Musafir ke Pulau Pinang

Sekitar jam 8.30 malam, penulis, orang sebelah nan setia, adik ipar dan puteri sulong bergerak menuju ke perhentian bas bersama bapa dan ibu mertua. Kami tiba sekitar jam 9.00 malam dan bas bergerak meninggalkan bumi kluang sekitar jam 9.15 malam. Pergerakan bas adalah dalam keadaan yang agak selesa. Tidak terlalu terkejar-kejar sebagaimana pengalaman penulis menumpang bas sebelum daripada ini.

Tatkala tiba di sekitar kawasan Melaka, bas berhenti di perhentian sementara. Kemudian masuk ke stesen bas seremban untuk mengambil sejumlah penumpang sekitar jam 11.30 malam. Bas kemudiannya masuk ke stesen bas puduraya sekitar jam 1.00 pagi juga untuk mengambil sejumlah penumpang. Penulis yang cuba mendapatkan bekalan air mineral sejak di perhentian pertama lagi masih gagal untuk mendapatkannya.

Hanya apabila bas berhenti di salah sebuah stesen minyak berhampiran slim river, barulah hajat meneguk air mineral ditunaikan.

Kemudian penulis tertidur dan kerap juga terjaga, lebih-lebih lagi apabila bas seolah-olah bergerak agak laju dari biasa dan terhenti-henti.



Bas kemudian ada berhenti di Taiping sebelum berhenti di hentian terakhir sejurus sebelum masuk waktu subuh untuk menurunkan penumpang yang akan transir ke Butterworth.

Kami melintasi selat melaka yang memisahkan antara tanah besar semenanjung emas dengan pulau mutiara dan akhirnya tiba di hentian bas sekitar jam 6.00 pagi.

Kami menyelesaikan solat subuh sebelum bergerak menuju ke hotel yang telah ditempah awal. Setelah  dimaklumkan bahawa kami hanya boleh check inn selepas jam 2.00 petang, kami sgera beredar untuk mencari kereta sewa.

Kami dengan mudah mendapat kereta sewa melalui seorang pakcik yang membawa kereta sewa tarik yang memperkenalkan kami dengan pengusaha motel di belakang hotel yang bakal kami duduki malam nanti.



Kami akhirnya ditawarkan dengan sebuah kereta produa kembara dengan harga RM80.00 sehari. Setelah selesai beberapa urusan di kaunter, kami pun bergerak dalam keadaan zero, tanpa mengetahui dengan jelas selok belok jalan di pulau mutiara ini.

Setelah mengisi minyak, kami bergerak ke ibu negeri pulau mutiara. Sebelum itu, kami singgah di USM untuk bersarapan. Harga berpatutan dan makanan menyelerakan.

Kami memulakan lawatan di padang kota yang rasanya pada kedatangan penulis sebelum ini sewaktu bertugas, ianya agak besar daripada itu. Kemudian kami masuk ke kota cornwalis dengan bayaran RM2.00 seorang dewasa. Agak menarik kota tersebut dengan binaan gereja dan tiang bendera yang dikatakan antara binaan yang masih ada hingga sekarang sejak ia dibangunkan oleh Inggeris pertama di situ.




Kami kemudian bergerak untuk menaiki feri ke seberang. Pengalaman pertama mungkin bagi puteri sulong dan juga orang sebelah yang setia. Sebaik tiba di seberang, kami berkira-kira pula untuk pulang  kembali ke pulau dengan melalui jambatan. Tatkala ternampak stesen keretapi, maka kami mula berkira-kira untuk menaiki keretapi pulang ke kluang. 



Solat jumaat yang asalnya dirancang di masjid kapitan keling telah dipindahkan ke masjid melayu lebuh acheh kerana ianya didirikan di situ pada minggu ini.





"Ianya didirikan secara bergilir-gilir setiap minggu" kata salah seorang yang ditanyai oleh penulis. Khutbah berkisar mengenai syiah. Syiah lagi?

Masjid tersebut didirikan oleh salah seorang bangsawan sumatera yang mana makamnya juga berada di masjid tersebut.



Seusai solat, kami bergerak mencari makanan untuk disuap ke mulut. Cadangan ialah nasi kandar. Akhirnya ditemui dengan lauk yang hampir habis.

Setelah selesai, kami bergerak ke hotel untuk check in. Setelah masuk ke bilik hotel, oh...ianya tidak seperti yang digambarkan dan dibayangkan. Ini pertama kali penulis menginap di hotel dimana bilik air terpaksa dikongsi dengan penginap yang lain. 

Sempat melelapkan mata dan kemudian bergerak semula ke USM untuk acara raptai. Sebelum itu singgah di bawah pokok berhadapan pagar USM untuk makan malam. Sempat solat berjamaah di masjid USM yang agak sendat dengan jamaah yang diselangi saf merek itu dengan kipas yang ditanam di lantai masjid.

Kami kemudian bergerak menunggu dan akhirnya pulang semula ke pengkalan untuk menghadapi kembara yang mungkin lebih mencabar esok... 

Sebelum itu, kami cuba menyelesaikan urusan check out awal dengan pihak hotel sempit. Ini adalah disebabkan oleh kami bakal menaiki keretapi pada hari kepulangan yang mana stesen keretapi terletak kira-kira 20 minit perjalanan dari hotel. Kami khuatir berlaku kesesakan di jambatan. Layanan awal memang agak mengecewakan di mana petugas tegas mengatakan bahawa urusan pemulangan wang hanya boleh diuruskan pada keesokan pagi jam 10.00 sahaja sedangkan sepatutnya ia boleh diselesaikan pada malam ini sahaja. Jika esok, bermakna penulis terpaksa menghantar mereka dan kemudian berpatah balik untuk menyelesaikan urusan...

Seawal jam 6.00 pagi, ahli bilik telah bangun bersiap dan mandi. Cuma penukis yang agak lewat mungkin disebabkan oleh tidur yang agak lewat semalam. Seusai solat, kami bergerak memacu kenderaan sewa menuju ke USM. Mujurlah kami tiba 'agak' awal. Setelah menurunkan mereka yang terlibat, penulis bergerak kembali ke hotel sempit. Sempat mandi dan tidur. Kemudian sebelum jam 10.00 penulis telah tegak berdiri di kaunter untuk menyelesaikan perihal check out awal ini. Mujurlah wang dapat dikembalikan.




Kemudian penulis bergerak menuju semula ke USM. Iktikaf di masjid jame al malik khalid, sambil menumpang mengecas bateri ipad. Ramai juga yang iktikaf di sana sambil melayan mimpi. Sejam kemudian, urusan konvo selesai. Maka tugas penulis memungut mereka untuk dibawa pulang. Membuat beberapa pusingan keluar masuk kampus dek kerana jalan yang banyak ditutup...

Penulis kemudian menurunkan semula mereka selepas dipungut kerana ada beberapa urusan yang masih belum berjaya diselesaikan. Singgah sebentar di perumahan polis untuk solat jama dan qasr. Kini menumpang teduh di BHotel setelah berjaya mengembalikan kereta sewa untuk menunggu diri dipungut oleh mereka pula. 

Sebaik sahaja sang pemungut tiba, kami pun bergerak mencari makanan yangpaling hebat di pulau mutiara. Sahabat adik ipar itu membawa kami menyeberangi selat melaka melalui jambatan dan terus menuju ke satu kawasan gerai yang menyajikan makanan yang agak istimewa. Laksa menjadi menu utama dan penulis seperti biasa sahaja, iaitu nasi lemak. Memang laksa di situ dihidangkan dengan kuah yang agak pekat daripada biasa.

Selepas menjamu selera, kami pun bergerak menuju ke rumah kediaman beliau untuk menumpang bermalam. Rumah beliau terletak di kawasan permatang pauh yang dikelilingi sawah padi. Dalam kawasan perkampungan melayu asli, terletak di tingat empat dalam kawasan berpagar yang boleh dianggap sebagai apartment.

Menjelang maghrib, kami keluar lagi untuk makan. Kali ini, mee udang menjadi sasaran. Sebuah gerai di tepi sawah dikenalpasti dan telah dikunjungi oleh banyak selebriti berdasarkan bukti gambar yang dipaparkan di dinding gerai. Hidangan mee udang dan nasi goreng udang menjadikan harga makan malam itu ialah RM34.00....

Kami kemudian bergerak ke bandar dan menuju ke pusat membeli belah yang tertera perkataan pulau pinang mall. Kesempatan ini digunakan penulis untuk mencari cd game yang telah lama diburu...sudden strike 3... Tetapi masih gagal untuk ditemui...

Setelah selesai, kami pulang dan bersiap untuk menikmati malam. Solat hanya didirikan sekitar jam 3.00 pagi..

Seawal jam 6.00 sudah bangun dan bersiap untuk kembara keretapi merentas semenanjung sehingga ke kl sentral sahaja dek kerana kehabisan tiket ke selatan. Ini bermakna kembara sepanjang ahad ini menjadi lebih mencabar. Mana tidaknya, selepas berjaya tiba di kl nanti, kami terpaksa berkejar menuju ke puduraya untuk memburu tiket ke selatan.




Di dalam perut keretapi kini, duduk dalam satu barisan 4 orang selepas menikmati sedikit sarapan pagi di kantin keretapi. Tertanya-tanya dalam hati, adakah keretapi ini menyediakan ruang untuk mengerjakan solat? Pengalaman penulis sebelum ini, terpaksa solat dalam keadaan duduk kerana tiada ruang untuk berdiri mengerjakan solat. Itu adalah cabaran bagi pengguna keretapi bagi tujuan musafir panjang. Walau apapun alasan, solat tetap wajib didirikan meskipun apa sahaja keadaan yang berlaku...

Perjalanan dengan keretapi yang agak panjang itu akhirnya berakhir di KL Sentral. Meskipun penulis dan orang sebelah merancang untuk stay sahaja di dalam keretapi tanpa tiket yang sah untuk tiba di Kluang, namun akhirnya kami bergerak juga untuk keluar. Di sini, kami menunaikan solat jama sebelum kemudiannya menaiki tren komuter untuk ke bandar tasik selatan bagi mendapatkan bas menuju ke kluang.


Perjalanan dengan komuter adalah satu pengalaman baru bagi penulis kerana sebelum ini hanya terfikir untuk menaiki LRT sahaja. Alangkah bagusnya kalau khidmat komuter ini dilanjutkan sehingga ke Kluang. Tentu perjalanan untuk ke KL lebih mudah bagi warga Kluang...


Setibanya di bandar Tasik Selatan, kami bergegas ke terminal bas untuk mendapatkan tiket perjalanan ke Kluang. Di kaunter yang kelihatan seiras lapangan terbang, kami berjaya mendapatkan tiket jam 3.30 dalam keadaan mereka ditugaskan untuk mendapatkan nasi di tingkat atas. Terpaksa berlari-lari ke gate no 10 dek kerana agak terlewat. Disana, sebuah bas telah sedia menanti kami.

Bas yang membawa kami melalui laluan lain dek ke ada kemalangan yang menyebabkan kesesakan teruk. Bagi mengelakkannya kami dibawa melalui tol senawang. Ianya dipandu lebih laju dan menakutkan. Lebih-lebih lagi penulis duduk di kerusi paling hadapan disebelah belakang pemandu.

Kami tiba semula di bumi Kluang sekitar jam 7.15. Seusai solat, kami dijemput oleh adik ipar....



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol