Pendaftaran pelajar baru : 22 tahun lampau



31 Januari 1991 - pagi khamis penulis telah bangun awal pagi bersama keluarga. Kami telah tiba di bandar Kuantan sejak malam semalam bersama datuk dan nenek. Begitu bersemangat untuk menghantar penulis ke sekolah berasrama penuh.


Sekitar jam 6.45 kami telah bertolak dengan menaiki kereta bapa saudara. Perjalanan ke Pekan Pahang mengambil masa kira-kira 30 ke 45 minit merentasi jalan yang dikiri-kanannya masih berwujud hutan dan semak samun.

Tatkala tiba di lokasi selepas merentasi jambatan yang merentasi sungai Pahang, sungai tua yang banyak sejarah itu, kami diturunkan di hadapan hard stand sekolah.



Wah pertama kali tiba di sekolah yang masih muda usianya. Bangunan baru tersusun indah. Telah banyak kelihatan kereta yang diletakkan di kawasan ini.

Penulis pun bergerak ke dalam dewan yang besar dan canggih. Dikatakan bahawa yang paling besar dan canggih bagi sekolah di seluruh asia tenggara ...



Selepas pendaftaran, penulis dibawa ke penempatan di blok B. Penulis masuk ke dalam dorm B25 yang terletak di aras 2 bangunan blok B di penghujung bangunan berhampiran dengan tangga. Tatkala melangkah masuk, kedapatan seorang pemuda bertubuh sasa berwajah ala hindustan. Namanya Sheikh Saleem Sherwani. Dia juga pelajar yang baru mendaftar untuk tingkatan empat.



Seorang lagi pemuda yang agak rugged menempah katil di hujung dorm di tingkat atas. Sememangnya katil yang wujud hanyalah di tingkat atas sahaja. Senior telah menguasai keseluruhan katil di tingkat bawah. Pelajar itu menguyah chewing gum dengan rambut sedikit keperangan.

" You pun baru masuk form four kan?"  Seraya bersalaman. Terpampang di baju putih uniform sekolah, name tag sementara tertulis perkataan Adam Kamal.

Selepas keluarga kami semua pulang, kami hanya bersantai di dalam dorm. Ferdaus yang merupakan rakan di sekolah lama dan sekampung pula tetapi berlainan dorm datang bertandang ke dorm kami. Sempat jua berbual dan menikmati sedikit biskut yang dibekalkan oleh keluarga salah seorang dari kami.



Azan Asr dari surau memutuskan perbualan kami. Bergegas menuju ke surau untuk solat berjamaah. Kemudian kami ada pertemuan dengan KP - Ketua Pengawas di kawasan hard stand. Penulis hanya turun dengan berpakaian baju pagoda dan ditegur oleh beliau. Kami juga diingatkan agar jangan berjalan dalam keadaan menyeret selipar atau kasut kerana ia melambangkan kemalasan. Berjalan perlu melangkah dengan penuh tenaga dan mantap. Ya...sejak saat itu penulis tidak pernah berjalan dengan menyeret langkah ...

Menjelang Maghrib kami turun semula ke surau. Sebelum itu kami menikmati makan malam pertama di dewan makan sekolah berasrama penuh. Suasana kelihatan agak tenang..

Selepas solat maghrib, tuan imam memberikan sedikit ucapan dan kemudian kami bersama mengalunkan asma ul husna. Kemudian diikuti oleh bacaan tahlil.

Selepas solat Isya, kami kembali ke asrama disebabkan belum membawa pakaian yang sesuai. Kemudian kami berkejaran ke dewan untuk menyertai program silaturrahim.

Di dewan, kami dibekalkan dengan telur seorang sebiji dimana telur tersebut perlu dijaga dan juga perlu ditandatangani oleh kesemua guru yang ada ... Huh ... Jika hilang ataupun rosak ataupun tertinggal, maka deraan yang dikenakan mungkin cukup berat.



Kami juga diajar dengan LDK rantai nama dimana semua pelajar form four perlu menghafal nama setiap rakan yang lain dalam masa satu malam sahaja. Kami juga diajar dengan lagu negeri dan juga lagu seroja - bukan nyanyian Amy Search...

Kami hanya dibenarkan pulang ke dorm selepas jam 11.00 malam. Di dalam dorm, kami dipanggil pula oleh abang Jeli, diperingatkan agar menghormati senior dan sebagainya ...

Rupanya sudah 22 tahun berlalu namun ianya masih segar bermain di ingatan ...









Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol