Eid Adha dan pengorbanan - dengan RM1.00 anda mampu berkorban!

Aidil Adha muncul semula mengikut aturan giliran yang telah ditetapkan olehNya. Aturan ini tidak pernah berlomba-lomba untuk mendahului antara satu dengan yang lain. Tidak pernah berlaku Eid Fitri didahului oleh Eid Adha sebagaimana siang dan malam yang silih berganti tanpa ada yang tiba-tiba malam mahu terus menutup siang ketika jam pukul 12 tengahari atau tiba-tiba jam 1 pagi di Malaysia mentari terus muncul kerana ingin berlumba dengan malam...

Aturan dan perjalanan alam, hari dan waktu yang berlaku mengikut urutan ini adalah merupakan sunnatullah yang amat sempurna.

Dan 10 zulhijjah 1433 ditetapkan pada Jumaat 25 oktober 2012. Hari raya eid adha atau dikenali di kalangan masyarakat melayu sebagai hari raya korban - mungkin kerana ibadah korban yang berlaku atau kerana mengenang peristiwa korban Nabi Allah Ibrahim dan anaknya Ismail, adalah sambutan yang kurang meriah disambut khususnya bagi umat Islam di selatan semenanjung. Dirawikan bahawa sambutan eid adha di kawasan utara dan pantai timur jauh lebih meriah berbanding di selatan. Mengikut logik akal juga, kita sepatutnya lebih meraikan eid adha berbanding eid fitri kerana sebab utama ialah takbir eid adha bermula dari subuh 9 zulhijjah hingga ke waktu asr 13 zulhijjah berbanding takbir eid fitri yang hanya diperbolehkan bermula terbenam matahari pada hari terakhir Ramadhan dan berakhir sebaik selesai khutbah eid fitri pada keesokan paginya.

Bagi golongan yang berkemampuan, mereka akan mengadakan ibadah korban sama ada dengan seekor kambing, unta, lembu atau kerbau ataupun 1/7 dari bahagian haiwan ternakan.

Sebelum ini pernah juga sampai kepada penulis bahawa haiwan ternak yang kecil seperti angsa juga boleh dijadikan haiwan korban.

Guru penulis semasa di menuntut di ITM juga pernah memberikan pendapat bahawa sah berkorban dengan haiwan ternakan - an'am bukan hanya dengan 1/7 sahaja tetapi boleh dikumpulkan sejumlah wang dari beberapa orang untuk membeli haiwan ternakan untuk dijadikan korban, sebagai contoh harga seekor lembu ialah RM2,000 maka dikumpulkan dari 1000 orang pelajar kolej misalnya tanpa mengira berapa yang mampu diberikan oleh individu tersebut. Mungkin seorang beri RM10.00, seorang beri RM 50.00 begitulah dikumpulkan sehingga mencukupi harga tawaran untuk lembu tersebut. Ini bermakna semua orang boleh membuat korban meskipun dia hanya seorang pelajar yang hanya dibiayai oleh pinjaman sepanjang kehidupannya di kampus!

Di akhir zaman ini semakin ramai yang mampu melaksanakan ibadah korban. Seringkali didedahkan di dada akhbar mengenai individu tersohor yang menyumbang daging korban hingga berpuluh ekor.



Kadangkala timbul persoalan...ada saudara kita yang berada di negara lain yang hanya makan daging setahun sekali, itupun belum tentu seperti kemboja, vietnam dan sebagainya. Makanya pada pandangan peribadi penulis adalah lebih molek untuk didahulukan pelaksanaan korban di sana berbanding umat islam di negara kita yang rata-ratanya mampu meratah daging hampir setiap hari.

Ataupun adalah lebih molek untuk mencari kawasan dimana penduduknya memang berkeadaan daif untuk dilaksanakan ibadah korban. Janganlah hendaknya kepada para ahli korban hanya memikirkan untuk melaksanakan korban dikawasan yang amat kurang sekali para faqir dan fuqara.

Masalah pengagihan daging korban yang sering dianggap tidak berlaku secara adil adalah merupakan isu setempat yang akan berukang secara stereotype saban tahun tanpa sebarang postmortem oleh pihak JK sembelihan dan pengagihan apalagi untuk tindakan penambahbaikan. Biasanya pengagihan akan turut dikaitkan dengan isu polemik politik apabila para pendukung parti yang belum memerintah kerap dilupakan dan dinafikan dari mendapat bahagian mereka...!!  Dan ini jika berlaku merupakan satu isu yang sangat menjijikkan!!

Isu lain yang tidak kurang pentingnya pabila tibanya hari ini ialah kawasan masjid suci serta merta bertukar menjadi kawasan ternakan haiwan dengan aura bahan buangan pada awalnya, kadang-kadang bermula di petang hari arafah hinggalah menjelang hari-hari tasyriq. Dan biasanya aura bahan buangan ini bertukar menjadi aura darah sembelihan, hanyir bangkai dan sebagainya yang mengusai halaman masjid dan surau hingga menjejak seminggu!



Bukankah menurut aturan sunnah sembelihan korban lebih baik dibuat dirumah...dilapah bersama ahli keluarga dan jiran tetangga. Itu adalah lebih afdhal, lebih suci dan lebih ikhlas berbanding pelaksanaan di perkarangan masjid dan surau yang boleh mengimplikasikan kebusukan dan kotoran cemar.Bukankah memelihara kesucian dan kebersihan rumah Allah itu lebih penting dari menjaga kebersihan halaman rumah sendiri yang dikhuatiri kotor, busuk dan bersepah kerana pelaksanaan kerja-kerja penyembelihan korban tadi?

Eid adha juga dikenali sebagai hari raya haji juga dikalangan orang melayu kerana sambutan hari raya ini bertepatan dengan hari para jamaah haji menyempurnakan manasik haji di tanah suci...

Walau apapun, salam eid adha dan mari kita hiasi hari raya ini dengan lafaz takbir dan tahmid...





Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol