Telok gorek - Mission accomplish

22 Feb 2013 kami bergerak sekali lagi ke telok gorek. Dengan menaiki wira putih milik organisasi kami berdua meluncur laju meninggalkan bandar kluang menuju ke mersing.

Tiba di lokasi sekitar jam 11.30 pagi. Cuaca cerah dan bersih. Peserta sudah sampai dua bas. Masih ada satu bas berbaki. Makan tengahari sudah tersedia. Menu yang dihidangkan agak membuka selera juga. Selesai menikmati juadah tengahari itu kami bergerak ke masjid.



Di masjid, selepas selesai solat jama qasr tanpa berjamaah, kami solat hajat secara berjamaah. Alasan yang dipopularkan, tiada kawasan untuk menghimpun jamaah qasr solat Asr kerana jamaah qaryah memenuhi ruang.

Tiba semula di kem untuk persiapan. Tuan Haji dan En R tiba di muka pintu dorm. Kami menyambutnya dengan hangat, sehangat mentari tengahari Jumaat yang bersinar garang.

Beberapa orang dari kalangan kami kemudiannya bergerak untuk masuk ke hutan bertujuan melihat trek. Kali ini penulis tidak masuk ke trek. Penulis terlibat dengan LDK pembentukan kumpulan. Salah seorang dari ahli peninjau adalah yang tidak pernah masuk ke hutan pada dua sesi sebelum ini.



LDK penulis bermula seawal jam 5.30 petang. Paling awal berbanding dua sesi sebelumnya. Agak malang kerana kekurangan fasi. Maka objektif untuk menerapkan taaruf sesama ahli dan fasi dengan lebih mendalam tergendala begitu sahaja ...


Sekitar jam 6.30 peserta telah digerakkan untuk menikmati makan malam. Kebanyakan kumpulan telah berjaya menyiapkan tugasan. Kesemua kumpulan telah diberikan panduan, nama kumpulan berdasarkan kepada nama tokoh sahabat Nabi SAW. Kelihatan kesemua mereka mendapat kefahaman yang agak sempurna. Maka muncul nama-nama besar seperti kumpulan Abdul Rahman b Auf, Hafsah dan sebagainya..

Selesai solat Maghrib, kuliah Jati Diri menjadi penghibur di saat sunyi. Para fasi bergerak ke kantin untuk taklimat dan mesyuarat khusus berkaitan kembara...Penunggu CP diagih-agihkan..

Selesai jati diri dan mesyuarat, acara pembentangan hasil kerja petang tadi. Kesemua kumpulan membentang pada satu tempat tanpa ada pecahan sebagaimana sebelumnya. Kebanyakan peserta kurang memberikan fokus terhadap tokoh besar yang dijadikan model atau idola sesebuah kumpulan. Maka objektif menjadikan nama tokoh sahabat sebagai lagenda untuk kumpulan kelihatan agak tersasar ..

Peserta pada kali ini menerima sehelai tisu bercop sebagai barang amanah. Agak jauh daripada keputusan dalam mesyuarat asal nampaknya ..


Qiamullail dipimpin oleh penulis seawal jam 4.45 pagi. Seusai solat Subuh, Dr H mengambil alih kuliah sehingga jam 7.00 pagi. Persiapan kembara bermula sekitar jam 8.00 pagi. Diawali dengan solat sunat Dhuha di tepian pantai. Oh...alangkah indah pemandangan tatkala itu...


Penulis berada di CP kedua, CP yang dipanggil CP negara bersama En R, Pn Hajjah dan salah seorang staf Holdings. Di sini ada beberapa kerusi yang perlu disusun dalam bentuk piramid oleh kumpulan yang ditutup mata dan hanya ketua yang mampu melihat. Namun arahan ketua amat terbatas..Maka beberapa bendera dapat diculik dan juga diconteng juga ada yang berjaya ditukarkan dengan bendera kumpulan lain...



Beberapa kumpulan kelihatan mampu melaksanakan dengan baik. Namun ada juga kumpulan yang gagal memanfaatkan keseluruhan ahli dengan baik...

CP disini berakhir sekitar jam 2.15 petang dan kemudian kami diserang oleh dua ekor monyet. Sebelum keadaan menjadi lebih parah, kami segera keluar dari lokasi...


Penulis akhirnya berada di CP penamat bersama PS. Bertemu dengan beberapa kumpulan yang tiba. Cuba menyelesaikan masalah kehilangan bendera dan juga menconteng bendera kumpulan yang alpa dengan laut yang terbentang dek keseronokan menikmati mandian. Cadangan penyelesaina untuk yang kehialngan bendera, cuba cari sampai dapat di sekitar kawasan, atau jika tidak mampu, tulis sahaja surat kepada Ketua Fasilitator dan perlu disokong oleh kem komandan. Tapi nampaknya peserta lebih gembira untuk mencari hingga ke bawah pasir pantai!!


Menjelang jam 6.30, kesemua peserta telah tiba di pengkalan. Usai solat maghrib selepas menikmati jamuan makan malam dengan menu ketam kecil, refleksi kembara dikelolalakn oleh PS. Dek kerana kebanyakan fasi penungu CP ramai yang belum muncul, mungkin kerana kepenatan, dan juga ada yang telah kembali ke pangkuan keluarga masing-masing, maka ulasan hanya dibuat oleh PS sahaja. Dimensi kembara selama lebih kurang 10 jam sebenarnya boleh dipergunakan dengan sebaiknya oleh pegawai yang bertanggungjawab mengenai ehwal kembara. Semasa refleksi, inilah peluang terbaik seorang pegawai kembara untuk menghunjam hati dan perasaan para peserta dengan menggunakan segala kemahiran yang ada...


Menjelang waktu acara tangisan, kami keluar menikmati minuman di Endau. Dalam kenderaan, dikatakan bahawa kita sebenarnya terlalu banyak mewujudkan CP hantu...maksudnya CP yang tidak berdaftar...apabila dibuat kiraan, ternyata wujud tiga CP hantu atau jadi-jadian....patutlah lewat hingga menjejak ke waktu maghrib...

Antara CP yang menarik ialah CP kubur dimana peserta akan dipilih salah seorang dari ahli kumpulan untuk dikafani, dan kemudian dikebumikan lalu dibacakan talqin. Ada beberapa calon mayat yang menangis, tak tahulah kerana keinsafan ataupun ketakutan. Yang ternyata salah seorang calon mayat masih menangis dan tak henti menangis bila penulis mengatakan bahawa bau kapur barus akan terus melekat dan semakin kuat apabila hari semakin gelap!!

Minum di pekan Endau, hanya makan keropok panas sampai menjejak dua pinggan. Sup terasa kurang enak untuk dialirkan ke tekak...Tidak seperti dua sesi sebelumnya.

Solat tasbih memulakan hari para peserta pada Ahad...Diikuti solat subuh dan jamrah hikmah ,.. upacara menghapuskan dosa secara simbolik..Moga mereka faham acara tersebut. Jangan sampai ada yang mendakwa dosa mereka telah terhapus dengan program tiga hari dua malam...nanti popular pula program ini di antero negara ...

Diikuti oleh ceramah ustazah dan kemudian penutup. Acara penutup kali ini kelihatan terlalu panjang hingga menjejak ke pukul 2 petang. Seusai makan dan solat, penulis, PS dan fasi terkini bergerak meninggalkan lokasi menuju ke kediaman masing-masing...

Selamat tinggal Telok Gorek....mungkin kami tidak lagi kembali melihat peserta yang menangis di waktu malam. Mungkin kami tidak lagi dapat menyaksikan peserta beraksi di dalam air payau di muara ... mungkin tiada lagi jerit pekik sang kem komandan yang kelihatan semakin memberangsangkan ...




Ya Allah..Persaksikanlah bahawa kami telah menyampaikan ...!!!


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol