Hari raya masa dahulu part II
Apabila ditanyakan kepada bonda penulis bagaimana orang pada zamannya dahulu meraikan hari raya, jawapannya mungkin agak berbeza. Duit raya sudah disediakan kepada para tetamu cilik tetapi dengan amaun kecil sekitar 10 hingga 20 sen.
Ya...penulis juga melalui saat indah itu. Duit hari raya adalah dalam bentuk syiling. Amat jarang dapat satu ringgit. Rumah yang mampu memberikan duit raya sebanyak 50 sen pun sudah dianggap rumah orang berada dan selalunya akan menjadi target untuk dimasuki oleh geng penjelajah ziarah hari raya. Amalan ziarah hari raya dalam dunia kanak-kanak penulis bermula tatkala berada dalam darjah 2 hingga darjah 5 ketika tinggal di kuarters kem lok kawi kota kinabalu. Kami bergerak dalam satu kumpulan menjelajah setiap rumah di setiap blok. Collection biasa di setiap rumah ialah 10 dan 20 sen.
Tetapi biasanya pergerakan kami paling lama hanya sampai ke hari kedua syawal sahaja. Menurut cerita orang sebelah yang setia pula, mereka berhari raya sehingga masuk ke kampung orang lain ... Lebih adventure kisah hari rayanya...
Dan antara perkara yang kini sudah tiada ialah wujudnya kepala meja, iaitu sebuah kek yang diletakkan di tengah meja untuk hiasan. Ianya disebut hiasan kerana kek tersebut langsung tidak boleh disentuh oleh para tetamu. Biarlah anak-anak kecil yang tergila-gilakan untuk makan kek tersebut merontan dan meroyan menangis, tuan rumah akan buat tak faham sahaja. Tidak tahulah pula bila kek tersebut akan dimakan ataupun ianya sebenarnya tidak boleh dimakan....
Penulis pernah menyertai rombongan hari raya bersama arwah atuk dan nenek penulis di area sungai rokam ipoh perak. Sebelum turun arwah atuk dan nenek berpesan berkali-kali agar tidak buat hal di rumah orang. Pabila tiba dan masuk ke dalam rumah, kuih tidak boleh dimakan hingga habis balang. Ada satu kuih yang berwarna sangat menarik, bila masuk ke dalam mulut rasa amat pahit sekali. Hendak diluahkan, atuk dan nenek dah membesarkan mata mereka, bermakna tidak boleh diluahkan. Pergh....jadi nak buat macammana. Dalam perjalanan balik, kena bebel sahaja dengan mereka. Payah juga pergi beraya dengan orang-orang tua. Banyak betul pantang larang yang perlu dipatuhi...
Namun orang dahulu kalau berhari raya memang banyak kuih yang bersusun di atas meja. Kesemuanya dibuat sendiri di dapur sepanjang Ramadhan. Jadi suasana berpuasa dan berhari raya merupakan saat yang sangat dinantikan. Memasak pula hanya akan dibuat sebaik sahaja pengumuman hari raya dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu. Kalau hari raya selepas sehari pengumuman, legalah sedikit. Hari esok akan menjadi hari memasak mega. Leceh sekali bila diumumkan hari raya pada keesokan harinya. Maka arwah akan merebus ketupat di malam itu juga dan dimulai dengan acar menganyam daun ketupat. Bonda akan memulakan masakan pada malam yang sama. Boleh berlaku mereka berdua ini kurang tidur di malam tersebut. Arwah ayah merebus ketupat dalam tin biskut sahaja.
Kini hari raya cukup berbeza. Ketupat sudah tidak dimasak lagi. Hanya ditempah sahaja. Ada rumah yang turut menempah masakan lauk pauk. Semuanya sudah diswastakan sahaja. Lagipun tarikh sebenar hari raya sudah dipastikan pada awal tahun lagi mengikut kiraan hisab. Pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar hanyalah seqadar pengesahan sahaja. Kebanyakan rumah sudah menyiapkan persiapan masakan hari raya lebih awal kerana sudah tahu tarikh sebenar.
Kuih raya juga sudah dibeli kebanyakannya. Tahun ini belum terjumpa rumah yang menyediakan sendiri kuih raya mereka. Mungkin rumah si penjual kuih sahaja yang menyediakan kuih sendiri.
Ulasan