Pendaftaran pelajar baru

Universiti awam seluruh Malaysia telah menerima kemasukan pelajar baru mulai Ahad lepas. Bagi mengisi tempoh masa orientasi atau dalam bahasa yang diterima pakai kini ialah minggu haluan siswa, pelbagai aktiviti telah dirancang untuk membantu pelajar menyesuaikan diri dengan budaya universiti.

Apakah budaya universiti? Apakah budayanya agak berlainan dari budaya di luar universiti atau ianya hanya sebuah entiti untuk menyatukan pelbagai budaya luar agar bersesuaian dengan iklim akademik?

Sepanjang minggu MHS terdapat banyak pengisian berbentuk ilmiah. Mungkin sekali sekala abang atau kakak petugas akan cuba menyampuk dengan pengisian lapuk yang diwarisinnya secara turun menurun dari guru-guru mereka yang juga merupakan senior yang pernah menghuni kampus sebelum mereka. Pengisian nyanyian dan tarian misalnya sudah menjadi sunnah senior yang terus diamalkan dari masa ke semasa kununnya untuk mengelakkan keboringan. Kununnya untuk menimbulkan sedikit mood adik-adik yang kelihatan condong untuk tidur daripada terus tersengguk menantikan tamatnya tempoh program yang kerap mengajak untuk tidur.

Pengalaman penulis mengikuti MHS lebih 9 tahun lampau. Pada masa itu, ianya dipanggil MSR atau minggu silaturrahim. Bunyinya agak islamik meskipun ada jua anasir dari kalangan petugas atau pada masa itu dipanggil OC (orientation committe) yang cuba merosakkan nama itu sendiri dengan mewujudkan pelbagai jenis denda yang boleh dianggap zalim. Sebagai contoh, terpaksa berjalan itik mendaki bukit sepanjang petang, terpaksa mengangkat tangan sepanjang malam dalam keadaan berdiri, terpaksa tidur kurang dari 2 jam hingga ada di kalangan kami yang mandi sebelum tidur...bagi mengelakkan berlaku kesesakan di bilik mandi setiba waktu puncak. Sepanjang MSR kami pernah tidur pada jam 2 pagi dan dipaksa bangun sekitar jam 4 pagi untuk acara qiyam.

Mungkin unsur islamik seperti qiyam, solat berjamaah dan sebagainya sudah mula mengambil tempat namun anasir kezaliman adalah berterusan dan kadang-kadang berjalan seiring. 

Tatakala memegang jawatan sebagai pimpinan pelajar pula dengan melalui 2 kali MHS - namanya sudah ditukar, penerapan islam secara lebih serius mula diperbincangkan dan graf tindakan-tindakan zalim sudah mula direndahkan. 

Sememangnya adalah sesuatu yang agak sukar untuk memberikan satu bentuk contoh terbaik atau model terbaik untuk diikuti oleh junior. Mereka ini datang dari pelbagai latar belakang. Untuk 'memaksa' mereka menerima elemen islamik, kadangkala agak kurang mendapat sambutan yang menggalakkan.

Misalnya apabila dicadangkan agar pelajar tahun akhir yang akan menghadiri makan malam berpakaian lebih sopan - bernaju melayu dan berkurung serta bertudung, begitu banyak sekali tentangan dan bangkangan yang muncul. Majoriti merasa pelik dan meloya untuk berpakaian kebangsaan dan lebih sopan. Sememangnya sunnah para senior sebelumnya menjadikan acara makan malam  sebagai malam untuk mempamerkan kehenseman, kemarcuran dan keayuan terakhir sebelum bergraduan. Tidakkah kadang-kadang kita terfikir dengan berpakaian sopan kita akan lebih hebat dan jelita? Begitulah jika sistem pendidikan kita lebih mementingkan budaya daripada agama.

Berbalik kepada pengisian MHS yang kini semakin kurang mesra dengan islam. Sebagai contoh, acara solat berjamaah di masjid seolah sudah tidak dipedulikan melainkan hanya solat malam sahaja. Beralasan untuk menijimatkan masa dan pergerakan memandangkan masjid jamed menara nan sebatang berlokasi agak jauh. Tetapi kita nampak bahawa bangunan masjid lama masih lagi hampir tetapi ianya tidak lagi masuk dalam agenda. Pelajar memang dibenarkan solat tetapi kelihatan seperti tiada galakan untuk memakmurkan masjid dengan solat berjamaah. Maka apabila siswa/i baru ini gagal untuk dijinakkan ke masjid selama tempoh MHS, bagaimana mereka ini akan mampu menjadi tetamu tetap masjid sepanjang berada dikampus? 

Mungkin kita kini berani memberikan lebih ruang untuk golongan ini bersuara. Tetapi adakah suara yang dibawa itu menguntungkan islam atau sebaliknya? Adakah suara itu hanya seqadar memujuk dan mengalunkan halwa telinga yang enak didengar oleh pemerintah semata-mata tanpa memikirkan walau sekelumit jua keuntungannterhadap Islam?

Mahasiswa dan mahasiswi adalah aset terpenting untuk menjayakan agenda penting negara. Kewujudan sebuah negara yang mesra syariah adalah peting untuk melahirkan masyarakat madani yang mampu menjunjung Islam. Mungkin golongan bukan Islam kini agak takut dengan gesaan pelaksanaan perundangan Islam bukan kerana kebencian mereka terhadap agama itu, tetapi kerana kegagalan umat islam itu sendiri memahamkan rakan mereka tetang betapa syumulnya agama suci ini.

Berapa keratkah antara kita yang mampu bercerita mengenai islam terhadap rakan bukan islam dalam suasana harmoni? Kebanyakan kita takut untuk berbicara mengenainya. Mungkin mereka mampu berkongsi cerita apa sahaja, tetapi jarang untuk kita menyentuh mengenai keprcayaan masing-masing...

Benarlah bahawa MHS kini adalah jauh lebih baik daripada apa yang ada jauh beberapa dekad sebelumnya. Namun, pengurangan beberapa anasir islam yang penting seperti solat berjamaah dan penambahan nyanyian dan tarian dalam acara oleh pihak yang sememangnya mendukung aspirasi hendonisme yang menyusup masuk ke dalam tubuh pembantu dan petugas boleh dianggap sebagai virus beracun yang jika dibiarkan mampu membunuh keseluruhan wajah islam yang cuba ditonjolkan dan dihidupkan oleh pelajar dan mujahid sebelum ini

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kem Komandan - yang mana pilihan anda?

Al Mahdi yang ku tunggu .. Moga kita termasuk dalam senarai tenteranya

Kisah Seorang Jurutol