Kurma Iran VS Kurma Saudi
Isu ini boleh dikatakan sudah mula dimakan kulapuk. Namun tatkala majlis berbuka puasa di rumah mentua Ramadhan hari ke 12, isu ini mula hangat kembali gara-gara adik ipar yang menyentuh kotak kurma yang dibawa ...
Rupanya orang sebelah yang setia kurang perasan dengan isu ini. Sebaik pulang dari jamaah Maghrib tatkala hendak menyenduk nasi goreng najlis tahlil ringkas Asar tadi, orang sebelah mula berbunyi,..
"Lain kali tak payah beli kurma tu lagi..."
"Mmm...kenapa pula..?"
"Dia orang bunuh budak..."
Ya ...isu pembunuhan kanak-kanak adalah isu yang sensitif bagi dirinya. Atas sebab itulah dia terus menolak untuk makan di salah sebuah restoran makanan segera tersohor yang dikatakan membantu zionis melalui wang keuntungan, sedangkan sebelum itu, beliau jarang sekali tidak hadir ke restoran tersebut. Apatah lagi dia juga pernah bertugas sebagai krew di situ suatu ketika dahulu.
Tapi pada pandangan penulis isu ini berbeza..
"Saudi lagi banyak membantu zionis (secara tak langsung : Pen), tapi kenapa kita tak boikot barang Saudi?"
"Bahkan Saudi bantu untuk jatuhkan ikhwan di Mesir baru-baru ini..." sampuk adik ipar yang lain..
Persoalan lain ialah kenapa hanya kurma yang diboikot? Bagaimana dengan hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara dua kerajaan, kenapa tidak dibantah di hadapan wisma putra @ putrajaya agar ditamatkan hubungan? Kenapa tidak didesak agar hubungan diplomatik dengan musuh utama iaitu Syria ditamatkan sahaja? Kenapa dengan kurma?
Apakah pernah Nabi SAW menghadkan pemakanan kurma dari mana-mana negara Arab suatu ketika dahulu? Pernahkah Nabi SAW menghalang umat Islam menikmati atau berjual beli kurma dengan pemilik-pemilik ladang kurma berbangsa Yahudi di Madinah?
Lebih baik boikot agar pelancong kita tidak lagi terbang ke Isfahan atau Tehran .. ianya lebih berbahaya daripada makan kurma yang tumbuh di bumi kuasa besar syiah akhir zaman itu ..
Lebih utama jika dapat turut sama memboikot barangan di Saudi, pesanan khas buat penziarah dua tanah suci, agar benar-benar menunaikan ibadah, bukan untuk shopping sakan yang boleh meningkatkan lagi ekonomi saudi yang sememangnya kaya bin raya ...
Saudi tidak pernah dan tidak akan pernah kedengaran menghantar tenteranya untuk membantu pejuang Islam Syria, apalagi untuk memerangi Israel, anak emas Washington. Di Saudi, tidak pernah kedengaran berlakunya apa yang didakwa Arab Spring, kerana tiada anasir 'syaitan besar' yang mahu melihat regim itu tersungkur. Tersungkurnya regim Saud akan membawa malapetaka yang besar terhadap kelangsungan washington serta Tel Aviv dan boleh membantutkan cita-cita tertegaknya apa yang didakwa Haikal Sulaiman di tapak Al Quds yang sedang dirobohkan secara diam-diam.
Di Saudi sudah terdapat banyak pengkalan tentera US guna untuk membantu 'meredakan' percaturan kuasa di Timur Tengah. Tetapi kita tidak pernah sedar dan disedarkan.
Iran yang cuba membina kuasa nuklear sendiri atas alasan sumber tenaga dikecam hebat oleh Zionis dan USA (meskipun terdapat berita persengkokolan mereka) namun Saudi yang menyediakan tanah untuk kemusnahan bumi Baghdad, Tripoli bahkan Kaherah hanya dibiarkan sahaja...kenapa ya? Adakah dek kerana sentimen sunniah atau apa?
Wallahu a'lam
Ulasan