Mampukah orang Melayu memakmurkan kembali rumah- rumah Allah?

Mungkin perkara ini paling kurang diperbincangkan di kalangan bangsa Melayu. Boleh jadi ianya dianggap sebagai agenda paling kurang penting bahkan tidak pernah disebut langsung dalam mana-mana pentas perhimpunan mahupun muktamar.



Melayu dewasa ini lebih kemaruk bercerita mengenai siapa paling patut menerajui negara selepas pilihanraya ke 13. Melayu kini lebih enak bertegang urat di parlimen kedai kopi mengenai isu-isu besar seperti hudud dan AES. Melayu lebih seronok bercerita mengenai liburan dan artis. Agenda pengimarahan rumah Allah mungkin hanya dibincangkan di kantin pejabat agama oleh seorang dua ulama muda yang makan gaji. Agenda ini juga mungkin ada dibincangkan oleh para penggerak masjid dan surau peringkat DUN tatkala makan pagi selepas majlis membudayakan Al Quran bersama Penyelaras Masjid dan Surau daerah secara tidak serius.



Penceramah majlis maulid atau maal hijrah juga mungkin ada menyebutkan di hadapan khalayak secara tidak formal dengan diselangi oleh jenaka untuk memecah kebekuan..

Namun ada juga gerakan dakwah yang menjadikannya sebagai agenda utama perjuangan mereka. Sanggup mereka ini tidak pulang kerumah beberapa hari hanya semata-mata untuk mengajak manusia agar mendatangi rumah-rumah Allah.

Namun gerakan ini kelihatan masih belum berjaya sepenuhnya.

Isu ini jika dibawa ke pejabat agama berhampiran sekalipun belum tentu akan dilayan. Tetapi jika ada gerakan yang cuba membawa fahaman sedikit menyimpang, atau ada aduan khalwat wa zina, tindakan serius akan dilaksanakan tanpa perlu membincangkan sebarang solusi alternatif.

Siapa yang mampu menjuarai isu ini?

Jawapannya ada pada para pimpinan kampung dan mukim.

Jika para penghulu yang mempunyai autoriti di kampung mempunyai agenda atau meletakkan kpi tahunan untuk memastikan sekurang-kurangnya 50% daripada keseluruhan anak qaryah dapat menghadiri masjid dan surau setiap waktu solat sepanjang tahun, maka ia boleh mengerahkan ketua kampung untuk mencapai kpi tersebut serta menumpukan untuk pencapaiannya. Ketua Kampung dengan bantuan JKKK akan memberikan fokus untuk pelaksanaan. Pejabat agama dengan sokongan para penggerak dan penyelaras serta jentera unit dakwah pasti akan membantu.

Jika ianya berlaku sepanjang tahun dengan pelbagai aktiviti setiap hari bahkan waktu tanpa jemu dan ragu pasti akan membuahkan redha dari para penghuni langit.

Mungkin pada awalnya kelihatan amat janggal namun percayalah dengan sokongan dan dokongan pelbagai pihak termasuk badan dakwah sukarela serta pihak berkuasa sesuatu pasti menjadi realiti Insya Allah..

Kita melihat JKKK kampung mampu menubuhkan pasukan kompang, mampu menubuhkan kumpulan marhaban, yasinan bahkan zapin dan barongan. Maka tidak mustahil mereka juga mampu mengimarahan rumah Allah....



Jika dalam satu mukim itu ada 8 kampung dengan 20 buah masjid dan surau yang senantiasa dipenuhi jamaah pada setiap waktu solat, maka yaqinlah bahawa barakah akan turun dari langit dan segala kebaikan akan keluar manakala para penjahat dan penceroboh akan berubah...

Ayuh para pimpinan mukim...mari lakukan transformasi ini. Bukankan Allah telah menjanjikan pertolongan kepada mereka yang menolong agamaNya?



Sayangnya...keyakinan kita pada agama kini semakin pudar manakala ketamakan kita pada pangkat dan kedudukan politik serta kuasa telah mengelabui mata kita.

Maka kita tinggalkan amalan agama kepada pak imam dan pak bilal serta lebai manakala poltik, projek dan keseronokan kita jadikan agenda dan kita paksakan kepada anak-anak mukim...

Akhirnya apabila kampung kita menjuarai agenda dadah, pecah rumah, zina dan rempit dengan nada selamba kita lambakkan kesalahan itu dihadapan para guru, ibu bapa dan rakan sebaya dan kita kultuskan pimpinan sedia ada...

Wallahu a'lam


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol