja di negara sedang bergolak ketakutan mendengar dentuman bom dan meriam.



Anak-anak kita tidak pernah sedar mengenai penderitaan rakan mereka di Palestin yang berbuka di celah-celah bunyi dentuman yang mampu membunuh mereka dan keluarga mereka.



Marilah kita sekali-sekala membuka topik ini di halaman forum bersama handai taulan dan sanak saudara semasa membuat kunjungan syawal nanti. Kurangkanlah berbicara soal kenaikan pangkat atau soal kuih dimana paling sedap atau soal kereta baru jiran sebelah. Mari kita menginsafi diri dan bersedia terhadap sebarang kemungkinan. Ingat! Musuh-musuh Islam tidak pernah berhenti untuk memerangi umat ini.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol