Lagu Hari Raya - Carta Hati No 1 Terkini
Ramadhan yang ke lima belas hari ini. Rupanya sudah nisfu Ramadhan. Dah separuh rupanya perjalanan kita melalui taman-taman Ramadhan yang mewangi dan indah. Keharuman taman-taman ini sungguh mempesonakan jiwa para hamba agar kembali mewarnai serta menghangatkan laman rohani yang selama ini kelihatan usang, kelam dan seolah tiada berpenghuni.
Dalam melayari Ramadhan ini, beberapa kali masuk ke bazaar buat memenuhi misi sang bonda. Kalau boleh, memang ingin dielakkan untuk ke bazaar. Ianya seolah-olah kita berada di halaman pasar dagangan fesyen manusia. Pelbagai jenis rakaman pakaian dan penonjolan imej manusia akan kita temui. Manusia yang kita rasa ianya tidak pernah kita temui atau kita rasa, dia ni duduk kat sini ke? dia ni orang tempatan ke? pun kita akan temui. Ianya mungkin boleh merobek tahap 'menahan diri' dan menyebabkan kita terjatuh ke dalam telaga puasa awam yang mana ganjarannya hanya seqadar berlapar dan dahaga semata-mata ..
Dan irama lagu hari raya semakin membingitkan telinga. Tatkala terpaksa menemani orang sebelah ini untuk melalui lorong-lorong bazaar ramadhan seusai solat tarawih yang berimamkan jemputan hafiz dari belahan Palestin, irama dan dendangan lagu raya yang dikawal selia oleh salah sebuah parti politik tersohor negara hanya menyakitkan jiwa pendengar, tapi tidak tahulah orang lain. Penulis terasa agak terguris dan aneh melihat 'kegilaan' bangsa ini untuk menghadiri satu syawal yang belum pasti, seolah-olahnya mereka ini ingin segera melepaskan diri dari 'penjara' Ramadhan dan terbang dengan penuh gembira, terkocoh-kocoh dan kelam-kalibut menuju ke gerbang hari raya..
Apalah kiranya satu kesalahan jika sekiranya dalam kita masih lagi berada di lorong-lorong bercahaya dalam bulan kesucian ini melantunkan irama bacaan ayat-ayat al quran untuk diperdengarkan kepada khalayak? Adakah ianya bisa mengundang dosa atau ektremisme di kalangan pengunjung bazaar?
Mungkin mereka sendiri terlupa bahawa wujudnya mereka selaku peniaga sebulan ini pun kerana menumpang tuah kehadiran Ramadhan yang di dalamnya diturunkan al quran. Maka rafa'kanlah kesyukuran dengan mendendangkan bacaan al quran di malam-malam ramadhan di tengah ribuan pengunjung agar mereka sekurang-kurangnya akan 'terasa' sedikit dengan kehadiran bulan agung ini. Cukuplah selama 11 bulan kita berdendang mari berdendang - berdendang di seluroh alam - bergumbire - bermesra - Apalah kiranya selama sebulan penuh ini kalaupun kita kurang selesa dengan kehadirannya, tetapi sekurang-kurangnya menghormati kehadirannya ataupun menghormati orang lain yang berusaha keras ingin mencapai kesempurnaan ramadhan...
Kalaulah penguasa memiliki minda sedar akhirat, sudah barang pasti hal seumpama ini mampu ditangani. Tetapi apabila penguasa hanya memiliki minda sedar dunia semata-mata, maka inilah jadinya ..
Wallahu a'lam
Ulasan