Pengharaman shisa...kemana arahnya

shisha

Baru-baru ini media massa begitu bersemangat memberitakan mengenai keputusan Majlis Fatwa Negeri Perlis yang telah mengharamkan penggunaan shisha..

KANGAR, -- Jawatankuasa Fatwa Perlis mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding merokok.
Mufti Perlis Datuk Mursyid Diraja Dr Juanda Jaya berkata mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-11/2013 pada 24 Jun lepas membuat keputusan itu dan surat akan dihantar kepada kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) berhubung perkara itu.

Bercakap kepada pemberita di sini Jumaat, beliau berharap MPK dapat menghalang kegiatan penjualan shisha demi kepentingan masyarakat.

Dr Juanda berkata amalan menghisap shisha bukan sahaja membuang masa tapi memudaratkan kesihatan terutama bagi golongan belia dan remaja.

Menurutnya, langkah pengharaman itu dilaksanakan kerajaan negeri Melaka sejak 2009 dan Perlis juga menuruti jejak negeri itu kerana kegiatan itu didapati membawa kemudaratan yang besar.

Dr Juanda turut menyelar pihak yang memperdagangkan amalan tahlil arwah dan khatam al-Quran untuk mengaut keuntungan peribadi terutama menjelang Ramadan.

Menurutnya, ada pihak yang cuba mengutip wang kononnya untuk dana tertentu dengan menganjurkan majlis tahlil dan khatam al-Quran dengan memohon sumbangan daripada orang ramai.

Sambil menunjukkan contoh borang penyertaan program tahlil arwah dan khatam al-Quran anjuran sebuah badan tertentu, beliau berharap orang ramai tidak akan terpengaruh.

"Tidak salah bertahlil, berzikir dan khatam al-Quran tetapi bukan meletakkan syarat dengan mengenakan bayaran," katanya.

Beliau berharap pihak berkuasa menyiasat penganjur program seumpama itu dan meneliti ke mana wang yang dikumpulkan itu dibawa

Dan kemudian diikuti pula oleh beberapa pihak yang cuba memberi pandangan yang condong kepada fatwa tersebut..

Penulis selaku muslim meskipun di negeri lain menyokong penuh fatwa tersebut. Semoleknya ia menjadi fatwa kebangsaan. Sememangnya kegiatan menghisap shisha di beberapa premis kelihatan begitu menarik pemuda dan pemudi.

Tetapi kita khuatir sekali mengenai penguatkuasaan pengharaman tersebut. Ditangan siapakah ianya akan berlaku? Adakah terletak di batu jemala penguasa agama semata-mata?

Alangkan untuk mengawal kegiatan zina dalam sebuah daerah pun tidak mampu dilaksanakan sepenuhnya dek kerana kekurangan kakitangan, apalagi hendak menyerbu premis-premis yang menawarkan aktiviti bershisha di khalaya dengan pakej yang menguntungkan?


Pernah seorang rakan memaklumkan mengenai penduduk di taman hendak menangkap pasangan janda dan jantan yang sedang asyik mahsyuk memadu asmara di rumah janda berkenaan. Apabila dibuat panggilan ke pejabat agama daerah berkenaan, jawapan yang diberikan ialah, kakitangan kami hanya ada TIGA ORANG sahaja untuk kawal daerah yang besar. Maka dia menyuruh untuk dihubungi ketua kampung berhampiran. 

Apabila dihubungi ketua kampung sekitar jam 11.00 malam, panggilan tidak berjawab. Maka segera dihantar utusan ke balai polis berhampiran. polis datang tetapi mengaku tidak boleh membuat sebarang tangkapan kerana tiada kuasa...Maka dek kerana sudah tidak mampu lagi bertahan menanggung dosa maksiat sang janda yang sudah semakin kerap, maka dihantar utusan lagi ke rumah ketua kampung..maka mahu tidak mahu ketua kampung pun akhirnya tiba kerana beliau seorang sahaja yang memiliki kad kuasa bagi membuat tangkapan ..

Nah... itu untuk membuat tangkapan maksiat....bagaimana untuk menguatkuasakan fatwa pengharaman shisha pula? Tentu Ketua kampung tidak cukup tangan dan tidak lena tidur dibuatnya.



Mungkin boleh dicadangkan untuk penubuhan skuad anti maksiat di bawah pengawasan ketua kampung dan penghulu. Masalahnya, hingga entry ini ditulis, TIDAK PERNAH kedengaran perkara ini dicadangkan oleh mana-mana penghulu atau JKKK dalam mesyuarat...

Berbalik kepada fatwa pengharaman ini, teringat pula kepada fatwa mufti negeri johor berkaitan permainan kuda kepang

“PERMAINAN KUDA KEPANG SAMA ADA TARIAN BIASA ATAU DRAMATARI ATAU TARIAN GELANGGANG ADALAH HARAM KERANA IANYA BERCANGGAH DENGAN AQIDAH, SYARIAH DAN AKHLAK ISLAMIAH.

SEMUA UMAT ISLAM DILARANG DAN DITEGAH DARIPADA MELIBATKAN DIRI DENGAN PERMAINAN KUDA KEPANG. MEREKA YANG BERGIAT DALAM PERMAINAN KUDA KEPANG HENDAKLAH BERHENTI SERTA MERTA DAN BERTAUBAT DENGAN TAUBAT NASUHA.”
والله أعلم بالصواب


Keterangan :
Keputusan di atas adalah berdasarkan kepada hujjah-hujjah berikut :

1) Terdapat unsur-unsur dalam permainan ini yang bercanggah dengan Aqidah Islamiah antaranya ialah :

PERTAMA : Unsur Syirik iaitu melakukan jampi dan mentera dengan memohon pertolongan dari jin dan syaitan. Dalam masa yang sama juga, berlaku perbuatan “menurun” atau dalam bahasa arabnya disebut sebagai Tanasuhul Arwah (تناسخ الاروح) . Pada hakikatnya adalah satu keadaaan yang menyebabkan seseorang itu diresapi oleh jin yang dipanggil atau diseru. Hal tersebut menyebabkan jin tersebut sebati dalam diri orang yang menurun, dan menguasai perasaan, fikiran, tutur kata dan jasad orang yang berkenaan. Hal ini bertentangan dengan firman Allah Subhanahu Wa Taala dalam Surah Yunus ayat 106 yang berbunyi :
Maksudnya : Dan janganlah Engkau (Wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya Engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah Engkau dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu).

Dan juga Surah Faathir ayat 6 yang berbunyi ;
Maksudnya : Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah Dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya Dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.

KEDUA : Unsur Khurafat iaitu semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan, atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam. Semua perkara tersebut bertentangan dengan Firman Allah Subhanahu Wa Taala dalam Surah An Naml ayat 65 :
Maksudnya : Katakanlah lagi: tiada sesiapa pun di langit dan di bumi Yang mengetahui perkara Yang ghaib melainkan Allah!" ...

Diantara ciri khurafat yang terkandung dalam permainan kuda kepang ialah pada upacara pemujaan dan memanggil 'ruh', jin dan syaitan, pantang larang yang dicipta yang tidak ada sandaran syara’ dan adanya kepercayaan-kepercayaan tertentu yang mana jika dilanggar akan membawa bencana.

2) Pengharaman permainan kuda kepang adalah demi menjaga Syariah Islamiah. Dari sudut syariah, kepentingan kepada penjagaan Almaqasid As Syariah (المقاصد الشرعيّة)
Matlamat syara’ amatlah ditekan dalam Islam demi menjaga kemaslahatan manusia. Oleh itu maka Islam telah menggariskan 5 maslahat asasi yang perlu dijaga dan dipelihara iaitu penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda.

Jika kita lihat kepada penari kuda kepang yang khayal sehingga sanggup melakukan perkara yang memudaratkan diri, seolah-olah seperti orang yang minum arak, yang mana kesan arak boleh meragut kewarasan akal dan tindak tanduk mereka sehingga terjadi kemudaratan pada diri mahupun kepada orang lain. Itulah kesan dan bahaya arak. Kesan itu juga sama boleh berlaku kepada penari yang mabuk dimana ketika mereka mabuk, akal dan tubuh badan mereka adalah diluar kawalan mereka kerana jin yang dipuja dan diseru telah masuk kedalam tubuh badan mereka, dan berlakulah perkara-perkara diluar jangkaan mereka sehingga boleh memudaratkan diri mereka dan membahayakan penonton. Dan ini amat bertentangan dengan Islam, Firman Allah Subhanahu Wa taala dalam Surah Al-Baqarah ayat 195 :
Maksudnya : ... dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan ...

Selain itu, orang yang mabuk pula boleh menyebabkan penat dan mengambil masa untuk pulih dan sedar dan boleh mengakibatkan tertinggalnya perkara yang wajib dalam agama. Berdasarkan kaedah setiap yang mabuk itu haram dan setiap yang membahayakan itu haram, maka kaedah ini boleh diaplikasikan dalam menghukumkan bahawa permainan kuda kepang ini haram dan dilarang kerana adanya unsur mabuk, menghilangkan akal, membahayakan diri dan orang lain (matlamat syara’ terancam).

3) Terdapat unsur-unsur dalam permainan ini yang bercanggah dengan Akhlak Islamiah antaranya ialah :
- Hiburan yang keterlaluan sehingga membawa kepada kelalaian daripada mengingati Allah, yang mana seterusnya membawa kepada hilangnya penghormatan terhadap diri sendiri sehingga sanggup memperbodohkan dan memudaratkan diri. Ini dapat dilihat terutamanya apabila ada dikalangan penari yang mabuk dimana ada yang sanggup makan rumput, kaca, bunga, mengupas kelapa menggunakan gigi, makan kucing yang disangkakan arnab, memanjat pokok yang tinggi, yang dilakukan diluar sedar, dan perbuatan itu menjadi bahan ketawa, ejekan dan mereka diperlekehkan orang yang menonton. Sedangkan Islam amat memuliakan Bani Adam melalui firman Allah Subhanahu Wa Taala dalam Surah Al-Israa’ ayat 70 yang berbunyi :
Maksudnya : Dan Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda Yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka Dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk Yang telah Kami ciptakan.
Tidak cukup dengan hiburan yang tidak memberi manfaat, malahan mengganggu pula penduduk sekitar dengan bunyian muzik dan jeritan penari yang mabuk dan jeritan penonton yang terkejut atau ketakutan.

4) Pengharaman permainan kuda kepang adalah berdasarkan kepada Kaedah Fiqhiyah berikut :
i. الضرر يزال (bahaya mesti dihapuskan)
ii. درء المفاسد مقدم على جلب المصالح (membendung kerosakan diutamakan daripada menarik kemaslahatan)
iii. كلّ سبب يفضي الى الفساد نهي عنه، اذا لم يكن فيه مصلحة راجحة (setiap sebab yang mengarah kepada kerosakan ditegah terhadapnya apabila padanya tidak terdapat kemaslahatan yang kukuh)
iv. لا ضرر ولاضرار (tidak boleh melakukan kemudaratan terhadap diri sendiri dan kepada orang lain)
v. الضرر يدفع بقدر الامكان (kemudaratan dibendung semungkin yang dapat)
Semua penggunaan kaedah fiqhiyah di atas dalam kes ini adalah bertepatan dengan saranan hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam yang berbunyi :

اذا امرتكم بأمر فأتوا منه ما استطعتم واذا نهيتكم عن شيء فاجتنبوه
(رواه البخاري)

Maksudnya : “Apabila aku perintah kamu lakukan sesuatu maka hendaklah kamu kerjakannya seberapa yang kamu mampu, dan apabila aku melarang kamu dari sesuatu perkara maka hendaklah kamu jauhinya.”


Namun sehingga artikel ini ditulis, tidak pula kedengaran  ada pemain kuda kayu ini yang ditangkap oleh pihak penguasa agama sedangkan ianya masih lagi meriah ditarikan sama ada di majlis walimah ataupun majlis rasmi...


Sebenarnya pihak berkuasa agama mampu memberikan fatwa pengharaman kepada banyak perkara, namun penguatkuasaan terhadap pengharaman itu masih boleh dipersoalkan. Khususnya masyarakat moden kini yang semakin terbuka dan berani untuk menentang bahkan mempermainkan institusi fatwa. 

Maka terpulang kepada institusi kerajaan lain sama ada untuk meneruskan sahaja agenda kesenian yang diharamkan tanpa perlu melihat kepada sebarang fatwa terkini atas alasan mengekalkalkan adat dan budaya bangsa, atau tunduk patuh kepada ketetapan ulama yang bersandarkan kepada pemahaman mereka terhadap wahyu dan al hadis.

Bukankah sifat orang-orang yang beriman itu adalah tunduk dan patuh pada setiap ketetapan agama? Tetapi sayangnya, budaya menentang dan menyanggah pandangan ulama sudah semain mendapat tempat di kalangan masyarakat. Lebih-lebih lagi apabila ianya dipelopori sendiri oleh manusia yang mendapat tempat dan kedudukan. Masyarakat muslim moden akan mudah menelan tanggapan atau sanggahan terhadap fatwa kontemporari dek kerana ianya mungkin menyusahkan nafsu mereka, dengan alasan ulama adalah juga manusia biasa yang mungkin tersilap...

Wallahu a'lam

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol