Tiga hari dua malam

Jumaat akhir ogos penulis dan keluarga berkelana ke Johor Bahru atas undangan sebagai ahli bengkel di salah sebuah hotel tepian pantai. Safar bermula sebaik sahaja usai solat Jumaat yang dihiasi dengan qunut nazilah dan bacaan khutbah yang dijayakan oleh rasa mengantuk yang menebal...


Kami menghampiri bandaraya dengan sambutan hujan lebat dan kesesakan di pintu tol. Meredah hujan sehingga tiba ke susur masuk ke teluk danga. Melintasi istana dan kemudian bertemu hotel yang dari luar seolah sebuah sekolah rendah.

Dengan beg yang bergentelan, kami menemui lobi hotel dan kemudiannya berjaya check in di bilik 204. Kemudian bergegas ke dewan untuk mengikuti saki baki taklimat dan hanya dapat mendengar khutbah wada'.

Seusai taklimat, mengqasar solat di bilik dan kemudian keluar mencari makanan anak-anak. Tepian Tebrau menjadi pilihan pada kali ini dengan dua bungkus nasi goreng bernilai RM 11.00!

Tatakala hendak pulang ke hotel, susur masuk menjadi masalah hendak terpaksa melalui belakang taman istana dan kemudian terpaksa berpatah semula apabila jalan rupanya ditutup.

Sebaik tiba, penulis dan orang sebelah bergegas ke kawasan menjamu selera. Mmm...kami menjadi golongan yang awal dengan hidangan makanan biasa sahaja. Tetapi dishes yang disediakan agak lumayan juga....

Sebaik selesai, kami kembali ke bilik untuk solat dan kemudian tergesa-gesa menuju ke bilik kuliah semula. Pengisian oleh fasi lebih kepada komunikasi dua hala tetapi kurang disambut oleh peserta kecuali salah seorang peserta sahaja.

Seusai program kami bergerak keluar mencari keperluan. Jalan agak sesak. Kebanyakan menuju kedataran untuk sambutan kemerdekaan. Sambutan palsu oleh kebanyakan yang hadir yang hanya mencari keseronokan dan hendonisme. Yang terpaksa kerana bertugas. Sukarela hadir dek kerana terpikat dengan keseronokan semata-mata. Bukan kerana tarikan meraikan patriotisme. Peduli apa mereka dengan perjuangan tok janggut, mat kilau, dato bahaman, dato maharajalela dan sebagainya. Yang penting, ada kiraan detik 12, ada konsert ambang merdeka, ada gadis yang perlu dicari buat teman seumur hidup atau hanya semalam jua!!!

Dan kami tinggalkan kesesakan malam merdeka menuju kembali ke penginapan. Biarkan sahaja anak-anak merdeka tenggelam dalam keseronokan mereka menyambut ulangtahun merdeka dengan jayanya...sama seperti tahun-tahun sebelumnya tanpa perlu menghiraukan atau mengambil sedikit iktibar terhadap nasib saudara-saudara mereka di bumi syria, di bumi palestin dan bumi mesir yang semakin hari semakin jauh dari menikmati kedamaian...

Hari kedua kami mulakan dengan acara solat subuh di masjid negeri yang berusia hampir 200 tahun. Dibina oleh pengasas kerajaan johor moden ini mempunyai rekabentuk menarik. Jamaah tidak mencapai satu saf. Ruginya manusia di sekeliling yang gagal memanfaatkan kehadiran ulama di masjid tersebut. Sound system masjid ini adalah yang terbaik pada pandangan penulis. Mungkin hampir menyamai sistem yang digunapakai di masjidil haram dan masjid nabawi...


Seusai solat, kami singgah makan di restoran mamak belakang hospital. Sekeping roti tampal dan air kosong menjadi hidangan segar pagi nan cerah. Manusia mula memenuhi ruang dengan pelbagai pakaian rasmi bagi menyertai secara paksarela perhimpunan hari kemerdekaan. Kalaulah para penjawat awam ini tidak dipaksarelakan untuk hadir, penulis fikir yang hadir ke padang mungkin golongan veteran yang bersemangat sahaja. Mungkin kemeriahan sambutan yang diada-adakan ini tidak akan mencapai KPI sebagaimana yang diharap-harapkan.

Bengkel bermula jam 8.30 pagi mengikut teras yang telah ditetapkan. Penulis ditempatkan di bilik paling hujung pada lorong panjang yang menempatkan beberapa ruang yang disusun dalam bentuk kelas pengajaran. Mengambil tempat paling belakang bersama orang sebelah dan juga sahabat penghulu.

Fasi hanya muncul sekitar jam 9.30 pagi. Kami diminta membincangkan mengenai RPP dan sebagainya. Sebelum fasi muncul, penyelaras telah memulakan perbincangan mengenai acara di hari sambutan yang dijangka sekitar disember nanti. 

Menjelang zawaal, fasi mengambil keputusan untuk segera menyiapkan pembentangan awal bagi membolehkan waktu malam dimanfaatkan bersama keluarga, khususnya bagi para penyokong bolasepak untuk menikmati tayangan atau pergi menonton dek kerana ada perlawanan yang melibatkan pasukan negeri...luaskan kuasamu...

Jamuan makan tengahari menyediakan juadah yang agak menarik, nasi baryani kambing dan juga ayam dan juga laksa dan juga mee udang. Maka berebutan dan meliarlah sang nafsu tatkala itu untuk melahap segala hidangan yang ada. 

Kemudian, kami bergerak mencari makanan buat yang berada di penginapan. Hentian tebrau yang paling awal menjadi pilihan. Nasi dan lauk pauk ditambah dengan sedikit buah-buahan.

Pabila kembali ke bilik peninapan, masih sempat menikmati sedikit tidur siang. Sungguh enak sekali. Syukur pada yang Maha Pemberi kerna masih mengurniakan kepada hamba yang banyak berdosa ini nikmat tidur....

Dan sekitar jam 2.30, bergegas turun semula ke lokasi bengkel. Nah...hanya seorang sahaja yang setia menunggu..!!

Pembentangan bermula sekitar jam 3.30 petang. Dan dalam kumpulan, penulis terpilih dan terpaksa untuk membuat pembentangan. Mudah sahaja kerana tanpa suara. Hanya mempamerkan slide semata-mata.

Dan anak-anak penulis sudah berada di kolam renang bersama makcik mereka. Memang anak-anak ini cukup gembira bermain air. Kalau ditaqdirkan sepanjang hari di dalam air pun mereka sanggup melakukannya.

Kami naik untuk solat dan kemudian kembali melayan karenah anak-anak semula di sekitar kolam. Sekitar jam 6.30 kami kembali ke penginapan. 

Seusai solat jama dan qasr, kami keluar menuju angsana. Ya...medan beli belah yang sudah agak lama mahsyur...melayan karenah putera penulis berpusing sekitar deretan kedai. Terdapat pertunjukan kebudayaan negeri kelantan di pentas. Penonton tak sampai enam orang pun.begitulah agaknya nasib  kebudayaan silam. Tidak menjadi perkara keghairahan generasi kini. Agaknya kalau didatangkan artis muda remaja popular yang memukul alat-alat kebudayaan itu mungkin berpusu dan berbondong yang hadir. Bukan kerana tarikan kebudayaan itu sendiri. Tetapi kerana tarikan keremajaan dan kemudaan artis itu sahaja. Sama seperti peristiwa sambutan ambang merdeka malam tadi. Apalah salahya kalau penerbit, pengarah dan prodesur kita ambil inisiatif terbitkan lebih banyak filem sejarah melayu seperti peristiwa penaklukan portugis, kisah mengenai pasir salak, atau kisah mengenai pahlawan melayu yang lain. Bukan hanya terbitkan filem yang boleh menimbulkan salah faham serta menebalkan perasaan perkauman yang diasuh atas kegagalan mendapatkan sokongan dalam pilihanraya semata-mata!!!

Angsana yang sebesar dan sehebat itu rupanya hanya memiliki mesin pembayaran tempat letak kereta yang amat terhad. Dengan petunjuk yang mengelirukan serta pengawal keselamatan bukan warga tempatan, adalah menjadi satu kesulitan untuk bertanyakan mesin pembayaran. Akhirnya terpaksa berbaris panjang hanya untuk menyelesaikan pembayaran tempat letak kereta berharga RM2.00...

Kemudian kami pulang dan singgah di sebuah restoran tepian jalan yang sebesar lebuhraya itu untuk menikmati sedikit minuman dan mungkin juga makanan. Restoran itu kelihatan gah dan menarik dengan deretan kereta yang melebihi tempat letak kereta yang mampu disediakan oleh pemilik restoran. Tatkala duduk dan disodorkan dengan buku menu, mata agak terbelalak melihat senarai harga yang hampir tidak masuk akal. Namun tempahan tetap dibuat dengan sepinggan mee goreng, sepinggan ayam goreng, sepinggan sup cendawan, fresh oren dua gelas, teh panas segelas, air barli ais segelas dan sepotong lempeng.

Ketika menunggu hidangan pelbagai gelagat warga kotaraya dipaparkan. Antara yang menarik ialah gelagat dua pasang remaja, yang perempuan berpakaian seksi menikmati asap sisha dengan begitu lahap. Dari kaca mata awal, kelihatan seperti anak bangsa sendiri. Cuma identiti warganegara mungkin boleh dipertikai..

"Boleh jadi warga seberang tambak..." Kata penulis kepada orang sebelah yang melihat mereka dengan penuh keanehan.

Selepas shisa, diselangi pula dengan asap rokok. Wajah masih muda belia. Mmm...satu hari nanti mereka pasti akan menyesali perbuatan mereka. Cuma didoakan penyesalan itu berlaku sebelum hari kematian mereka menjelang. Jika ianya timbul selepas berada di bawah paras permukaan bumi, penyesalan itu tidak berguna lagi...

Kalaulah mereka ini remaja satu warga negara dengan penulis, andaikata Dr Burhanuddin Helmi masih bernyawa, pasti ia akan menggeleng kepala melihat anak bangsanya yang jauh dari peradaban timur apalagi Islam.

Dan bil yang dikeluarkan lebih memeranjatkan. Kesemua hidangan tadi bernilai RM45.00 ....fuuh...berasap juga. Makanan tidaklah sesedap seperti yang dibayangkan...entah apa yang menjadikannya mahal hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui..

Dan kemudian kami meninggalkan restoran mahal dan remaja penghisap shisa itu...apakah erti kemerdekaan berusia 56 tahun ini jika harga makanannya masih mahal? Apakah ertinya jua jika remaja masih jauh dan semakin menggungguli kehidupan penjajah? Tak mungkin mereka tidak pernah mendengar mengenai pengharaman shisha di beberapa negeri di semenanjung emas ini...dan peliknya bagaimana premis ini mampu menyediakan alatan penghisapan tanpa sebarang pemantauan oleh pihak berkuasa?

Tiba di bilik penginapan, mata semakin kelam dan akhirnya tertidur dengan aman. Laungan azan dari hp mengejutkan penulis dengan suara kejutam orang sebelah. Namun hanya bangun sekitar jam 6.30 pagi...

Kopun sarapan pagi diserahkan kepada peneman orang sebelah. Mereka bertiga, campur puteri sulung penulis menikmati sarapan pagi yang enak kononnya di restoran hotel.


Sekitar jam 8.30 bergegas semula ke dewan untuk sesi taklimat tiga serangkai dan diikuti oleh acara fotografi.

Kemudian minum pagi dengan menu meggi goreng bersama potongan kek dan juga popia goreng. Begitu banyak makanan yang disediakan untuk peserta bengkel ini. Itulah sebabnya penulis berani menyerahkan kupon makan berat kepada peneman orang sebelah...

Selepas putera dan puteri selesai menikmati mandian kolam renang terakhir, kami berangkat kembali ke bilik penginapan untuk berkemas dan bersiap. Kami turun sebentar untuk makan tengahari. Suasana lebih meriah dengan penyertaan keluarga masing-masing. Jangan ditanya bagaimana mereka  sekeliarga mampu meraih tempat di dewan makan itu. Mungkn kerana ramai yang sudah pulang, atau mungkin mereka membayar sendiri...

Perjalanan pulang bermula dengan singgah di masjid negeri untuk solat zuhur dan asar. Kemudian, kami masuk ke zoo yang terletak bersebelahan masjid negeri.

Di pintu masuk, putera puteri telah disilaukan dengan belon pelbagai warna dan wajah dengan gas helium. Harga yang ditawarkan ternyata lebih mahal daripada biasa. Ibu bapa tanpa sebarang alasan munasabah terhadap anak mereka terpaksa membelikannya. Belon yang hanya ghairah beberapa minit. Tatkala kembali ke kereta semula, ia sudah mula dilupakan. Lagipun ianya gagal bertahan lama. Lainlah kalau di rumah ada setong gas helium...

Melangkah masuk ke zoo adalah pengalaman menyeronokan bagi kanak-kanak. Mereka begitu asyik melihat pelbagai haiwan yang dipamerkan. Antara yang menarik perhatian ialah pertunjukan anak harimau yang boleh diambil gambar bersama. Meskipun ianya kelihatan agak garang, namun ia berjaya memikat hati khususnya anak-anak muda dari sebuah IPTA tempatan.

Seusai aktiviti di zoo yang turut menghimpunkan acara tarik-menarik antara anak saudara dan ibu saudara dek kerana terpengaruh menyertai kenaikan kereta berupa haiwan, kami terus bergerak pulang. Di pertengahan jalan, mengantuk menyerang bersama hujan lebat yang turun. Kesesakan di pintu masuk tol bermula dari simpang masuk lagi. Mengambil keputusan berhenti di stesen minyak sebelum pintu tol yang semakin sesak untuk menikmati sedikit tidur....

Kira-kira 15 minit kemudian, kami memulakan perjalanan pulang semula. Hujan sudah mula reda dan kesesakan mula berkurangan. Selepas melalui pintu tol, jalan agak lengang. Ingatkan kesesakan disebabkan berlaku kemalangan. Rupa-rupanya hanya di pintu tol sahaja. Namun di pertengahan jalan, kenderaan bergerak agak perlahan dan ini membuahkan kembali perasaan kantuk.

Cuba berhenti di stesen minyak keadaan sedikit sesak. Akhirnya perjalanan diteruskan dengan ditemani sang kerepek pisang...

Setibanya di tol keluar, keadaan kembali sesak. Kami kemudian menuju ke salah sebuah rumah jemputan rumah terbuka dan menikmati sedikit bubur kacang dan kuih-muih....









Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol