Kluang-Temerloh-Cameron-Kluang

Jam 10.10 pagi penulis mengunci pintu rumah setelah mengambil baju yang tertinggal. Pergerakan menuju ke Gerai Kari Kambing 40 hari. Gerai yang agak tersohor di kalangan para penggemar makanan berasaskan kambing. Tatkala tiba jam menunjukkan ke pukul 11.30 pagi. Pelanggan masih agak ramai. Bersebelahan kenderaan penulis ialah nyonya penjual durian yang menawarkan durian berharga RM30.00 sebungkus!! Harga yang dianggap agak murah bagi durian kampung.

Tatkala menunggu hidangan disiapkan, ternampak pula pelanggan lain yang menikmati durian tadi. Tidak tahan dengan godaan bau durian, isteri membeli tiga biji durian dengan harga RM15.00. Rasanya agak menarik juga dengan isi yang agak tebal.

Kami meneruskan perjalanan menuju ke bandar Segamat. Kami melintasi pekan Yong Peng kemudian Chaah, Labis dan akhirnya Segamat. Di Segamat mengisi minyak dan kemudian Solat Jumaat di Jame Bandar Segamat. Khutbah berkisar mengenai masalah riba. Beliau meminta jamaah menghindari riba. Bukan mudah menghindari riba sebenarnya jika 90% sistem kewangan negara berasaskan konsep riba.

Selesai solat kami bergerak menuju ke Temerloh. Perjalanan melalui beberapa gugusan felda dan masuk ke simpang temerloh. Jalan menuju Temerloh bukanlah jalan yang agak selesa dengan keadaan jalan yang semakin sempit,dikelilingi hutan tebal, kurang menemui kenderaan kecuali beberapa buah lori besar yang agak kurang ajar kerana kerap makan jalan dan memandu dengan sangat laju.

Kami tiba dan singgah di sebuah stesen minyak untuk mendapatkan bekalan air dan juga menyelesaikan persiapan diri.

Tiba di Bera sekitar jam 5 petang. Menyusuri sepanjang Sungai Temerloh dikiri kanan dihiasi dengan gerai buah-buahan dan ikan sungai.

Tiba di Temerloh sebuah pekan yang kelihatan agak besar di tengah-tengah negeri Pahang. Kami menginap di Hotel Seri Malaysia Temerloh.Selepas Check In, kami bergerak ke rumah kenalan Pak Ngah yang dikenali semasa musim haji berlangsung. Rumah terletak di kawasan perkampungan di tepi sungai pahang. Di rumah beliau, kami dijamu dengan durian, rambutan dan juga nasi berlauk ikan paten sungai pahang masak tempoyak.



Menjelang Maghrib kami bergerak kembali ke penginapan. Sepanjang malam berehat dan menikmati tidur. Menjelang Isyak penulis ke kedai berhampiran untuk mendapatkan bekalan air mineral..Bandar Temerloh boleh dianggap bandar mati sebaik masuk waktu isya kerana dalam deretan kedai hanya sebuah sahaja yang masih dibuka ..

Subuh di bilik kami bermula jam 6.15 pagi. Usai solat berehat sebentar dan kemudian sarapan di lobi. Keluarga besar ini berkumpul bagai pertemuan sebuah hari keluarga.

Usai sarapan dengan menu standard hotel Seri Malaysia, penulis kembali ke penginapan manakala keluarga berenang...

Sekitar jam 10 pagi kami bersiap untuk bergerak ke rumah bakal tunangan sepupu isteri. Kami berkumpul di  lapangan meletak kereta hotel sekitar jam 12.00 tengahari. Kemudian, sekitar jam 12.15, tayar kereta penulis mula bergolek keluar dari lapangan meletak kenderaan hotel..

Kami bergerak menuju ke sebuah kawasan perkampungan di seberang sungai temerloh. Sebanyak berbelas kenderaan yang datang mengiiringi rombongan. Tatkala masuk ke rumah, jam menunjukkan sekitar beberapa minit sebelum gelincir matahari.

Upacara rundingan ikatan janji dan segala yang berkaitan diselesaikan oleh wakil kedua-dua belah pihak.

Tuan rumah kemudian mempelawa kami menikmati juada- nasi putih berlauk ikan patin masak tempoyak dan ulam-ulaman. Hidangan yang sangat menyelerakan.

Acara makan hanya berakhir sekitar jam 2 petang dan 30 minit kemudian kami bergerak meninggalkan halaman rumah untuk ke destinasi masing-masing.

Penulis dan keluarga bergerak masuk ke Lebuhraya Pantai Timur menuju ke Cameron Highland secara nekad tanpa membuat sebarang tempahan penginapan. Kami keluar di persimpangan karak dan meneruskan perjalanan menuju ke genting sempah. Disana kami berhenti solat. Kemudian kami meneruskan kembara menuju ke batang kali selepas beberapa kali mendapatkan khidmat nasihat bapa saudara di talian telefon.

Tiba di pekan Batang Kali kami mengambil laluan ke Slim River dan akhirnya masuk ke lebuhraya dan berhenti makan di Rehat & Rawat Tapah. Manusia begitu ramai mendarat di situ.

Kami kemudiannya meneruskan perjalanan ke pekan Tapah. Tapah sebuah pekan kecil menyambut kedatangan kami dengan wajah suram. Pada mulanya hendak bermalam di rumah rehat kerajaan tetapi tiada bilik kosong. Berpusing di pekan tapah mencari hotel bajet. Akhirnya setelah mendapat nasihat dari kaunter hotel Timuran, kami meneruskan perjalanan ke pekan Bidor, 10 minit dari Tapah. Setelah berpusing di sekitar Bidor kami akhirnya dipertemukan Allah dengan sebuah hotel yang agak selesa.

Keadaan bilik hotel tidaklah sebesar saiz bilik di seri Malaysia tapi ternyata ianya jauh lebih kondusif...




Keesokkan pagi kami bergerak menuju ke cameron. Kami singgah sarapan dalam perjalanan selepas gagal untuk mendapatkan kedai melayu di sekitar Bidor dan Tapah. Ternyata pekan Bidor dihuni oleh majoriti bukan Muslim..

Selepas sarapan menu nasi putih berlauk, perjalanan diteruskan. Jalan ke Rivelet agak berliku walaupun jarak hanya 20km lebih sahaja. Jalan agak sempit, merbahaya dan kerap dikejutkan dengan kehadiran bas ataupun lori. Jalan menuju ke Rivelet hanya dikuasai oleh kenderaan penulis dan dikiri kanan jalan dihiasi oleh kedai- kedai milik orang asli. Mereka menjual hasil-hasil hutan seperti madu, petai dan sebagainya.

Di pertengahan jalan dipertemukan dengan lata iskandar yang merupakan kawasan air terjun. Ramai juga yang singgah melepas lelah di sini.

Lebih kurang 1 jam perjalanan kami menemui kawasan yang dipanggil Rivelet yang berupa penempatan yang mengandungi deretan rumah, rumah kedai, sekolah dan pekan kecil. Disini juga terdapat kolam keruh yang agak besar.

Perjalanan diteruskan untuk menuju ke tanah rata. Bermula dari kawasan ini keadaan jalan sudah menjadi semakin baik.

Kami akhirnya berhenti di kawasan ladang teh. Udara di luar sudah mula dingin.

Selesai di ladang teh kami terus menuju ke Tanah Rata. Lokasi pertama yang dituju ialah kawasan MARDI. Untuk masuk dikenakan bayaran mengikut kepala. Disini terdapat buah straberi, bunga-bungaan dan sebagainya. Penulis melunaskan kewajipan solat jama di sini. Air untuk berwuduk terasa begitu dingin sekali!

Kami meninggalkan tanah rata sekitar jam 2 petang untuk menuju ke Brincang. Keadaan jalan mula sesak dan tersekat. Aih...dikawasan tanah tinggi pun sesak juga rupanya. Kami menyangka ada berlaku kemalangan lantas kami beralih ke ladang straberi. Berhampiran ladang ini terletak rumah peranginan persekutuan. Disini penulis dan anak lelaki penulis hanya menunggu di dalam kenderaan sahaja.

Selesai fi disini sekitar jam 4 petang lalu kami bergerak ke Brincang. Keadaan jalan masih sesak. Beberapa meter sebelum masuk ke Brincang kami singgah makan. Dari pekedai kami dimaklumkan kesesakan yang berlaku adalah disebabkan oleh pasar malam.

Cuaca adalah dalam keadaan lembab dan hujan dengan sekali-sekala lebat. Selepas selesai makan kami meneruskan perjalanan ke Brincang. Kami hanya merentasi pekan tersebut, melalui pasar malam dan kemudian singgah di kawasan rehat dan rawat untuk urusan solat.

Kemudian perjalanan diteruskan untuk memburu bunga ros. Hujan semakin keras rintiknya tatkala itu. Penulis menghentikan kenderaan di tepi jalan. Isteri dan adik ipar serta anak-anak turun untuk menyelesaikan misi bunga ros.

Menjelang Maghrib pasukan kecil ini kembali dengan hampa. Misi bunga ros gagal. Tanpa banyak soal perjalanan pulang diteruskan. Keadaan senja yang disirami rintik hujan dengan jalan turun agak berliku dan cermin kereta menjadi kelam....

Perjalanan tetap diteruskan walaupun agak mencemaskan. Si kecil tiba-tiba merengek kurang senang. Isteri pula terkumat-kamit membacakan sesuatu. Adik ipar menawarkan hotel penginapan. Tetapi penulis bertekad untuk meneruskan perjalanan pulang meskipun hujan masih turun. Tiada siaran radio yang agak terang untuk didengari, khususnya yang mampu mengalunkan ayat al Quran...

Jalan pulang kelihatan agak lebih lebar dan selamat. Melalui beberapa perkampungan orang asli. Salah satunya menempatkan surau yang agak besar di tepi jalan namun ianya gelap dan sunyi tanpa pengimarahan walhal azan isya baru sahaja menembusi corong radio kereta.

Kami akhirnya tiba di sebuah stesen minyak. Terlalu banyak kereta yang singgah. Tandas khususnya untuk wanita sangat sesak hingga terpaksa beratur panjang...

Kami akhirnya tiba di pintu masuk plaza tol Simpang Pulai dalam negeri Perak. Hujan masih turun renyai- renyai. Sama seperti ketibaan kami di negeri Perak malam semalam.

Pergerakan kenderaan di dalam lebuhraya amat lambat dan tersekat. Hanya 40 km/jam sahaja hingga tiba ke Slim River.

Kami singgah di sebuah kawasan rehat dan rawat dalam negeri Selangor sekitar jam 10.00 malam untuk mengisi minyak. Suasana amat sesak dan untuk mengisi petrol juga terpaksa menunggu giliran...

Meskipun jalan sudah tidak sesak lagi, namun kenderaan sangat banyak hingga tidak memungkinkan kami untuk memandu laju.

Kenderaan penulis singgah di rehat dan rawat seremban untuk solat sekitar jam 1 pagi.

Perjalanan diteruskan lagi dengan kelajuan 120 km dengan ditemani isteri yang setia berbual. Kami tiba di tol Ayer Hitam sekitar jam 3 pagi dan tiba di kolam air sekitar jam 3.30 pagi. Kami selamat tiba di rumah sekitar jam 4.00 pagi.






Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol