Kemenangan atau kekeliruan..?

Fajar 1 Syawal 1433 muncul lagi pada Ahad bersamaan 19 Ogos 2012 yang diraikan oleh seluruh umat Muhammad SAW sebagai tanda kemenangan di atas kejayaan mengharungi tarbiyyah madrasah Ramadhan selama 29 hari pada tahun ini.

Umat Muhammad SAW di Malaysia khususnya telah bersiap sedia dari awal lagi, mendahului pengumuman Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu dengan persiapan masakan dan juadah serta memulakan sambutan dengan dentuman mercun atas alasan menzahirkan kegembiraan.

Maka sebaik sahaja berakhir azan Maghrib petang 29 Ramadhan 1433, gegak gempita sekitar penempatan melayu-Islam dengan ledakan mercun bagai dentuman meriam dan tembakan peluru di bumi Syria dan Mynmar lagaknya. Mungkin ada tersemat di hati para pemain dan penggalak peledak untuk menghayati suasana umat di bumi bergolak...moga begitulah harapannya...dalam irama kegembiraan terdapat sekelumit doa yang dititipkan mengenang nasib umat yang tenggelam dalam perlakuan kezaliman..

Irama takbir bermula sejurus selepas solat Isya' dengan alunan biasa yang bisa menghiris hati insan untuk menangis....kerana terkenang mereka yang telah tiada ataupun jauh di perantauan....bukan kerana ditinggalkan Ramadhan seperti kebiasaan para sahabat Rasulullah SAW. Amat aneh kerana kita bisa menangis dek alunan takbir hari raya tetapi amat sukar pula menangis bila terdengar laungan azan setiap waktu dari rumah-rumah Allah...

Menurut kata Yang Berbahagia Dato' Abu Hassan Din Al Hafiz, golongan paling kelihatan gembira semasa sambutan eid ialah golongan artis dan selebriti dan ini jelas dipamerkan di peti televisyen setiap rumah kepunyaan umat Islam di negara kita.

Tatkala junjungan mulia Muhammad SAW berhijrah ke Yathrib dan menjenamakan semula kota tersebut sebagai Madinatul Munawwarah, baginda melihat masyarat Madinah telah mewarisi dua hari raya iaitu Nairus dan Nahrajan yang diambil dari perayaan parsi kuno. Majlis sambutan kedua hari raya ini dimeriahkan dengan pelbagai bentuk pesta, makanan dan minuman tanpa sebarang batasan.

Lantas apabila Islam bangkit, Allah telah menukarkan kedua hari tersebut kepada eid fitri dan eid adha sebagaimana maksud hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan An Nasa'i.




Kita sebenarnya perlu berbimbang-bimbang adakah kita menyambut eid fitri atau sebenarnya kembali meraikan perayaan Nairus yang disegarkan semula sesuai dengan peredaran zaman yang tetap menjunjung tinggi bersamanya taghut dan kekufuran..

Mari kita rujuk dan selami semula ciri-ciri sebenar perayaan eid fitri yang kita ulangi saban tahun selepas sebulan Ramadhan. Adakah ianya menepati sunnah atau menyerupai sambutan nahrajan dan nairus?

Hanya tuan puan di luar sana yang tahu jawapan masing-masing...





Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol