Ramadhan ke empat belas - Rahsia khatam al quran ekspress telah terbongkar!!




Sedar tidak sedar rupanya kita telah menjejaki nisfu Ramadhan. Semester kedua madrasah Ramadhan sudah hampir mula menjengah. Program-program berbuka puasa semakin rancak diadakan di sana sini, sama ada secara berkumpulan, ataupun secara formaliti. Sambutan nuzul al quran sudah mula mengintai dengan kertas-kertas surat rasmi sudah mula menapak di atas meja penulis, memohon nama yang bakal dijadikan 'kambing hitam' bagi menghadiri majlis formal khatam al quran .




Akhir zaman ini, kita boleh khatam al quran dalam masa beberapa jam sahaja. Tidak perlu membaca hingga setiap mukasurat dari mushaf. Cukup dibahagikan beberapa orang staf yang mencapai empat angka ini kepada 30 kumpulan. Setiap kumpulan perlu membaca satu juzuk. Setiap kumpulan mengandungi sekitar 20 orang peserta. Oleh kerana setiap juzuk mengandungi 20 mukasurat, maka setiap ahli perlu membaca satu mukasurat. Maka dalam masa kurang lima minit, satu kumpulan ini sudah selesai membaca satu juzuk al quran. Dan dalam masa kurang setengah jam, sudah barangpasti mereka dalam jamaah ini boleh khatam keseluruhan al quran...Jadi adakah itu rahsia ulama silam mampu khatam hingga berkali-kali dalam sebulan Ramadhan?

Meskipun begitu mudah, namun tidak ramai yang sudi untuk menyertainya. Kita lebih suka duduk di hadapan PC sepanjang waktu pejabat sambil melayan karenah FB di sepanjang Ramadhan Al Mubarak ini daripada hadir sekitar satu hingga dua jam ke majlis-majlis ilmu yang diaturkan oleh pihak organisasi. Alasan paling kelakar yang diberikan, "I sibuk sikit  la..." Tapi kesibukan itu bukan kerana menyiapkan tugasan hakiki. Kesibukan itu kerap dulami dan disulam bersama dengan kesibukan menatap paparan di FB ... Kesibukan tugas hakiki adalah sekitar 5% ke bawah sahaja. Maka dek kerana itu agaknya kerja-kerja menjadi lambat untuk disiapkan... Maka apabila diminta pertanggungjawaban oleh ketua, segera alasan keletihan, kepenatan dan kelonglaian dek kerana gagal makan disebabkan berpuasa dijadikan alasan rapuh...




Sebenarnya amat mudah sekali kalau kita hendak meningkatkan puasa di pejabat. Pejabat menyediakan meja dan kerusi beserta PC untuk setiap anggota. Hanya perlu duduk dan menyiapkan kerja...terlalu mudah. Bahkan jika diniatkan dengan baik sejak melangkah keluar rumah tentu dikira sebagai ibadah...Bukankah mencari rezeki yang halal itu salah satu dari cabang jihad?

Kita tidak perlu berpanas di luar untuk menyawit...Tidak perlu berpeluh untuk meracun lalang....tidak perlu berlari menangkap ayam...tidak perlu banyak bercakap seperti penjual di pasar awam. Hanya duduk menyiapkan kerja di samping tambahan tawaran pahala, dengan memperdengarkan bacaan ayat-ayat al quran yang mudah didapati di laman maya....Alangkah indah dan mudahnya puasa kita ini di pejabat. Dengan keadaan penghawa dingin yang boleh dikawal suhunya...



Kurangkan berkata-kata. Jadi kita akan terselamat dari mengata dan memperkatakan yang buruk dan busuk. Ingat dan terus ingat akan pesanan Nabi , "Berapa ramai yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga sahaja.."

Eh...aku tak bercakap kutur pun...aku tak tengok orang pun,...duk je dalam bilik sepanjang Ramadhan nih ...Tapi kita menatap FB. Jari jemari kita berlari-lari rancak di atas papan kekunci PC menaipkan kata-kata yang tidak sepatutnya lantas di paparkan ke laman FB .. tentu kesan dan akibatnya lebih buruk kerana ianya akan dibaca di seluruh dunia!!

Ingat akan kiasan yang dibuat oleh ustaz Don, kalau kita ini pelajar yang menghantar esaimen kepada pensyarah, tiba sahaja di meja pensyarah, belum sempat kita beralih keluar, pensyarah tersebut terus mengoyak esaimen kita tanpa rasa bersalah dan kemudian mencampakkannya ke pintu. Apa perasaan kita? Kita ini bersengkang mata tidak tidur malam untuk menyiapkan esaimen tersebut tiba-tiba dilemparkan sahaja...





Maka begitulah perumpamaannya jika kita nanti tatkala berpulang ke akhirat, jangan sampai amalan kita dikoyak dan dicampak ke muka kita oleh Pemilik Mahsyar .. Nauzubillah min zaliik

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol